Monday, August 3, 2009

H1N1: Sabah tubuh jawatankuasa khas

Isnin Ogos 3, 2009

KOTA KINABALU: Sabah akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan penularan Influenza A (H1N1) yang semakin membimbangkan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Edward Khoo selaku timbalan pengerusi.

"Jawatankuasa khas ini akan memantau dan melaporkan perkembangan wabak Influenza A (H1N1) kepada Kabinet Negeri dari semasa ke semasa," katanya ketika menjawab soalan Datuk Rubin Balang (BNKemabong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya sehingga semalam, seramai 273 orang dilaporkan positif virus H1N1 di Sabah dengan Kota Kinabalu mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 164 kes.

"Negara kini memasuki fasa mitigasi dalam menangani pandemik Influenza A(H1N1). Dalam fasa ini, penularan jangkitan akan cuba diperlahankan dan ini amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya.

Masidi pula berkata berlaku penurunan ketibaan pelancong ke Sabah dalam lima bulan pertama tahun ini dan ia berpunca daripada faktor kegawatan ekonomi global dan bukan kerana wabak.

"Namun penurunan ketibaan pelancong hanya 0.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas" katanya. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/3/mstar_berita/20090803131935&sec=mstar_berita

A(H1N1): Ibu meninggal dunia, bayi 2 minggu sihat

Isnin Ogos 3, 2009

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun meninggal dunia pada pukul 4 pagi tadi ekoran jangkitan influenza A(H1N1) - menjadikan kematian yang ketujuh di negara ini setakat ini.

Wanita berkenaan melahirkan bayi perempuan - anak sulungnya dua minggu yang lalu. Bayi tersebut sihat.

Ia disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan.

Kematian itu merupakan kes pertama di negeri Sarawak.


http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/3/mstar_berita/20090803111210&sec=mstar_berita

H1N1: Sabah tidak bercadang tutup ladang ternakan babi

Isnin Ogos 3, 2009

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak bercadang menutup ladang ternakan babi di negeri itu berikutan penularan virus selesema babi atau Influenza A(H1N1) yang semakin membimbangkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, berkata kes jangkitan virus itu berlaku dari seseorang kepada orang lain dan bukan daripada ternakan haiwan itu.

Bagaimanapun, tindakan menutup ladang tersebut hanya boleh dilakukan sekiranya ladang ternakan itu tidak memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan, katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahim Ismail (BNPantai Manis) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Yahya berkata, sejak penularan virus itu April tahun ini, kementeriannya, melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, telah mengambil langkahlangkah bagi memastikan ternakan babi di Sabah tidak membawa virus itu.

Antaranya ialah dengan mengambil sampel darah dan calitan hidung dari ternakan babi untuk dianalisis, katanya.

"Sebanyak 1,411 sampel calitan hidung dan 1,371 sampel darah telah diambil dari 63 ladang ternakan babi di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Pada masa yang sama, pemantauan klinikal juga dilaksanakan di semua daerah di mana tidak ada kes positif didapati pada ternakan babi mahupun di kalangan pekerja di semua ladang-ladang tersebut," katanya.BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/3/mstar_berita/20090803131617&sec=mstar_berita

Jangan bantu syaitan rosakkan saudaramu

Ahad Ogos 2, 2009

SAYA hanya sempat mengikut dari jauh isu dan secebis ‘hukuman sebat ke atas peminum arak’ di Pahang.

Banyak juga email mengenainya meminta saya mengulas isu tersebut, termasuk email seorang tokoh politik dan ahli Parlimen ternama.

Banyaknya urusan menjadikan saya ‘ketinggalan bas’ kebelakang ini. Rasanya, sikap rela model berkenaan patut dipuji.

Ya, arak itu haram di sisi Islam, tiada siapa pun yang beriman berbeza pendapat mengenainya.

Namun apabila hukuman ke atas pesalah itu dilaksanakan, ia membabitkan dua aspek utama; pertama, hukuman yang dikenakan, kedua, individu yang dihukum.

Para sarjana hukum, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan.

Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali. Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan ‘Abd Rahman bin al-‘Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali (lihat: Riwayat Muslim).

Tindakan Khalifah ‘Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment)? Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatah lagi, Nabi s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintahan berdasarkan kepada keperluan (takzir).

Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan.

Pun memang hukuman sebat dalam Islam bukan seperti sebat yang ngeri di penjara sivil yang biasa kita dengar dan lihat.

Sebatan Islam sama sekali bukan untuk mencederakan, sekadar mengingat dan mengajar. Lebih daripada itu, Islam tidak benarkan kita mengutuk pesalah yang dihukum.

Dalam riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya.

Apabila selesai, seseorang berkata: “Allah telah menghinanya”. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu”.

Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi. Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan.

Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan.

Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.

Hudud

Ramai yang bercakap tentang hudud. Namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini.

Sama ada hanya terikut-ikut dengan media, atau terikut-ikut teks kitab-kitab lama. Ramai yang tidak menyemak tentang maksud, kaedah, keadaan, suasana dan keluasannya.

Seseorang muslim yang faham tidak mungkin menentang hudud, tetapi mungkin bertanya adakah suasana yang menyebabkan perlaksanaan hudud yang adil dan berkesan wujud pada sesuatu tempat dan masa untuk menjadikan ia mencapai tujuannya?

Apabila syarat dan suasana itu wujud, maka hudud dilaksanakan. Ketika itu akan dapat dilihat keadilan, keindahan dan kesan hukuman tersebut yang bertujuan untuk kebaikan manusia.

Untuk melihat hudud secara lebih luas dan tidak fanatik mazhab atau pandangan tertentu, karya Mohamed S. El-Awa, Punishment In Islamic Law antara yang baik untuk dibaca di zaman kini.

Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi). Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut: “Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapohan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati.

Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang conducive itu mendahului usaha perlaksanaan hudud.

Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.

Suasana

Ada beberapa email yang menarik perhatian saya mengenai hukuman arak di Pahang itu. Ada yang menyatakan kepada saya, mengapakah peminum arak sahaja dihukum, sedangkan taukeh-taukeh arak yang beragama Islam dibiarkan?

Sedangkan mereka ini ada memakai gelaran yang hebat-hebat dan ‘disembah hormat’ oleh rakyat. Ada pula berkata: “Mengapa kes model itu begitu cepat diproses, sedangkan saya yang menderita kes rumah tangga saya sudah bertahun lamanya, mahkamah syariah belum putus apa-apa?”.

Berbagai lagi sungutan yang lain. Memang itu semua bukan justifikasi untuk peminum arak dibiarkan, tetapi hukuman apabila tidak kelihatan adil atau serakam, manusia akan membuat berbagai alasan dan akhirnya tujuan dan keindahan hukum itu hilang.

Para ulama dan pejuang Islam mempunyai tugasan yang berat untuk memboleh Islam dalam bentuk dakwah dan pendidikan itu menjelma dalam bentuk hukuman dan perlaksanaan yang adil dan saksama.

Maka tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina.

Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan. Apatahlagi hukuman murtad itu sendiri mempunyai berbagai penafsiran.

Perjuangan penting para pendakwah Islam masakini adalah memberikan pendidikan dan kefahaman yang jitu mengenai Islam. Generasi kini terdedah kepada berbagai perkara.

Sudah banyak email saya terima daripada anak-anak muda melayu yang bukan sahaja tidak percayakan Islam, bahkan meragui kewujudan Tuhan.

Inilah epidemic yang sedang meningkat dalam dunia ini iaitu atheism yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, atau seperti pelakon Brad Pitt yang tidak dapat membuat keputusan Tuhan wujud atau tidak yang disebut sebagai agnosticism.

Mereka ini sedang memenuhi Dunia Barat hari ini dengan peningkatan yang menakjubkan. Laman-laman web mereka mengganggu minda sebahagian orang Islam yang tidak terdedah kepada Islam yang berteraskan hujah dan fakta.

Hanya sekadar pernah mendengar ceramah kartun dan lawak oleh sesetengah penceramah. Ceramah atau pengajaran agama yang tidak memenuhi piawaian cabaran zaman kini akan gagal menyelamatkan generasi kita.

Ya, kita mahu Islam, kita mahu suasana Islam dan kita mahu hukum berteraskan Islam. Namun itu semua tidak boleh capai dengan mudah, memerlukan pengembelingan tenaga yang serasi dengan suasana kita.

Pemerintah dan rakyat hendaklah ada kesungguhan. Islam yang hendak ditonjolkan hendaklah membawa kepada sangkaan baik manusia terhadap Allah dan RasulNya, bukan mengelirukan mereka. Bak kata Nabi s.a.w: “Jangan bantu syaitan rosakkan saudaramu”.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/8/2/mstar_kolum_minda_mufti/20090802015212&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Sejahat-jahat makhluk

Isnin Ogos 3, 2009

DARI Aisyah r.a. katanya,:”Sesungguhnya ummu Habibah dan Ummu Salamah ada menyebutkan kepada nabi gereja yang dilihatnya di negeri Habsyah, bahawa di dalam gereja itu ada sejumlah patung.

Sabda nabi s.a.w,:”Sesungguhnya orang-orang itu jika yang meninggal di antara mereka orang soleh, mereka membuatkannya masjid di atas kuburannya dan mereka buatkan patungnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.” (al-Bukhari)Huraian

Islam tidak meredhai umatnya menyimpan patung di dalam rumah kerana ia mirip kepada sembahan-sembahan yang biasa dipertuhankan oleh orang-orang kafir.

Sekalipun seseorang itu tidak menganggap patung tersebut sebagai tuhan dan tidak menyembahnya, ia tetap ditegah kerana Islam bukan sekadar melarang seseorang dari melakukan syirik tetapi ia juga menghalang dan menutup segala jalan-jalan yang mengarah, menyerupai dan memiliki unsur syirik.

Lebih dari itu malaikat juga enggan memasuki rumah yang mempunyai patung di dalamnya dan ketiadaan para malaikat ini akan menjauhkan rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penghuni rumah tersebut.

Akan tetapi Islam sedia memberi kelonggaran dan kemudahan hukum kepada anak-anak kecil yang memiliki patung sebagai alat mainan kerana bagi anak-anak, patung-patung tersebut tidaklah memiliki sebarang nilai sembahan kecuali sekadar alat mainan sahaja.

Namun begitu di zaman kini agak sukar dibezakan antara patung (al-Tamathil) yang dibenarkan atau dilarang kerana ia kini diperbuat dari pelbagai bahan-bahan yang berbeza dengan zaman Nabi s.a.w. Ada patung dari aloi logam, bahan gentian plastik, kaca dan sebagainya.

Maka langkah terbaik dan selamat ialah tidak menyimpan patung-patung tersebut sama ada di dalam rumah, pejabat, kereta atau di mana-mana sekalipun kerana ditakuti ia menjebakkan kita di dalam perbuatan syirik tanpa sedar. Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

http://mstar.com.my/variasi/agama/cerita.asp?file=/2009/8/3/mstar_agama/20090728170559&sec=mstar_agama

Lelaki rogol anak dibelasah penduduk

KUANTAN: Sekumpulan penduduk kampung nekad membelasah seorang lelaki selepas mengetahui perbuatan terkutuk lelaki itu yang merogol anak kandungnya sejak Disember tahun lalu di Balok, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, sekumpulan penduduk kampung mengepung rumah lelaki berusia 40 tahun itu sebaik mendengar cerita sedih mangsa.

