Sunday, June 21, 2009

Bayi hilang dalam kandungan

Betapa terkejut, tidak percaya dan juga luruh emosi seorang bakal ibu apabila mengetahui kandungannya yang berusia lebih lapan bulan tiba-tiba hilang. Dari sudut apakah fenomena ini hendak dihuraikan?




DISEMBER tahun lalu, impian sepasang suami isteri di Kedah untuk menimang cahaya mata sulung selepas dua tahun berkongsi hidup tidak menjadi kenyataan apabila mendapati bayi yang dikandung si isteri tiba-tiba hilang dan tidak dapat dikesan melalui teknik imbasan.

Segalanya umpama sebuah misteri bagi si wanita yang berbunga harapan selama hampir sembilan bulan itu. Dalam kes tersebut, wanita itu telah disahkan mengandung pada Mac 2008 melalui pemeriksaan di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur.

Dia dijangka bersalin pada tarikh yang telah dicongak iaitu 29 November. Namun, kelahiran yang ditunggu-tunggu itu tidak menjadi kenyataan.

"Doktor mendakwa rahim saya normal seperti wanita yang tidak mengandung. Bentuknya juga sudah kempis," ujarnya yang mendakwa terasa lenguh-lenguh badan, perut memulas dan kemudian mengalami demam panas pada hari-hari terakhir sebelum kandungannya hilang.

Sudah banyak kes yang dilaporkan media mengenai kejadian seperti ini. Bukan sahaja di Malaysia, kegemparan cerita kandungan yang lesap ini berlaku di seluruh dunia tanpa mengira latar bangsa, status sosial dan kepercayaan agama.

"Kes kehamilan palsu yang menyebabkan kandungan menghilang secara tiba-tiba memang wujud dalam dunia perubatan.

"Ia dikenali sebagai pseudosiesis atau dalam istilah Inggeris -phantom pregnancy," kata Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan.

Pseudosiesis adalah suatu keadaan yang lazimnya bersifat psikosomatik. Ia membabitkan gangguan faktor mental dan fizikal yang menyebabkan perubahan pada badan hinggakan sosok tubuh wanita yang tidak mengandung menyamai ciri-ciri wanita hamil.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (Feto-Maternal) itu menjelaskan, apabila seseorang wanita terlalu percaya atau mengharapkan kehamilan, tubuhnya akan menghasilkan hormon yang menyebabkan perubahan-perubahan tertentu.

Paling jelas adalah pertambahan berat badan (khususnya di bahagian perut) selain simptom-simptom klasik lain seperti rasa mual serta tegang perut.

Hujah medikal dan psikologi

"Apabila minda 'menipu' tubuh, paras estrogen mereka melonjak naik. Apabila dalam keadaan sakit, stres atau tertekan, mana-mana wanita pun boleh mengalami gangguan dalam sistem badannya. Ini termasuklah ketiadaan haid, rasa loya dan muntah," jelas beliau.

Tidak hairan juga kalau ketidakseimbangan hormon itu turut membuatkan payu dara membesar dan mengeluarkan susu.

"Perut yang semakin membesar sebenarnya disebabkan lemak yang terkumpul di bahagian tersebut. Ada juga yang merasakan seperti ada pergerakan bayi dalam kandungan walhal tiada janin di dalamnya," terang Jamiyah.

Beliau merumus, belum ada kajian menyeluruh tentang punca pseudosiesis. Ia tidak boleh sepenuhnya ditangani dari perspektif medikal atau ginekologi tanpa mengambil kira keseriusan permasalahan emosi.


ADAKAH imej daripada imbasan ultra bunyi boleh berlaku ralat hingga memberi harapan palsu kepada ibu hamil?


Hakikatynya, sutradara yang mengarahkan sistem tubuh untuk melakukan sesuatu dalam menjalani rutin kehidupan adalah otak.

Apabila otak mencetus isyarat untuk bekerja matlamat tertentu, maka faktor biologi akan menurut dan di situlah bermulanya konsep kepercayaan.

"Sama seperti wanita yang mahu dirinya hamil untuk melepaskan diri daripada desakan sosial, fizikalnya akan terdorong ke arah keinginan tersebut.

