Thursday, May 28, 2009

Dr Mohd Asri: ‘Mogok lapar' ditolak oleh Islam

Rabu Mei 27, 2009

MOGOK LAPAR...Anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di hadapan Wisma DAP Perak di Ipoh, semalam. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Perak mengadakan mogok lapar di hadapan bangunan itu sebagai tindakan yang didakwa mereka untuk menggesa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).--fotoTHE STAR oleh SAIFUL BAHRI

MOGOK lapar adalah sesuatu yang salah di sisi Islam, kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau yang kini berada di Lampeter, United Kingdom melalui kiriman emelnya kepadamStar Online berkata, walaupun tindakan mogok lapar itu dikatakan untuk tujuan yang baik, ia tetap ditolak kerana dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan 'mogok lapar' yang diadakan oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak selama 72 jam bermula semalam yang didakwa mereka bertujuan untuk menggesa Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan hak mengundi dikembalikan kepada rakyat.

Mengulas lanjut mengenai hukum bagi seorang Muslim yang menyertai mogok lapar, Dr Mohd Asri berkata:

"Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara (the ends do not justify the means). Apa sekalipun hasrat baik tidak boleh dihalalkan dengan cara yang tidak diterima oleh syariat. Mogok lapar adalah satu penyeksaan diri sendiri yang mempunyai ‘nilai ketidakcerdikan’ yang amat sangat.

"Memang, pada zaman Nabi ia pernah dibuat oleh ibubapa kuffar Quraish bagi membantah anak-anak mereka menganut Islam. Namun itu adalah kebodohan kaum Quraish.

"Para Nabi a.s. dan pengikut mereka telah menentang berbagai sistem dan kezaliman, tiada seorang pun di kalangan mereka yang melancarkan mogok lapar. Allah tidak pernah mensyariatkan hal itu sama sekali.

"Mungkin Gandhi pernah menjadi contoh dalam hal itu. Tetapi tidak para pejuang Islam. Jika ada pun seseorang berpuasa dengan cara yang diajar oleh Allah dan RasulNya. Bukan untuk membantah sesiapa, tetapi mendekatkan diri kepada Allah.

"Itupun dilarang ‘wisal’ dalam puasa, maksudnya berterusan tanpa buka setelah masuk waktu berbuka. Malanglah, jika umat Islam terpengaruh dengan pendekatan yang bukan Islamic, bukan memperkenalkan kematangan pemikiran Islam.

"Jika seseorang mati dalam mogok lapar, ia termasuk dalam hukum membunuh diri. Ini seperti dalam hadis al-Bukhari, dalam sebuah peperangan, ada seorang pejuang telah berjuang dengan hebat sehingga dia dipuji oleh para sahabat.

"Nabi memberitahu mereka dia ahli nereka. Mereka hairan. Namun apabila diperiksa didapati dia membunuh diri kerana tidak sabar atas kecederaan yang dialaminya. Dengan itu, bagi saya jika ‘pejuang mogok lapar’ mati dia termasuk dalam hadis ini.

"Orang politik mungkin menghalalkan apa sahaja untuk politik mereka, tetapi para pejuang prinsip hendaklah berpegang kepada prinsip tanpa mengira siapa pun,” katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/5/27/mstar_berita/20090527094324&sec=mstar_berita

Garis panduan hiburan dalam Islam

Rabu Mei 27, 2009

GARIS panduan hiburan dalam Islam yang disediakan oleh JAKIM ini bertujuan untuk memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain. Garis Panduan ini juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat awam yang menyertai persembahan rancangan hiburan.

2. PENDAHULUAN

2.1. Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian.

Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

2.2 Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat[1], tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah[2] adalah harus;

b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

c) Pancaragam yang melalaikan[3] hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

3. KANDUNGAN GARIS PANDUAN

3.1 Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara berikut:

3.1.1 Takrif

3.1.2 Program Hiburan

3.1.3 Persembahan Muzik

3.1.4 Lirik Lagu

3.1.5 Persembahan Artis

3.1.6 Persembahan Tarian

3.1.7 Tanggungjawab Penganjur

3.1.8 Kesimpulan

3.2 Takrif

3.2.1 Hiburan

Maksud hiburan ialah sesuatu (perbuatan, benda dll) untuk menghiburkan (menyenangkan, mententeramkan) hati. (Kamus Dewan).

3.2.2 Nyanyian

Maksud nyanyian ialah gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. (Kamus Dewan).