Sebelum itu, mangsa berusia 14 tahun dan sudah tidak bersekolah duduk bersendirian di tepi pantai Balok dalam keadaan sedih dan enggan bertegur sapa dengan rakan sekampungnya walaupun dia disapa.


Bagaimanapun, pujuk rayu penduduk kampung yang bersimpati melihat keadaan mangsa akhirnya membongkar cerita mengejutkan apabila mangsa mendakwa menjadi hamba seks bapa sendiri sejak Disember tahun lalu.

Terkejut dengan luahan isi hati mangsa, sekumpulan penduduk kampung kemudian merancang menangkap bapa mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sebelum membelasah lelaki terbabit bergilir-gilir.

Lelaki terbabit dikatakan cuba melarikan diri tetapi gagal sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan, kelmarin.

Difahamkan, lelaki bernafsukan binatang itu sudah bercerai dengan isteri pertama yang juga ibu mangsa sebelum berkahwin dengan wanita lain.

Namun, isteri kedua lelaki itu melarikan diri tanpa diketahui sebabnya pada Oktober tahun lalu.

Mangsa sebelum ini tinggal bersama ibunya kemudian berpindah ke rumah bapanya sejak dua tahun lalu dan dipaksa melakukan hubungan seks berulang kali selepas ibu tirinya menghilangkan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Pelajar gempar

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Pelajar sebuah sekolah menengah agama di Gurun dekat sini, gempar, dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan dipercayai sudah dua hari meninggal dunia di dalam mangkuk tandas di sekolah itu, semalam.

Bayi yang cukup sifat dan lengkap bertali pusat itu ditemui tersangkut dalam saluran lubang najis di mangkuk tandas berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

Bayi seberat tiga kilogram itu ditemui dalam keadaan bogel dan dipercayai dibuang ke dalam mangkuk tandas itu sejurus selepas dilahirkan.


Difahamkan, mayat bayi malang itu ditemui seorang guru wanita sebelum memaklumkan kepada pengetua sekolah berkenaan yang melaporkannya kepada polis.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dipanggil ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat bayi yang tersepit dalam mangkuk tandas.

Difahamkan, seorang wanita berusia berusia 30-an yang mendapatkan rawatan di Hospital Yan dekat sini, kerana mengalami pendarahan teruk dipercayai akibat melahirkan anak, berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Wanita itu kini dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star kerana pendarahan yang dialaminya bertambah serius.

Wanita berkenaan juga tidak memaklumkan mengenai keadaan anaknya yang baru dilahirkan sekali gus menimbulkan persoalan kerana bayinya tiada bersama ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi sebaik pengetua sekolah terbabit membuat laporan di Balai Polis Gurun.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal polis, bayi berkenaan sudah dua hari meninggal dunia berdasarkan bentuk fizikalnya.

“Kami dapati darah dan tali pusat pada badan bayi itu sudah kering, menunjukkan bayi berkenaan sudah meninggal di dalam mangkuk tandas berkenaan sejak dua hari lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Hashim berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini, untuk bedah siasat.

Tepuk bahu tukar kad ATM

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan RM3, seorang lelaki mendapat untung RM1,500 apabila menggunakan taktik menukar kad pengeluaran wang tunai automatik (ATM) ketika mangsa sedang mengutip wang yang sengaja ditabur penjenayah terbabit di atas lantai kerana menyangka itu wangnya.

Kejadian itu menimpa seorang penjawat awam berusia 27 tahun di Taman Melawati di sini, ketika sedang mengeluarkan wang menggunakan kad ATM isterinya.

Sumber berkata, ketika selesai mengeluarkan wang berkenaan tetapi kad masih berada di mesin ATM, bahu lelaki itu tiba-tiba ditepuk lelaki di belakangnya yang bertanyakan mengenai tiga keping wang kertas RM1 yang berada di atas lantai berhampiran kakinya.


“Mangsa yang menyangka itu wangnya, terus membongkok untuk mengutip duit terbabit dan ketika itu penjenayah berkenaan menukar kad ATM isteri lelaki itu dengan kad lain,” katanya.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus mengambil kad dan pulang ke rumahnya di Hulu Klang.

Bagaimanapun, Khamis lalu, selepas beberapa hari kejadian berkenaan, isterinya yang mahu membuat pengeluaran wang terkejut apabila nama yang terpapar pada mesin itu milik orang lain dan tidak aktif.

“Pada mulanya isteri mangsa menyangka mesin terbabit mengalami kesilapan teknikal, namun selepas dua kali mencuba dan masih menunjukkan nama orang lain, dia mensyaki ada sesuatu yang tidak kena.

“Mangsa dan isterinya kemudian ke ibu pejabat bank berkenaan untuk mengetahui hal sebenar,”
katanya.

Sumber itu berkata, pemeriksaan transaksi di bank mendapati baki wang pada bank isterinya ‘lesap’ dan ada individu membuat dua kali pengeluaran RM1,500.

“Mangsa teringat semula kejadian yang bahunya ditepuk individu sebelum dia mengutip wang dianggap miliknya jatuh di atas lantai,” katanya.

Pasangan terbabit yang berasa tertipu dengan kejadian itu kemudian membuat laporan polis.

Kejadian sama pernah dialami See Teck Huan, 32, apabila sekumpulan lelaki dan wanita warga Timur Tengah menunjukkan sejumlah wang kertas di atas lantai ketika mangsa ingin membuat pengeluaran wang di ATM Seri Gombak, Selasa lalu.

Mangsa yang tidak mensyaki sesuatu mengutip wang berkenaan dan menyerahkan kepada warga Timur Tengah berkenaan, tetapi mereka enggan menerimanya lalu meninggalkan mangsa.