"Lebih-lebih lagi jika pasangannya (suami) mengizinkan perkara itu berlaku dengan turut memberi harapan," jelas Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Maizatul Akmam Abu Bakar.

Menurutnya, secara tidak langsung sokongan itu akan meningkatkan keberkesanan emosi isterinya sedangkan akhirnya mereka yang akan kecewa.

Lebih malang, tekanan yang dihadapi lebih menyeksakan apabila cerita 'kehilangan' kandungan itu dilabel sebagai karut oleh doktor dan masyarakat yang melemparkan tuduhan seperti wanita itu sengaja mengada-adakan cerita kehamilannya.

"Selain sokongan keluarga, wanita itu perlu dibimbing secara psikologi melalui sesi pertemuan dengan kaunselor atau pakar psikiatri. Mereka diajar untuk memahami dan menerima kelebihan dan kekurangan diri.

"Ini bermakna minda mereka perlu dilaras semula agar memikirkan perkara-perkara yang lebih positif," terang Maizatul.

"Hanya apabila seseorang ibu itu boleh menunjukkan bukti sahih bahawa pemeriksaan ultra bunyi sebelum itu sudah menunjukkan sifat fizikal bayi atau denyut jantung, tetapi akhirnya bayi itu hilang, maka kita perlukan penjelasan lain," ujar Jamiyah apabila diajukan tentang sisi mistikal bayi yang ghaib dalam kandungan.

Serba-sedikit pertembungan konsep itu dihurai oleh pakar khidmat runding dan nasihat spiritual dari Pusat Rawatan Komplimentari Yashfien, Engku Ansaruddin Agus. Beliau mengakui pernah merawat tidak kurang daripada 10 wanita yang terganggu emosi akibat kehilangan bayi dalam rahim.

Muslihat dari alam lain

"Wanita-wanita itu mendakwa mereka bermimpi didatangi entiti yang mengingatkan bahawa kandungan tersebut bukan milik mereka dan akan diambil semula," ujar Engku yang tidak menolak kemungkinan kehamilan yang disebabkan 'dampingan' atau 'tumpangan' makhluk halus.

Walau bagaimanapun Engku menegaskan, perhubungan antara manusia dan jin sebenarnya tidak akan menghasilkan anak manusia.

"Sebaliknya, anak-anak daripada kaum jin itu yang bertambah bilangannya jika berjaya memperdaya manusia melalui apa cara sekalipun," katanya.

Apabila diperdaya, seseorang mudah taksub kepada sesuatu. Ini termasuklah meyakini paparan imej bayi dalam rahim melalui teknik imbasan di hospital, sedangkan mereka perlu sedar bahawa ralat teknikal dan muslihat jin juga suatu faktor penyebab.

"Oleh itu, kaum ibu perlu kembali kepada apa yang diajar melalui al-Quran dan Sunah.

Adab, petua dan doa perlu sentiasa mengiringi langkah dan setiap perbuatan agar dilindungi Allah daripada fitnah, penipuan dan helah jin serta syaitan. Golongan itu sentiasa mahu menggoyah akidah umat Nabi Muhammad s.a.w.," pesannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

233 bakal pengantin hidap HIV

KOTA BHARU – Seramai 233 bakal pengantin di negeri ini disahkan menghidap penyakit HIV/AIDS sepanjang tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah (Kesihatan Keluarga), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Hasbullah Abdul Rahman berkata, mereka dikesan daripada 172,067 orang yang menyertai ujian saringan praperkahwinan.

Bagaimanapun, seramai 12 orang bakal pengantin yang disahkan dijangkiti penyakit itu meneruskan rancangan mereka untuk berkahwin.

Katanya, bakal pengantin itu didakwa enggan menerima nasihat pihak berkuasa untuk mengelakkan pasangan mereka turut dijangkiti penyakit tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Guna forklif rompak mesin ATM


PEKERJA membaik pulih stesen minyak di Taman Serdang Raya yang dipecah masuk oleh seorang lelaki yang cuba melarikan mesin ATM semalam.


SUBANG JAYA – Tindakan nekad seorang lelaki selama lapan minit menyodok cermin sebuah stesen minyak di Taman Serdang Raya di sini semalam dengan niat melarikan mesin teler automatik (ATM) sia-sia apabila dia sendiri lari akibat panik ekoran bunyi alat penggera.