3.2.3 Muzik

Maksud muzik ialah gubahan bunyi untuk memperoleh keindahan bentuk dan pernyataan perasaan. (Kamus Dewan).

3.2.4 Tarian

Maksud tarian ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik. (Kamus Dewan).

4. GARIS PANDUAN

Garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut;

a) Program Hiburan

i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.

ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.

iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.

iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.

v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.

vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

b) Persembahan Muzik

i. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.

ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.

iii. Tidak melalaikan.

c) Lirik

i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.

ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.

iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.

iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.

v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.

vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.

vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.

viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

d) Persembahan Artis

i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.

ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.

iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

e) Persembahan Tarian

i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.

iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.

iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.

v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

f) Tanggungjawab Penganjur

Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.

5. Kesimpulan

Garis Panduan ini diharap memberikan panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Ia juga dijadikan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamal dan menikmati hiburan berteraskan nilai-nilai akhlak dan syariat Islam.

RUJUKAN

1. Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Wizaratul Auqaf Wa al- Syu’un al-Islamiah,Cetakan Pertama, 1995, Kuwait.

2. Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran, Syeikh Abdullah bin Mohamad Basmeih, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

3. Al-Halal wa al- Haram fi al-Islam, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, al-Maktab al-Islami, Cetakan ke-15, Beirut 1994.

4. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991.

5. Garis Panduan Muzik, Nyanyian dan Seni Menurut Pandangan Islam, Bahagian Penyelidikan, JAKIM.

6. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981.

7. Garis Panduan Penyiaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

[1] Sesuatu perbuatan yang haram (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)

[2] Cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan (Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran)

[3] Perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat . (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)

Sumber : Pengarah Bahagian

Wednesday, May 27, 2009

Rahsia perempuan langsing dan panjang umur di Jepun

Rabu Mei 27, 2009

SUDAH mencoba cara mudah untuk tampil sehat dan cantik ala wanita Jepun? Sayang kalau belum. Sebab, langkah-langkah itu sangat mudah dilakukan dan kaya manfaat.

Sebuah buku karya Naomi Moriyama berjudul Japanese Women Don't Get Old or Fat?, mengungkap bahwa wanita Jepang adalah kelompok wanita di negara maju yang paling rendah tingkat obesitasnya, dan memiliki tingkat panjang umur tertinggi.

Perlu bukti? Silakan mengunjungi Jepun! Bisa dipastikan di sana bakal kesulitan menjumpai orang gemuk.

Sebaliknya, rata-rata yang terlihat adalah wanita-wanita dewasa maupun muda bertubuh langsing, mengenakan rok mini dan sepatu boots berhak tinggi.

Menurut buku Naomi, tubuh langsing para wanita Jepang dipengaruhi oleh pola makan, perilaku yang perfeksionis dan disiplin yang tinggi. Naomi mencatat ada 7 hal utama yang menimbulkan fenomena langsing dan panjang umur yaitu :

1. Kebiasaan makan ikan. Kita paham orang Jepun tak bisa lepas dari ikan. Terutama Salmon, menjadi makanan nomor satu dan paling digemari.

2. Mengkonsumsi sayuran. Menurut Naomi, makan pagi berupa sayuran adalah lumrah. Meski ringan, tapi mengenyangkan.

3. Makan Nasi secukupnya. Di Jepun nasi disajikan dalam jumlah yang relatif sedikit, 2 mangkok kecil di tambah dengan hidangan lain.

4. Kacang kedele(soya). Tiada hari tanpa kedele, itulah masakan Jepun.

5. Makan Mie. Ada Soba, Udon, Ramen, dan Somen. Rasanya berbeda-beda, dengan tekstur masing masing.

6. Minum Teh. Eisai, adalah seorang pandita Zen yang dianggap sebagai pencetus kecanduan teh di Jepun.

Predikat diberikan berkat buku yang tulisnya pada tahun 1211 berjudul drink Tea and Prolong Life?.

Buku itu mengupas khasiatteh. Terutama teh hijau, di Jepang sangat dihargai karena bisa menjadi pelindung kesehatan dan panjang umur.

7. Camilan buah-buahan. Orang Jepun tidak terlalu banyak makan buah. Mereka makan buah sebagai camilan dan makan dalam bentuk masih segar, bukan olahan. 

Mereka juga tidak terbiasa makan kue manis, biskuit, donat, dan hidangan penutup yang dipanggang, bakar, apalagi kemasan.