See hanya menyedari terperdaya apabila mendapati kad ATM miliknya yang digunakan untuk mengeluarkan wang sebelum kejadian itu milik seorang wanita.

Apabila dibuat semakan semula didapati RM5,100 wang mangsa dikeluarkan dan mangsa mengesyaki ia perbuatan warga Timur Tengah terbabit.

Mangsa pukau ‘tauke kantin’

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang wanita mualaf dikesan bergiat aktif menawarkan pekerjaan sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah menengah kepada suri rumah sebelum melarikan barangan kemas milik mangsa.

Wanita dipercayai berusia 40-an itu mulanya datang ke rumah mangsa ketika suami masing-masing bekerja sebelum menawarkan pekerjaan berkenaan.

Mangsa turut ditaburkan janji manis mengenai gaji diberikan lumayan selain tidak perlu risau hal anak kerana mereka boleh membawa mereka ke kantin berkenaan.


Dalam kes terbaru Sabtu lalu, seorang suri rumah dikenali sebagai Fina berusia awal 30-an, berkata dia didatangi wanita itu ketika menjemur kain di rumahnya di Klang, Selangor.

Katanya, wanita berkenaan yang mempunyai empat anak berusia dua hingga enam tahun itu mengaku sebagai pengusaha katering dan sedang mencari pekerja kantin bagi sebuah sekolah menengah di kawasan berhampiran.

“Wanita itu bersungguh-sungguh menawarkan kerja berkenaan kononnya gaji yang diperoleh boleh membantu suami.

“Selain itu, wanita terbabit turut memaklumkan tiada apa perlu dirisaukan kerana saya boleh membawa anak ke sekolah berkenaan ketika bertugas,”
katanya di sini, semalam.

Katanya, dia kemudian menghubungi suaminya untuk meminta kebenaran bekerja dengan wanita terbabit sebelum turut mengajak seorang lagi jirannya yang kebetulan mahu turut bekerja.

Mereka dibawa menaiki kereta milik wanita itu ke sebuah hospital di sini, kononnya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.


Beliau berkata, dia dan rakannya berasakan seolah-olah terkena ilmu ‘pukau’ apabila hanya mengikuti arahan wanita berkenaan agar menanggalkan barangan kemas dipakai dan barangan berharga serta memasukkannya ke dalam satu beg tangan.

“Kami berdua tidak mengesyaki apa-apa ketika itu dan hanya menuruti arahan wanita berkenaan seolah-olah ‘dipukau’,” katanya.

Selepas tiba di hospital, Fina melakukan pemeriksaan kesihatan dulu sementara rakannya menunggu di luar bersama wanita itu.

Bagaimanapun, rakannya yang menunggu di luar pergi ke tandas dan meninggalkan beg tangan itu kepada wanita berkenaan tanpa menyedari niat jahatnya.

“Namun, sebaik selesai melakukan pemeriksaan, saya mendapati wanita terbabit sudah tiada dan rakan saya pula baru keluar dari tandas.

“Apabila bertanya kakitangan di hospital berkenaan, saya dimaklumkan wanita terbabit sudah keluar dari hospital dalam keadaan tergesa-gesa,”
katanya.

Fina berkata, beg yang dilarikan suspek tidak dijumpai hingga kini dan laporan polis sudah dibuat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090803084749/Article/index_html

Sunday, August 2, 2009

Kanak-kanak 11 tahun mangsa keenam H1N1

Ogos 2, 09 1:56pm

Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menjadi mangsa keenam penyakit Influenza A (H1N1).

Kanak-kanak dari Johor Bahru itu meninggalkan akibat komplikasi hari ini.

Sementara itu, 39 lagi kes baru dicatatkan, kesemuanya jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Ismail Merican berkata kanak-kanak tersebut di dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pada 29 Julai dengan symptom demam selama sehari.

Menurutnya, tiada simptom batuk dan lain-lain tanda gangguan pernafasan. Semasa dalam rawatan keadaan klinikal pesakit bertambah tenat dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 30 Julai.

"Hasil pemeriksaan mendapati pesakit mempunyai jangkitan paru-paru dan myocarditis. Pesakit disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada jam 11.00 pagi 1 Ogos 2009.

"Akibat komplikasi jangkitan pesakit disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 pada 2 Ogos semasa dalam rawatan di ICU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia
2 Ogos 2009

Mengenai situasa terkini, Ismail berkata, hari ini, sejumlah 39 kes baru, kesemuanya kes tempatan dan membabitkan warga negara Malaysia.

Daripada 39 kes yang dilaporkan hari ini, 35 merupakan kejadian dari lapan kluster baru dan empat kes terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga hari ini ialah 1,429 kes dengan enam kematian. Daripada jumlah tersebut, 574 (40%) merupakan kes import dan 855 (60%) kes jangkitan tempatan.

Daripada jumlah ini, 1,394 kes (98%) telah sembuh, hanya 19 kes atau 1 peratus sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dan lapan daripadanya berada di ICU. Sepuluh orang atau 1 peratus sedang menerima rawatan antiviral di rumah.

Menurut Ismail lagi, terdapat lapan kes di ICU di mana lima daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti(1), wanita hamil(2) dan imuniti rendah(2).

Kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak, menjadi mangsa kelima meninggal dunia akibat jangkitan virus influenza A(H1N1) di negara ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/109753

A(H1N1): Kanak-kanak usia 10 tahun mangsa kelima

Ahad Ogos 2, 2009

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak, menjadi mangsa kelima meninggal dunia akibat jangkitan virus influenza A(H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, keputusan bedah siasat ke atas mangsa yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bagan Serai pada pukul 5.30 pagi semalam disahkan positif virus A(H1N1).

