Thursday, July 30, 2009

Mangsa dera dibunuh suami


INILAH bangunan yang turut menempatkan sebuah hotel tempat mayat Subaidah ditemui mati dibunuh di Kepong semalam.


KUALA LUMPUR - Sudah sembilan tahun Subaidah Abu Bakar, 30, menanggung derita kerana menjadi hamba dera suaminya yang merupakan seorang penagih dadah.

Dalam tempoh itu, Subaidah dikatakan telah lima kali membuat laporan polis namun setiap kali laporan dibuat wanita itu pasti akan menarik balik semula laporan tersebut lantaran sayang terhadap suaminya yang berusia 34 tahun.

Dikatakan setiap kali didera, Subaidah sudah pasti teruk dipukul bukan saja dengan tukul besi, dicucuh dengan api rokok dan kepala dihantuk ke dinding. Apa-apa saja yang tercapai oleh tangan suaminya pasti objek itu hinggap ke atas tubuhnya sebagai 'hadiah'.

Derita berpanjangan wanita itu berakhir semalam apabila dia ditemui mati di tingkat tiga sebuah hotel di Jalan Kepong Usaha 2 di sini dipercayai angkara suaminya.

Mangsa dipercayai dibunuh antara pukul 12 malam dan 4 pagi. Sebelum tragedi itu, pasangan dari Slim River, Perak itu yang tinggal di hotel sejak Jumaat lalu dipercayai bergaduh ekoran si suami menuduh mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam pergaduhan itu, suami mangsa yang bagai orang hilang akal dipercayai telah menghentak dan melibas kepala dan seluruh badan mangsa dengan cerek, termos dan wayar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Wednesday, July 29, 2009

Senjata makan tuan


SAYA merenungi sebuah hadis yang selalu dibaca dan diketahui oleh kebanyakan kita iaitu sabda Nabi s.a.w: “Bandingan teman duduk berbual yang baik dan yang buruk seperti pembawa kasturi dan tukang besi.

Adapun pembawa kasturi, sama ada dia berikan engkau kasturi, atau engkau beli daripadanya, atau engkau dapati bau harumnya. Sementara tukang besi, sama ada ia membakar pakaian engkau, atau engkau akan dapati bau yang busuk” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebelum disalahfahami, perlu dijelaskan Nabi s.a.w bukan bermaksud menghina tukang besi, tetapi sebagai contoh kesan keburukan yang mengenai seseorang yang berada di samping orang tertentu. Apatah lagi bukan sepatutnya ketika tukang besi sedang melakukan kerjanya seseorang pergi berada di sampingnya.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Nabi s.a.w adalah agar kita memilih teman berbincang, berbual, berpakat, bermesra atau berdampingan dalam kalangan mereka yang baik. Kesan kebaikan itu akan datang kepada diri kita.

Dalam hidup ini, betapa banyak ilmu pengetahuan, pengalaman yang baik untuk kehidupan dan hikmah diperolehi ketika kita bersembang, bergurau, makan sehidang dan bekerja dengan seseorang yang berilmu, baik dan jujur.

Justeru itu berusaha untuk berdamping dengan ilmuwan, orang yang baik dan jujur demi mengutip mutiara-mutiara hikmah dan manfaat ilmu serta akhlak adalah merupakan usaha yang tinggi nilainya di sisi Islam dan dihitung sebagai ibadah.

Orang yang baik itu bukan dilihat pada serbannya, atau jubahnya, atau bijian tasbih yang dibelinya, atau seumpamanya. Orang baik itu adalah insan yang mulia di sisi Allah.

Namun kemuliaan di sisi Allah tidak dapat untuk kita salami, cuma ada petanda dalam kehidupan. Seseorang yang jujur dengan agamanya, berdisiplin dengan prinsip-prinsip mulia dan menghayati akhlak yang baik dalam hidupnya dapatlah pada zahirnya dihitung sebagai orang baik atau soleh. Ini dapat kita rasai apabila kita berada di sampingnya.

Maka timbulnya perasaan untuk mendampingkan diri kepada Allah, bersemangat dalam perjuangan dan perancangan kebenaran, dan merasa janggal untuk menyalahi disiplin kebaikan merupakan antara kesan berada di samping mereka yang seperti ini.

Setiap kali bangun meninggalkan majlisnya, atau perbualan dengannya kita akan terasa penambahan kebaikan, atau ilmu pengetahuan berguna, atau teladan yang baik, atau pemikiran untuk kebaikan umat, atau pengalaman yang membawa kita mampu mengharungi hidup dengan cara yang lebih baik dan Allah redha.

Jika kita berjumpa dengan orang yang seperti itu, sama ada dia rakan kita, atau teman pejabat, atau orang bawahan kita, atau jiran tetangga atau suami, atau isteri maka tidak rugilah untuk kita berusaha berdampingan dengannya. Tidak rugi untuk lama kita berbual.