Ternyata tampil langsing dan panjang umur tidak sulit bukan? Juga tak perlu keluar banyak uang. Cukup dengan membenahi pola makan. Lagipula hasil bumi Indonesia tak jauh beda dengan Jepun. Mulai dari ikan sampai buah-buahan. Yang membedakan hanyalah masalah kebiasaan serta kedisiplinan. Let's try!

Cara Mudah Ala Jepun, Untuk Tampil Sehat Dan Cantik

Terlihat sehat dan cantik? Siapa pun menginginkannya. Perlu cara untuk mewujudkan dua kata ini. Sehat bisa diperoleh dengan berolahraga dan menjaga pola makan. 

Sedangkan cantik, disamping karunia Tuhan yang diberikan sejak lahir, juga diperoleh dengan melakukan perawatan.

Agar terlihat cantik dan sehat, coba kita tiru wanita Jepun. Selain memperhatikan fashion dan make-up, mereka mendapatkan kecantikan dengan berolahraga dan memperhatikan kebiasaan makan.

Caranya tidak sulit, cukup mudah dan murah untuk kita lakukan. Diantaranya:

1. Suka Makan Rumput Laut

Rata-rata hidangan Jepun terdiri dari rumput laut. Di banding makanan lain, rumput laut mengandung banyak mineral yang penting bagi tubuh. Seperti kalsium, magnesium, fosfor, besi, dan potassium.

2. Makan Sushi

Sushi sangat sehat. Nasi dan ikan mentah yang tergabung dalam Sushi, sedikit mengandung lemak (30 persen), dan lebih banyak mengandung asam lemak omega-3.

3. Minum Teh Hijau

Agaknya minum teh hijau tidak hanya disukai orang Jepun. Kini orang Indonesia mulai suka minuman sehat ini. Ada banyak bukti ilmiah yang menunjukkan keuntungan. Sebagai antioksidan, teh hijau mampu mencegah penuaan dini. Menurunkan resiko radang perut, mencegah serangan jantung, liver, menunda perkembangan kanker, serta menghambat obesitas.

4. Biasa Jalan Kaki

Kemana saja tujuan mereka, asal jauh jaraknya masih bisa di tempuh dengan jalan kaki, orang Jepun tidak malas melakukannya. Maka jangan heran jika wanita Jepang yang cantik, makin terlihat cantik dengan jalan kaki. Sebab, jalan kaki menyehatkan jantung sekaligus mengencangkan kulit.

Jika satu atau dua hal di atas sudah dilakukan, kenapa tidak mencoba melakukan poin yang lain? Jalan kaki misalnya. Hitung-hitung mengurangi kemacetan dan polusi, sekaligus menghemat BBM.

http://mstar.com.my/variasi/rencana/cerita.asp?file=/2009/5/27/mstar_rencana/20090527105652&sec=mstar_rencana

Penyamun bernafsu haiwan

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Niat mereka pada awalnya mahu menyamun, namun selera dua penyamun bertukar selepas melihat mangsa dalam keadaan mengghairahkan sebelum seorang daripada mereka merogolnya di sebuah pangsapuri di Ampang Utama, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, dua penyamun terbabit memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap di tingkat dua.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka merogol mangsa selepas melihat susuk tubuh mangsa yang ketika itu bersiap untuk ke tempat kerja. 

Mangsa yang juga seorang setiausaha itu hanya mampu merayu, namun langsung tidak dipedulikan penyamun terbabit.

Menurut sumber polis, mangsa berusia 31 tahun itu tinggal berseorangan di pangsapuri berkenaan dan ketika kejadian dia tidak menyedari dua penyamun terbabit memecah masuk rumahnya.

Katanya, selepas menyelongkar, dua penyamun terbabit terserempak mangsa yang berada dalam bilik. 

“Seorang daripada mereka kemudian menutup muka mangsa sebelum merogolnya manakala rakannya pula memegang dan menutup mulut mangsa bagi mengelak dia meronta.

“Mangsa yang bimbangkan keselamatan dirinya tidak berani melawan berikutan penyamun terbabit bersenjatakan pisau,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan laporan mangsa.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090527064332/Article/index_html

50,000 palsu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran milik pengusaha bukan Islam berikutan siasatan pihak berkuasa mendapati ada antara sijil halal yang tertera pada premis perniagaan berkenaan palsu dan dibeli daripada pihak tertentu pada harga mencecah RM5,000 sekeping semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.