Katanya, ujian sampel kahak yang diambil semasa bedah siasat itu telah disahkan positif oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Mengikut maklumat yang diperolehi, kanakkanak ini telah mula sakit pada 27 Julai tetapi tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan pernafasan semasa mendapatkan rawatan sebgai pesakit luar di sebuah klinik swasta," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, malam tadi,

Dr. Mohd. Ismail berkata kanak-kanak itu mengadu sesak nafas pada malam 28 Julai lalu dan mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Serai pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan yang dibuat menunjukkan keadaan kanak-kanak itu stabil, tidak sesak nafas, tiada cyanosis dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar dengan antibiotik dan ubat batuk.

Katanya. pesakit tersebut kembali semula ke klinik berkenaan semalam dan semasa pemeriksaan pada pukul 5 pagi, mangsa mengalami sesak nafas, deman dengan suhu 39 darjah Celcius dan cyanosis sebelum tiba-tiba tidak sedar sebelum meninggal dunia 30 minit kemudian.

Dr. Mohd Ismail berkata. bedah siasat yang dilakukan di Hospital Alor Setar semalam mendapati mangsa mempunyai tanda-tanda radang paruparu teruk.

Katanya, semua ahli keluarga terdekat telah membuat pemeriksaan di mana kedua-dua ibu bapa mangsa adalah sihat sementara lima beradik mengalami jangkitan pernafasan atas yang ringan dan berada dalam keadaan stabil.BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/2/mstar_berita/20090802100430&sec=mstar_berita

Tidak menepati piawaian

Oleh ISMA ISMAIL dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my


GOMBAK: “Kita terpaksa ambil tindakan kerana mereka tidak menepati piawaian sebagai rumah perlindungan, terutama membabitkan pengurusan dan keselamatan penghuni,” kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Adnan Abu Bakar, mengulas tindakan pihaknya melakukan serbuan ke Pondok Penyayang Raudhah (PPR), Khamis lalu.

Menurutnya, JKM berbuat demikian selepas menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa pengurusan rumah terbabit mengabaikan kebajikan penghuni mereka.

Katanya, dakwaan itu termasuk ada penghuni berusia belasan tahun di rumah perlindungan berkenaan tidak pernah bersekolah serta sebilangan remaja wanita yang mengandung luar nikah tidak diuruskan dengan baik.

“Kami buat serbuan dan mendapati PPR memang tidak terurus. Tindakan kami juga berdasarkan pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan yang mengesahkan PPR ‘tidak selamat’ didiami penghuni berkenaan.

“Hasil serbuan berkenaan, kami terpaksa mengambil penghuni terbabit yang membabitkan anak yatim dan remaja wanita bermasalah, kemudian menempatkan mereka ke rumah perlindungan di bawah seliaan JKM. Ada juga (penghuni) yang kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Adnan berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 24 remaja berusia 18 tahun ke bawah dibawa ke JKM, seterusnya dihantar ke rumah kebajikan seliaan JKM, manakala sebahagian lagi kembali kepada keluarga masing-masing.

Sementara itu, pengasas PPR, Moktarudin Mohd Saaid, menafikan premisnya diserbu JKM, sebaliknya mendakwa pihaknya sendiri menyerahkan anak yatim dan gadis bermasalah terbabit kepada JKM bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan lebih baik.

Beliau yang juga pelakon era 1980-an berkata, pihaknya memang sentiasa bekerjasama dengan JKM dan sudah berbincang mengenai penghuni terbabit untuk diselia sendiri oleh jabatan itu beberapa kali sebelum ini.

Katanya, JKM memaklumkan kepada pihaknya sebelum kehadiran mereka dan tindakan mengeluarkan penghuni PPR, terutama yang di bawah umur, dilakukan kerana polisi baru jabatan terbabit tidak membenarkan pusat perlindungan swasta ‘membela’ mereka.

“Saya sendiri menjadi tukang pujuk kerana kebanyakan anak di pondok ini tidak mahu pergi dengan JKM. Sebab itu kita guna psikologi supaya mereka pergi.

“Bagi saya, lebih baik jika perkara ini tidak digembar-gemburkan kerana kita dan JKM sentiasa bekerjasama kerana lebih penting adalah masa depan anak-anak itu lebih terjamin,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, kelmarin.

Pondok Penyayang Raudhah diasaskan Mokhtaruddin lebih 18 tahun lalu dan terletak di Batu 11 Jalan Gombak-Bentong, dekat sini, dengan memberi perkhidmatan sukarela menjaga dan mendidik anak yatim dan anak yang terabai oleh ibu bapa mereka.

Selain memberi motivasi, penghuni di pondok berkenaan dikatakan diberi kemahiran untuk berdikari serta pengukuhan iman.

Moktarudin sebelum ini pernah membintangi filem Pasung Puaka, Si Luncai, Cahaya Sakti, Langit Tidak Selalu Cerah, Raja Laut, Ribut Barat, Pertentangan, Cikgu Sayang dan Jauh Di Sudut Hati.

Pengurus Pertubuhan Penyayang Raudhah, Mohd Bismi Adira Moktaruddin, pula berkata berikutan polisi baru JKM, pihaknya akan mengubah konsep dan melaksanakan program bagi remaja melebihi 17 tahun serta yang ada masalah gejala sosial saja.

”Kami juga akan mencari dana bagi memperkemas serta menyediakan kemudahan terbaik di pondok berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan JKM,” katanya.