Tidak rugi untuk kita menemai perjalanannya, menjemputnya datang menjamah hidangan kita, menziarahinya dan apa sahaja yang membolehkan kita mendapat faedah daripada kelebihan yang dia miliki.

Sehingga kadang-kala tanpa kita sedari cara fikir, cara bertindak, sikap serta kematangan hidup kita dibentuk olehnya secara tidak langsung. Betapa ramai insan yang mengubah cara fikir dan sikapnya hanya kerana teman baiknya.

Sebab itulah dalam karya-karya hadis yang silam sering dimasukkan bab Mujalasah al-Salihin bermaksud bersampingan dengan orang soleh sebagai satu ibadah dan satu langkah penting dalam membentuk peribadi insan.

Ada pula yang berkata, “saya mana ada ustaz yang nak berkawan dengan saya”. Saya katakan, Nabi s.a.w menyebut al-jalis al-salih ‘teman berdamping yang baik’, ia begitu umum. Siapa sahaja yang membawa kebaikan apabila kita duduk berdampingan dengannya maka dia termasuk dalam hadis ini. Bukan semestinya yang diberikan gelaran ‘ustaz’ itu mesti menjadi teman yang baik.

Entah berapa ramai yang memakai gelaran itu tidak menjadi teman yang baik, sebaliknya betapa ramai yang tidak bergelar ustaz merupakan teman yang baik untuk dunia dan akhirat kita.

Maka carilah ditempat kerja kita, atau tempat tinggal kita, atau di mana sahaja orang yang baik untuk kita berada bersama ketika waktu rehat, waktu makan dan waktu bergembira. Saya lihat ramai rakan yang mempelajari solat musafir, menyapu stokin atau kasut, solat dalam kenderaan dan berbagai ilmu hanya kerana menyertai perjalanan bersama mereka yang berpengetahuan lalu memahami agama dan keluasannya yang mungkin tidak dibiasakan atau dihayati jika dia tidak bermusafir dengan mereka.

Demikian sebaliknya. Jika teman berbual atau musafir atau bersahabat atau berpakat merupakan orang yang buruk akhlak, buruk bahasanya, buruk perangainya maka dia akan mempengaruhi seseorang. Melainkan jika dia sentiasa menasihatinya dan berusaha mengubahnya.

Namun, dalam banyak keadaan jika teman itu selalu menguasai suasana dan kita membiarkannya, kita akan berkongsi dosa, atau berkongsi nama buruk, lebih buruk lagi akan terkesan dengan akhlak yang buruk. Ada insan memang dahsyat mulutnya, pantang kita berbual dengannya ada sahaja orang yang dimaki hamunnya, dicerca dan dihina, bahkan kadang-kala dia mencarut-marut terhadap orang lain.

Jika hal itu berlaku sekali-sekala, mungkinlah boleh dianggap sebagai terlanjur dan kesilapan lantas kita sering ingat mengingati. Namun jika itu menjadi kebiasaan, maka dia adalah teman yang buruk untuk kita bersamanya. Jika kita terus bersamanya, dosa pasti dikongsi, akhlak juga akan berubah.

Saya masih ingat ada seorang pemuda yang berbudi bahasa, namun apabila dia terpengaruh dengan rakan-rakan politiknya, budi bahasanya hilang dan maki-hamun menjadi ringan di lidahnya. Saya kata kepadanya, sesungguhnya pertunjukan artis yang saudara dan kumpulan saudara sering bantah itu, tidak lebih buruk daripada rakan dan ceramah maki-hamun yang saudara sering hadir sehingga mungubah diri saudara. Saya tidak menolak perbezaan aliran politik dan keluasaan untuk mengkritik dasar-dasar politik, juga disiplin ahli politik, namun maki-hamun dan carut-marut tidak pernah ditunjukkan oleh Islam.

Dia berkata kepada saya, Saiyyidina Umar pun tegas. Saya kata kepadanya, tegas bukan bererti maki dan carut. Dalam hadis al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya:: "Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain".

Kemudian, kita hendaklah sedar bahawa teman yang kita sering duduk dengannya ketika dia memaki hamun orang lain, tidak mustahil besok dia akan duduk dengan orang lain pula untuk memaki hamun kita. Jikalah setiap orang yang dia tidak bersetuju dimaki hamunnya, apalah mustahilnya apabila dia tidak bersetuju dengan kita, dia akan memaki hamun kita pula. Tiada nilai takwa, tiada nilai bimbangkan hari Akhirat.

Saya lihat ramai orang politik yang kawan-kawannya yang dulu ‘sakan’ memaki musuh politik mereka, hari ini apabila berpaling tadah memaki mereka pula. Itulah bahaya berkawan dengan orang jahat. Hal ini berlaku bukan sedikit dalam UMNO juga dalam PAS baru-baru ini pun sama.