Difahamkan, penyebaran sijil akuan halal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha restoran milik bukan Islam bermasalah berikutan pemilik tidak perlu mematuhi syarat dan prosedur pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini. 

Berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim itu kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara.

Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.

Menurutnya, sijil halal tidak sah laku itu jauh berbeza dengan sijil halal Jakim yang kini dikeluarkan HDC berikutan ia tidak dipantau atau dikawal selia mengikut garis panduan sepatutnya.

“Pihak yang mengedarkan sijil berkenaan hanya memikirkan keuntungan apabila menjual sijil halal itu tanpa memikirkan sama ada pemilik restoran mematuhi syarat piawaian pensijilan yang harus dipatuhi.

“Sebagai contoh, premis makanan yang memiliki sijil halal seharusnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging daripada syarikat pembekal yang turut memperoleh sijil halal sah dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim atau HDC. Selain itu, pihak premis makanan perlu memastikan tiada bahan masakan yang diragui digunakan selain memastikan aspek kebersihan dijaga,” katanya.

Malangnya, pihak yang mengeluarkan sijil halal sama seperti sijil Jakim atau HDC ini lepas tangan dan tidak pernah melakukan pemantauan berkala.

“Akibatnya ada restoran atau premis makanan ini yang memiliki sijil halal palsu menggunakan bahan masakan diragui halal serta pekerja bukan Islam untuk melakukan tugas memasak selain mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.

Jurucakap itu berkata, kelulusan memperoleh sijil halal HDC proses penuh teliti berikutan pemeriksaan mengikut prosedur akan dilakukan auditor syariah dan auditor teknikal (teknologi makanan) bagi memastikan premis terbabit benar-benar layak memiliki sijil halal berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090527065005/Article/index_html

Adik Rashid Maidin bantah

SUNGAI MANIK: “Saya menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha membawa balik pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, ke negara ini dan meminta kerajaan menolak permohonannya.

“Tidak ada sebab untuk memberi laluan kepada
Chin Peng pulang semata-mata mahu menghabiskan sisa hidupnya sebelum mati dan disemadikan di negara ini,”
kata Datuk Mohd Yusof Maidin, 83, adik kepada Pengerusi PKM, Rashid Maidin.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik selama tiga penggal sejak 1974 hingga 1986 itu menentang hasrat Chin Peng kembali ke negara ini kerana ia disifatkan sebagai ‘luka lama berdarah kembali’.

“Chin Peng harus sedar dia bukanlah wira negara, kita tidak mahu kehadirannya di negara ini akan menimbulkan perbalahan kaum kelak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Desa Chenderong Balai di sini semalam.

Beliau berkata, abangnya sendiri, Rashid Madin tidak pernah memohon menetap di negara ini selepas PKM dibubarkan sebaliknya memilih menetap dan meninggal dunia di selatan Thailand pada 2006.

“Abang saya hanya pulang ke tanah air beberapa hari kerana menziarahi dan menemui anak-anaknya serta kaum keluarga selepas mendapat izin dari Kementerian Dalam Negeri.

“Kali terakhir Rashid pulang ke tanah air pada 2004 dan berada di rumah saya beberapa hari. Arwah tidak kembali ke negara ini sehinggalah meninggal dunia ketika berusia 89 tahun,”
katanya.

Mohd Yusoff yang mempunyai 10 anak, 26 cucu dan tiga cicit yakin Kerajaan Pusat tidak mudah memenuhi rayuan Chin Peng kerana dia pengkhianat negara.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090527065116/Article/index_html

Tiada tempat bagi Chin Peng

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


SUBANG: Kepulangan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini hanya akan menguris hati anggota pasukan keselamatan, keluarga dan mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman parti itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, tindakan itu juga akan membangkitkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika zaman darurat. 

Beliau turut mendedahkan ada badan tidak berdaftar dan parti politik tertentu sengaja menyebar fahaman komunis secara tersembunyi di negara ini.

Menurutnya, beliau tidak dapat menyatakan secara terperinci mengenai gerakan yang cuba menghidupkan semula ideologi komunis berkenaan. 

“Kita (Kementerian Pertahanan) sentiasa memantau semua perkara yang boleh menggugat keamanan negara termasuk usaha berbaur komunis yang cuba dihidupkan golongan tertentu termasuk parti politik. 

“Sekiranya usaha ke arah itu dikesan sepenuhnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak terbabit,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Udara Subang di sini, semalam. 