“Usaha ayah saya adalah sukarela dan memang sumber kewangan kami terhad, tetapi ia tidak menghalang niat kami membantu remaja kita yang bermasalah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090801192744/Article/index_html

Silat atas sejadah

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan NAZARALI SAERIL
metahad@hmetro.com.my
cakera padat video (VCD) keluaran sebuah pertubuhan seni
bela diri milik bekas suaminya." title="SAYU... Izati bersama sebahagian koleksi bahan bacaan dan
cakera padat video (VCD) keluaran sebuah pertubuhan seni
bela diri milik bekas suaminya." height="175" width="300" border="0">
SAYU... Izati bersama sebahagian koleksi bahan bacaan dan
cakera padat video (VCD) keluaran sebuah pertubuhan seni
bela diri milik bekas suaminya.

KUALA LUMPUR: Jika bercakap mengenai hal agama, dialah ‘juara’, tetapi apabila melihat amalannya, pelik dan luar biasa.

Betapa tidak, lazimnya selepas solat kita berdoa, tetapi dia pula ‘bersilat’ apabila melakukan pelbagai gerakan tangan sambil bersila di atas sejadah.

Begitulah dunia seorang lelaki yang kini hidup bersendirian selepas sanggup menceraikan isterinya yang tidak mahu menuruti amalannya.


Mahu kisah berkenaan dijadikan iktibar, bekas isteri lelaki terbabit tampil membuat pendedahan kepada Metro Ahad.

Ibu tunggal dua anak itu yang mahu dikenali sebagai Izati, 29, berkata perbuatan aneh bekas suaminya dikesan sejak lima tahun lalu.

“Segala-galanya bermula apabila dia (suami) kononnya mahu melakukan lebih banyak ibadat dan mencari ketenangan, tetapi dia tersilap langkah apabila bertemu ‘guru’ yang salah.

“Seumur hidup, belum pernah saya melihat perbuatan seperti dilakukannya. Selepas solat, dia bersila dan melakukan beberapa gerakan menggunakan tangan umpama orang bersilat,”
katanya.

Menurut Izati, gerakan seperti bersilat itu dilakukan bekas suaminya dalam tempoh lima hingga 10 minit sebelum disusuli dengan wirid, zikir dan doa.

“Kalau nak ikutkan, solatnya tidak cukup. Dia banyak meninggalkan yang fardu, tetapi lebih suka melakukan solat ketika tengah malam.

“Sampai satu tahap, dia memberitahu, solat hanya perlu niat, malah dia juga melakukan solat jamak biarpun tidak bermusafir,”
katanya.

Izati berkata, sepanjang mengikuti ajaran itu, bekas suaminya lebih banyak di luar untuk mengikuti ‘kuliah agama’ daripada ada di rumah.

“Sejak itu rumah tangga saya goyah. Dia benar-benar berubah dan paling saya tidak dapat terima apabila dia berkata saya dan ahli keluarga yang lain umpama bukan beragama Islam kerana tidak membuat baiah (perakuan sumpah setia).

“Dia beritahu, seseorang itu hanya benar-benar Islam jika berbaiah dengan ‘gurunya’. Yang saya tahu, baiah berkenaan dilakukan di depan gurunya dengan menyebut nama wali dan guru lain,”
katanya.

Menurut Izati, bekas suaminya bermati-matian mahu dia dan keluarganya melakukan baiah itu.

“Apabila saya tak mahu mengikut kehendaknya, dia sanggup tinggalkan saya. Secara berterus terang dia beritahu, sanggup tinggalkan saya, anak dan memilih ‘gurunya’,” katanya.

Izati berkata, suaminya begitu taksub dengan gurunya sehingga dia merujuk kepada gurunya mengenai apa saja perkara.

“Saya tidak dipedulikan. Jika dia perlukan saya, dia datang dan jika tidak, dia buat tidak peduli saja. Sampai satu tahap dia pernah beritahu dia bosan memandang wajah saya, tetapi wajah gurunya dilihat berseri-seri,” katanya.

Menurut Izati, selain rumah tangga goyah, sumber kewangan bekas suaminya juga tergugat.

“Gaji lebih RM4,000 tetapi dia selalu tiada wang. Apabila saya selidik, rupa-rupanya wang gajinya banyak disalurkan kepada pertubuhan seni bela diri dinaungi gurunya,” katanya.

Izati berkata, hasil perbualan dengan bekas suaminya, ada beberapa keanehan ajaran guru bekas suaminya.

“Bekas suami beritahu, dia pernah mandi beramai-ramai di dalam satu kolah bercampur lelaki dan perempuan ketika mula menyertai pertubuhan berkenaan.

“Satu lagi perbuatan pelik, bekas suami juga memberitahu, dia pernah berendam di bawah air terjun beramai-ramai bersama lelaki dan wanita pada jam 12 tengah malam dengan tujuan membuang sial,”
katanya yang turut yakin bekas suaminya dipergunakan pertubuhan berkenaan.

Menurut Izati, selama lima tahun dia cuba mempertahankan rumah tangganya, namun dia akhirnya diceraikan selepas tidak mahu menuruti amalan bekas suaminya, terutama permintaan supaya dia berbaiah.

“Walaupun sudah berpisah, demi anak, saya mahu bekas suami kembali ke pangkal jalan. Pada masa sama, dengan pendedahan ini diharap pihak berkuasa dapat membanteras ajaran songsang pertubuhan itu,” katanya yang membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).



> Jawi kumpul bukti

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah kira-kira lima bulan menerima aduan berkaitan ajaran sesat ‘Silat Atas Sejadah’, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) belum dapat mengambil tindakan terhadap ajaran sesat ‘Silat Atas Sejadah’.

Jurucakap Jawi berkata, mereka ada maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat terbabit, tetapi tidak dapat mengambil tindakan lagi kerana masih mengumpul bukti mensabitkan kesalahan mereka.

“Jawi memang ada maklumat berkaitan kegiatan kumpulan ajaran sesat itu. Siasatan awal mendapati, tumpuan operasi mereka lebih di Selangor dan Perak.

