Thursday, June 17, 2010

Anak kucing dua muka


GAMBAR menunjukkan seekor anak kucing yang mempunyai dua muka.


CHARLESTON, West Virginia - Seekor anak kucing yang dilahirkan pada minggu lalu mempunyai dua muka mempunyai peluang 50 peratus untuk hidup, lapor sebuah akhbar semalam.

Anak kucing yang diberikan nama Two Face oleh pemiliknya itu dilahirkan telah dibawa ke sebuah klinik haiwan kerana ibunya enggan menjaga dan menyusukannya.

Selain dua muka, haiwan tersebut mempunyai dua hidung, dua mulut dan empat mata.

Seorang doktor haiwan, Erica Drake, memberitahu anak kucing itu menghidap sindrom Diprosopus yang penghidapnya mempunyai satu kepala tetapi mempunyai dua wajah. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Sultan Brunei ceraikan Azrinaz talak satu


GAMBAR fail menunjukkan Sultan Hassanal Bolkiah (tiga dari kiri) dengan isteri pertamanya, Raja isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (kiri) dan Azrinaz Mazhar Hakim pada sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60 di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada 15 Julai 2006.


BANDAR SERI BEGAWAN - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan perceraian dengan isterinya dari Malaysia, Azrinaz Mazhar Hakim yang merupakan bekas wartawan penyiaran stesen televisyen TV3 malam semalam di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah, 63, yang merupakan salah seorang lelaki terkaya di dunia berkahwin dengan Azrinaz pada 2005.

Azrinaz yang berumur 30 tahun melahirkan dua cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

Berita mengenai perceraian itu diumumkan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alaudin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar menerusi pengumuman khas di stesen televisyen Radio Televisyen Brunei pada pukul 8 malam.

Beliau membacakan kata-kata pujian kepada Allah sebelum mengumumkan mengenai berita perceraian itu.

Semasa membuat pengumuman tersebut, beliau lengkap berkot dan bersongkok dan menyampaikan berita yang mengejutkan itu dengan tenang.

"Maka pada petang Rabu tiga haribulan Rejab 1431 Hijrah bersamaan dengan 16 haribulan Jun tahun 2010 Masihi (baginda) telah menjatuhkan talak satu kepada isteri baginda, Duli Yang Teramat Mulia Pangeran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar," katanya.

Beliau turut mengumumkan semua gelaran dan pingat kebesaran yang diberikan kepada bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah telah ditarik balik mulai tarikh perceraian.

Pada pengumuman khas itu, beliau menyatakan perceraian itu dilakukan atas sebab-sebab khas tanpa memberikan butiran lanjut.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa perceraian itu dibuat dengan dipandu dan ditentukan dengan hukum syarak dan menepati ayat suci al-Quran, surah al-Baqarah dari sebahagian ayat 229 iaitu menikahi dengan baik dan melepaskan juga dengan baik.

Pengumuman itu dibuat selepas tersebarnya khabar angin mengenai perpisahan mereka di Bandar Seri Bagawan.

Menurut agensi berita AP, ia merupakan perceraian yang kedua buat Sultan Hassanal Bolkiah yang mempunyai anggaran kekayaan sekurang-kurangnya AS$20 bilion (RM65.25 bilion).

Baginda bercerai buat pertama kali dengan seorang bekas pramugari, Mariam Abdul Aziz yang mempunyai darah keturunan Brunei, Jepun dan Scotland pada Februari 2003 selepas 21 tahun mendirikan rumah tangga.

Namun, Sultan Hassanal Bolkiah mengekalkan perkahwinan dengan isteri pertama, Raja Isteri Pangiran Hajah Anak Saleha yang dikahwininya pada 1967.

Putera sulung baginda, Putera Al-Muhtadee Billah Bolkiah kini merupakan Putera Mahkota dan bakal mewarisi tampuk pemerintahan.

Sultan Hassanal Bolkiah mula memerintah pada 5 Oktober 1967 selepas ayahanda baginda turun takhta.

Kekayaan Sultan Hassanal Bolkiah menjadi legenda di kalangan golongan kaya.

Semasa bermain polo dengan pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera Charles, kasut baginda untuk bermain polo telah dihantar dengan menggunakan helikopter. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Padah bercinta wanita 'UK'

GEORGE TOWN - Jika sebelum ini, sindiket penghantaran barangan palsu dan penipuan di Internet hanya diselesaikan oleh pihak polis tetapi semalam lain pula ceritanya.

Buat pertama kalinya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini berjaya membongkar kes itu apabila dapat menahan empat suspek.

Mereka yang ditahan ialah seorang wanita tempatan dan seorang lelaki Nigeria serta satu pasangan suami isteri.

Pasangan pertama berusia 25 dan 48 tahun itu ditahan pada Mac lalu manakala pasangan kedua ditahan di pejabat SPRM di sini pada pukul 10 pagi semalam.

Lelaki Nigeria yang mendakwa sebagai pelajar sebuah kolej itu merupakan perancang utama sindiket manakala pasangannya pula menguruskan kemasukan pelajar luar negara ke sini.

Pasangan suami isteri itu merupakan anak kepada wanita tersebut dan masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Model auta

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
am@hmetro.com.my
2010/06/17

GEORGETOWN: Bermodalkan gambar seorang wanita yang kononnya model di laman sosial Facebook, satu sindiket didalangi lelaki warga asing dipercayai mengaut keuntungan ribuan ringgit dengan menipu lelaki yang mudah terpikat dengan kata-kata manis model itu.

Bagaimanapun, kelicikan sindiket itu dibongkar selepas seorang mangsa berusia 50 tahun membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, baru-baru ini.


Sindiket itu didalangi lelaki warga Nigeria berusia 25 tahun dan ibu tunggal warga tempatan berusia 48 tahun yang menggunakan gambar wanita untuk memikat lelaki sebelum menipu mangsa.


Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md Yatim berkata, sindiket itu juga dianggotai anak perempuan dan menantu ibu tunggal berkenaan yang masing-masing berusia 24 dan 25 tahun. Mereka dicekup kira-kira jam 10 pagi di Pulau Pinang, semalam, selepas penahanan pertama di Kuala Lumpur, Mac lalu.

Katanya, mangsa yang juga peniaga berkenalan dengan seorang wanita warga asing mendakwa berasal dari United Kingdom penghujung tahun lalu menerusi Facebook dan hubungan mereka menjadi intim.


Katanya, wanita itu yang mendakwa dirinya model, berjanji menemui mangsa dalam tempoh beberapa bulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


“Pada satu hari, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mendakwa pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dari KLIA, menyatakan teman wanitanya (model di Facebook) ditahan kerana tidak mengisytiharkan wang tunai 50,000 pound (RM300,000) yang dibawa dari luar negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, semalam.


Latifah berkata, mangsa yang sangsi dengan panggilan itu kemudian melaporkan kepada SPRM Mac lalu dan bagi memerangkap sindiket berkenaan, wang tunai RM5,000 sengaja dimasukkan ke dalam akaun pegawai kastam itu seperti diminta.