Kelmarin, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, turut menyatakan bantahan dengan menyatakan komunis tidak boleh diberikan sebarang tempat di negara ini kerana dosa mereka membunuh ribuan rakyat Tanah Melayu ketika itu. 

Berikutan itu, beliau meminta pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap Chin Peng supaya menyatakan pendirian mereka dengan jelas dan tidak berlindung di belakang tabir parti politik.

Sementara itu, mengulas isu penangguhan pembelian helikopter Eurocopter, Ahmad Zahid berkata, pihaknya memahami kesulitan kerajaan menghadapi tekanan ekonomi semasa dan menghormati Surat Hasrat (LOI) yang tamat Ogos depan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090527065139/Article/index_html

‘Minta dia cerita sebenar’

KUALA LUMPUR: “Kita jaga aib orang lain, Allah akan jaga aib kita, jadi biarkan...,” kata Waheeda yang enggan menjawab luahan terbaru Maizawati Zainal yang mendakwa penyanyi itu menjadi punca keretakan rumah tangganya dengan Akhil Hayy menerusi rancangan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, semalam.

Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab, 31, berkata dia tidak bimbang dengan persepsi negatif umum yang menyalahkan dirinya selepas Maizawati, 33, membuat pendedahan kali pertama dalam Metro Ahad dan rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9, Ahad lalu.

“Biarkan...” jawabnya ringkas ketika dihubungi menerusi SMS. Bagaimanapun, dia tetap menjawab beberapa soalan lain yang diajukan.

Malah, Waheeda turut berasa pelik apabila Maizawati mendakwa tidak mengenalinya secara peribadi, sekali gus bertentangan dengan kenyataan penyanyi itu terdahulu yang mengakui mengenali isteri Akhil itu.

“Pelik kan, kenapa sekarang dia kata begitu?” katanya.

Berikut beberapa jawapan Waheeda melalui SMS:

Soalan (S): Anda tahu di mana ustaz (Akhil) sekarang?

Waheeda (W): Tak.

S: Bagaimana dengan keadaan keluarga anda selepas pendedahan media yang dibuat isteri ustaz?

W: Okey je....

S: Selepas isteri ustaz membuat kenyataan media, adakah anda sedar ia mengundang pelbagai persepsi negatif?

W: Tahu...Biarkan.

S: Sebelum ini, Maizawati ada mengatakan bersedia dimadukan. Adakah anda sedia berkahwin dengan ustaz.

W: Jangan tanya saya. Tanya dia (Maizawati) soalan itu. Saya beritahu awak, kita semua kenal siapa dia.

S: Adakah anda akan terus mendiamkan diri atau tampil membuat kenyataan bagi membela diri?

W: Awak rasa ada apa-apa yang patut didedahkan ke?

S: Isteri ustaz sudah membuat kenyataan. Tidakkah anda mahu tampil memberikan cerita sebenar di sebalik kontroversi ini?

W: Mintalah pada dia cerita sebenar tu.

S: Tapi itu di sebelah isteri, bagaimana dengan anda?

W: Kalau macam tu apa lagi cerita sebenar yang awak nak? Dah ada kan?

S: Berdasarkan kenyataan Maizawati, anda didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga mereka?

W: Cerita sebelah pihak sudah cukup. Cerita dia. Dia yang mulakan jadi biar dia laluinya kerana kami tidak tahu cerita ini. Kami tahu cerita lain.

S: Selepas kontroversi ini tercetus, ada ustaz menghubungi anda?

W: Hanya untuk pastikan semua tenang.

S: Bagaimana anda menghadapi perkara ini?

W: Manusia merancang, Allah merancang. Perancangan Allah lebih baik. Tenang-tenangkan diri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090527065410/Article/index_html

Bom jangka meletup

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Syarifah Dayana Syed Bakri
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Isteri kepada penceramah bebas, Akhil Hayy, Maizawati Zainal mengibaratkan dirinya seperti ‘bom jangka’ berhubung gosip suaminya dengan penyanyi berirama padang pasir, Waheeda.

Ketika ditemubual dalam rancangan Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 di sini, semalam, dia mengaku kini tidak mampu lagi menahan sabar hingga sanggup meluahkan ‘pemberontakannya’ melalui media dengan kemunculan pertama, Ahad lalu.

Maizawati menjelaskan bahawa kemunculannya di televisyen dan media cetak sebagai cara untuk menamatkan kekusutan yang berlaku.

