Sunday, August 1, 2010

Si Bankrap Merana Kerana Hutang Orang Lain

Ahad Ogos 1, 2010

KUALA LUMPUR: Tinjauan wartawan Mingguan mStar di Unit Kebankrapan, Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, mendapati kebanyakan si bankrap yang hadir atas ‘tiket’ sebagai penjamin.

Beberapa si bankrap yang ditemui selepas keluar dari bilik rundingcara bagi sesi soalan awal bersama Pegawai Insolvensi pasrah dengan nasib malang menimpa mereka.

Calvin (bukan nama sebenar), 41, berasal dari Ampang menyifatkan berita mengenai status kebankrapan merupakan sesuatu perkara paling musibah dalam dirinya.

Dia menjadi penjamin kepada abangnya untuk membuat pinjaman perniagaan pada tahun 2000.Perniagaan itu bermasalah menyebabkan abangnya gagal membayar hutang hampir RM1 juta.

“Saya hanya tahu sudah bankrap apabila dikenakan sekatan ketika majikan mahu menghantar saya bertugas ke luar negara.“Status bankrap ini menyebabkan saya diberhentikan kerja dan terpaksa mencari sumber pendapatan lain,” katanya.

Selain diberhentikan kerja dan sekatan ke luar negara, akaun simpanan Calvin turut dibekukan tanpa membolehkannya membuat sebarang transaksi kewangan.

“Saya tidak tahu hendak melepaskan geram pada siapa. Saya juga salah kerana mahu menjadi penjaminnya dulu,” ujarnya.

“Saya sudah terkena”

Bagi Kumaresan (bukan nama sebenar), 38, berasal dari Cheras, dia diiystiharkan bankrap pada April 2004, namun baru mengetahui status kebankrapan itu tahun lalu.

Menurutnya, kes kebankrapan itu disebabkan tindakan dia menjadi penjamin kepada seorang kenalan bagi pembelian sebuah kenderaan untuk kegunaan perniagaan.

“Bagaimanapun, dia gagal bayar hutang sehingga tertunggak sejumlah RM61,000.

“Nasib saya sungguh malang kerana bukan setakat menjadi bankrap, kena bayar hutang orang lain tetapi kenalan yang berhutang itu ‘hilang’ entah ke mana,” katanya.

Jauh di sudut hati, tidak dinafikan Kumaresan berasa amat tertekan apabila dimaklumkan bahawa dirinya diisytiharkan bankrap.

“Saya terfikir, hanya bekerja sebagai menjadi pemandu teksi, bagaimana saya hendak menyara isteri dan anak-anak yang masih kecil termasuk jumlah ‘hutang’?.

“Nak buat macam mana? Saya sudah pun terkena. Nak tak nak, saya terpaksa tanggung,” katanya.

Ralat lunas hutang

Hajat Mariam (bukan nama sebenar), 49, berasal dari Kajang untuk menunaikan umrah mungkin terpaksa ditangguhkan kerana diisytiharkan bankrap.

Semuanya hanya diketahui selepas namanya disenaraihitamkan apabila hendak membuat pembaharuan semula pasport.

Seingatnya, hutang yang ada adalah overdraft RM20,000.

“Apabila membuat semakan di Jabatan Insolvensi, saya dimaklumkan ia membabitkan aset sebuah rumah di bawah nama saya.

“Dulu, bekas teman lelaki menamakan rumah itu atas nama saya. Kerana cinta, saya bersetuju tanpa fikir panjang, kata Mariam.

Dia bertanggungjawab menyelesaikan masalah sendiri, namun ralat sekiranya beban hutang orang lain perlu dilunaskan.

“Saya sanggup bayar berapa saja jumlahnya tetapi tidak mahu bayar hutang orang lain meskipun aset itu di atas nama saya kerana saya tidak pun pernah mendiaminya selama ini,” katanya dengan nada kecewa.

Mingguan mStar merupakan sisipan Bahada Malaysia yang diterbitkan bersama akhbar The Sunday Star pada setiap hari Ahad.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/8/1/mstar_berita/20100801111356&sec=mstar_berita

Hutang Individu Bankrap Di Negara Ini RM71.36 Bilion

Ahad Ogos 1, 2010

PETALING JAYA: Dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, jumlah hutang individu yang disytiharkan muflis atau bankrap di negara ini adalah sebanyak RM71.36 bilion, kata Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Beliau berkata, jumlah yang ditadbir urus oleh organisasi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu membabitkan seramai 81,908 individu bankrap daripada 218,561 kes kebankrapan berdaftar.