Apabila berlaku persaingan jawatan, tuduh-menuduh, kutuk mengutuk dan cerca mencerca dihalakan kepada rakan sendiri sama seperti mereka maki dan kutuk musuh politik mereka yang lain. Mungkin di peringkat tertinggi setiap parti tidak berlaku, tetapi ‘anak buah’, ‘penyokong setia’ dan ‘jentera melobi’ yang sudah lama terdidik, atau mendapat tarbiyyah tidak rasmi memaki orang, dengan petah dan lancarnya memaki sahabat dan rakan separti sendiri. Saya ditunjukkan laman web parti-parti berkenaan yang anak-anak buah mereka memaki hamun pemimpin sendiri. Itulah training yang mereka dapat selama ini.

Ada pemimpin mereka yang mengeluh kerana dituduh oleh ahli parti sendiri. Dalam isu kerajaan perpaduan, ada yang dituduh ‘gila kuasa’, ‘gila nak jadi menteri’, ‘nyanyuk’ ‘nak mampus’ dan berbagai lagi yang jika dibaca di forum-forum internet mereka tidak tergamak hendak disebutkan.

Apa hendak dikatakan? Sudah sekian itu berjalan dalam dunia politik kita. Ya, tidak menjadi masalah berbeza pendapat, bertegas, membantah kesalahan tetapi mengapa mesti memaki orang. Belajarlah untuk hidup sebagai pengkritik yang bernas, bukan pemaki yang tiada nas.

Didik anak buah dan rakan kita untuk tidak memaki dan menggunakan bahasa yang hodoh dan keji terhadap orang lain, tetapi mengkritik secara membina dan berwibawa.

Ada yang bersungut panjang apabila dia dimaki hamun oleh ahli partinya dalam ucapan, internet dan sms. Saya katakan, itulah senjata selama ini yang anda gunakan, atau biar digunakan oleh pengikut untuk menikam orang lain, maka akan sampai masanya ‘senjata makan tuan’.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/7/26/mstar_kolum_minda_mufti/20090726120629&sec=mstar_kolum_minda_mufti

UPM awalkan cuti semester, empat pelajar positif H1N1

PETALING JAYA: Cuti pertengahan semester bagi Universiti Putra Malaysia (UPM) diawalkan bermula esok berikutan empat pelajarnya disahkan positif influenza A(H1N1).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah berkata, UPM mengumumkan cuti pertengahan semester pertama selama seminggu berkuat kuasa esok sehingga 4 Ogos adalah sebagai langkah awal mencegah penularan wabak berkenaan.

"Saya menerima maklumat pada pagi tadi bahawa empat pelajar kita disahkan positif H1N1.

"Jadi semua aktiviti akademik dan dan aktiviti-aktiviti lain dalam universiti yang telah dijadualkan dalam tempoh tersebut dibatalkan," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau langkah yang diambil oleh UPM itu adalah sejajar dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebelum ini cuti pertengahan semester bagi UPM dijadualkan akan bermula pada 17 hingga 23 Ogos depan.

Tambah Nik Mustapha, keempat-empat pelajar berkenaan kini telahpun diasingkan iaitu dua daripada pelajar berkenaan dikuarantinkan di kolej kediaman mereka manakala dua lagi menjalani kuarantin di rumah.

Bagaimanapun difahamkan jumlah berkenaan mungkin meningkat berikutan beberapa lagi pelajar lain turut menghadapi simptom-simptom jangkitan H1N1.

Malah beberapa ujian makmal juga masih dijalankan terhadap beberapa sampel pelajar yang demam sejak beberapa hari yang lalu.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/28/mstar_berita/20090728170240&sec=mstar_berita

Godaan nenek gedik


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lenggok tubuh dan gayanya berpakaian mengalahkan anak dara sunti walaupun sudah berusia lewat 50-an.

Namun, sikap penggoda nenek terbabit membangkitkan kemarahan suri rumah selepas dia dikesan giat memburu dan menggoda lelaki tempatan sehingga menyebabkan suami hilang nafsu terhadap isteri masing-masing.

Apatah lagi, wanita warga Indonesia terbabit didakwa menggunakan ilmu hitam untuk menunduk dan menawan hati lelaki yang ingin dijadikan kekasih gelapnya, menyebabkan beberapa isteri kini sengsara apabila suami mereka ‘hilang ingatan’ dan membenci ahli keluarga tanpa sebab.

Kegiatan nenek gedik penggoda itu semata-mata untuk mendapatkan wang segera menyebabkan beberapa suri rumah yang tidak tahan dengan tingkah lakunya tampil membuat laporan polis.

Seorang daripada suri rumah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 45, mendakwa suaminya digoda nenek terbabit sehingga menjadi ‘bodoh’ dan tidak lagi dapat mengenali keluarganya sendiri.

Menurutnya, seksaan itu berlanjutan sejak empat tahun lalu apabila suaminya seolah-olah hilang ‘selera’ untuk menyentuhnya, jauh sekali untuk berbual mesra seperti pasangan lain.