“Tindakan saya membuat pengakuan di media bukan untuk memburukkan sesiapa, sebaliknya menutup semua cerita yang didengar dengan keputusan muktamad.

“Tidak perlu saya menjaja cerita peribadi kerana saya sudah membuat keputusan dan segalanya akan diputuskan di mahkamah nanti,” katanya yang belum menerima panggilan telefon daripada Akhil Hayy sejak Ahad lalu.

Dia berkata, kesabarannya mendengar pelbagai cerita kurang enak mengenai suami dan Waheeda dipendam sejak dua tahun lalu selepas tersebar gosip mereka keluar bersama, ditambah pula cerita pergi menonton wayang.

“Walaupun pelbagai cerita saya dengar, selagi tiada pengakuan daripada suami, saya anggap perkara itu tidak serius.

“Namun, lama-kelamaan ia menjadi semakin parah apatah lagi dengan cerita mereka sudah berkahwin. Saya hanya perhatikan dari jauh dan tidak menyimpan syak hingga suami memohon keizinan untuk mengahwini penyanyi berkenaan,”
katanya.

Maizawati berkata, sepatutnya isu rumah tangga mereka tidak perlu diperbesarkan kerana dia membuat keputusan mengundur diri dan mengizinkan Akhil berkahwin dengan penyanyi itu.

“Saya sudah memberikan lampu hijau untuk suami memperisterikan wanita itu dan keputusan sudah dibuat pada Februari lalu.

“Namun, sehingga kini masih tidak ada jawapan kerana selepas kami berbincang mengenai perkara itu, suami saya tidak memberi kata putus, sebaliknya mengatakan untuk berbincang dengan penyanyi berkenaan,”
katanya.

Maizawati menjelaskan dia tidak perlu bersemuka dengan Waheeda kerana menganggap ia hanya akan memanjangkan lagi cerita.

“Buat apa saya nak bersemuka dengan dia? Kalau nak berbincang, sepatutnya dia datang berjumpa saya sejak pertama kali gosip mereka disiarkan dan meminta maaf serta jelaskan perkara sebenar kerana dia dikaitkan dengan suami orang.

“Mengapa baru sekarang dia katakan macam-macam seolah-olah saya yang timbulkan masalah,”
katanya.

Sebagai orang yang beragama, kata wanita beranak enam itu, Waheeda sepatutnya tahu batas pergaulan mereka, terutama dengan menjalin persahabatan dengan suami orang.

“Dia berkawan dengan suami saya dan sebagai seorang perempuan dia patut tahu bagaimana membawa diri tatkala berdamping dengan suami orang,” katanya.

Maizawati bagaimanapun bersimpati dengan nasib menimpa suaminya kerana berikutan isu perpisahan itu, imejnya yang terkenal dengan jolokan Ustaz Rock tercalar.

“Saya kasihan dengan suami saya kerana dia tersepit. Namun, saya tekad membuat keputusan berpisah kerana ia jalan terbaik untuk semua pihak dan meyakinkan diri perpisahan bukan bererti permusuhan buat kami,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20090527062403/Article

Menangis kenang perkahwinan singkat


NASH selepas menceraikan Sosilawati di Mahkamah Rendah Gombak Timur semalam.


KUALA LUMPUR - Babak bersalam-salaman dan berpelukan di dalam mahkamah beberapa detik sebelum bercerai, bukan 'adegan lakonan' yang sengaja dibuat-buat.

Sebaliknya itu adalah aksi spontan penyanyi Nash dan bekas isterinya, Sosilawati Lawiya yang larut dalam kesedihan, beberapa detik sebelum mereka secara rasmi bercerai.

Menurut Sosilawati, dia sendiri membuat permohonan kepada pihak mahkamah supaya diberi peluang untuk memohon maaf terhadap Nash sebelum penyanyi itu menjatuhkan talak terhadapnya secara rasmi semalam.

"Sebagai isteri, saya tahu ada dosa-dosa yang telah saya lakukan terhadap dia sebagai suami sebab itu saya sendiri memohon kepada pihak mahkamah untuk membuat permohonan maaf kepada Nash," katanya.

Tanpa disangka adegan bersalam kemudian menyaksikan pasangan itu saling berpelukan erat dan Sosilawati sendiri menangis teresak-esak, tidak mampu menahan sedih.

"Walaupun perkahwinan kami hanya dalam tempoh 10 bulan, singkat sangat, saya merasakan ada rasa kasih sayang wujud, terutama dalam diri anak-anak saya terhadap Nash.