“Bagaimanapun, ada juga yang beroperasi di sini, cuma kami masih dalam usaha mengenal pasti kawasan dijadikan pusat pertemuan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, jika tindakan diambil terhadap Silat Atas Sejadah mengikut fatwa tertentu, ia perlu tepat dan benar. Ini kerana, jika gagal dibuktikan di mahkamah, kemungkinan besar kes itu dibuang dan ahlinya dibebaskan.

“Kami mahu elak perkara seumpama itu berlaku. Kerana itu kita perlu dapatkan bukti dan segala yang berkaitan dengannya secara menyeluruh,” katanya.

Dalam masa sama, jurucakap itu turut mengesahkan menerima aduan berkaitan ajaran sesat terbabit daripada seorang wanita yang juga isteri kepada ahli tegar kumpulan ajaran sesat terbabit.

Aduan itu dibuat kira-kira lima bulan lalu dan selepas itu siasatan dimulakan. Setakat ini tiada serbuan atau tangkapan dibuat.

“Kami menerima aduan daripada wanita berkenaan berkaitan kegiatan suaminya yang aktif dalam ajaran sesat terbabit dan mahukan tindakan tegas diambil.

“Kami menasihatkan wanita berkenaan supaya bersabar selain memintanya sentiasa memastikan anak serta anggota keluarga lain berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini,”
katanya.

Hingga 28,000 di M'sia mungkin mati akibat H1N1

Ogos 1, 09 8:03pm
Dianggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema A (H1N1) jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus tersebut.

"Daripada angka ini (5.5 juta orang dijangkiti), jika kita anggarkan kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus, kira-kira 5,500 hingga 28,000 penghidap selesema itu akan meninggal dunia," kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr David KL Quek memetik unjuran yang dibuat pengarah penyakit berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tee Ah Sian dalam satu mesyuarat pasukan kebangsaan petugas khas menangani wabak itu, pada awal minggu ini.

Dalam perkembangan terkini, kadar kematian di seluruh dunia meningkat daripada 0.4 kepada 0.66 peratus.

Dr Quek mendedahkan maklumat itu dalam artikelnya "Flu measures: Confusion rather than non-compliance" yang diedarkan kepada beberapa media semalam. [Baca artikel penuh]

Beliau juga menekankan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan, hospital, doktor di pusat kesihatan swasta dan orang ramai agar wabak ini dapat dikekang secara lebih berkesan.

Dr Quek juga menegaskan kepada semua pihak, termasuk media, agar tidak menuding jari kepada pengamal perubatan swasta atau beberapa pihak lain atas beberapa perkembangan terkini wabak itu.

Menurutnya lagi, wabak itu dijangka sekurang-kurangnya berlarutan antara satu hingga dua tahun sebelum reda - sama ada virusnya berubah dalam bentuk lebih lemah atau vaksin telah ditemui untuk membasminya.

Setakat ini, vaksin belum ditemui dan dijangka akan diperolehi hujung tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 10 peratus simpanan stok ubatan anti-virus 'Tamiflu' dan 'Relenza' buat masa ini tidak cukup memandangkan penularan ketara penyakit berjangkit itu.

Kerajaan akan memesan lagi bekalan ubat itu daripada WHO
bagi memastikan negara mempunyai bekalan ubat itu pada setiap masa bagi membendung wabak influenza A(H1N1), lapor Bernama.

"Melihat kepada trend penularan wabak itu yang semakin meningkat, kita perlu memesan ubat itu daripada WHO," beliau dipetik berkata selepas menghadiri Konvensyen MCA Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, kementerian turut menempah 200,000 dos vaksin influenza A (H1N1) dan dijangka mendapat bekalan itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya tempahan tersebut terpaksa dilakukan awal kerana prosedur
menguji ubat itu mengambil masa sebelum dapat diberikan kepada pesakit.

Sementara itu, lapor agensi berita itu lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 19 kes baru H1N1 dilaporkan hari ini dan kesemuanya melibatkan rakyat Malaysia.

Jumlah terkumpul 1,390 kes, termasuk 816 kes atau 59 peratus melibatkan jangkitan tempatan.

"Daripada keseluruhan, 1,362 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 17 kes atau satu peratus sahaja sedang menerima rawatan antivirus di hospital.

"Lapan daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU), manakala 11 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah,"
katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/109727

Friday, July 31, 2009

H1N1: 69 kes baru transmisi tempatan dicatatkan hari ini

Jumaat Julai 31, 2009

KUALA LUMPUR Sebanyak 69 kes baru transmisi tempatan influenza A (H1N1) dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan kes di negara ini 1,371 kes termasuk empat kematian.

Enam puluh lapan kes yang dilaporkan hari ini melibatkan rakyat tempatan manakala seorang lagi rakyat China yang belajar di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini berkata 1,341 kes telah sembuh dan hanya 21 kes masih menerima rawatan antiviral di hospital manakala sembilan lagi menerima rawatan antiviral di rumah.

Sembilan kes berada di unit rawatan rapi iaitu dua remaja obes, seorang wanita hamil dan seorang imuniti rendah, katanya.

Beliau berkata tiga daripada tujuh kes yang berada di unit rawatan rapi pada hari sebelumnya telah dipindahkan ke wad isolasi.

Dr Ismail berkata lima kes sporadik yang baru disahkan positif influenza A (H1N1) adalah keskes yang berkomplikasi dan terus dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Beliau berkata daripada keseluruhan 1,371 kes yang dilaporkan di negara ini, 574 adalah kes import manakala 797 lagi kes jangkitan tempatan.

Merujuk situasi global, Dr Ismail berkata sehingga hari ini sejumlah 177,248 kes dengan 1,173 kes kematian dilaporkan di 163 negara, meningkat sebanyak 526 kes dengan tujuh kematian berbanding hari sebelumnya.