Lebih malang, katanya, apabila suaminya enggan menjamah langsung hidangan atau lauk-pauk disajikan selepas diperintahkan wanita terbabit yang seolah-olah mengawal gerak-geri dan aktiviti harian suaminya yang sudah berjaya ‘ditawan’.

Katanya, rumah tangganya dulu amat bahagia sehinggalah mereka dikurniakan lima cahaya mata.

“Kehidupan saya dan suami pada mulanya harmoni sehinggalah wanita terbabit tiba-tiba muncul sekitar Ogos 2004 sebelum menggoda suami dengan pelbagai cara.

“Suami saya yang baru pencen daripada tentera menjadi buruan wanita tua terbabit yang menyedari dia memperoleh imbuhan lumayan sebaik bersara selain gaji bulanan sebagai kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Menurutnya, segala-galanya bermula selepas suaminya berkunjung ke rumah wanita terbabit di Jalan Klang Lama di sini.

“Sejak itu, suami enggan bercakap sepatah perkataan pun dengan saya ketika di rumah. Malah, dia sering ‘hilang’ begitu saja dan tidak pulang ke rumah sehingga beberapa hari,” katanya.

Menurut Nor, suaminya turut menjadikan rumah mereka di PPR Pudu Ulu, Cheras di sini tidak ubah seperti rumah tumpangan apabila hanya pulang untuk mandi dan menukar pakaian.

“Dia langsung tidak mahu mendekati atau tidur bersama saya dalam bilik. Dia lebih gemar tidur bersendirian di ruang tamu sebelum keluar bekerja keesokan harinya.

“Saya yang mulanya tidak mengetahui kewujudan nenek penggoda itu bagaimanapun berhasil mendapat maklumat selepas diberitahu beberapa rakan sekerja suami,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat itu, dia dan rakan karibnya pergi ke rumah sewa wanita terbabit untuk mendapatkan kepastian.

“Malangnya, ketika saya sampai wanita terbabit sudah menghilangkan diri dan didakwa pulang ke Indonesia kerana urusan keluarga.

“Saya yang dibenarkan memeriksa bilik sewa wanita tua itu terkejut apabila menemui pakaian seragam, seluar dalam dan beberapa pakaian milik suami tersimpan di dalamnya,” katanya.

Dia tambah terkejut apabila turut menemui diari milik wanita terbabit yang dilekatkan gambar suaminya selain beberapa gambar lelaki lain dalam keadaan ghairah berpelukan.

“Dalam kandungan diari itu, wanita tua terbabit meluahkan ayat-ayat cinta terhadap beberapa lelaki termasuk suami saya yang turut dijadikan ‘lelaki simpanannya’.

“Saya tambah terkejut apabila menemui dua keping gambar wanita terbabit bersama suaminya di Kediri, Indonesia, dalam satu majlis perkahwinan anak perempuan mereka yang turut disertai beberapa cucu mereka,” katanya.

Menurutnya, hubungan cinta terlarang itu turut menyebabkan suaminya kini menjadi agresif dan panas baran tanpa sebab sehingga dia pernah ditumbuk di mata dan dicekik hanya kerana cuba bertanya sesuatu.

“Dalam kejadian jam 11.30 pagi 8 April lalu, saya yang kesakitan terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras selepas dipukul suami,” katanya.

Nor berkata, penderitaannya berlanjutan sehingga kini menyebabkan dia hanya mampu mengalir air mata setiap kali mengenangkan nasib malangnya.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20090729064218/Article

Budak alah semua jenis makanan


KALEB



HILLBANK - Seorang kanak-kanak di Australia, Kaleb Bussenschutt tidak boleh makan kerana alah pada semua jenis makanan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kanak-kanak berusia lima tahun di sini itu hanya boleh minum air kosong dan beberapa jenis air lemonad.

Dia diberi makan menerusi sebuah mesin yang mengepam zat makanan yang diperlukan terus ke dalam perutnya.

Ibunya, Melissa Bussenschutt berkata, doktor-doktor gagal mengenal pasti masalah anaknya tetapi Kaleb akan jatuh sakit dengan perutnya dipenuhi ulser sekiranya dia makan.

"Mereka masih melakukan ujian bagi mencari punca mengapa dia tidak dapat mengambil makanan. Doktor-doktor itu masih berusaha (mencari punca Kaleb alah pada makanan)," kata Melissa.

Seorang pakar alahan, Profesor Peter Sly menyatakan kes Kaleb amat jarang berlaku kerana kanak-kanak biasanya mengalami alahan ringan yang kemudian sembuh secara beransur-ansur. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Catat kematian ketiga







KUALA LUMPUR - Penularan pandemik selesema babi (H1N1) di negara ini semalam telah mengorbankan satu lagi nyawa iaitu seorang lelaki warga Malaysia berusia 42 tahun yang menjadikannya mangsa ketiga setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, lelaki itu disahkan menghidap penyakit itu Khamis lalu.