Bagaimanapun, sehari kemudian, pegawai kastam sama meminta mangsa membayar RM3,000 lagi.


Menurut Latifah, bagi memerangkap sindiket itu, mangsa memaklumkan akaun banknya dibekukan dan wang tunai RM3,000 itu akan diserahkannya sendiri.


“Seperti dirancang, pegawai kami hadir di tempat ditetapkan di Kuala Lumpur bersama mangsa dan akhirnya pasangan itu ditahan Mac lalu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Modelauta/Article


Tragedi hitam

2010/06/17

PORT DICKSON: Perjalanan jauh seorang remaja dari Shah Alam, Selangor ke bandar percutian ini untuk bertemu kekasih hati mengundang tragedi hitam apabila dirogol lelaki terbabit di sebuah rumah di Springhill, di sini.

Malah, lebih menyedihkan apabila remaja berusia 15 tahun itu turut dirakam gambar manakala barang kemas dan telefon bimbitnya dirampas teman lelakinya yang berusia 25 tahun.


Detik hitam remaja itu bermula apabila dia datang seorang diri ke bandar ini sebelum dijemput teman lelakinya pada 5 Jun lalu. Mereka kemudian ke sebuah rumah di Springhill.


Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata mangsa kemudian dirogol di rumah berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi keesokan harinya.


“Selepas dirogol, suspek merampas barang kemas yang dipakai dan telefon bimbit mangsa sebelum menghantar gadis berkenaan ke stesen komuter Seremban pada keesokan harinya.


“Gadis berkenaan kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian yang dialaminya pada 9 Jun lalu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tragedihitam/Article

Remaja lari dinodai kekasih

2010/06/17

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang dikatakan merajuk dan melarikan diri dari rumahnya menerima padah atas perbuatannya apabila dia dinodai teman lelakinya.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bergaduh dengan kakak dan sering dimarahi ibunya kerana tidak pandai menjaga adik lelakinya yang baru berusia setahun. Mangsa yang tertekan kemudian meninggalkan rumahnya di Bandar Permaisuri, di sini, sebelum lari bersama teman lelakinya.

Semuanya bermula Isnin lalu, kira-kira jam 5 petang, apabila mangsa dibawa teman lelakinya ke sebuah flet sebagai tempat untuk menyembunyikan pelajar itu daripada keluarganya. Menurut sumber, lelaki terbabit dikatakan menyewa sebuah bilik di kawasan perumahan itu sebelum berjanji akan menjaga keselamatan teman wanitanya.

“Namun, kepercayaan mangsa lebur apabila dia dirogol teman lelakinya itu pada malam berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, esoknya suspek meninggalkan mangsa namun berpesan supaya tidak meninggalkan rumah itu.

Penagih Melayu pilih ganja

2010/06/17

JOHOR BAHRU: Berdasarkan gaya semasa, remaja Melayu gemar mengambil dadah murah seperti ganja manakala remaja Tionghua pula lebih menumpukan untuk mendapatkan dadah mahal termasuk syabu dan pil.

Selain itu, remaja Melayu juga gemar menghisap ganja di lokasi di mana ia diperoleh tidak seperti remaja Tionghua yang kebiasaannya melakukannya di premis hiburan.


Berdasarkan pasaran semasa, ganja dianggarkan berharga RM10 sepaket manakala dadah jenis pil dan syabu pula mencecah puluhan hingga ratusan ringgit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Kamaruddin Abdul Aziz ketika mendedahkan perkara itu mengatakan gaya semasa itu diperoleh hasil serbuan dan juga tangkapan dibuat sebelum ini.


“Ganja murah dan mudah diperoleh, tetapi syabu serta dadah jenis pil mahal selain sedikit sukar untuk mendapatkannya. Kajian berkaitan gaya semasa itu pula kami kumpulkan hasil daripada serbuan di lokasi penagihan. “Walaupun berbeza dari segi harga, bila disebut saja dadah, ia tetap bahaya. Oleh itu, kami harap masyarakat khasnya remaja, tanpa mengira kaum menjauhkan diri daripadanya,” katanya, di sini, semalam.


Berkaitan kejayaan keseluruhan JSJN Johor sepanjang enam bulan tahun ini, Kamaruddin memaklumkan jumlah terbesar dadah dirampas ialah pada Khamis dan Jumaat lalu dengan nilai RM2.3 juta.


Berdasarkan statistik, sepanjang Januari hingga 13 Jun lalu, JSJN Johor merampas dadah bernilai RM4.53 juta membabitkan Ketamin, Ecstacy juga serbuknya, Eramin 5, Psikotropik, Domicum, heroin, ganja, syabu, ubat batuk, air serta daun ketum.


“Pecahan itu membabitkan 17 kilogram (kg) Ketamin, heroin (18kg), ganja (25kg), syabu (tiga kg) dan serbuk Ecstacy (sembilan kg). “Dadah jenis pil pula membabitkan Eramin 5 sebanyak 21,800, Ecstacy (20,966), Psikotropik (7,298) dan Domicum sebanyak 8,212. “Ubat batuk membabitkan 32.7 liter, air ketum (dua liter) dan daun ketum sebanyak tujuh kilogram,” katanya.


Selain dadah, JSJN juga membuat tangkapan membabitkan 335 pengedar dadah. Daripada jumlah itu, 194 disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Menurut Kamaruddin, jumlah keseluruhan tangkapan pula ialah 4,380 dengan 3,015 daripadanya ditahan untuk siasatan lanjut. Dalam masa sama, 83 tangkapan turut dibuat terhadap pengedar dadah mengikut Seksyen 3(1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.


“Seramai 17,043 individu diperiksa membabitkan kes penagihan dadah dan daripada jumlah itu, 6,905 didapati positif,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PenagihMelayupilihganja/Article

Berebut wanita

Oleh Yahya Awang
am@hmetro.com.my
2010/06/17

TAIPING: Gara-gara berebut dua wanita warga asing, dua lelaki sanggup bertumbuk dan bergaduh di khalayak ramai di sebuah kedai makan di sini sehingga salah seorang daripadanya mengalami kecederaan teruk di muka akibat di simbah sup panas.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam pada 8 Jun lalu di Medan Selera Taman Tasik itu, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan serius di muka akibat melecur teruk disimbah sup panas oleh seorang lelaki berusia 45 tahun selepas kedua-dua mereka bertengkar. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan sebelum menjalani rawatan lanjut di sebuah klinik swasta.


Beliau berkata, sejurus selepas kejadian, mangsa membuat laporan polis sebelum gerakan memburu suspek dilakukan.


“Selang lima hari selepas kejadian, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi membantu siasatan.


“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak melebihi RM4,000,”
katanya ketika ditemui semalam.


Yusuf berkata, pergaduhan kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai berpunca kerana berebut dua wanita warga asing berusia 20-an.