Di KUCHING, kesemua tujuh kes baru H1N1 di negeri itu merupakan jangkitan tempatan dan membabitkan pelajar sekolah iaitu enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Patinggi Kedit, Betong, manakala seorang lagi ialah murid lelaki berusia lapan tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Lutong, Miri.

Sehingga kini, Sarawak mencatat 123 kes H1N1, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, tiada penutupan baru sekolah sejak semalam.

Enam pesakit masih menerima rawatan di hospital, termasuk seorang wanita yang baru melahirkan bayi pada 20 Julai lepas yang masih berada di unit rawatan rapi Hospital Miri, manakala empat dirawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching dan seorang lagi di Hospital Miri. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/31/mstar_berita/20090731212627&sec=mstar_berita

H1N1: Tujuh dirawat di ICU

Jul 30, 09 5:08pm

Tujuh orang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan selesema A (H1N1) dan 11 lagi dirawat di rumah, kata ketua pengarah kesihatan.

Jumlah ini kira-kira 1 peratus yang masih dirawat, sementara selebihnya daripada 1,302 kes - termasuk empat kematian - telah berjaya disembuhkan, kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 728 kes atau 56 peratus melibatkan jangkitan tempatan.

Sejumlah 36 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan - semuanya kes tempatan yang melibatkan rakyat tempatan. Seramai 32 orang dari tujuh gugusan baru penularan wabak, sementara tiga lagi kejadian dari satu gugusan sedia ada.

Hanya satu kes merupakan kes terpencil - wanita 22 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sg Buloh kelmarin selepas didapati mengidap radang paru-paru. Kes disahkan dijangkiti virus tersebut semalam.

Sementara itu, menurut Dr Mohd Ismail lagi dalam kenyataan hariannya berkenaan wabak itu, 89 pertanyaan diajukan kepada Kementerian Kesihatan semalam.

Dua persoalan utama yang ingin diketahui orang ramai:

Tempat-tempat yang dikenakan arahan penutupan kerana penularan influenza A(H1N1) dan kementerian mengingatkan mereka bahawa wabak itu cenderung merebak di kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi seperti di sekolah, kolej dan institusi pengajian.

Kementerian itu menyarankan supaya orang ramai agar mengamalkansocial distancing atau tindakan merenggangkan dari orang lain dan mengurangkan aktiviti pergaulan di kawasan wabak, termasuk pengajaran dan pembelajaran.

Dr Mohd Ismail juga mengingatkan bahawa vaksin influenza A (H1N1) belum dihasilkan lagi dan hanya dijangka akan berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

"Cara yang paling berkesan untuk melindungi diri daripada jangkitan influenza A (H1N1) adalah mengamalkan kebersihan diri yang baik, adab batuk dan mengamalkan social distancing seperti yang sering disarankan oleh kementerian," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/109619

6 sekolah, 1 maktab , 11 kem PLKN ditutup kes H1N1

Jul 30, 09 12:07pm
Enam buah sekolah dan sebuah maktab perguruan di Pahang dan Pulau Pinang ditutup hari ini bagi membendung penularan wabak selesema A (H1N1).

Sebelas kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Semenanjung turut ditutup selama seminggu berikutan terdapat pelatih
menunjukkan tanda-tanda jangkitan penyakit seakan-akan selesema (ILI).

Empat buah sekolah di Pahang yang berkenaan: SMK Seri Jengka, Maran; SM Abdul Rahman Talib, Kuantan, SM Sains Tengku Abdullah, Raub dan SMK Clifford, Kuala Lipis diarah tutup sehingga 7 Ogos.

Tindakan itu diambil setelah pemeriksaan Jabatan Kesihatan mendapati lapan pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan disahkan positif H1N1, lapor Bernama.

Sementara di Pulau Pinang pula, dua buah sekolah berkenaan SMK Permatang Pasir dan Sekolah Agama Al-Iqwan, Teluk Kumbar serta Maktab Perguruan Tuanku Bainun ditutup sehingga 7 Ogos.

Sebelas kem PLKN di Semenjung - daripada 83 buah di seluruh negara - diarah tutup susulan wujud tanda-tanda jangkitan influenza A (H1N1) di kalangan pelatihnya, lapor agensi berita itu lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata kem yang terlibat ialah:

> Kem PLKN Bina Semangat YPJ di Mersing, Johor;
> Kem PLKN Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak;
> Kem PLKN Jiwa Murni, Semanggol, Perak;
> Kem PLKN Sri Impian, Pulau Pinang;
> Kem PLKN Syruz, Bukit Mertajam, Pulau Pinang;
> Kem PLKN Merang Suria, Terengganu;
> Kem PLKN Peladang, Setiu, Terengganu;
> Kem PLKN Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka;
> Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka
> Kem PLKN Rachado Bay, Port Dickson, Negeri Sembilan; dan
> Kem PLKN Geo Kosmo, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Penutupan itu melibatkan 2,478 pelatih setelah kira-kira 450 orang pelatih dikesan dijangkiti ILI.

"Kebanyakan pelatih menunjukkan tanda-tanda dijangkiti ILI selepas pulang daripada bercuti selama empat hari bermula 24 Julai lepas dan dalam masa yang singkat jumlah pelatih yang mempunyai tanda-tanda ini bertambah dengan banyak," Abdul Hadi dipetik berkata hari ini.

Tambahnya, mengikut prosedur Kementerian Kesihatan, sesuatu tempat yang mempunyai simptom influenza A (H1N1) akan diarah tutup sekiranya 5 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuninya didapati mengalami demam sehingga mencecah 38 darjah Celcius.

http://www1.malaysiakini.com/news/109570
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...