"Lelaki itu yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal dunia pada pukul 4.40 petang 27 Julai lalu disebabkan pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tiong Lai yang kecewa dengan perkembangan itu berkata, semua klinik dan hospital di negara ini seharusnya mengambil langkah segera dalam mengesan pesakit yang dijangkiti H1N1 bagi membolehkan rawatan segera diberikan.

"Jadi saya ingin menggesa semua klinik dan hospital sentiasa berwaspada, lebih efektif dan mengambil tindakan serta langkah segera dalam mana-mana kes yang disyaki H1N1," tegasnya.

Monday, July 27, 2009

Korban kedua H1N1 di Malaysia

Jul 27, 09 4:14pm
Wabak selesema A (H1N1) memakan korban kedua - lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, 12.35 tengahari semalam.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi di hospital swasta di Subang Jaya.

Rakyat tempatan itu yang bekerja di Belgium pulang pada 4 Julai lalu mula mengalami demam serta batuk selepas bercuti bersama keluarga di Langkawi pada 13 Julai.


Si mati kemudian mendapat rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya pada 16 Julai dan pemeriksaan dada menunjukkan korban mengalami pneumonia, kata ketua pengarah kesihatan.

"Kes dirujuk ke hospital swasta yang lain di Subang Jaya pada 19 Julai untuk rawatan di unit rawatan rapi.

"Ujian sampel tekak buat pada 22 Julai dan sahkan positif influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 23 Julai,"
kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).

Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail, daripada 49 kes terbaru hari ini, 29 kes daripadanya di sembilan gugusan penularan baru dan 13 lagi kes daripada empat gugusan sedia ada.

Tujuh kes selebihnya, termasuk satu kes kematian itu, dikelaskan sebagai kes terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) hingga kini 1,124 kes, termasuk 550 kes jangkitan tempatan.

Maklumat berkaitan kes terbaru di sembilan gugusan penyakit seakan-akan selesema (ILI) seperti berikut:

Lima kes di kalangan pelajar Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Kuala Sungai Baru, Melaka. Seramai 58 dari 1,477 orang pelatih dan kakitangan institut berkenaan dikesan mengalami gejala ILI sejak 23 Julai.

Kolej tersebut ditutup Sabtu lalu sehingga 1 Ogos.

Dua kes di SMK Batu Laut, Kuala Langat, Selangor. Terdapat 18 pelajar daripada keseluruhan 625 pelajar dan kakitangan yang mempunyai gejala ILI bermula dari 23 Julai.

Sekolah ini ditutup bermula Khamis lalu sehingga 30 Julai.

Empat kes melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Terdapat 282 pelajar bergejala ILI bermula 21 Julai. Universiti tersebut ditutup dengan memberikan cuti semester lebih awal sejak Sabtu lepas hingga 2 Ogos.

Tiga kes di SMK Bako, Kuching, Sarawak. Terdapat 41 orang daripada 1,549 warga sekolah mempunyai gejala ILI sejak 17 Julai. Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau kejadian ILI di sini.

Tiga kes positif di sebuah kelas di SMJK Cina Katholik, Petaling Jaya, Selangor. Terdapat empat daripada 49 pelajar mempunyai gejala ILI sejak 21 Julai.

Lima kes di SM Teknik Perdagangan Johor Bahru, Johor. Terdapat 59 daripada 994 pelajar dan guru mempunyai gejala ILI bermula 22 hb Julai.

Akibatnya, sekolah ini telah ditutup mulai Jumaat hingga 30 Julai.

Empat kes didapati positif di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat 23 daripada 240 pelajar asrama mempunyai gejala ILI sejak 25 Julai dan sekolah ini ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

Satu kes didapati positif di SM Agama Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat enam daripada 470 warga sekolah mempunyai tanda ILI dari 25 Julai dan sekolah ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

Dua kes di SM La Salle, Tanjung Aru, Sabah. Empat daripada 800 pelajar mempunyai gejala ILI dari 21 Julai.

Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau sekolah ini.

Sementara itu, Bernamamelaporkan, Kementerian Pelajaran merancang mengedarkan alat mencegah jangkitan virus wabak itu ke semua sekolah, membabitkan peruntukan RM3.6 juta.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) bagi mengedarkan termometer, topeng muka dan hidung serta cecair penyahkuman.

"Ini langkah terbaik dalam usaha kementerian mencegah H1N1. Pemakaian topeng muka dan hidung serta bahan penyahkuman juga merupakan sebahagian latihan kebersihan di kalangan murid," beliau dipetik berkata selepas taklimat perkembangan H1N1 di Johor Bahru hari ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/109351

Marina kecam Kosmo! dedah sejarah peribadi Yasmin

Jul 27, 09 6:27pm
Aktivis popular Datuk Marina Mahathir mengecam keras akhbarKosmo! kerana mendedahkan latar belakang pengarah terkenal Yasmin Ahmad yang sejak lahir dikenali sebagai Zulkifli.