“Hutang RM71.36 bilion itu merupakan nilai keseluruhan hutang yang telah difailkan oleh pemiutang dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Ini termasuk jumlah hutang yang dimaklumkan oleh pihak petisyen dan pemiutang-pemiutang lain dalam kes kebankrapan,” katanya kepada mStar Online, di sini.

Abdul Karim berkata, jumlah hutang individu bankrap pada tahun lalu adalah berjumlah RM928 juta manakala jumlah hutang dari Januari sehingga Jun tahun ini RM12.39 bilion.

“Kira-kira 40 peratus golongan bankrap mempunyai hutang dengan lebih daripada satu organisasi atau pemiutang,” ujarnya.

Antara jenis hutang yang gagal dilunaskan si bankrap adalah sewa beli kenderaan, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan dan kad kredit.

Dalam pada itu, dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, jumlah hutang individu bankrap yang sudah dilunaskan kepada pemiutang atau dividen adalah sebanyak RM281.99 juta.

Bagaimanapun Abdul Karim berkata, jumlah dividen itu amat kecil berbanding dengan jumlah hutang keseluruhan iaitu hanya kira-kira 0.39 peratus.

Jelasnya, keadaan itu disebabkan oleh beberapa faktor berikutan terdapat tiga jenis individu bankrap iaitu peminjam utama, penjamin sosial dan penjamin korporat.

“Bukan semua individu bankrap itu mempunyai pekerjaan atau aset yang membolehkan mereka untuk melunaskan hutang.

“Jika mereka tidak mempunyai sumber kewangan, bagaimana hendak membayar hutang? Ini menyukarkan agihan dividen kepada pemiutang malah melambatkan proses untuk mengeluarkan mereka daripada kebankrapan,” ujarnya.

Beliau menambah, ada di antara individu bankrap hidup atas ihsan anak-anak mereka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Daripada 81,908 individu bankrap itu, Abdul Karim berkata, 4.66 peratus merupakan penjamin sosial manakala penjamin korporat 5.32 peratus.

“Jumlah dividen yang diagihkan kepada pemiutang pada tahun lalu sebanyak RM85.6 juta dan RM48.62 juta bagi Januari sehingga Jun tahun ini,” katanya.

Mengenai pelepasan kebankrapan dari tahun 2005 sehingga Jun 2010, seramai 11,223 individu bankrap diberikan pelepasan atas perintah mahkamah dan 9,523 individu dengan kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/8/1/mstar_berita/20100801104458&sec=mstar_berita

Datuk bandar London seru berpuasa



JOHNSON


LONDON - Seorang pemimpin politik dari parti Konservatif, Boris Johnson menyeru penduduk London berpuasa selama sehari pada bulan Ramadan bagi memahami ajaran Islam dan menghapuskan persepsi negatif mengenai masyarakat Islam.

Bekas wartawan The Timesdan The Daily Telegraphberasal dari New York, Amerika Syarikat itu berkata demikian ketika melawat Masjid East London selepas dilantik menjadi Datuk Bandar London menggantikan Ken Livingstone kelmarin.

"Cuba berpuasa walaupun sehari dan berbuka di masjid, anda pasti lebih memahami ajaran Islam," kata Johnson, 46, dan kemudian turut memuji lebih 600,000 penduduk Islam di London dalam membangunkan ibu negara Britain itu sejak sekian lama. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Bayi ditinggal di kaki lima kedai


INILAH bayi perempuan yang ditemui selepas dibuang di kaki lima sebuah rumah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat, Nibong Tebal semalam.


NIBONG TEBAL - Seorang bayi perempuan berbalut surat khabar dan plastik ditemui ditinggalkan di kaki lima sebuah rumah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 itu, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu dipercayai baru dilahirkan dan ditemui oleh seorang lelaki yang tinggal di rumah kedai itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini untuk pemeriksaan lanjut.

"Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan dia menemui bayi perempuan yang masih bernyawa di kaki lima bangunan rumah kedai yang dijadikan tempat tinggalnya.

"Dia kemudian bertindak membawa bayi berkenaan ke hospital dan hasil pemeriksaan mendapati bayi seberat kira-kira 2.58 kilogram itu sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan pada badan," katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang nota ditinggalkan bersama-sama bayi yang ditemui itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Tangisan kesejukan

Oleh MOHAMAD DANIAL MOHAMAD SAAD

2010/08/01

NIBONG TEBAL: “Saya sangkakan bunyi anak anjing yang dibuang, tetapi apabila memeriksa bungkusan plastik ini saya terkejut mendapati ia tangisan seorang bayi perempuan yang kesejukan,” kata pekedai, Ng Song Huat, 39.