"Saya harap sangat supaya Nash akan terus menganggap anak-anak saya sebagai anak dia sendiri," katanya yang ketika bercakap dengan Kosmo! masih dalam nada sebak dan tersekat-sekat.

Ketika ditanya mengapa dia perlu bersedih, sedangkan dia sendiri mahukan perpisahan itu, wanita itu berkata, dia tidak menyangka perkahwinan keduanya akan berakhir sesingkat itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Tuesday, May 26, 2009

Ancaman serius pemanasan global

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar 



DALAM beberapa tahun ini Malaysia seperti di negara lain sedang mengalami perubahan cuaca luar biasa yang berlaku dalam skala tidak pernah dialami sebelum ini. Kedah dan Perlis pernah mengalami kejadian banjir monsun yang teruk pada Disember 2005. Johor pula pernah menghadapi banjir terburuk dalam sejarah negeri itu pada Disember 2006 dan berlarutan hingga Januari 2007.

Negara kita turut mengalami cuaca panas kering berlanjutan beberapa bulan sehingga menyebabkan krisis air di beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.

Fenomena itu adalah bukti konkrit bagaimana Malaysia turut menerima tempias perubahan iklim ekstrem dan pemanasan global.

Mengapakah berlaku perubahan cuaca dan pemanasan global itu? Apa puncanya?

Saintis sepakat menyatakan pemanasan cuaca bumi sejak 50 tahun lalu disebabkan pelbagai aktiviti manusia dan bukan semula jadi. Sejarah menunjukkan bagaimana keadaan dan gaya hidup manusia berubah dengan pesat sekali selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah akhir abad ke-18 lagi.

Penebangan hutan bagi pembangunan sosioekonomi secara besar-besaran dan aktiviti pembakaran minyak fosil seperti petroleum, penggunaan metana dan gas menyebabkan penghasilan ‘gas rumah hijau’.

Gas itu bagaikan selimut besar membalut bumi, memerangkap haba daripada sinaran matahari lantas membawa kepada peningkatan suhu di muka bumi yang kemudian berlakulah perubahan iklim secara esktrem. 

Jurnal Nature ada memaparkan laporan mengenai perubahan iklim semakin meningkat dan menjadi-jadi kebelakangan ini. 

Menurut jurnal itu, pemanasan global mempercepatkan lagi kepupusan lebih sejuta spesies hidupan darat dalam tempoh 50 tahun. 

Negara luar yang turut mengalami cuaca ‘pelik’ ini ialah Afrika Selatan. Biasanya cuaca di negara itu beriklim panas tetapi pada 1981 berhadapan dengan kehadiran salji. 

Demikianlah juga di Perancis pada 2003, masyarakatnya terpaksa menempuh keadaan panas melampau sehingga dilaporkan sepanjang tahun itu, sekurang-kurangnya 15,000 orang maut.

Itali juga menghadapi cabaran cuaca melampau itu pada tahun sama dan dilaporkan 20,000 penduduknya mengalami pelbagai penyakit dikaitkan dengan perubahan cuaca ekstrem. 

Pada Jun 2007, Bank Dunia dalam laporan perubahan cuaca yang dikeluarkan sebelum Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara (G8) menyatakan peningkatan suhu global menyebabkan kemarau berpanjangan, hujan lebat luar biasa diikuti banjir dan ombak besar di kebanyakan negara. 

Sebenarnya, kesan pemanasan global sudah dirasai di Malaysia cuma dalam kapasiti sederhana tidak seperti di beberapa negara lain. Contohnya, pada Mac 2007, kerajaan Selangor mengadakan catuan air di seluruh negeri berikutan penurunan mendadak paras air di beberapa empangan takungan air di negeri itu.

Selepas kemarau, berlaku pula hujan lebat tanpa henti 2 Jun 2007 yang disertai ribut petir menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di sekitar Lembah Klang.

Ini semua kesan langsung daripada perubahan iklim dan pemanasan global.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 5 Jun 2007, menyatakan alam yang semakin panas berkait rapat dengan kesan rumah hijau. Kesan rumah hijau pula fenomena semula jadi kerana tanpanya, suhu bumi menjadi 30 darjah selsius lebih sejuk daripada keadaan normal.

Selanjutnya beliau berkata, bumi dipanaskan oleh pancaran matahari dan apabila panas, bumi akan memantulkan haba ke atmosfera.