Menyifatkan akhbar dalam kumpulan Utusan Melayu Bhd itu sebagai "makhluk yang hina", aktivis wanita itu berang dengan media berkenaan yang melaporkan pengarah itu sebagai seorang naib juara bintang RTM pada 1975 dan penyerang bolasepak Melaka pada zaman persekolahannya sewaktu dikenali dengan nama asalnya.

"Malangnya terdapat makhluk hina yang dipanggil Kosmo!yang mengaibkan nama baiknya (Yasmin).

"Remuk perasaan keluarganya," kata Marina.

"Yasmin belum lama disemadikan dan Kosmo! telah mula menerbitkan bermacam-macam sampah mengenainya.

"Bukannya menghormati seseorang yang percaya pada apa yang boleh dicapai oleh Malaysia dan rakyatnya, Kosmo! sebaliknya memilih mencemarkan reputasinya.

"Apakah tidak ada rasa hormat di kalangan editor dan pemberita di sana?"

Anak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut menggesa pembaca membantah pemberitaan itu dan memulaukannya.

"Beginikah caranya kita mengenang mereka yang pernah memberi sumbangannya kepada negara?

"Apakah ini maksudnya Satu Malaysia?" kata Marina di blognyaRantingsbyMM hari ini.

Akhbar tabloid harian itu menyifatkan filem-filem iklan Yasmin, selalunya pada musim perayaan, "yang penuh dengan suasana hidup 1Malaysia" - slogan yang yang dipromosikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Yasmin, 51, meninggal dunia lewat malam Sabtu lalu setelah dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara petang Khamis lepas akibat diserang angin ahmar ketika di stesen TV3.

Pemergian Yasmin, seorang pengarah yang mengangkat perfileman negara mutakhir ini bersama kontroversinya tersendiri, ditangisi oleh tokoh politik, penggiat seni dan peminatnya.

Filem-filemnya Sepet, Gubradan Mukhsin cukup terkenal, termasuk di di luar negara dan menggondol beberapa anugerah di beberapa festivel filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes.

Jenazah Yasmin selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, kira-kira 1 petang semalam.

http://www1.malaysiakini.com/news/109373

Yasmin, satu dalam sejuta

Kali pertama tiba di masjid dan selepas itu ke tapak perkuburan, hati rakan-rakan Yasmin Ahmad seakan-akan teringat babak-babak penyatuan kaum dalam filem-filemnya.





YASMIN bersama ibunya, Enom Yon.



ALLAHYARHAM Yasmin bersama suaminya, Abdullah Tan Yew Leong.



PAKAIAN tradisional menjadi pilihan Yasmin sekali gus menyerlahkan peribadinya yang sopan.


MASIH jelas terbayang dalam ingatan ramai orang diMalaysia pada sosok bernama Yasmin Ahmad. Siapa sahaja yang tidak teringat dengan pesonanya yang dilihat sering menyarung baju kebaya putih dan dipadankan dengan kain batik, berselipar serta menjinjit tas tangan sambil berjalan penuh santun.

Kesederhanaan pengarah filem prolifik itu yang menyuntik elemen masyarakat majmuk tanpa menunjukkan sebarang kemewahan duniawi dalam karya garapannya sebelum ini membuatkan dia lekas meraih perhatian khalayak pelbagai kaum.

Itu pandangan kami sebagai pemerhati di gelanggang seni. Kualitinya sebagai anak pula, dia adalah insan yang paling disayangi oleh keluarga.

Saat Allahyarham Yasmin, 51, dikebumikan, deraian air mata pantas gugur dan bergenang dalam kelopak mata setiap ahli keluarganya. Mereka seolah-olah tidak mampu berdepan dengan hakikat anak yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh berada di dalam liang lahad.

"Dia merupakan satu dalam sejuta. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah meninggikan suara kepada sesiapa pun termasuklah saya mahupun ayahnya.

"Arwah Yasmin merupakan seorang yang mendengar kata dan seboleh-bolehnya, dia cuba merendahkan suaranya agar kami tidak terasa," kata ibu Yasmin, Enom Yon, ringkas dalam nada sebak.

Sempat mengumpulkan kekuatan sebelum berbicara lanjut tentang Yasmin, Enom dalam nada tersekat-sekat memohon orang ramai yang hadir pada majlis pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan SS22, Subang Jaya, Selangor supaya memaafkan segala kesilapan yang dilakukan Yasmin sama ada sengaja ataupun tidak sengajakan.

"Saya minta agar semua orang di sini sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Ampunkan kesalahannya, jika ada yang terasa atau berkecil hati dengannya," ujarnya sayu.

Mungkin masih belum dapat menerima hakikat bahawa anaknya telah pergi, Enom pengsan selama beberapa minit ketika talkin dibacakan.