COMEL...bayi perempuan yang ditinggalkan di depan kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat, semalam.


Lelaki berkenaan yang tinggal di tingkat satu bangunan rumah kedai itu kebetulan keluar untuk membeli makanan sebelum menemui bungkusan mengandungi bayi yang masih bernyawa itu.

Beliau yang tergamam kemudian memanggil isterinya dan memberi bantuan awal dengan membalut bayi itu dengan kain bagi mengelak kesejukan.


“Ketika ditemui, bayi ini dibaluti kain lampin dan kertas surat khabar serta diletakkan dalam beg plastik sebelum saya mengambilnya dan terus membalut dengan kain tebal kerana dia kesejukan.

“Nasib baik saya jumpa lebih awal kerana jika lewat mungkin bayi ini dimakan binatang liar kerana banyak anjing berkeliaran di sekitar kawasan ini,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau kesal dengan tindakan ibu bapa bayi terbabit yang tidak bertanggungjawab dengan meninggalkannya di tepi kaki lima kedainya.

“Saya akan melawat bayi itu selalu selain berniat mengambilnya sebagai anak angkat jika diberi peluang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, bayi itu ditemui di kaki lima kedai berkenaan dan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui seorang lelaki.

“Bayi perempuan seberat 2.58 kilogram ini dipercayai dilahirkan di tempat lain dan dibersihkan sebelum ditinggalkan di tempat kejadian.

“Bayi malang itu yang belum dikenal pasti keturunannya dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan sihat,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan setakat ini polis tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kelahiran bayi itu.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu dan mana-mana klinik serta hospital yang merawat wanita baru bersalin dalam keadaan mencurigakan supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tangisankesejukan/myMA/myArticle

Kaedah jijik ikat nafsu



Oleh FIRDAUS SAHAT, MOHAMAD HUSSIN dan NAZDY HARUN

2010/08/01

KUALA LUMPUR: Takut kehilangan suami, terutama akibat godaan gadis menawan, ramai wanita di negara ini, termasuk artis, mengamalkan pelbagai pendekatan khurafat bagi menundukkan suami supaya rumah tangga sentiasa harmoni tanpa kehadiran orang ketiga.


Berikutan terdesak, tindakan syirik itu tetap dipraktikkan kerana diyakini kononnya mampu dijadikan benteng untuk menjinakkan suami daripada ‘makan luar’.

Pendekatan jijik itu terbongkar apabila beberapa wanita yang ditemui, termasuk seorang pelakon tempatan, mengaku menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional bagi mendapatkan ilmu sihir berkenaan, manakala dua lelaki pula mendakwa menjadi mangsa onar isteri mereka.


PELAKON A, 50-an:
“JUJUR saya katakan, artis juga tidak terlepas daripada isu ini. Malah, beberapa rakan saya pernah mendapatkan khidmat bomoh kerana kurang percaya terhadap suami.

Kebanyakan mereka bertujuan menjaga rumah tangga dan bukan untuk memperbodohkan suami. Lagipun, kerja dalam bidang seni ini menuntut komitmen berpanjangan. Mungkin disebabkan perkara itu mereka tergerak untuk mendapatkan khidmat bomoh supaya suami tidak berpaling kasih.

Terus terang, saya pernah guna khidmat pengamal perubatan tradisional untuk tujuan sama. Sebagai pelakon, masa untuk bersama suami dan keluarga tidak pernah tetap. Malah, saya sering ada di luar kawasan untuk memenuhi jadual penggambaran sehingga berhari-hari tidak berjumpa keluarga.


Kerana takut suami menjalin hubungan dengan wanita lain dan lebih teruk, meninggalkan keluarga, saya terpaksa mendapatkan khidmat bomoh bagi mengikat nafsu suami daripada berlaku curang dan tidak memandang wanita lain.

Bagaimanapun, saya tidak guna kaedah nasi kangkang, darah haid dan pelbagai perkara lagi untuk membuatkan suami mengikut kata seperti diamalkan rakan.

Hakikatnya, saya tidak tergamak memperbodohkan suami hingga ke tahap itu. Saya hanya guna kaedah batang keladi yang bertujuan mengikat nafsu suami daripada mencari wanita lain.

Itu sudah cukup bagi saya. Asalkan suami tidak ambil kesempatan terhadap kesibukan saya sebagai anak seni, ia sudah memadai. Tetapi untuk memperbodohkan suami, ia bukan cara saya.

Namun itu cerita dulu. Kini saya tidak lagi guna kaedah itu kerana ia berdosa. Walaupun tidak guna cara kotor seperti nasi kangkang dan darah haid, saya tetap rasa bersalah.

