| Shirzad Lifeboat Sun | Jun 28, 09 | 7:32:21 am MYT | |
Menurut Menteri Pelancongan Dato' Seri Ng Yen Yen, bekas Ketua Pasukan Formula 1 Ferrari Scunderia telah diperuntukkan sebanyak RM1 juta sebagai ganjaran untuk menjadi Duta Tourism Malaysia. Ng Yen Yen mengakui wujudnya peruntukan sedemikian sebagai respons kepada soalan Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali di Dewan Rakyat pada Rabu 24 Jun lalu. Azmin yang turut mengejutkan Ahli Parlimen BN sendiri mempertikaikan apakah kewajaran wang sebanyak RM593,400 dibayar kepada Dato' Seri Jean Todt dan RM388,000 lagi untuk perbelanjaannya bercuti di Malaysia. Bercakap kepada pemberita, Ng Yen Yen berkata, "Wang sebanyak RM1 juta tak boleh buat apa-apa hari ini." ("One million in Europe gets you nothing nowadays.")(sebagaimana yang dipetik dari sebuah akhbar Internet). Akhbar Utusan Malaysia bagaimanapun mengendurkan atau downplay kenyataan Ng Yen Yen dengan melaporkan, "Apabila kita mahu promosikan negara di Eropah, sebenarnya RM1 juta itu kecil nilainya." Dan menurut Ng Yen Yen lagi, "Berdasarkan pada pengaruh dan namanya yang besar serta dikenali ramai, Malaysia amat memerlukannya." Tidaklah diketahui dengan jelas mengapa, bagaimana dan atas kriteria apakah Jean Todt dipilih untuk diberikan peranan Duta Tourism Malaysia. Turut menjadi persoalan umum apakah kerana menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku anjuran Kementerian Pelancongan maka Jean Todt telah dikira sebagai amat patut diberikan bintang penghormatan bergelar Dato' Seri tatkala Datuk Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu dulu. Namun apapun Todt telah menyertai pelakon Bollywood Dato' Shah Rukh Khan yang turut menerima gelaran Datuk kerana masing-masing dianggap oleh Menteri Besar/Ketua Menteri sebagai telah menyumbangkan jasa amat besar dan tidak ternilai kepada negeri masing-masing dan juga negara. Sebagaimana yang dicadangkan menerusi kenyataan Ng Yen Yen sudah tentu Jean Todt cukup dikenali dan mengenali ramai orang di Eropah. Todt sudah tentu mengenali Max Mosley, Presiden FIA, badan yang menganjurkan acara Formula 1. Selain daripada itu Todt tentu juga mengenali Bernie Ecclestone, Ron Dennis, Flavio Briatore dan hampir semua yang terlibat dalam kejohanan Formula 1 terutama di era Michael Schumacher memandu untuk pasukan Ferrari. Dalam lain perkataan setiap orang yang dikenali oleh Jean Todt di Eropah dan yang sanggup atau mahu datang ke Malaysia atas apa jua sebab telahpun mengunjungi Malaysia sejak tahun 1999 apabila Litar Sepang julung-julung kalinya dijadikan satu daripada venue sirkit kejohanan lumba kereta berkenaan. Kedatangan mereka ke Malaysia sama ada untuk menyaksikan perlumbaan di Sepang mahupun sebagai anggota pasukan yang menyertai perlumbaan sudah tentu tidak ada kena mengena dengan sebarang usaha dari Jean Todt. Jadi apakah kewajaran menjadikan beliau sebagai Duta Tourism Malaysia sekiranya hampir kesemua mereka dalam dunia Formula 1 termasuk peminat telah melawat Malaysia dan akan terus berbuat demikian selagi Litar Formula 1 Sepang terus diberikan kebenaran penganjuran. Jean Todt mungkin merupakan seorang tokoh penting dalam pentadbiran kejohanan Formula 1 tetapi beliau bukanlan seorang seleberiti. Kecuali segelintir kenalan rapat, tidak ada sesiapa pun yang akan mengambil tahu di negara manakah beliau memilih untuk menjadikan rumah keduanya. Lainlah kalau Michael Schumacher yang sentiasa diburu oleh peminat ke mana-mana sahaja bekas pemandu pasukan Ferrari itu berada. Andai kata Schumacher dijadikan Duta Tourism Malaysia dan dia juga menyertai program Malaysia Rumah Keduaku, maka sudah tentu ramai yang akan melawat ke Malaysia untuk menemui lagenda hidup lumba kereta itu. Sekiranya pengaruh dan nama besar menjadi ukuran bagi menentukan kriteria pemilihan Duta Tourism Malaysia sebagaimana yang dijelaskan oleh Ng Yen Yen, maka mengapa tidak tawarkan sahaja jawatan tersebut kepada David Beckham. Beckham bukan sahaja mengenali Alex Fergusson, Michel Platini, malah Pele, tokoh sukan yang jauh lebih dikenali dari sekadar Jean Todt secara peribadi tetapi mengenali hampir kesemua pemain bola sepak terkemuka dari hampir semua kelab di Eropah. Dan sebagaimana yang umum sedia maklum jumlah peminat dan penonton bola sepak di seluruh dunia mengatasi jumlah peminat dan penonton Formula 1 (termasuk tontonan TV secara langsung). Bukan itu sahaja, Beckham mungkin dapat menarik pelancong dari Pantai Barat Amerika Syarikat kerana pernah bermain dalam pasukan bola sepak Los Angeles Galaxy. Selain paling banyak digoogle untuk topik sukan pada tahun 2003 dan 2004 dan