Suami Allahyarham, Abdullah Tan Yew Leong, juga tidak dapat menahan air mata daripada mengalir tanpa henti saat jenazah dimasukkan ke liang lahad. Malah Abdullah juga seperti mahu rebah pada waktu itu.

Sepanjang upacara pengebumian Allahyarham Yasmin, keluarga pengarah itu enggan ditemu ramah dan tidak membenarkan gambar jenazah dirakam.

Keengganan berjumpa dengan pihak media mungkin satu luahan perasaan sedih bahawa mereka masih belum lagi menerima kenyataan pemergian Allahyarham Yasmin yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya pada 1 Julai lalu.

Malah, adik-beradik pelakon Sharifah Amani yang menganggap pengarah itu sebagai ibu mereka juga tidak henti-henti menangis di samping ibu kandung mereka, Fatimah Abu Bakar. Mereka tidak sanggup untuk berkata-kata pada upacara tersebut.

Kosmo! sempat menemuramah sedikit saudara terdekat Allahyarham, Sharifah Kayat, 61. Dia memberitahu: "Hati Yasmin sungguh murni dan ikhlas. Saya percaya ramai yang selesa dengannya kerana dia juga banyak membantu orang."

Allahyarham Yasmin telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya pada pukul 11.25 malam kelmarin selepas menjalani pembedahan pada Khamis lalu setelah diserang strok dan mengalami pendarahan otak.

Muhibah Yasmin

Umum mengetahui Yasmin dianggap sebagai orang baru yang melangkah kaki ke dunia pengarahan filem. Namun soal baru ataupun lama bukanlah agenda penting yang ingin dibahaskan dalam coretan istimewa ini.

Penangan Yasmin sebagai sutradara dilihat cukup 'berkuasa' kepada penggiat seni lain dan khalayak. Masakan tidak, semua orang berbahas tentang keberanian Yasmin yang bersikap telus tatkala menceritakan tentang masyarakat majmuk di Malaysia.

Biasanya, dalam sesebuah filem tempatan, kita boleh melihat hampir 90 peratus pelakonnya adalah Melayu. Namun cuba anda perhatikan filem-filem garapan Yasmin yang indah dengan barisan para pelakon berbagai bangsa, kaum dan budaya. Ia mencerminkan sikap dan prinsip seorang Yasmin yang tidak punya sebarang perasaan skeptikal terhadap orang lain.

Sebut sahaja filem-filem arahannya bermula dengan Sepet (2004),Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009), masing- masing ada warna dan corak tersendiri yang membuatkan penonton bukan Melayu juga dapat duduk sama dalam panggung wayang bagi menerokai karya nukilan Yasmin.

Sama halnya juga dengan sikap Yasmin di luar. Sarat dengan sikap muhibah membuatkan beliau mudah didekati oleh orang sekeliling. Siapa sahaja yang tidak tertawan dengan keramahan dan lidahnya yang sentiasa bercakap tentang perkara yang baik-baik belaka.

Lantaran itu, tidak hairanlah apabila situasi yang sama dapat dilihat dalam upacara pengebumian Yasmin. Kali pertama tiba di masjid dan selepas itu, ke tapak perkuburan, hati orang ramai seakan-akan teringat babak-babak penyatuan semua kaum dalam filem Yasmin.

Pengarah yang tiada pengganti

Ucapara pengebumian Yasmin dihadiri oleh pelbagai bangsa yang turut berduka dengan kehilangan seorang teman yang selama ini ketawa dan menangis bersama. Tidak pernah meletakkan sebarang batasan dirinya sebagai orang popular, Yasmin bijak menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja waima kali pertama bertentangan mata.

Kerana itu, pengumpulan pelbagai bangsa pada upacara pengebumian Allahyarham Yasmin menunjukkan beliau diberi penghargaan bagaikan seorang pemimpin negara.

Melihatkan profil karya filemnya yang baru bermula pada tahun 2003, penangan nama Yasmin Ahmad begitu kuat dan kerap disebut-sebut oleh masyarakat luar serta penggiat seni lain tidak kira dari segi positif atau negatif.

Kontroversi yang diterima Allahyarham Yasmin di arena perfileman tanah air adalah ekoran keterbukaan dan keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan.

Selain nilai-nilai muhibah dan kemasyarakatan yang diterap ke dalam filem, penyampaian cerita yang dihasilkan juga begitu artistik dan kreatif. Setakat ini, belum lagi ada pengganti yang begitu kreatif sepertinya.

Sungguhpun dikritik hebat, beberapa filem beliau telah diangkat ke peringkat antarabangsa dengan pelbagai anugerah yang antaranya adalah Anugerah Filem Asia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2005, Anugerah Grand Prix di Festival Filem Wanita Antarabangsa Creteil 2005 dan Anugerah Filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Cinemanila 2007.


YASMIN (di tengah) akrab bersama para pelakon filem Talentime.