Kini saya bertaubat dan membuang segala ilmu sihir itu. Alhamdulillah, hubungan saya dengan suami dan keluarga masih utuh sehingga kini.”


ZURINA, 27:
DIPUKUL dan dicampak dari tangga ke lantai menjadi perkara biasa kepada saya. Lebih-lebih lagi saya diperlakukan sebegitu selepas tiga minggu kami sah bergelar suami isteri. Sebelum berkahwin, perangai suami tidak seperti ini.

Saya takut perkara ini berterusan. Mungkin sesuatu yang lebih teruk akan menimpa saya jika tidak buat sesuatu. Rasanya kaedah batang keladi cara tepat untuk menjinakkan perangainya supaya kembali menyayangi saya.


Sebenarnya, saya mengambil keputusan menggunakan khidmat perubatan tradisional kerana tidak mahu mahligai yang baru dibina berkecai. Tambahan pula saya berasa perubahan terhadap suami ada kaitan dengan kehadiran orang ketiga.

Sewaktu bercinta, dia tidak seperti ini tetapi selepas bergelar suami isteri, macam- macam pula berlaku. Mungkin dia jemu dengan saya, lebih-lebih lagi kami bercinta sejak lima tahun lalu.

Mungkin juga ada wanita lain di hatinya menyebabkan perangainya berubah. Tambahan pula, pekerjaannya yang sering keluar kawasan memberi kesempatan untuknya mencari wanita lain.

Saya tidak berniat jahat. Saya masih menyayangi dan menghormatinya sebagai suami. Saya cuma mahukan keharmonian rumah tangga seperti mana keluarga lain. Saya sedar perbuatan ini salah.


Mungkin juga ia syirik sebab percayakan sesuatu perkara tahyul.
Namun jika tidak mencuba, apa akan jadi kepada saya?

Saya pernah terfikir untuk bercerai dengannya. Begitupun, memandangkan usia perkahwinan kami, saya terpaksa memilih cara ini untuk bertahan.

Rasanya penggunaan batang keladi serta jampi tujuh Jumaat berturut-turut akan melembutkan hatinya. Saya berharap perangai liar dan panas barannya akan berubah. Jika tidak buat seperti ini, saya akan menderita apabila terus diperlakukan seperti binatang.


Saya fikir ia akan membawa kebaikan. Lagipun, jika suami kembali baik seperti dulu, saya tidak boleh mengambil kesempatan ke atasnya dengan berlaku curang.

Jika saya berbuat demikian, semuanya akan menjadi seperti sedia kala dan akhirnya saya akan merasai nikmatnya apabila suami berubah jadi seperti dulu.”


KAMARUDDIN, 29:
TAKTIK isteri menggunakan ilmu hitam untuk menundukkan saya terbongkar apabila helahnya dihidu selepas beberapa bulan dia memperbodohkan saya menggunakan kaedah yang dilarang agama.

Saya mendirikan rumah tangga empat tahun lalu dengan seorang jururawat yang bertugas di hospital swasta di ibu negara.

Berikutan tuntutan tugas, kami tinggal berjauhan dan hanya bertemu apabila cuti. Rumah tangga kami tiada masalah tetapi selepas ditukarkan ke Terengganu, saya tiada banyak masa untuk diluangkan bersama isteri.


Secara diam-diam, isteri yang cemburu dan bimbang saya berlaku curang menggunakan sejenis minyak untuk ‘mengikat’ saya. Saya tidak sangka terkena minyak ‘pengikat’ digunakan isteri kerana kami tiada masalah rumah tangga.

Namun, pertemuan dengan seorang pengamal perubatan tradisional yang berlaku secara kebetulan merungkai tindakan isteri saya.

Selepas bertemu pengamal perubatan itu, baru saya tahu terkena ilmu penunduk isteri. Bimbang perkara itu berlarutan, saya mendapatkan khidmat pengamal perubatan terbabit untuk mengubati diri.


Patutlah saya sering mendapat mimpi menakutkan seperti bertemu hantu sepanjang tempoh terkena guna-guna isteri. Saya juga terasa seperti dikawal ‘pihak’ tertentu.

Fikiran saya juga hanya tertumpu kepada isteri, hinggakan saya kerap telefon atau SMS dia. Saya juga ‘hilang minat’ dengan wanita lain biar secantik mana sekalipun.


Selepas bebas daripada ilmu penunduk itu, saya bersemuka dengan isteri. Sebaik saya tanya perkara itu, isteri tersentak dan menundukkan kepala kerana tidak menyangka perbuatannya terbongkar.