beristerikan seorang seleberiti, kerja menjadi duta ini bukannya asing buat beliau yang telah berpengalaman menjadi Duta Muhibah UNICEF. Namun, di sebalik semua itu, apakah Pelancongan Malaysia memerlukan seorang duta untuk menarik pelancong Eropah berkunjung ke negara ini? Tanpa memperdulikan sangat hakikat jutaan rakyat Singapura yang datang ke Johor Bahru sepanjang tahun untuk membeli sayur dan ikan di pasar malam atau wanita muda dari China dan beberapa buah negara lain yang datang ke Malaysia untuk melancong sambil 'berniaga', jumlah pelancong asing yang datang ke Malaysia pada tahun 2006 bertambah sebanyak lebih dari tiga kali ganda berbanding tahun 1998. Menurut Tourism Malaysia Corporate Website, jumlah pelancong (atau mereka yang masuk ke negara ini menerusi checkpoint imigresen Malaysia) pada tahun 2006 adalah seramai 17.45 juta berbanding 5.5 juta pada tahun 1998 dengan perolehan RM36.3 juta berbanding RM8.6 juta bagi tahun masing-masing. Maknanya lama sebelum Ng Yen Yen dilantik menjadi Menteri Pelancongan, sudah ada usaha gigih oleh Kementerian berkenaan untuk mempertingkatkan industri ini tanpa perlu bantuan sebarang duta pelancong dalam bentuk seseorang seperti Jean Todt. Oleh itu, mengapakah baru kini seorang duta pelancongan diperlukan? Dan mengapa pula Jean Todt yang tidak memenuhi kriteria sebagai seorang seleberiti dipilih untuk mengisi jawatan tersebut? Apakah ia disebabkan perhubungannya dengan aktres Hollywood Malaysia Datuk Michelle Yeoh? Tentu ramai masih ingat era Dato' Seri Abdullah memerintah Malaysia di mana John Todt dan Michelle Yeoh sentiasa mencuri perhatian media. Turut hadir ketika itu adalah Idris Jusoh selaku MB Terengganu dan Patrick Lim aka Patrick Badawi. Mungkin di sinilah segala idea Duta Tourism ini telah bercambah. - mks. _ http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21445&Itemid=1 |
Sunday, June 28, 2009
Apakah kewajaran Jean Todt dilantik Duta Tourism Malaysia?
Nikki terharu jadi isteri Audi Mok
PETALING JAYA: Komposer terkenal Audi Mok Chuang Yew dan bekas peserta Malaysian Idol, Nikki atau Nicolette Louisa Palikat sah bergelar suami isteri selepas melafazkan ikrar dalam satu upacara perkahwinan di Gereja St. Francis Xavier di sini, petang tadi.
Hampir 500 orang menghadiri upacara akad nikah atau perkahwinan tradisional Katolik yang sebenar-benarnya. Mereka terdiri daripada ahli-ahli keluarga, kawan rapat dan kawan-kawan daripada industri hiburan.
Suasana gereja umpama satu taman bunga apabila ia dihiasi ratusan ros berwarna oren dan merah jambu dihias bersama lili casablanca. Dewan harum dengan bau bunga-bungaan.
Laluan bergerbang di tengah dewan bertaburan dengan kelopak-kelopak bunga ros. Majlis perkahwinan itu yang bertemakan warna "orange peppermint" iaitu oren, hijau dan putih bermula tepat pukul 2.20 petang.
Nikki, 24, yang tiba dengan kereta Mercedes Benz diapit oleh ayahnya, Nicholas Palikat terus berarak ke pentas utama untuk "bersatu" dengan suami tercintanya, Audi.
Kedua-dua mempelai itu melemparkan senyuman manja dan manis apabila bertemu.
Nikki kelihatan anggun memakai gaun berwarna putih rekaan dan tajaan Jovian Mandagie yang berkonsepkan pari-pari sementara Audi Mok, 36, bertuksedo hitam Lord's Tailor.
Pengerusi upacara perkahwinan Audi-Nikki, Rev. Fr. Simon Yong memulakan upacara perkahwinan dengan membacakan doa, responsorial psalm dan gospel.
Ketika acara kemuncaknya iaitu lafaz ikrar perkahwinan tiba, Nikki menggamamkan para hadirin dalam dewan apabila tiba-tiba suara gembiranya berubah nada seakan-akan menangis.
TANGISAN KEGEMBIRAAN
Suara Nikki jelas kedengaran teresak-esak ketika melafazkan ikrar yang berbunyi: "I, Nicolette Palikat, take you Audi Mok, to be my husband. I promise to be true to you in good times and in bad, in sickness and in health. I will love you and honour you all the days of my life."
Dia kelihatan mengesat air matanya. Emosi para hadirin terusik melihat Nikki terharu melalui detik-detik paling bahagia dalam hidupnya.
Pasangan Audi-Nikki yang seperti pinang dibelah dua itu kemudiannya bertukar cincin perkahwinan.
Para hadirin bersorak gembira apabila Audi mencium bibir Nikki selepas menyelak kain penutup muka pengantin perempuan.
Gelagat nakal Nikki mencium bibir Audi secara "ganas" mmenyebabkan ibu bapa Nikki, Nicholas Palikat dan Joanna Joannes dan ahli-ahli keluarga yang terbang dari Sabah untuk menghadiri upacara perkahwinan tersebut ketawa terbahak-bahak.
Turut menyaksikan perkahwinan bersejarah Audi ialah ibu bapanya, Mok Peng Chiang dan Gladys Thoo; adiknya, June Mok Su Yin dan sanak-saudara yang memandu dari Melaka ke sini.