Katanya, siasatan awal mendapati, kedua-dua wanita warga asing itu mempunyai dokumen perjalanan sah. Bagaimanapun, mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berebutwanita/Article

Serangan cemburu

Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Khairulmizan Yahya
fauzie@hmetro.com.my
2010/06/17

KUANTAN: Seorang wanita bukan sekadar parah akibat tangannya ditetak dengan parang, malah bakal menderita sepanjang hayat akibat disimbah asid oleh suami yang menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

NASIB...Kalliyammah menerima rawatan di HTAA, Kuantan.
NASIB...Kalliyammah menerima rawatan di HTAA, Kuantan.
Dalam kejadian di sebuah estet di Kemasul, Bera, dekat Temerloh, kira-kira jam 7 pagi kelmarin, P Kaliyammah, 22, parah di kedua-dua tangan apabila cuba menahan tetakan parang dilibas suaminya yang berusia 32 tahun dan didakwa panas baran serta kaki botol dan penagih ganja.

Menurut mangsa, kejadian berlaku di tepi jalan ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari pejabat pengurusan estet berdekatan rumah kakaknya selepas memohon cuti kerana hendak bersembahyang di kuil.

“Ketika itu suami menyerang dan menghambur kata-kata kesat dengan menuduh saya tidur dengan lelaki lain selepas sebulan saya tak pulang ke rumah,” katanya ditemui di Unit Kebakaran Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.

Suami Kaliyammah yang ketika itu dalam keadaan mabuk didakwa bertindak ganas dengan menyimbah cuka getah ke arahnya dan terkena anggota badan dari pinggang ke bawah ketika mereka bertengkar.

“Saya menjerit kesakitan dan cuba melarikan diri, tetapi dia yang masih tidak puas hati, cuba menetak saya dengan parang. Saya cuba menahan tetakan itu menyebabkan kedua-dua tangan saya cedera.

“Dalam keadaan kesakitan dan separuh bogel selepas pakaian terkena simbahan asid, saya berusaha melarikan diri ke rumah kakak yang terletak berhampiran sambil dikejar suami dengan parang,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah di estet berkenaan.

Kaliyammah bersyukur kerana sempat diselamatkan kakaknya dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Triang, dekat Bera, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, berikutan kecederaannya serius, wanita itu dipindahkan ke Unit Kebakaran HTAA, Kuantan, pada hari sama.

Menurut Kaliyammah, suaminya yang bekerja sebagai tukang cat, panas baran dan selalu memukulnya.

“Malah, dia juga kaki botol dan sering memarahi dan memukul saya tanpa sebab munasabah,” katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, selepas kejadian berkenaan, hatinya tawar untuk terus bersuamikan lelaki itu dan bertekad mahu bercerai.

Kakak sulung mangsa, P Murugammal, 36, berkata dia terkejut menyaksikan kejadian itu dan nekad menyelamatkan Kaliyammah dengan menjerit meminta bantuan orang ramai walaupun adik iparnya mengejar adiknya dengan parang.

Menurutnya, Kaliyammah yang tinggal bersamanya di estet itu tidak pernah curang atau melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain seperti dituduh suaminya, tetapi enggan pulang ke rumah kerana sering memukulnya.

“Mereka sudah empat tahun kahwin dan mempunyai dua anak lelaki berusia empat tahun dan enam bulan, tapi meninggal dunia kira-kira sebulan lalu akibat masalah jantung.

“Selepas kematian anaknya itu, dia tinggal bersama saya kerana tak tahan dengan sikap suami yang selalu memukulnya dan difahamkan mereka kini dalam proses perceraian.


“Walaupun keluarga kami tidak merestui perkahwinan Kaliyammah dengan lelaki itu, demi kebaikan mereka, kami pernah menasihatkan lelaki terbabit berubah sikap dan saya tak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asistan Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, lelaki terbabit yang turut cedera di perut, dada dan tangan kanan akibat terkena asid yang disimbahnya, kini dirawat di Hoshas.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian suspek dipercayai mabuk dan polis tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara lelaki itu dengan mangsa.

“Namun, punca sebenar masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Anak bongkar rahsia dibelasah

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
2010/06/16

KUALA LUMPUR: Bapa Iblis! Itulah panggilan yang layak diberikan kepada seorang bapa apabila dipercayai tergamak mencabul kehormatan dua anak perempuannya, sejak setahun lalu.

Lebih teruk, lelaki terbabit sebelum ditahan memukul anak perempuan sulung daripada tiga beradik sehingga lebam di muka dan badan berikutan perbuatan jahatnya itu terbongkar, kelmarin.

Lelaki berusia 53 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai mengambil kesempatan mencabul kehormatan anak bongsunya berusia 14 tahun ketika mangsa berseorangan di rumah. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang, sekitar Mei lalu.


Menurutnya, ketika itu anak perempuan bongsu suspek berada di rumah bersamanya manakala dua lagi kakaknya tiada. “Suspek mengambil kesempatan itu dengan mendekati mangsa seterusnya memulakan adegan jijik itu dengan mencumbui dan meraba seluruh tubuh anaknya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian mengugut akan membelasah anaknya jika dia melaporkan kejadian itu kepada sesiapa. Bagaimanapun, katanya, kerana tidak tahan selalu menjadi pemuas nafsu serakah bapanya, budak perempuan itu membuat laporan polis dengan mendakwa sering dicabul sejak setahun lalu.

“Apabila anak sulungnya berusia 16 tahun tahu mengenai perangai bapanya, lelaki itu memukulnya di muka dan badan,” katanya. Oleh itu, katanya, kedua-dua perempuan yang masih bersekolah itu membuat laporan polis terhadap bapa kandung mereka.

Khairi berkata, anak sulung lelaki terbabit kelihatan lebam di muka dan dipercayai baru ‘dibelasah’ bapanya ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. “Kami masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan anak sulung lelaki itu juga mungkin dicabul kehormatannya,” katanya.


Khairi berkata, lelaki itu ditahan dan direman seminggu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323/506 kanun sama.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakbongkarrahsiadibelasah/Article

Gemuk walaupun 11 tahun merokok

2010/06/16

KUALA LUMPUR: “Saya tetap gemuk walaupun sudah 11 tahun menghisap rokok, malah boleh dikategorikan sebagai obesiti kini,” kata Juruselam Najibah Muhammad, 25.

Dia yang mula menghisap rokok ketika di tingkatan dua berkata, tabiat itu menjadi amalannya selepas terpengaruh kata-kata seorang rakan lelaki yang mendakwa rokok mampu menurunkan berat badan terutama bagi wanita.


“Pada mulanya, saya merokok kerana ingin menjadi kurus, tetapi cara itu tidak berjaya, malah saya menjadi perokok tegar sehingga mampu menghabiskan 20 batang sehari,” katanya.


Sementara itu, perunding kewangan, Wendy Chia Shinyi, 26, berkata, dia langsung tidak percaya yang tabiat menghisap rokok boleh membuatkan seseorang menjadi kurus. “Jangan percaya tabiat merokok boleh membantu ‘si montel’ mengurangkan berat badan sebaliknya mereka mungkin berdepan kematian kerana ia mengurangkan kandungan nutrien dalam badan,” katanya yang sudah menjalani rawatan untuk berhenti merokok.


Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata satu kajian mengenai gejala merokok di negara ini menemui fakta mengejutkan apabila jumlah kanak-kanak perempuan mula merokok pada usia di bawah 10 tahun didapati satu kali ganda lebih ramai berbanding kanak-kanak lelaki.