Dianggarkan kira-kira 70 peratus tenaga matahari itu akan naik semula ke langit.

Namun, menurutnya, sebahagian daripada inframerah yang naik itu terperangkap dalam gas rumah hijau seperti karbon dioksida, karbon monoksida, metana dan sulfur oksida. Haba terperangkap itulah yang menyebabkan pemanasan bumi.

Kesan rumah hijau menjadikan suhu bumi panas melampau yang membawa fenomena kemarau panjang.

Kegiatan penebangan dan pembakaran hutan dalam skala yang besar dalam tempoh masa panjang akan menaikkan suhu bumi.

Kedua-dua kegiatan itu semakin meningkat kebelakangan ini dan dilaporkan suhu bumi mengalami peningkatan sebanyak satu darjah setiap 25 tahun.

Sebenarnya, negara maju di Eropah dan Amerika Syarikat dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kepada pemanasan global melalui aktiviti perindustrian dan kenderaan.

Kita di Malaysia mesti mengambil iktibar daripada fenomena itu agar tidak terbabit sama menjadi penyumbang kepada berterusannya fenomena pemanasan global.

Kata Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya (UMCCA), Prof Khairul Maini Osman Salleh, berkata pemanasan global mempergiatkan proses cuaca sehingga menyebabkan pelbagai perubahan secara mendadak dalam tempoh tertentu.

Tidak dinafikan peningkatan suhu global boleh menyebabkan perubahan tabiat alam, termasuk peningkatan paras air laut dan cuaca yang ekstrem seperti banjir, kemarau, gelombang panas, ribut taufan dan puting beliung. 


Isu pemanasan global dibincangkan di peringkat dunia dalam pelbagai persidangan. Protokol Kyoto yang ditandatangani bersama oleh kebanyakan negara dunia maju dan membangun adalah usaha nekad dalam mengurangkan pembebasan gas rumah hijau yang menjadi punca pemanasan global.

Tetapi setakat mana keberkesanannya? Ini kerana kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, China dan India terus berlumba-lumba memajukan industri masing-masing. Kesan buruk pemanasan global bukan sahaja terkena pada manusia tetapi turut menjejaskan keutuhan biodiversti alam. Cuaca melampau itu akan menyebabkan banyak spesies flora dan fauna tidak dapat bertahan dengan situasi itu.

Contohnya, bilangan haiwan amfibia iaitu haiwan berdarah sejuk akan berkurangan secara drastik akibat perubahan cuaca dunia ini. Jika keadaan itu berterusan, kita akan kehilangan banyak khazanah alam semula jadi yang selama ini saling lengkap melengkapi kehidupan. 

Justeru, kita mesti bertindak sekarang untuk menghadapi fenomena pemanasan global. Kita mesti mengubah sikap dalam penggunaan tenaga dalam kehidupan seharian. Perkara asas perlu kita ubah ialah menutup penggunaan elektrik seperti lampu apabila tidak digunakan. Hal ini boleh mengurangkan pembebasan haba secara berterusan.

Mengurangkan penggunaan kenderaan sebenarnya idea yang baik dalam menangani pemanasan global.

Cuma dari segi psikologi dan budaya hidup menyebabkan cadangan itu terbengkalai kerana dianggap kurang praktikal dan menyusahkan. 

Penguatkuasaan undang-undang lebih ketat hendaklah dilakukan agar aktiviti pembakaran terbuka tidak lagi berlaku. Ingat negara kita dan beberapa negara di rantau Asean ini pernah mengalami keadaan jerebu yang kritikal sekitar 2005 yang diakibatkan penebangan dan pembakaran hutan secara besar-besaran di Sumatera.

Tentu kita tidak mahu keadaan yang merimaskan ini berulang lagi. Aktiviti penanaman pokok di sekitar kediaman dan kawasan bandar boleh membantu mengurangkan masalah cuaca melampau itu.

Sememangnya dengan menanam pokok banyak menyumbang kepada kestabilan pencemaran alam sekitar kerana dapat menyerap karbon dioksida.

Kitar semula barangan terpakai adalah satu lagi kaedah dalam usaha untuk membantu meminimumkan fenomena pemanasan global.

Janganlah anggap remeh dan ambil mudah kempen kitar semula kerana kaedah budaya sihat itu akan mampu membantu menstabilkan keadaan alam sekitar yang secara langsung membawa manfaat kepada masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526064825/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...