Antara artis yang hadir ialah Maya Karin, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Vincent Chong.
Jaclyn Victor dan Vincent Chong menyanyikan lagu The Prayer sebagai penutup tirai upacara perkahwinan gilang-gemilang Audi-Nikki.
Ketika ditemui selepas upacara perkahwinan itu selesai, Nikki memberitahu dia menitiskan air mata kerana hatinya tersentuh melalui momen paling indah dalah hidupnya.
"Saya terbayangkan diri saya yang akan menjadi isteri yang baik dan setia kepada Audi. Saya memang tak sabar-sabar untuk memikul peranan sebagai isteri yang baik," katanya dengan penuh kelegaan.
Sementara itu, ibu bapa Nikki, Mok Peng Chiang dan Gladys Thoo turut bersyukur kerana upacara perkahwinan itu berjalan dengan lancar dan mengakui menanti masa untuk menimang cucu.
Ibu bapa Audi tidak dapat ditemuramah kerana bergegas pulang ke Melaka untuk menguruskan resepsi perkahwinan Audi-Nikki pada sebelah malam ini.
Bulan madu Catriona-Shaharuddin ditaja
Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
PERASAAN gemuruh dan segan bercampur baur saat majlis pernikahan aktres Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 29, dengan penerbit dan pengarah rancangan televisyen Astro, Shaharuddin Mokhtaruddin, 30, malam semalam.
Cerita Catriona atau Cat, saat dia dibawa ke luar sambil menutup muka dengan kain layah mengikut adab perkahwinan Inggeris, ramai mata yang tertumpu kepadanya sehingga membuahkan rasa segan.
"Majlis nikah semalam berlangsung dengan begitu meriah. Kebetulan ibu saya meminta untuk saya memakai 'veil' seperti perkahwinan orang putih dulu-dulu.
"Apabila saya turun, ramai yang bersorak kecil hingga saya malu nak bertentang mata dengan semua.
"Ada yang memanggil saya untuk mengambil gambar, memberikan ucapan 'good luck' dan bergembira ketika saat itu," kata Cat ketika menggambarkan suasana majlis pernikahannya.
Dengan sekali lafaz, Cat sah bergelar isteri Shaharuddin selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Paya Rambai, Mohd. Alwi Mohd. Zain berwalikan bapa Cat, Bahrin Ross Abdullah di kediaman keluarganya di Kota Bharu, Kelantan.
"Bila nikah kami dah sah, terus saya rasa terharu dan gembira kerana dah selamat jadi seorang isteri.
"Saya juga bersyukur kerana kejadian yang tak diingini tidak berlaku dan keluarga kedua belak pihak turut sama gembira.
"Sebelum ini saya rasakan saat bertunang merupakan saat paling sukar bagi kami kerana merasakan ia antara selamat atau tidak.
"Waktu tu tiada saksi yang boleh mengesahkan hubungan kami tetapi apabila nikah kita ada saksi, tandatangani dokumen dan lafaz janji dengan Tuhan.
"Kebetulan masa bertunang tu ada sumber-sumber yang cuba rosakkan hubungan kami sehingga saya perlu bersabar dan berdoa dengan harapan semuanya 'ok'," luah Cat dalam nada ceria.
Dalam masa yang sama, pelakon drama 'Sephia' dan 'Mek Salmah Dari Scotland' ini meluahkan rasa syukur dikurniakan seorang suami seperti Shaharuddin.
"Dia merupakan seorang yang memahami, lemah-lembut, sepanjang mengenalinya dia tak pernah mengasari saya, cukup 'gentleman', romantik dan menerima saya dalam keadaan bertongkat dua dan tidak malu mendekati saya," kata Cat.
Begitu juga dengan Shaharuddin yang bertuah memiliki Cat yang boleh menguruskannya, memberi idea dan memanjakannya.
Bercerita mengenai perancangan selepas berkahwin, Cat berkata dia dan Shaharuddin akan tinggal di rumah sendiri di ibu kota.
"Dia tak halang saya berlakon sebab dia kenal saya semasa saya bergelar pelakon.
"Cuma dia nasihatkan saya supaya pandai menguruskan masa.
"Saya rasa tiada masalah sebab kami bekerja dalam satu bidang.
"Tentang anak, saya dan suami tengok pada rezeki. Kalau kami sepatutnya dapat awal (anak), kami terima sebab kami memang tak letak syarat dan merancang.
"Saya suka kalau dapat empat orang anak tetapi dia nak tiga orang sahaja," ujar Cat sambil tergelak.
Ditanya tentang berbulan madu, Cat dan Shaharuddin akan menghabiskan masa bersama di dua lokasi dalam Malaysia sebelum ke Itali.
"Kami sudah berbincang untuk berbulan madu ke Itali tetapi memandangkan wabak H1N1 (Selesema Babi) masih aktif, jadi kami terpaksa tangguh dulu sehingga lepas Raya nanti.
"Dalam masa terdekat ini, kami akan ke Pangkor Laut Resort dan yang kedua kami akan ke puncak Gunung Jerai.
"Bulan madu kami di Gunung Jerai Resort ditaja oleh Regency Hotel, Alor Star melalui syarikat yang merunding perkahwinan saya, YSA Wedding Consultant.
"Saya rasa berbesar hati dengan hadiah percutian ini dan terima kasih juga kepada Amir Firdaus dari YSA yang banyak membantu.
"Saya berharap perkahwinan kami kekal sampai ke hujung nyawa," kata Cat penuh bersemangat.