Lelaki itu yang memakai topi keledar bertutup penuh melarikan diri dalam kejadian pukul 3.40 pagi itu tanpa dapat sesen pun wang daripada mesin ATM tersebut yang dipercayai menyimpan wang tunai RM25,000.


INILAH forklif yang ditinggalkan oleh suspek.


Pengurus stesen minyak itu, Zaimi Mohd. Isa, 33, menyedari insiden itu selepas dihubungi oleh wakil syarikat alat penggera stesen itu lima minit selepas kejadian tersebut.


Murid turut dijangkiti


SJKC Davidson di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur ini mungkin ditutup jika ada kes kedua H1N1.


PUTRAJAYA – Tujuh lagi kes baru jangkitan influenza A (H1N1) disahkan semalam dengan satu kes penularan tempatan, menjadikan keseluruhan kes wabak itu kini meningkat kepada 42.

Tujuh mangsa itu termasuk seorang murid perempuan tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Davidson, Kuala Lumpur. Murid itu merupakan cucu kepada pesakit kes ke-31 yang dilaporkan pada Rabu lalu.

Kanak-kanak itu pulang bercuti dari Melbourne, Australia bersama keluarga dan tiba di Malaysia dengan pesawat Air Asia XD7 2723 pukul 7 pagi Selasa lalu.

Dia kemudian pergi ke sekolah pada hari Rabu dan Khamis sebelum demam dan akhirnya disahkan dijangkiti H1N1 kelmarin.

Serentak dengan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seramai 51 rakan sekelas murid itu telah dikuarantin sejak malam kelmarin kerana didapati mempunyai kontak dengan mangsa.

Bagaimanapun, katanya sekolah itu tidak akan ditutup sepenuhnya melainkan jika terdapat penularan tempatan berlaku.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Haram tukar jantina Nabil – Mufti


KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA PERLIS – Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menasihati keluarga bayi tanpa kemaluan, Muhammad Nabil Mustaqim Rodzake supaya terus membesarkan Nabil sebagai lelaki.

Dr. Juanda berkata, berdasarkan pemerhatiannya, bayi berusia 10 bulan itu secara semula jadi seorang lelaki kerana mempunyai buah zakar.

Atas faktor itu, beliau menganggap hasrat keluarga bayi itu mahu menukar jantina Nabil sebagai tidak kena pada waktunya kerana sifat bayi itu sendiri adalah seorang lelaki.

“Dari segi genetik, bayi itu disahkan lelaki kerana mempunyai kromosom XY. Maka dengan itu adalah haram dalam Islam jika bayi itu ditukar jantina.

“Mungkin alat sulitnya memerlukan masa untuk tumbuh dan mungkin ada keberkatan di sebaliknya,’’ katanya selepas melawat ibu bapa bayi itu, Rodzake Namis, 35, dan Zatul Bazamah, 26, di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Kos ambil amah atasi projek mega


PERBELANJAAN tinggi menggaji pembantu rumah jarang disedari oleh rakyatMalaysia. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM8 bilion setahun untuk perkhidmatan pembantu rumah dengan kos keseluruhannya mengatasi peruntukan sesetengah projek mega.

Jumlah itu dikira berdasarkan gaji minimum dan kos lain setahun sebanyak RM18,000. Jumlah pembantu rumah di negara ini dianggarkan 450,000 orang.

Semakan Kosmo! Ahad dengan dua majikan iaitu Normarhaini Razak dan Tan Mei Ling (kedua-duanya bukan nama sebenar) mendapati mereka membelanjakan antara RM17,140 dan RM18,110 setahun bagi kos pembantu rumah.

Bayaran itu termasuk bayaran proses kemasukan, levi, gaji bulanan, bonus, tambang balik kampung, insurans dan bayaran perubatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Kesihatan Pekerja Asing (Fomema), kos makanan dan penginapan sebelum dicampur dengan bayaran tambahan lain.