Pensyarah Jabatan Nutrisi dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rokiah Md Yusof, berkata kenyataan itu hanya ‘mitos’ kerana belum ada kajian membuktikan tabiat merokok mampu mengurangkan berat badan.


Katanya, sikap wanita yang terlalu taksub untuk kelihatan ramping dan cantik persis model mengakibatkan mereka mudah terpengaruh dengan kenyataan terbabit sehingga tidak mengendahkan kesan negatif daripada tabiat itu.


“Apabila mereka menghisap rokok, bahan kimia yang terdapat dalam rokok itu kononnya mampu ‘membunuh’ lemak dan membakar kalori sehingga perokok terbabit kekal ramping,” katanya ketika dihubungi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gemukwalaupun11tahunmerokok/Article

Penipu berlagak alim

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
2010/06/16

KUALA LUMPUR: Cukup licik apabila seorang wanita berusia awal 40-an dikesan menggunakan perwatakan alim dan kebijaksanaannya dalam bidang agama untuk meyakinkan mangsa supaya mengambilnya bekerja sebelum menghilangkan diri dan melarikan harta milik syarikat.

KESAL...Zakiah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Zakiah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
Difahamkan, wanita yang dikenali dengan nama Azza itu menyasarkan ahli perniagaan dan VIP termasuk beberapa orang daripada golongan berstatus Datuk dan Datin sebagai mangsa tipu muslihatnya.


Wanita terbabit turut memukau mangsanya dengan menunjukkan beberapa gambarnya bersama orang ternama ketika cuba meyakinkan mereka supaya mengambilnya bekerja.


Itu taktik wanita terbabit untuk menipu puluhan ahli perniagaan sebelum melarikan ratusan ribu ringgit wang majikannya dan beberapa harta milik syarikat.


Dalam kejadian terbaru, seorang ahli perniagaan yang mengusahakan katering berusia 50-an mendakwa kerugian lebih RM50,000 apabila wang syarikatnya ‘habis’ digunakan wanita itu.


Menurut mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zakiah, dia mengenali wanita terbabit, Februari lalu, apabila memperkenalkan diri orang yang berpengalaman dan mengenali beberapa Datuk dan Datin.


“Saya tidak sangka perwatakannya yang alim itu hanya topeng untuk dia menipu orang, malah ramai VIP turut ditipunya,” katanya.


Zakiah berkata, dia yang menjalankan perniagaan katering di Sungai Buloh lebih lima bulan lalu ditipu Azza, 42, yang berasal dari Kedah selepas ditawarkan kerja sebagai pegawai pemasaran di syarikatnya.


Beliau berkata, kerana percayakan wanita itu, dia sanggup membelikan sebuah kereta Pesona SE untuk kegunaan Azza membuat kerja, malah komputer riba, telefon bimbit dan pelbagai kemudahan lain turut disediakan.


“Tapi, selepas lima bulan, saya tengok tiada hasil daripada Azza, malah duit saya makin dimintanya, anggaran lebih RM50,000 saya laburkan untuk dia membuat promosi perniagaan katering saya, tetapi makin lama makin tiada pelanggan,” katanya.


Difahamkan, Azza turut bersengkongkol dengan suaminya menipu VIP dan ahli perniagaan lain.

“Saya mahu dia pulangkan kereta dan barangan syarikat saya,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan dijalankan.


“Saya meminta mangsa yang pernah ditipu wanita terbabit tampil membuat laporan bagi memudahkan kami mengesannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Penoreh getah parah disimbah cuka getah oleh suami sendiri

2010/06/16

KUANTAN: Seorang wanita cedera parah setelah disimbah cuka getah oleh suaminya yang dipercayai mabuk di kawasan perumahan pekerja estet Kemasul Mengkarak dekat Bera, semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian pada 7 pagi itu, mangsa, seorang penoreh getah berusia 22 tahun, diminta oleh kakaknya ke pejabat pengurusan estet berkenaan untuk memohon cuti kerana mereka mahu ke kuil.


Bagaimanapun, katanya kira-kira setengah jam kemudian, kakak mangsa mula berasa hairan selepas adiknya itu tidak pulang.


"Kakak mangsa kemudian pergi mencari adiknya, namun terkejut selepas melihat adiknya itu dikejar dan disimbah cuka getah oleh suaminya sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata, ekoran kejadian itu, mangsa yang berkeadaan separuh bogel setelah seluarnya reput disimbah cuka getah mengalami kecederaan parah dari paras pinggang ke bawah.


Bagaimanapun, kata Noor Asyikin, suami mangsa berusia 32 tahun turut melecur di perut, dada serta tangan kanan selepas terjatuh sebelum terkena cuka getah yang dibawanya.


Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan berikutan keadaannya yang kritikal, manakala suaminya dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.


Motif kejadian masih dalam siasatan, katanya.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penorehgetahparahdisimbahcukagetaholehsuamisendiri/Article

Isteri lelaki mati dipukul polis dapat pampasan RM90,000

2010/06/16

KUALA LUMPUR: Surirumah yang kematian suami akibat dipukul seorang konstabel, akhirnya mendapat pampasan sebanyak RM90,000 daripada pihak polis dan kerajaan.

Siti Rohana Mohamed, 27, mendapat pampasan itu selepas lima daripada enam defendan iaitu Ketua Polis Balai Polis Puchong, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ketua Polis Negeri Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia bersetuju menyelesaikan kes saman RM2 juta di luar mahkamah terhadap mereka.


Peguam M Manoharan yang mewakili Siti Rohana berkata kelima-lima defendan bersetuju membayar jumlah itu tanpa mengaku bertanggungjawab dalam insiden yang berlaku pada 26 Mei 2002.


Manoharan juga berkata pengurusan kes itu berhubung defendan pertama iaitu Konstabel Mohd Izwan Sahak, 28, ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan.


Dalam samannya, Siti Rohana berkata, suaminya Ramli Othman sedang menunggang motosikal bersama-sama Mohamed Fadelli Maulud ketika dipukul Mohd Izwan secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran pada kira-kira 1 tengah hari, pada hari kejadian.


Beliau mendakwa tindakan Mohd Izwan menghayun kayu dan memukul kepala Ramli sehingga menyebabkan kematiannya adalah satu tindakan bersifat ganas, membuta tuli, berniat jahat, cuai dan dengan penuh niat untuk membunuh.


Siti Rohana juga mendakwa Mohd Izwan gagal memberikan apa-apa pertolongan cemas bagi menyelamatkan suaminya walaupun abang suaminya, Rahmad Othman, menjerit-jerit meminta pertolongan.


Oleh itu, beliau menuntut suatu deklarasi bahawa defendan telah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan serta suatu deklarasi bahawa defendan telah gagal atau enggan atau cuai dalam mematuhi Seksyen 20,21 dan 24 Akta Polis 1967.


Siti Rohana juga menuntut ganti rugi teruk atau teladan, ganti rugi khas berjumlah RM2,020,652.00 dan faedah yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Pada 15 Okt 2008, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Mohd Izwan setelah didapati bersalah menyebabkan kematian Ramli.