Dalam majlis pernikahannya, Cat menerima cek wang hantaran berjumlah RM22,000 beserta sembilan dulang hantaran berupa sirih junjung, cincin, cermin mata Marc Jacobs, jam Emporio Armani, set penjagaan kulit SKII, sejadah, beg Sulgato Re Serragamo, kasut Cole Haan dan gelang tangan Tiffany.
Sementara pengantin lelaki pula menerima 11 dulang hantaran iaitu persalinan baju, dua manisan, cermin mata Furla, game PS3, set penjagaan kulit Biotherm, snickers Adidas Limited Edition, sejadah, persalinan baju kerja dan tali pinggang, telefon bimbit Blackberry, cincin dan sirih junjung.
Majlis itu dihadiri oleh 200 tetamu termasuk keluarga kedua belah pihak.
Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan berlangsung di rumah Cat di Kota Bharu, hari ini dengan tema klasik kombinasi ‘east meet west’ dan warna tema hijau dan maroon .
Sementara majlis resepsi sebelah lelaki akan diadakan pada 4 Julai ini di Wangsamaju dengan tema 'English lavender' dan warna tema ungu.
Hampir setahun 'jual mahal', Maya akhirnya sah isteri kerabat
Oleh WAHIDA ASRANI
KUALA LUMPUR: Walaupun pada awalnya Meyanaliza Ruslee, 33, atau Maya agak berat hati untuk berkenalan dengan jejaka berstatus kerabat diraja Pahang ini kira-kira enam tahun lalu, namun telah ditentukan jodoh mereka cukup kuat.
Hanya dengan sekali lafaz, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 38 dan Maya kini sah bergelar suami isteri pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung di Masjid Darul Ehsan, Ampang, selepas Asar, hari ini (Jumaat).
Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Darul Ehsan, Muhamad Khairi Hussein manakala abang sulung Maya, Harris Faizal Ruslee bertindak selaku wali pengantin perempuan.
Pada majlis yang serba ringkas itu, pihak pengantin lelaki memberi tujuh dulang hantaran antaranya al-quran, telekung, cincin dan kasut serta dibalas sebanyak sembilan dulang hantaran termasuklah kereta kawalan jauh, kasut, kemeja, wangian, cincin dan tali pinggang.
Maya turut menerima mas kahwin sebanyak RM80 tetapi pelakon dan penyanyi itu bagaimanapun ingin merahsiakan wang hantaran yang diterimanya.
Majlis bersejarah pasangan itu telah disaksikan oleh kira-kira 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Turut hadir ialah rakan-rakan artis seperti Nadia Mustafa, Sharifah Zarina, Haiza, Ida Moin, Jaafar Onn, Haziq dan Den Wahab.
Maya yang ditemui sejurus berakhirnya majlis itu memanjatkan rasa syukur setelah hubungan cinta yang terjalin itu akhirnya disatukan dengan ikatan perkahwinan.
"Saya telalu gembira. Sebelum ini bila melihat ramai kawan-kawan sudah berkahwin dan mempunyai anak, hati saya turut terdetik bila pula masa saya untuk berumahtangga. Alhamdulillah, inilah yang saya tunggu-tunggu selama ini.
"Kalau ikutkan, kami sepatutnya melangsungkan perkahwinan tahun lalu. Tetapi memandangkan ketika itu arwah ibu Reza sakit akibat komplikasi jantung, kami terpaksa tangguhkan dulu.
"Apapun, saya amat mengimpikan satu perkahwinan yang akan kekal selama-lamanya. Dan saya yakin dengan pilihan saya ini. Sifat yang ada pada dia, tidak ada pada saya. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu kami amat serasi," kata Maya yang mengikat tali pertunangan dengan Reza pada 4 Jun lalu.
Mengimbas tentang perkenalan mereka pula, kata Reza, dia pertama kali bertemu Maya pada 23 November 2003, ketika penyanyi yang popular dengan lagu Matahari itu membuat persembahan sempena majlis hari lahir bapanya, Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di ibukota.
"Saya kemudiannya mendapatkan nombor telefonnya daripada pembantu peribadi bapa saya dan cuba hubungi dia keesokan harinya. Saya akui, ia ibarat cinta pandang pertama.
"Tetapi saya ambil masa lebih kurang setahun juga sebenarnya untuk 'tackle' dia. Apa yang pasti, Maya adalah wanita yang lain daripada yang lain. Bukan kerana dia artis, kerana sebelum ini pun saya memang ramai berkawan dengan golongan artis juga.
"Saya tertarik dengan personalitinya dan dia seorang yang boleh dipercayai. Malah, dia pandai masak makanan kesukaan arwah ibu saya," kata Reza yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Maya pula turut menambah, pada awalnya dia sendiri agak keberatan untuk berkenalan lebih lanjut dengan suaminya itu, apatah lagi Reza adalah daripada golongan kerabat diraja.
"Dia 'call' banyak kali selepas itu, tetapi saya memang macam malas sikit untuk layan dia. Ketika itu, saya takut juga untuk rapat dengan golongan kerabat sebab saya tidak mahu orang menganggap saya ingin senang dengan cara mudah.
"Tetapi dalam masa setahun itu, saya nampak keihklasan dia untuk berkawan dengan saya. Saya juga tertarik dengan sikapnya yang cukup 'straight forward'," kata Maya yang turut mengimpikan sepasang cahayamata sebagai pelengkap rumahtangga mereka kelak.