Kenyataan adiknya, Muzaffar Ahmad, 38, pada Jumaat lalu begitu menusuk hati. Kata Muzaffar: "Bukan masa Yasmin tinggalkan kita." Kata-kata itu memang ada kebenarannya. Tiada sesiapa yang mahu Yasmin meninggalkan kita dan keluarga untuk selama-lamanya.

Namun itu semua kuasa Tuhan yang menentukan segala-galanya. Barangkali Yang Maha Kuasa amat menyayangi Yasmin lantas nyawanya diambil dalam waktu awal tatkala masyarakat Malaysia masih dahagakan karya beliau.

Biar apa jua yang berlaku, hasil peninggalan Yasmin iaitu filem-filem yang digarapnya sebelum ini tetap akan diingati oleh pemujanya sehingga bila-bila. Hakikat itu memang tidak mampu dinafikan lagi.

Walaupun beliau sudah tiada di muka bumi ini lagi, paling pasti rakyatMalaysia tetap akan merindui beliau. Tiada kata lain yang dapat dizahirkan melainkan ucapan semoga Yasmin ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan rohnya bersemadi dengan aman di alam seterusnya. Selamat tinggal Yasmin!

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Sunday, July 26, 2009

Kes H1N1 cecah 1,000

Jul 26, 09 8:22pm
Jangkitan influenza A (H1N1) di Malaysia kini mencecah 1,000 kes apabila 54 lagi kes baru dilaporkan di seluruh negara hari ini, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican.

Katanya, daripada jumlah kes baru itu, 43 kes merupakan kejadian dari tujuh kluster baru, lima daripada kluster sedia ada manakala enam lagi adalah kes terpencil termasuk satu kes import.

"Sehingga kini, 1,075 kes dicatatkan dengan satu kematian, dengan 574 kes atau 53 peratus adalah kes import manakala 501 kes atau 47 peratus kes jangkitan tempatan.

"Hanya empat kes atau satu peratus sahaja yang sedang menerima rawatan anti-viral di hospital,"
katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.


Sehubungan itu, beliau berkata pihak Kementerian akan terus memantau kejadian kes H1N1 mahupun "Influenza-like illness"(ILI) yang dimasukkan ke hospital.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan institusi pendidikan dan tempat kerja supaya lebih peka dan berinformasi mengenai penyakit berjangkit ini.

Ismail juga meminta orang ramai melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan terdekat sekiranya terdapat tanda-tanda orang di sekeliling mereka menampakkan simptom yang menjurus kepada jangkitan H1N1 dan ILI.

"Mereka yang mendapat gejala yang teruk atau berisiko tinggi perlu segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan," katanya

Penularan wabak


Mengenai langkah untuk memperlahankan penularan wabak itu, Ismail berkata orang ramai perlu patuhi beberapa peraturan yang digariskan termasuk mengamalkan kebersihan diri terutama membasuh tangan secara rutin serta mengamalkan duduk berjarak sekurang-kurangnya satu meter dengan individu lain di samping mengurangkan majlis perjumpaan.

"Kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah tetapi perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di tahap yang optimum dan memakai topeng mulut dan hidung dan jika gejala bertambah teruk, segeralah mendapatkan rawatan," katanya.

Mengenai kes kedatangan yang berkurangan disebabkan demam, batuk dan selesema sama ada di sekolah mahupun di tempat kerja, Dr Ismail berkata perkara itu perlu dilaporkan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

"Bagi pelajar yang sekolah dan institusi mereka terlibat dengan arahan penutupan sementara, adalah dimaklumkan hanya mereka yang bebas dari tanda-tanda H1N1 atau ILI sahaja yang dibenarkan pulang.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang masih ada tanda penyakit itu, kita nasihatkan mereka untuk terus berehat kerana mereka masih mempunyai risiko untuk menularkan virus di kalangan rakan masing-masing,"
katanya.

Di LABUAN, lapan pelajar dari dua sekolah menengah yang baru pulang dari Melaka mengikuti program kadet pertahanan awam anjuran Jabatan Pendidikan Labuan dimasukkan ke hospital pada Ahad selepas didapati positif H1N1.

Mereka adalah antara 17 pelajar dari Sekolah Menengah Pantai dan 17 dari Sekolah Menengah Sungai Bedaun yang menaiki penerbangan Air Asia AK5177 dari Kuala Lumpur yang tiba di lapangan terbang Labuan 10.40 pagi ini.

Baki 26 pelajar bersama dua orang guru yang mengiringi mereka diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari mulai hari ini.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Zaini Hussin memberitahu Bernama bahawa lapan pelajar itu dimasukkan ke hospital selama tujuh hari.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Haji Yussof Mahal menasihatkan pelajar dan ibu bapa mereka jangan panik tetapi sentiasa mematuhi prosedur perubatan.

http://www1.malaysiakini.com/news/109304
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...