-Bernama

Lima kematian akibat denggi dalam tempoh tujuh hari

2010/06/16

KUALA LUMPUR: Lima kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh tujuh hari bermula 6 Jun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

.


Beliau berkata, tiga kematian berlaku di Selangor dan masing-masing satu kes di Perak dan Sarawak.


"Empat daripada lima kematian ini berlaku di kawasan wabak denggi dan di kawasan yang tidak bersih serta mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi iaitu antara empat hingga 18 peratus, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Beliau berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 891 kes dilaporkan, iaitu peningkatan 77 kes berbanding minggu sebelumnya, menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini ialah 21,309 kes berbanding 23,056 bagi tempoh yang sama tahun lepas.


"Walaupun bilangan kes menurun sebanyak lapan peratus pada tahun ini, bilangan kematian meningkat 21 peratus daripada 57 kematian tahun lepas kepada 69 kematian dalam tempoh yang sama tahun ini," katanya.


Dr Mohd Ismail berkata, sepanjang minggu lalu, terdapat 22 kawasan berisiko tinggi yang masih aktif berbanding 24 lokaliti berisiko tinggi pada minggu sebelumnya, melibatkan negeri-negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.


Daripada jumlah itu, 11 kawasan masih mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi dan hanya empat daripada 22 lokaliti berisiko tinggi melaksanakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan itu.


Sementara itu, bagi tempoh yang sama, sejumlah lima kes penyakit chikungunya dilaporkan iaitu tiga dari Sarawak dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sabah. Jumlah terkumpul kes chikungunya ialah 566 kes berbanding 2,687 kes, penurunan sebanyak 2,121 kes atau 79 peratus untuk tempoh yang sama pada tahun 2009, katanya.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Limakematianakibatdenggidalamtempohtujuhhari/Article

Ramlah Ram fail cerai

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetrof.com.my
2010/06/16

KUALA LUMPUR: “Saya akui kami dalam proses perceraian. Sebenarnya sudah puas saya mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama suami (Kamal Roslim) sejak 10 tahun lalu namun apakan daya kami tidak sefahaman lagi dan tanpa sefahaman kami tidak boleh hidup bersama.

“Jadi keputusan terbaik adalah berpisah. Justeru, baru-baru ini kami sepakat berpisah cara baik dan sudahpun memfailkan perceraian,” akui Ramlah Ram.

Walaupun agak lama mendengar khabar angin mengatakan penyanyi berusia 45 tahun itu tidak tinggal sebumbung lagi dengan suaminya, namun baru sekarang Ramlah mengaku dia dan suaminya di ambang perceraian.

“Selama ini saya berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga kami, tetapi gagal juga akhirnya. Bagaimanapun, hubungan saya dengan Roslin masih lagi macam biasa. Sebelum ini pun saya tidak pernah beritahu yang saya pernah bergaduh dengannya.

“Saya sayangkan perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka dan jika ada masalah, saya akan cuba menyelesaikannya dengan cara baik, tetapi kalau sudah tidak boleh, hendak buat macam mana. Apakah punca sebenar perceraian kami tidak perlu saya bagi tahu tetapi mestilah ada masalahnya.


“Jika kami bercerai secara rasmi nanti saya berjanji akan beritahu pada media. Pun begitu apa saja yang terjadi kepada rumah tangga saya nanti, tolonglah hormati hak peribadi saya,” katanya.

Tambah Ramlah, mereka pernah menghadiri sesi kaunseling, tetapi gagal memulihkan hubungan.

“Sesiapapun yang berkahwin mengharapkan perkahwinan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat dan begitu juga saya. Tetapi jika sudah tidak dapat hidup bersama lagi, apakan daya saya.

“Saya boleh menerima apa yang berlaku kerana saya sudah cuba mempertahankannya. Jika perceraian ini berlaku juga, saya tidak menyalahkan sesiapa kerana sebagai manusia saya pun bukanlah terlalu sempurna. Lagipun saya berkahwin dengan orang yang saya sayang,” katanya selepas sidang media Majlis Malam Gala 25 Tahun Ramlah di Restoran Rebung, semalam.

Wednesday, June 16, 2010

Masjid kita kaku, tidak mesra pelanggan

Islam adalah gabungan kekuatan keruhanian dan kebendaan. Ia bukan agama kerahiban yang hanya duduk bersila berzikir dan melupakan tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi ini. Juga, bukan agama yang memisahkan dunia dan akhirat, sehingga kegiatan dunia dibicara atau dilaksanakan dalam rupa yang berasingan dengan akhirat. Tidak! sama sekali tidak!

Masjid adalah pusat umat Islam. Masjid dalam Islam mestilah melambangkan kesyumulan atau keluasan Islam itu sendiri. Masjid mesti berfungsi untuk membangunkan umat di sudut keruhanian dan fizikalnya. Memasuki masjid bererti melangkah ke kawasan yang melambangkan ketulusan, kemesraan, kerahmatan dan kesyumulan agama ini. Sebab itu, umat Islam dalam kesibukan urusan kehidupan, mereka diperintahkan singgah lima kali saban hari di masjid demi mengambil tenaga meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah yang memimpin dunia ini. Maka muncullah dalam diri setiap individu muslim satu kekuatan yang luar biasa. Ia adalah gabungan antara unsur langit dan bumi, atau keruhanian dan kebendaan.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Dengan menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting dalam Islam dan kehidupan muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan pendeta (yang hanya menumpukan kepada ibadah khusus), atau sudut untuk golongan menganggur, bukan juga tempat ibadat golongan darwis (ahli pertapaan). Dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abu Zar: “Kewajiban kepadamu adalah jihad kerana itulah adalah pertapaan umatku (Ibn Hibban dan al-Hakim-hadis hasan)”. Al-Qaradawi juga menyebut: “Masjid Nabi itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat Negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja bagi yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan perang juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian (Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam, ” m.s. 233, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Kata seorang tokoh Islam yang terkenal di masa ini, Dr. `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-Sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang di asaskan oleh Rasulullah s.a.w.: “Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi berbagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan” (m.s. 149 Beirut: Dar al-Nafais)

Malangnya, masjid-masjid kita kebanyakannya masih gagal berfungsi sedemikian rupa. Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak masjid kita masih tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang-orang masjid kepada mereka. Takut-takut dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka kurang diberi layanan yang sewajarnya. Lebih teruk lagi ada masjid yang membuat penempatan khas untuk kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarak jauhkan dari saf orang dewasa. Kadang kala jauhnya itu pula diselang beberapa saf. Ditulis pula satu papan tanda ‘saf kanak-kanak’.

Ini semua berpunca dari “khurafat” yang disandar kepada fekah kononnya jika kanak-kanak belum berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka batallah solat. Sebabnya di bawah ‘kulit’ kanak-kanak itu ada najis kerana belum bersunat. Cubalah tanya orang-orang tua, atau ustaz yang mengajar sedemikian rupa, apakah dalam perut orang dewasa tidak ada najis? Atau apakah jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, maka solatnya tidak sahnya? Lebih lucu dari itu ada yang menyatakan boleh menyebabkan terbatalnya keseluruhan saf kerana ‘jangkitan sentuhan’ kanak-kanak. Fatwa seperti ini sebenarnya tidak dinilai dengan penghujahan dalil dan kewarasan akal.