Bercerita mengenai karier seninya pula, kata Maya, dia akan cuba menghadkan aktiviti seninya selepas ini bagi memberikan tumpuan terhadap rumahtangga.
"Reza tidak menghalang karier saya, cuma selepas berkahwin ni, dia tidak mahu saya selalu 'outstation'. Bulan depan saya akan ke Brunei untuk penggambaran drama dan selepas itu, saya akan mula bataskan sedikit karier saya," katanya yang mungkin akan berbulan madu dengan suaminya di Bali.
Majlis persandingan pasangan mempelai ini dijangka akan diadakan pada 3 Oktober depan di Batu Pahat, Johor manakala di sebelah pihak lelaki pula masih belum ditetapkan.
Punca kematian Jackson masih belum dikenalpasti
Para doktor yang menjalakan proses bedah siasat ke atas Michael Jackson belum lagi dapat mengenal pasti punca kematian "Raja Pop itu". Beliau sudah tidak sedarkan diri apabila sekumpulan paramedik tiba di rumahnya di Holmby Hills.
Pada masa yang sama doktor peribadinya juga cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Michael.
Bintang Popular berusia 50 tahun itu dikejarkan ke hospital berdekatan, pusat perubatan UCLA, dan telah disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
"Laporan mengenai punca kematiannya akan ditunda, pemeriksaan tambahan seperti toksikologi dan lain-lain akan dibuat," kata Jurucakap kumpulan pemeriksa, Craig Harvey.
"Pemeriksaan tersebut akan mengambil masa empat hingga 6 minggu,"tambahnya.
Ketika bercakap kepada media, Harvey turut menjelaskan bahawa tiada kecederaan pada luar pada badan Michael yang ditemui.
Polis dilaporkan akan menyoal siasat doktor peribadi Michael Jackson, Dr. Conrad Murray.
Laman web TMZ.com melaporkan seorang rakan yang rapat dengan keluarga Jackson tetapi enggan dikenali berkata Michael telah disuntik dengan Demerol, sejenis ubat penahan sakit kira-kira setengah jam sebelum beliau tidak menyedarkan diri. REUTERS
Pelayaran web lambat selepas kematian Jackson
INTERNET sukar dilayari ketika semua orang di seluruh dunia tergesa-gesa untuk mengesahkan khabar angin Michael Jackson meninggal dunia.
Carian gergasi, 'Google' mengesahkan ketika berita tersebut mula-mula tersebar sehingga menyebabkan Internet sukar dilayari, pihaknya bimbang ia mengalami serangan siber.
Jutaan orang yang mencari nama Raja Pop itu menerusi Google hanya mendapat halaman error berbanding senarai keputusan carian sebelum ini.
Ia memberi amaran kepada pelayar: "pertanyaan anda seperti permintaan automatik dari virus komputer atau aplikasi perkakasan intipan (spyware)".
"Memang betul antara 2.40 p.m. Pacific dan 3.15 p.m. Pacific, sesetengah pengguna Google News sukar mengakses hasil pencarian berkaitan Michael Jackson dan menjumpai halaman error itu," kata jurucakap Google, Gabriel Stricker.
Pada masa yang sama, penyanyi itu diumumkan menghembuskan nafas terakhir secara rasmi.
Halaman trend carian Google menunjukkan pencarian untuk topik "Michael Jackson" telah mencapai tahap volume "hot" atau "volcanic".
Google bukanlah satu-satunya carian gergasi yang menghadapi masalah tersebut.
Servis microblogging, Twitter gagal ekoran hit penggunaan servis tersebut yang tinggi.
Sebelum server syarikat itu gagal, TweetVolume mengesahkan "Michael Jackson" muncul lebih 66,500 kemaskini di Twitter.
Friday, June 26, 2009
JKKK kecewa video cemar Rosmah
| Muda Mohd Noor | Jun 26, 09 2:46pm |
| kemaskini 4.56pm Terdapat beberapa anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) asal Rosmah Mansor yang tidak bersetuju dengan paparan negatif terhadap wanita pertama itu. Pengerusi JKKK Gedong Lalang 50, Abu Hassan Majid memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa beliau dan semua 11 anggota jawatankuasanya telah menonton klip video tersebut. Tambahnya, mereka yang tidak berpuas hati berhujah bahawa wawancara yang memuatkan kenyataan-kenyataan negatif terhadap isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya "memburuk-burukkan kampung mereka sahaja." "Sepatutnya kita rasa bangga, orang kampung kita jadi orang besar," kata Abu Hassan lagi, yang juga tidak senang dengan video tersebut, ketika dihubungi melalui telefon. "Saya tidak tahu mengapa mereka bercakap demikian dalam video itu. Saya rasa sedih dan bagai tidak percaya." Abu Hassan, yang juga ketua kampung tersebut berkata, beliau tidak berani bertanya sebab mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian tetapi tidak menolak kemungkinan wujud "rasa tidak puas hati" terhadap Rosmah. "Saya juga tidak pasti siapa yang buat video tersebut," katanya lagi. Mengesahkan kesahihan semua individu utama yang ditemubual dalam tiga klip video itu, Abu Hassan berkata Rosmanuddin Mansor (foto, empat dari atas) memang seorang adik angkat Rosmah dan sejak dulu wujud "riak-riak mereka berdua tidak sefahaman." Menurutnya lagi, beliau mengenali Rosmanuddin kerana ketika umurnya dua atau tiga