Cadangan pemerintah Indonesia kelmarin untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sepatutnya membuka mata rakyat bahawa perlu ada alternatif mengurangkan kebergantungan mereka kepada tenaga kerja asing itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Saturday, June 20, 2009

Wajarkah tindakan Affirmatif diteruskan


H1N1: 7 lagi kes baru disahkan, 51 pelajar dikuarantin

Sabtu Jun 20, 2009

PUTRAJAYA: Tujuh lagi kes baru bagi jangkitan Influenza A (H1N1) disahkan sehingga pukul 10 pagi ini, enam daripadanya merupakan kes import dan satu lagi kes penularan tempatan, menjadikan keseluruhan kes kini meningkat kepada 42.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tujuh kes itu termasuk seorang murid perempuan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Davidson, Kuala Lumpur yang berusia 11 tahun, yang merupakan cucu kepada pesakit kes ke-31 yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata, murid itu pulang bercuti dari Melbourne, Australia bersama keluarganya dan tiba di negara ini melalui pesawat Air Asia XD7 2723 pukul 7 pagi Selasa lalu, kemudian pergi ke sekolah pada hari Rabu dan Khamis sebelum mengalami demam dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan, dan disahkan positif Influenza A (H1N1) semalam.

Berikutan itu, 51 rakan sekelas murid itu dikuarantin sejak malam tadi kerana didapati mempunyai kontak rapat dengan murid berkenaan, namun sehingga kini kesemuanya masih berada dalam keadaan sihat, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Berjalan 10,000 Langkah dan Hari Keluarga kementerian di sini hari ini.

Liow berkata, kementerian juga sedang mengenal pasti sama ada guru-guru dan rakan-rakan di kelas yang lain di sekolah itu mempunyai kontak rapat dengan murid berkenaan, dan jika ada mereka akan turut dikuarantin.

Bagaimanapun, katanya, sekolah itu tidak akan ditutup sepenuhnya melainkan jika terdapat penularan tempatan berlaku.

"Jika berlaku satu wabak, jika terdapat satu lagi kes di kelas itu, ketika itu barulah kami merujuk Majlis Keselematan Negara untuk buat cadangan menutup sekolah tersebut tapi buat masa ini tak perlu," katanya.

Liow turut menyeru agar orang ramai, termasuk ibu bapa dan guru-guru di sekolah terbabit agar tidak panik kerana langkah kawalan telah diambil dengan segera dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Berikutan itu juga, beliau berkata, kementerian akan mengkaji untuk melihat kemungkinan pelaksanaan proses saringan di sekolah iaitu untuk mengukur suhu badan murid-murid sekolah supaya virus itu boleh dikesan lebih awal bagi mengelakkan virus ia menular di mana-mana sekolah.

Katanya, Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah Pelajaran akan berbincang mengenainya dalam masa terdekat kerana ia memerlukan kajian yang mendalam dan menyeluruh, katanya. BERNAMA


[BERITA TERDAHULU]


PUTRAJAYA: Tujuh lagi kes influenza A (H1N1) disahkan dan yang terbaru melibatkan seorang kanak-kanak perempuan sekolah rendah berusia 11 tahun di Kuala Lumpur.

Ia menjadikan jumlah kes tersebut kini meningkat kepada 42 kes.

Kementerian Kesihatan juga menyatakan, antara tujuh kes tersebut, satu melibatkan penularan tempatan, namun kementerian tidak memberi maklumat lanjut berhubung kes itu.

Pelajar itu dikatakan baru sahaja pulang daripada bercuti di Melbourne bersama neneknya yang turut mencatatkan kes wabak itu yang ke-30 semalam. Mereka tiba dengan pesawat Air Asia flight X D7 2723 pada pukul 7 pagi 16 Jun lalu.

Palajar itu telah ke sekolah pada hari berikutnya, justeru telah menyebabkan kesemua 51 rakan sekelasnya turut dikuarantin di rumah masing-masing.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam sidang medianya hari ini berkata, pihaknya kini sedang menjalankan pemeriksaan jika pelajar kelas-kelas lain dan guru-guru mempunyai kontak rapat dengan pelajar tersebut.

Ditanya sama ada sekolah terbabit akan ditutup, Liow berkata, hal itu bergantung kepada hasil pemeriksaan yang dijalankan.