Ketika Ibn Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah s.a.w. bersolat dan memegang telinga atau kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi baginda. Kata Ibn ‘Abbas: Rasulullah bangun bersolat malam. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari). Dalam hadis Anas: “…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari). Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya.

Kata al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani: “Adapun menjadikan saf kanak-kanak di belakang lelaki, aku tidak dapati melainkan hadis yang daif ini sahaja. Ia tidak dapat dijadikan hujah. Tidak mengapa kanak-kanak berdiri dalam saf sebelah lelaki dewasa jika saf masih luas. Solat anak yatim bersama Anas di belakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini. (Al-Albani, Tamam al-Minah, 284, Riyadh: Dar al-Rayah).

Hasil lain dari kecelaruan ini, ada orang dewasa yang sanggup menarik kanak-kanak yang sedang bersolat keluar dari saf kerana dia nak masuk saf. Kemudian disuruh budak itu ke saf belakang. Akhlak buruk ini menjadikan kanak-kanak berjiwa lemah ketika berada di masjid. Sementara orang dewasa yang lewat datang dan menarik kanak-kanak keluar itu pula terbiasa dengan sikap buruk sebagai seorang yang datang lewat lalu merampas tempat orang yang lebih awal.

Ada juga pihak masjid tidak suka kanak-kanak terlalu ramai ke masjid. Bimbang nanti mengganggu keheningan jamaah. Dukacita sikap yang demikian tersimpan dalam perasaan sesetengah orang. Ini kerana sesetengah kita lebih ingin jaga warna kapet baru dari berkempen mendapat jamaah baru.

Dalam hadis Nabi s.a.w, baginda bersabda: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya” (Riwayat al-Bukhari). Lihatlah sikap mesra pelanggan yang ditunjukkan oleh baginda. Maka tidak hairan, masjid di zaman menjadi tempat terpautnya hati setiap generasi. Hadis ini juga memberi maksud imam mesti meringankan solatnya, jika makmum ramai yang bertugas di belakangnya.

Demikianlah Nabi s.a.w menjaga perasaan ahli jamaahnya. Adapun kita, jika ada anak yang menangis, ibunya pasti dipandang sinis. Maka jangan hairan jika kanak-kanak atau remaja merasai lebih diberi layanan mesra ketika berada di pusat-pusat hiburan, dibandingkan jika berada di masjid. Kemudian kita ‘bising’ apabila jenerasi muda tidak minat dengan masjid, atau tidak selesa di masjid.

Di sudut kesyumulan Islam, pemikiran ‘sekular’ masih terpalit baunya dalam gaya fikir kebanyakan kita. Pengajaran di masjid masih terikat dengan beberapa mata pelajaran tertentu sahaja, yang dianggap hanya itulah yang berkait dengan agama. Selainnya, tidak diberi ruang di dalam masjid. Maka hanya tauhid, fekah, tafsir, tasauf dan seumpamanya diajar di masjid. Itupun sebahagiannya masih lagi menggunakan pendekatan lama seakan pendengarnya datang dari beberapa kurun yang lepas. Soalannya, mengapa tidak mata pelajaran akademik moden seperti sains, matematik, geografi juga diajar dalam masjid-masjid?! Tidakkah agama itu merangkumi dunia dan akhirat. Jika ustaz fekah boleh mengajar dalam masjid, mengapa ‘ustaz’ sains tidak?! Fekah berkhidmat untuk umat dalam amalan mereka. Tanpa mengetahui sains juga, banyak fatwa moden tidak dapat dirumuskan!. Tidakkah generasi kita yang mempelajari sains dengan penuh keimanan boleh menjadi benteng kepada umat?.

Fungsi masjid sepatutnya lebih luas. Kata ‘Aisyah r.a: “Suatu hari RasululLah s.a.w. berada di pintu bilikku, ketika itu orang–orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan selindangnya, aku pula melihat kepada permainan mereka”. (Riwayat al-Bukhari). Dalam riwayat lain disebut permainan tersebut ialah permainan senjata. Sikap tidak membantah Nabi s.a.w terhadap permainan mereka menunjukkan perbuatan Habsyah mengadakan permainan senjata dalam masjid adalah sesuatu yang diizinkan. Demikian juga baginda tidak membantah ‘Aisyah melihat mereka, menunjukkan wanita boleh melihat pertunjukan permainan yang dilakukan oleh lelaki. Ini semua menunjukkan bahawa masjid pada zaman Nabi s.a.w. tidak kaku seperti kita.

Justeru, jika masjid memperuntukan kelas-kelas akademik percuma, maka para pelajar kita akan terasa kesyumulan agama ini. Di samping untuk peperiksaan, ia mendidik mereka lebih berdisplin dan ingatkan ALLAH mengenai ilmu yang dipelajari. Ia mampu menjadikan guru yang mengajar lebih mengingati ALLAH mengenai tanggungjawab dan kaitannya dengan Islam. Ini kerana semuanya beroperasi dalam masjid. Jika kelas-kelas tambahan percuma dalam pelajaran-pelajaran tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid pula, maka anak-anak akan dihantar oleh ibubapa ke masjid. Lalu hati mereka dan ibubapa mereka akan dekat dengan masjid dan sentiasa mengenang masjid. Waktu solat, mereka akan bersolat. Jika mereka ingin melakukan sesuatu yang salah, mereka teringat mereka berada dalam masjid. Maka makmurlah masjid dan berfungsilah peranannya.

Jika tiada ruang antara maghrib dan isyak kerana kuliah-kuliah agama yang formal. Masjid kita masih banyak waktu kosong antara zohor dan asar dan antara asar dan maghrib. Duit masjid yang ditabungkan orang itu, bukan sekadar untuk dipaparkan di papan kenyataan tentang peningkatan jumlahnya. Sebaliknya untuk dibuktikan fungsinya dalam membangunkan Islam yang syumul ini.

Banyak aktiviti masyarakat muslim sepatutnya masjid menjadi pusatnya. Kempen penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, kempen pembinaan ekonomi muslim dan berbagai lagi patutnya dikepalai oleh pihak masjid. Anak makmun atau jemaah yang mempunyai berbagai kegiatan dan aktiviti boleh memanfaatkan masjid. Selagi tidak bercanggah dengan syarak, masjid boleh dijadikan penggerak kepada sebarang aktiviti yang bersifat umat dan membantu membangunkan tamadun umat. AJK masjid pula jangan jadikan masjid sebagai syarikat sendirian berhad. Masjid untuk semua.

Dr. Mustafa as-Siba`i dalam menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid berkata: “Apabila Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam …apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka.

Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah s.a.w). yang bertempat di Masjid Nabawi…jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah” (Al-Siba’i, Al-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan: al-Maktab al-Islami).