hari bayi itu diserahkan kepada ibu bapa Rosmah. "Tetapi dia tidak ada lagi di kampung ini, saya tidak tahu ke mana dia pergi," katanya, sambil menambah orang kampung memanggil lelaki itu "Din". Video itu mendakwa Rosmanuddin telah meninggalkan negara ini bagi mengelak daripada Rosmah susulan perselisihan mereka berdua, antaranya gara-gara pernah membantu melangsungkan perkahwinan anak wanita pertama itu Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib - dengan seorang selebriti Dr Fazley Yaacob pada penghujung 2006. Abu Hassan menambah, rumahnya terletak kira-kira 100 meter dari rumah orang tua Rosmah - yang masih didiami seorang pembantu. Beliau tidak mengenali dengan dekat isteri Najib itu kerana sejak berpindah ke Gedong Lalang 50, Batu 5 Jalan Kuala Pilah, Rosmah sudah bekerja. Beliau juga mengesahkan mengenali Che Mah Abdul Hadi (foto, tiga dari atas), balu bekas Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Ariffin Ali yang dikatakan jiran Rosmah dalam video tersebut. Ariffin, yang juga seorang bekas ADUN, dilantik memegang jawatan tersebut dari 1964 hingga 1968. Anaknya Ikmal Hisham (foto, dua dari atas), yang bekerja sendiri dan senang bergaul dengan anak muda kampung tersebut, kini tinggal bersama Che Mah sejak berpisah dengan isterinya, kata Abu Hassan lagi. Selain Rosmanuddin, Ikmal antara sumber utama yang ditonjolkan dalam video tersebut - didakwa pernah tinggal dengan Rosmah dan memanggilnya dengan nama kekeluargaan "Kak Ros". Pengerusi JKKK itu menambah, Che Mah suatu ketika dahulu pernah menjadi ahli jawatankuasa tersebut. Beliau tidak menyatakan tarikhnya. "Saya selalu juga pergi ke rumahnya, dia sendiri bercampur dengan orang kampung," tambahnya. Katanya, Che Mah dan Rosmah tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan, cuma hubungan kejiranan kerana rumah mereka selang dua buah lain. Dalam video tersebut, Che Mah mendakwa rumahnya dijadikan tempat berlangsung perkahwinan Najib-Rosmah sewaktu suaminya masih hidup. http://www1.malaysiakini.com/news/107292 |
'Rosmah-Najib kahwin di rumah saya'
| Muda Mohd Noor | Jun 26, 09 5:18pm |
| Seperti kenyataan dalam video, Che Mah Abdul Hadi hari ini mengakui Rosmah Mansor berkahwin dengan Datuk Seri Najib Razak di rumahnya di Gedong Lalang, Seremban. Wanita pertama negara itu melangsungkan perkahwinan menjelang tokoh politik itu bertanding ketua Pemuda Umno, kata isteri bekas speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Ariffin Ali dalam video tersebut. Bagaimanapun, ketika dihubungi melalui telefon, Che Mah (foto, bawah) berkata beliau sudah lupa tarikh tepatnya. "Tetapi dia (Rosmah) sudah tidak kenal saya, walaupun berkahwin di rumah saya," katanya lagi, mengulangi dakwaan dalam klip video sewaktu diwawancara. "Kenapa kamu tidak percaya, Rosmah kahwin di rumah saya," katanya ketika diminta mengesahkan dakwaannya itu. Che Mah bagaimanapun enggan mengulas lanjut kepada Malaysiakinidengan alasan "tidak mahu bercakap dengan orang yang tidak dikenali". Hasil perkahwinan Rosmah dan Najib, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nooryana Najwa, 20, dan Norashman Razak, 18. Malaysiakini semalam melaporkan sejak dua minggu lalu tiga klip video berupa dokumentari pendek disebarkan di internet yang memberikan gambaran negatif dan label liar "perempuan puaka" terhadap Rosmah. Sementara itu Pengerusi JKKK Gedong Lalang 50, Abu Hassan Majidjuga mengesahkan mengenali Che Mah, jiran ibu bapa Rosmah. Ikmal Hisham, anak Che Mah yang bekerja sendiri dan senang bergaul dengan anak muda kampung tersebut kini tinggal bersamanya, kata Abu Hassan lagi. Ikmal (foto, atas) antara sumber utama yang ditonjolkan dalam video tersebut - didakwa pernah tinggal dengan Rosmah dan memanggilnya dengan nama kekeluargaan "Kak Ros". Abu Hassan, yang juga ketua kampung itu menambah, Che Mah suatu ketika dahulu pernah menjadi ahli jawatankuasa tersebut. Beliau tidak menyatakan tarikhnya. "Saya selalu juga pergi ke rumahnya, dia sendiri bercampur dengan orang kampung," tambahnya. Katanya, Che Mah dan Rosmah tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan, cuma hubungan kejiranan kerana rumah mereka selang dua buah rumah. http://www1.malaysiakini.com/news/107318 |
Kempen video burukkan isteri PM
| Jimadie Shah Othman | Jun 25, 09 2:25pm |