Katanya, ketua pengarah kesihatan dan pelajaran dijangka bertemu bagi membincangkan secara lanjut mengenai langkah-langkah mengawal wabak itu di sekolah-sekolah.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/6/20/mstar_berita/20090620104047&sec=mstar_berita

‘Mak cik terharu sangat’

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


KUALA KRAI: “Mak cik tak sangka Timbalan Perdana Menteri sudi singgah ke rumah ini..tak tahu nak cakap apa..terharu sangat, gembira pun ada,” kata Rogayah Samad, 75, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin berkunjung ke rumahnya di Kampung Sungai Sok, Manek Urai di sini, semalam.

Rogayah yang lumpuh kedua-dua kaki sejak lima tahun tidak dapat menahan sebak apabila Muhyiddin sempat meluangkan masa ke rumahnya kira-kira 20 minit ketika mengadakan lawatan sehari ke Manek Urai di sini, semalam.

Katanya, dia dan suami, Yusof Awang, 76, terkejut dengan kehadiran pemimpin nombor dua negara itu.

“Mak cik tidak pernah bermimpi rumah ini didatangi pemimpin besar. Memang sangat terharu,” katanya.

Pasangan warga emas itu hidup dalam kesusahan apabila Yusof hanya bergantung kepada hasil menoreh getah bagi menguruskan rumah tangga termasuk makan minum isterinya.

Yusof berkata, mereka menghabiskan masa tua berdua di rumah itu memandangkan tiga anaknya kini bertugas di luar iaitu di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah.

Muhyiddin sempat berbual mesra bersama pasangan terbabit sambil bertanyakan mengenai masalah dihadapi terutama dalam menguruskan keperluan Rogayah.

Muhyiddin ditemani Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau turut meluangkan masa bertandang ke rumah tiga lagi warga emas yang uzur di kampung terbabit serta Kampung Chuchuh Puteri sebelum menunaikan solat jumaat di Masjid Lata Rek.

Kemudian, lawatan diteruskan dengan menghadiri majlis jamuan rakyat bersama penduduk tempatan di rumah pemimpin kawasan, Che Hassan Che Ngah.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090620024435/Article/index_html

Sedut duit dari dompet

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih keturunan Timur Tengah yang melancong ke negara ini memiliki kemahiran tertentu apabila berjaya mencuri wang mangsa dari dompet tanpa perlu menyentuh dompet itu.

Kedua-dua suspek berusia 40-an yang sekian lama bergerak aktif mencari mangsa di kalangan pelancong asing didakwa mampu `menyedut’ keluar wang mangsa yang disimpan di dalam dompet duit walaupun ketika itu dia berada dalam poket seluar mangsa.

Dalam kejadian terbaru, dua pelancong wanita dari Azerbaijan menjadi mangsa jenayah aneh pasangan berkenaan ketika melancong di negara ini.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai ejen pelancongan berusia 61 tahun dikatakan sedang bersiar-siar bersama rakannya di ruang legar, Bukit Bintang Plaza, di sini.

Menurutnya, sepasang lelaki dan wanita keturunan Timur Tengah menghampiri mangsa sambil berpura-pura mesra dan menegur mangsa.

“Suspek lelaki bertanya asal dan tujuan mangsa datang ke Malaysia.

“Mangsa memberitahu sedang melancong sebelum mereka berbual mesra,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa menunjukkan mata wang negara asal Azerbaijan dengan alasan tidak pernah melihat mata wang negara berkenaan.

“Mangsa yang tidak mencurigai permintaan suspek mengeluarkan sekeping wang Azerbaijan sebelum menyerahkannya kepada suspek.

“Suspek berpura-pura membelek wang berkenaan sebelum memulangkannya kepada mangsa. Pasangan suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian beberapa minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang langsung tidak mengesyaki apa-apa pulang semula ke bilik hotel kira-kira jam 10.30 malam dan memeriksa dompetnya.

“Mangsa terkejut apabila mendapati wang tunai AS$3,400 (RM11,900) hilang.

“Lebih aneh apabila rakan mangsa yang tidak menunjukkan dompet kepada suspek mengalami nasib sama apabila kehilangan wang tunai AS$3,000 (RM10,500).

“Kedua-dua mangsa membuat kesimpulan pasangan keturunan Timur Tengah yang ditemui bertanggungjawab melarikan wang berkenaan dengan cara yang sukar dikesan,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...