Kuliah-kuliah di masjid juga mestilah ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan perkembangan masyarakat kita. Fekah yang payah dan menyusah hendaklah dihindari. Jadikanlah Islam itu mudah dan praktikal. Bersesuaian dengan nas-nas Islam yang bersifat demikian.

Demikian pengajaran dalam masjid mesti memberi kesan kepada kehidupan insan yang ke masjid. Jangan ustaz asyik membahaskan tentang bermacam pembahagian air dengan berbagai pecahannya yang bukan-bukan, sehingga berbulan masih tajuk mengenai air itu dan ini. Belum pun masuk tajuk solat dan seterusnya. Malangnya dalam masa yang sama tandas atau bilik air masjid dipenuhi dengan bau dan kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam. Islam bukan sahaja menyuruh kita bersih ketika dalam solat, namun juga di luar solat.

Demikian juga isi pengajaran hendaklah dalam bentuk yang menarik generasi baru. Saingan luar masjid yang menarik manusia moden terlalu. Pusat-pusat hiburan yang lain menggamit generasi muda. Kempen-kempen ke masjid mestilah segar dan baru. Untuk itu, kita perlukan pihak pengurusan yang segar dan mampu membawa manusia ke masjid. Jika yang sedia ada tidak mampu maka, mereka perlu membina peningkatan diri, atau menarik diri. Pihak yang kerajaan amanahkan untuk memantau dan membina kekuatan masjid juga mesti segar megar. Jika tidak mampu, mungkin mereka kena segera tukar. Jika tidak, kita ini secara tidak langsung menghalang orang datang ke masjid.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114: “(maksudnya)Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar”.

Kita mungkin tidak menghalang manusia mendekati masjid. Namun tindakan yang tidak seimbang dengan fungsi masjid menjadikan manusia terhalang secara tidak langsung kerana kita. Generasi muda pelapis pembinaan tamadun umat. Jumlah mereka mesti lebih ramai di masjid dari di pusat-pusat ‘lamunan’. Jangan sampai masjid kita hanya jadi kelab orang pencen sahaja. Sedangkan orang muda berkelab di tempat lain.

http://drmaza.com/arkib_utusan/?p=11

Isu Bin Bukan Bapa Dan Imej Islam

Apabila isu nama bapa wajib dikekalkan dibincangkan oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis, ramai yang cuba mengambil bahagian memperkatakannya. Sehingga orang yang telah lama disepikan pun, termuncul membuat kenyataannya di dada media. Emosi dan sentimen juga dengan aktifnya menempatkan diri. Ada yang menunggu ‘bola tanggung’ merasakan barangkali inilah peluang yang dinantikan. Saya katakan: sabar dulu..

Isu ini sebenarnya bukanlah fatwa saya secara individu. Sebaliknya keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa yang terdiri daripada dua belas anggota yang hadir. Sebahagian besar mereka adalah pensyarah universiti dalam bidang-bidang pengajian Islam yang berbagai dan ramai yang memiliki Ph.D mereka yang tersendiri. Alhamdulillah, Perlis mempunyai anggota fatwa yang teramai. Maka, tidak wajar untuk dianggap ia sesuatu yang dibincangkan sepintas lalu tanpa penelitian. Cuma keputusan itu belum disahkan lagi oleh mesyuarat Majlis Agama Islam Perlis.

Memang, isu ini agak unik dan istimewa. Antara yang paling menyebabkan ia istimewa, ialah penukaran nasab seorang yang menganut Islam kepada Abdullah hanya berlaku di negara melayu kita ini. Saya kurang pasti di Brunai bagaimana?. Yang pasti, hal seperti ini tidak berlaku di negara-negara Arab atau Indonesia yang besar itu. Justeru, di negara ini jika ada persatuan saudara baru yang ratusan anggota, maka kesemua mereka pasti ber‘bin’ yang sama, iaitu ‘Abdullah’. Jika ada sepuluh yang bernama Ahmad, maka amatlah keliru untuk ditentukan Ahmad yang mana satu, kerana kesemua mereka ‘Ahmad bin Abdullah’. Maka –barangkali- terpaksalah pihak pengurus persatuan menghafal nambor kad pengenalan mereka. Begitu juga jika sepasang suami isteri menganut Islam, maka bertukarlah mereka menjadi insan-insan yang nama bapanya sama; Abdullah.

Pada zaman Nabi s.a.w., jika baginda amalkan hal ini, tentulah majoriti para sahabah akan ber’bin’kan Abdullah. Maka tidak adalah lagi disebut ‘Umar bin al-Khattab, sebaliknya ‘Umar bin Abdullah, tidaklah lagi Uthman bin ‘Affan, sebaliknya ‘Uthman bin Abdullah. Juga tidak adalah lagi ‘Ali bin Abi Talib, sebalik ‘Ali bin Abdullah. Sebab, kesemua bapa mereka tidak menganut Islam. Namun apa yang berlaku tidak sedemikian rupa. Ya, baginda menukar nama-nama buruk individu yang menganut Islam tetapi mengekalkan hakikat ‘bin’ mereka. Sedangkan orang Arab begitu menjaga dan menyebut titis keturunan sehingga ke beberapa peringkat. Umpamanya, jika kita membuka kitab yang masyhur, Riyadh al-Salihin, karangan al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) hadith pertama yang beliau sebut daripada ‘Umar bin al-Khattab. al-Imam Al-Nawawi menyebut: “Amir al-Mukminin, ‘Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd al-Uzza…” ‘Abd al-‘Uzza bermaksud hamba berhala al-‘Uzza. Jika lihat nama datuk nabi “… bin Kilab”. Kilab bermaksud anjing-anjing. Islam tidak mengubah sesuatu hakikat yang pasti.

Ada yang cuba mengaitkan isu ini akidah. Seakan Fatwa Perlis tidak fikir tentang akidah. Bimbang jika bapanya bernama dengan nama syirik maka akan menjejaskan akidah anaknya yang menganut Islam. Alangkah lemah cara fikir yang seperti itu. Tidakkah dia tahu, bapanya itu bukan sahaja bernama dengan nama yang sirik, bahkan pengamal kesyirikan. Apakah jika Gopal a/l Subramaniam yang menganut Islam maka setelah nama Gopal ditukarkan kepada Marwan umpamanya, maka Subramaniam yang tidak meredhai Islam ini juga hendak ditukar?!. Maka setiap kali kita berjumpa Subramaniam, kita kena panggil dia ‘Wahai Abdullah’, kerana bimbang jika dipanggil Subramaniam maka rosak akidah anaknya Marwan?! Sesungguhnya kesyirikan tiada kaitan dengan semua itu!! Kalau kerana nama Subramaniam menyebabkan Marwan rosak akidahnya, apakah jika Subramaniam pergi ke kuil, Marwan anaknya yang masuk Islam pun menjadi kufur?! Tidakkah itu lambang pemikiran yang langsung tidak faham konsep akidah!!

Ada yang tanya kenapa hendak ditimbulkan isu ini? Dah lama dah kita amalkan. Kita beritahu bahawa sesuatu perkara yang dibawa ke perbincangan fatwa negeri tentu ada sebabnya. Sama ada ia disebabkan pertanyaan, atau kekeliruan orang ramai mengenai soal hukum-hakam syarak. Maka ia pun dibahaskan.