| kemaskini 11.31pm Lebih kurang dua bulan menjadi wanita pertama negara, Rosmah Mansor kini menjadi sasaran kempen negatif dengan tuduhan-tuduhan berat dan label liar "perempuan puaka" di internet. Walaupun bukan kali pertama beliau diburuk-burukkan tetapi kali ini ia disediakan dengan lebih tersusun dalam bentuk siri dokumentari pendek. Adik lelaki Rosmah, ibu saudaranya dan sepupu lelakinya mendakwa beliau lupa asal-usulnya termasuk kampung asalnya, selain mengupah samseng dan menggunakan khidmat bomoh. Beliau juga didakwa mempunyai masalah hubungan kekeluargaan dengan adiknya dan seorang anaknya. Satu babak menunjukkan sebuah rumah buruk dan terbiar yang didakwa kediaman asal ibunya di Kampung Mertang, Seri Menanti. Tiga klip video isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pertama kali diterbitkan 9 Jun lalu dan cepat disebarkan oleh beberapa blog setelah diumumkan di Malaysia Today. Blog yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamaruddin – penulis yang mengaitkan Rosmah dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan kini menjadi kes mahkamah – mendakwa, video itu dirakam secara eksklusif untuk laman webnya. Siri kedua dan tiga klip video terbitkan "C4 Production House" selama 10 minit itu dimuatkan di Youtube.com masing-masing pada 11 Jun dan 15 Jun lalu. Semakan Malaysiakini setakat ini menunjukkan ketiga-tiga siri video tersebut ditonton hampir 300,000 kali – 155,825 untuk bahagian pertama, 86,989 (kedua) dan 51,875 (ketiga) – dan disebarkan meluas di internet. Menurut tinjauan melalui enjin pencari Google, ia dimuatkan kembali ke laman-laman web lain, termasuk di blog Pemuda PAS Wangsa Maju, Angkatan Muda PKR bahagian-bahagian Gelang Patah dan Kota Raja, serta laman web popular Tranungkite.net. Penyebaran video itu juga mengundang reaksi balas laman web pro-Umno, antaranya Malaysia Instinct yang ingin menyiasat "konspirasi video" tersebut dan Isuhot Dot Com. "Setiap kali kumpulan kami ke lokasi yang dinyatakan dalam video itu, demi mewawancara mereka yang menuduh, kami tidak mendapat sebarang respons positif," laporannya dipetik. Namun, tambahnya, seorang anak kepada isteri bekas Speaker DUN Negeri Sembilan yang ditemubual kini bekerja dengan Jabatan Perdana Menteri dan berharap pegawai wanita boleh mendedahkan "siapa dan apa matlamat penerbitan video berkenaan." Laman web itu juga mendakwa ia menerima emel yang membongkar latar belakang isteri bekas ADUN tersebut tetapi ia tidak mendedahkan siapa di belakang "C4 Production House". Menepis dakwaan dalam video tersebut, Isuhot Dot Com pula berkata, Rosmah tidak pulang ke kampung halamannya kerana tiada lagi saudaranya tinggal di situ. Ia mempertikaikan dakwaan-dakwaan yang dikatakan "tidak mempunyai bukti" dan "tuduhan yang tidak relevan dengan politik negara". "Apa relevan dan kena-mengena dakwaan kononnya Datin Seri Rosmah percaya kepada dukun, tahyul dan pawang? Sudahlah tidak boleh membuktikan sama ada melalui rakaman kamera mahupun gambar, malah isu ini langsung tidak membabitkan isu politik," satu artikelnya 'Siapa Puaka Sebenar' dipetik. "Apakah tujuan tuduhan ini dibuat? Ia hanyalah serangan berbentuk peribadi yang menggambarkan politik orang Melayu sudah berada dalam keadaan nazak. "Sungguh aneh pembuat dokumentari tersebut boleh berpura-pura terkejut dan beberapa kali menyebut nama Allah ketika merakamkan wawancara memburukkan orang," coret Isuhot Dot Com pada 17 Jun lalu. Rosmah kini menarik perhatian ramai kerana berbeza dengan bekas wanita-wanita pertama negara, beliau sering mendapat liputan media berhubung kerja-kerja sosialnya. Antaranya, apabila beliau dikunjungi menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew pada 10 Jun yang disifatkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina di negara ini sebagai sesuatu yang "pelik". http://www1.malaysiakini.com/news/107205 |
Pemergian Jacko kejutkan seluruh dunia
LOS ANGELES: Michael Jackson, anak kecil yang bertukar menjadi Raja Pop dunia, mencipta tarian musikal yang digilai anak muda, meninggal dunia hari ini ketika berusia 50 tahun.
Namun, sejak meniti akhir hayatnya, bintangnya yang bersinar itu lebih ditutupi dengan gaya hidupnya yang unik serta kontroversi pembabitannya dalam skandal seks dengan kanak-kanak.
Sebaik berita kematiannya dilaporkan pagi ini, laman web terus menjadi buruan peminatnya di seluruh dunia bagi melayari kisahnya sehingga menimbulkan kesesakan.
Micheal atau dikenali dengan Jacko, disahakan meinggal dunia jam 2.26 pagi waktu tempatan selepas tiba di Hospital Los Angeles, menurut koroner daerah, Fred Corral.
Bagaimanapun, katanya punca kematiannya belum disahkan lagi tetapi dikaitkan dengan kegagalan jantungnya.
Sebelum ini, media Amerika Syarikat melaporkan bahawa Micheal kini sedang sakit dan dirawat di rumahnya.
Namun sebaik paramedik tiba di rumahnya, malam tadi, beliau dikatakan sudah tidak bernafas sebelum dikejarkan ke hospital.
Dikenaloi sebagai Raja Pop dengan kemunculan album hit, "Thriller" dan "Billie Jean," Micheal dikenali dengan mencipta gaya menari unik menggunakan sarung tangan putih sehingga digilai dan diikuti jutaan peminatnya di seluruh dunia.
Beliau bertanggungjawab mengtranformasikan nyanyian dan tarian ke dalam musik video sehingga jualan albumnya mencecah 750 juta unit dengan menggondol 13 Anugerah Grammy.
Beliau sehingga kini menjadi salah seorang penghibur paling berjaya sepanjang hayat.
Beliau dijadual membuat penampilan semula bulan depan bermula di London.
Quincy Jones, yang pernah membantunya dalam penghasilan album "Thriller" dan "Off the Wall" memberitahu stesen MSNBC: "Saya benar-benar terkejut dan hiba dengan kehilangannya. Ia sesuatu yang trajis dan berita yang tidak disangka-sangka." / Reuters
Punca kematiannya belum disahkan lagi tetapi dikaitkan dengan kegagalan jantungnya
MJ sudah tiada
LA: Raja Pop dunia Michael Jackson meninggalkan dunia di hospital Los Angeles.
Albumnya dikatakan pernah pemegang rekod jualan sepanjang zaman iaitu lebih 50 juta unit seluruh dunia.
Jackson juga pernah dilaporkan memeluk Islam beberapa tahun lepas dimana beliau telah menjemput seorang imam ke kediamannya dan mengucap dua kalimah shahadah. - KLpos, Reuters
Dilaporkan memeluk Islam beberapa tahun lepas dan mengucap dua kalimah shahadah
Influenza : Dua kelas SMK Abdul Rahim 2, Kudat, Sabah ditutup
PUTRAJAYA: Dua kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat, Sabah ditutup semalam berikutan penularan Influenza A (H1N1) di sekolah berkenaan, membabitkan 125 murid dan guru diarah untuk kuarantin di rumah.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata penularan wabak itu adalah daripada seorang guru berumur 24 tahun di sekolah berkenaan, yang bercuti ke Istanbul selama 17 hari, kembali ke Malaysia pada 18 Jun lalu dan kembali mengajar pada 22 Jun 2009.
"Beliau hanya menunjukkan gejala demam dan batuk pada 23 Jun, telah pergi mendapatkan rawatan di Hospital Kudat pada hari sama, kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan disahkan positif H1N1 semalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata lapan ahli keluarganya turut dikuarantin di rumah dan kes itu menyumbang kepada 14 kes baru wabak H1N1 yang dilaporkan di Malaysia hari ini, yang terdiri daripada 13 kes import dan satu kes jangkitan tempatan.
Katanya ini menjadikan jumlah terkumpul kes H1N1 sehingga pukul 8 pagi ini berjumlah 105 kes iaitu 90 kes import dan 15 kes jangkitan tempatan. Tiada kematian dilaporkan.
Mohd Ismail berkata 14 kes baru itu adalah 10 kes melibatkan warganegara Malaysia dan empat melibatkan warga asing, Australia (tiga) dan Filipina (satu).
Katanya 13 kes import melibatkan mereka yang melawat bandar di negara terjejas dengan wabak H1N1 iaitu Melbourne (5), London (3), Phuket (2), Manila (1), Istanbul (1) dan Singapura (1) manakala satu kes jangkitan tempatan melibatkan kes warga tempatan.
Beliau berkata jumlah sekolah atau institusi latihan yang sedang dikenakan tindakan tutup keseluruhan sekolah kekal empat buah, melibatkan 2,300 pelajar, guru dan petugas.
Katanya jumlah murid yang terlibat dalam penutupan kelas termasuk dua kelas yang ditutup selama tujuh hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat, Sabah ialah seramai 625 orang.
Semua ibubapa hendaklah memastikan anak-anak mereka yang dikenakan tindakan kuarantin di rumah berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam bagi mengelak berlakunya jangkitan tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata penularan wabak itu adalah daripada seorang guru berumur 24 tahun di sekolah berkenaan, yang bercuti ke Istanbul selama 17 hari, kembali ke Malaysia pada 18 Jun lalu dan kembali mengajar pada 22 Jun 2009.
"Beliau hanya menunjukkan gejala demam dan batuk pada 23 Jun, telah pergi mendapatkan rawatan di Hospital Kudat pada hari sama, kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan disahkan positif H1N1 semalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata lapan ahli keluarganya turut dikuarantin di rumah dan kes itu menyumbang kepada 14 kes baru wabak H1N1 yang dilaporkan di Malaysia hari ini, yang terdiri daripada 13 kes import dan satu kes jangkitan tempatan.
Katanya ini menjadikan jumlah terkumpul kes H1N1 sehingga pukul 8 pagi ini berjumlah 105 kes iaitu 90 kes import dan 15 kes jangkitan tempatan. Tiada kematian dilaporkan.
Mohd Ismail berkata 14 kes baru itu adalah 10 kes melibatkan warganegara Malaysia dan empat melibatkan warga asing, Australia (tiga) dan Filipina (satu).
Katanya 13 kes import melibatkan mereka yang melawat bandar di negara terjejas dengan wabak H1N1 iaitu Melbourne (5), London (3), Phuket (2), Manila (1), Istanbul (1) dan Singapura (1) manakala satu kes jangkitan tempatan melibatkan kes warga tempatan.
Beliau berkata jumlah sekolah atau institusi latihan yang sedang dikenakan tindakan tutup keseluruhan sekolah kekal empat buah, melibatkan 2,300 pelajar, guru dan petugas.
Katanya jumlah murid yang terlibat dalam penutupan kelas termasuk dua kelas yang ditutup selama tujuh hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat, Sabah ialah seramai 625 orang.
Semua ibubapa hendaklah memastikan anak-anak mereka yang dikenakan tindakan kuarantin di rumah berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam bagi mengelak berlakunya jangkitan tempatan.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/6/26/mstar_berita/20090626142859&sec=mstar_berita