Di sini saya sebutkan secara ringkas dua alasan utama keputusan tersebut dibuat. Pertama; Nas al-Quran dan al-Sunnah yang melarang hal tersebut. Firman ALLAH s.w.t: (bermaksud): Panggilah mereka itu (dengan ber”bin”kan) kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu seagama dan sebagai “maula-maula” kamu. Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab: 5).

Kata al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) dalam Tafsir al-Tabari menyebut: “Ayat ini adalah dalil bahawa tidak boleh menasabkan seseorang kepada bukan bapanya. Hadith-hadith juga begitu keras menegahnya”.

Dalam hadis-hadis Nabi s.a.w., hal ini banyak disebut. Antaranya: “Sesiapa yang mengaku anak kepada bukan bapanya, maka syurga haram ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari). Juga sabda baginda: “Antara pendustaan terbesar ialah seseorang mengaku anak kepada bukan bapanya” (Riwayat al-Bukhari).

Kenapa Islam melarang hal ini? Sebabnya kerana Islam ialah agama menghormati dan memelihara hak manusia. Islam ialah agama yang tidak pernah menipu hakikat. Seorang bapa, walau siapapun dia, dia tetap bapa. Sebab, benihnya yang sah itulah yang menghasilkan keturunannya. Bukan benih orang lain. Maka anak yang lahir itu berkait dengannya. Selepas itu adanya hukum-hakam berhubung dengan hak, perkahwinan dan harta. Menolak bapa yang hakiki, atau menidakkannya seakan dia tidak wujud boleh menyebabkan kekeliruan keturunan manusia, bercelaru dalam perkahwinan dan penafian tanggungjawab kekeluargaan. Sedangkan Islam adalah agama penegak keadilan hak dan penyebar kesejahteraan insan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaili dalam karya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu: “Keadilan dan hak menuntut dan mewajibkan dinasabkan anak kepada bapanya yang hakiki. Bukan kepada bapa rekaan. Islam agama hak dan keadilan…sesiapa yang ada bapa yang diketahui, maka nasabkan kepada bapanya. Sesiapa yang tidak diketahui bapanya, maka dipanggil maula atau saudara seagama. Ini semua demi mencegah pengubahan hakikat sebenar”. (7/674, Damsyik: Dar al-Fikr 1989).

Inilah agama yang lurus. Sehingga Abu Bakr al-Jazairi dengan lebih sinis dalam tafsirnya Aisar al-Tafasir menyebut: “Wajib membinkan anak-anak angkat kepada bapanya yang dikenali sekalipun bapanya seekor kaldai”.

Justeru itu, baginda Nabi s.a.w hanya mengubah nama individu yang menganut Islam, jika namanya mengandungi makna yang buruk, tetapi tidak mengubah bapanya. Umpamanya baginda mengubah nama sahabah Abd al-Syams bin Sokhr kepada Abd al-Rahman bin Sokhr. Ini kerana ‘Abd al-Syams bermaksud hamba matahari. Namun Sokhr yang bermaksud batu dikekalkan. Bahkan baginda tidak mengubah bapa seorang sahabah yang bernama Abdullah bin ‘Abd al-Asad. Bapanya bernama ‘Abd al-Asad yang bermaksud hamba singa. Baginda tidak mengatakan diubah nama bapa kerana takut rosak akidah. Sesiapa yang mahu pendetilan boleh tanya kepada ahli-ahli hadis yang menguasai Kutub al-Tarajim atau dia sendiri boleh merujuk kepada buku-buku al-Tarajim yang membincangkan biodata tokoh-tokoh yang disebut dalam sejarah Islam. Ini seperti kitab Al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, atau Siyar A’lam al-Nubala, karangan al-Hafiz al-Zahabi dan puluhan yang lain.

Jika demikian tindakan Nabi s.a.w dan para sahabah, apakah kita lebih faham Islam dibandingkan baginda dan para sahabahnya?!! Apakah kita ingin katakan baginda tidak menjaga akidah sehingga membiarkan sahabahnya kekal berbinkan “hamba singa”?!!. Aduhai para pengulas isu ini! Luaskan bacaan kita dan janganlah terlebih lajak dari lajunya.

Kedua; isu ini timbul kerana kita ingin memelihara nama baik Islam. Pada zaman ini Islam diserang dengan berbagai tuduhan. Sering disalahanggap kononnya Islam tidak menghormati hak. Di negara kita ramai bukan Islam menganggap Islam tidak adil kerana menghapuskan hubungan antara anak dan bapa. Ada bapa yang sebut kepada anaknya yang baru masuk Islam: ’awak masuk Islam, saya yang berjasa pada awak pun awak buang. Nama saya pun sudah tidak ada lagi. Siapa itu Abdullah bapa baru awak?!!” Maka mereka bertambah anti kepada Islam dan takut jika anak-anak mereka menganut Islam. Ada yang ingin masuk Islam, tersekat disebabkan bantahan atau sayangkan keluarga. Lebih parahlah jika nama keluarganya disuruh buang!!

Islam sebenarnya menyuruhkan anak melakukan kebaikan kepada kedua ibubapa sekalipun keduanya tidak menganut Islam. Bahkan sekalipun kedua berusaha agar anaknya keluar meninggalkan Islam. Namun perintah ALLAH agar seoarang anak berbuat baik dengan kepada ibubapanya terus kekal. Cuma jangan taat dalam perkara syirik, kufur dan maksiat. Lihat firman ALLAH dalam Surah Luqman ayat 16 : (maksudnya) “Dan jika kedua ibubapa mendesakmu supaya engkau mensyirikkan denganku sesuatu yang engkau (dengan fikiran warasmu) tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada kedua; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…”.

Soalan yang wajar diajukan; apakah termasuk dalam bergaul dengan ibubapa secara baik dalam urusan dunia ini -seperti yang diperintahkan dalam ayat di atas- jika kita menanggalkan ‘berbinkan’ mereka. Atau menukar nama mereka tanpa pengiktirafan mereka atau mereka menafikan ‘bin’ yang baru itu sebagai nama mereka. Tidakkah tindakan itu mengguris hati mereka tanpa sebab yang diizinkan. Sedangkan seseorang diperintahkan berbuat baik kepada kedua ibubapa sekalipun keduanya bukan muslim. Islam agama yang mengenang jasa dan hak.

Lebih dari itu, tidakkah tindakan itu boleh menjadikan mereka membenci dan bersangka buruk terhadap Islam?!! Bukankah menjadi kewajipan kita mempertahankan imej Islam ini?!! Maka, perbincangan Fatwa Perlis itu bagi saya mempunyai kemunasabahan yang kuat. Sekalipun amalan itu sudah lama, bukan bererti ia mesti dikekalkan dan tidak boleh diubah. Kata tokoh melayu yang disanjung, Pendita Za’ba, dalam bukunya yang hebat “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” yang ditulis pada tahun 30-an: Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!

Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).

http://drmaza.com/arkib_utusan/?p=12

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...