Kami kemudian berbincang dan isteri mengaku kesilapannya menggunakan minyak itu dengan alasan takut ketika berada di negeri ini saya ada wanita simpanan atau akan berkahwin lain.

Kejujuran isteri mengaku kesilapan membuatkan saya rasa boleh menerima dan memaafkannya walaupun pada mulanya menyangka rumah tangga bakal musnah.


Isteri saya kemudian menemui pengamal perubatan untuk membuang minyak ‘pengikat’ yang dibeli ketika menyertai satu rombongan beli-belah di utara tanah air.”


DARUS, 49:
SAYA dapat tahu bekas isteri membomohkan saya selepas berasa jauh dengan ibu. Sebelum ini saya rapat dengan ibu dan turuti apa saja keputusannya.

Saya tidak menyangka bekas isteri yang berusia 45 tahun bertindak demikian semata-mata cemburu melihat hubungan saya dengan ibu kandung begitu akrab.

Peristiwa ini terjadi 10 tahun lalu selepas bekas isteri berhenti kerja kilang kerana mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga dan ingin membesarkan anak.

Hubungan saya dengan ibu memang akrab kerana saya anak sulung dan menjadi tanggungjawab saya menjaga kebajikan ibu. Pada masa sama, saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga sendiri.


Hasil perkahwinan 24 tahun, kami dikurniakan tiga cahaya mata berusia 15 hingga 22 tahun. Sejak bekas isteri berhenti kerja, dia mula menunjukkan taringnya selepas melihat hubungan saya dengan ibu begitu baik.

Dia marah kerana saya menuruti segala kehendak ibu, termasuk memberi wang belanja. Beberapa tahun selepas itu perubahannya begitu ketara kerana saya selalu dengar cakap ibu. Apa-apa keputusan saya merujuk kepada ibu sehingga membuatkan dia bertambah marah dan cemburu.


Bekas isteri marah sebab saya selalu menyebelahi keluarga sendiri dan tidak mempedulikan keluarga mentua. Dia marah dengan tindakan saya sehingga tergamak bomohkan saya supaya dengar cakapnya.

Dia mungkin memasukkan sesuatu dalam masakannya supaya saya melupakan ibu kandung. Sejak itu saya sentiasa mengikut telunjuk bekas isteri, termasuk membeli apa saja yang dia inginkan. Keluarga dan kawan pelik melihat sikap saya yang berubah, termasuk tidak pernah pulang ke kampung ibu.


Mereka perasan saya berkeadaan pelik tidak seperti biasa. Saya selalu membangkang cakap mak dan keluarga. Satu ketika apabila tersedar daripada tidur, saya terus teringatkan ibu kandung yang sudah lama terputus hubungan gara-gara perbuatan bekas isteri.

Saya marah kerana isteri sanggup bomohkan saya dan kami bergaduh besar sampai saya memukul isteri kerana geram. Saya mengambil keputusan menceraikannya kerana kecewa dengan perbuatannya. Akhirnya dia mengaku buat ubat ‘guna-guna’ dan memberi saya makan.”

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kaedahjijikikatnafsu/myMA/myArticle

Friday, July 30, 2010

PELACUR, ANJING DAN KEHIDUPAN...

Published: Khamis Julai 22, 2010 MYT 6:07:00 PM

DALAM SATU hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya.

Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar. Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi.

Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w Mereka itu selalu mengambarkan Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kasihan, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?

Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah: “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

HINA DAN MULIA

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing, merupakan binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat.

Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjing’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya. Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?

Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

APAKAH SYURGA ITU MURAH?

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan memberikan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid?

Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya.

Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahirkan diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang itu lakukan dari semasa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya.

Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi. Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu.

Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya.

Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama dengan kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.

BANYAK DAN SEDIKIT

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih daripada seorang kaya yang menderma RM1,000.

Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji RM10 atau RM15 sehari. Dia mengeluarkan RM10 dengan penuh erti sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah.

Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1,000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharapkan keredhaan dan ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah.

Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya pun lebih.

TIDAK SAMPAI AJARAN

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan keinsafan dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baiknya itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan.

Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya atau kehidupan yang mendesaknya atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya.

Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama. Berapa ramai orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan.

Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka.

Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut: “Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15). Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya.

Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar.

Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa kita.

INSAFI DIRI

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari nanti mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama.

Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika dalam jantung hatinya wujud keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang.

Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/7/22/mstar_kolum_minda_mufti/20100722180236&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Mahkamah Arah Wanita Bunuh Anak Jalani Rawatan Mental

Jumaat Julai 30, 2010

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan wanita yang didapati tidak bersalah atas tuduhan menjerut leher dua anaknya hingga mati, supaya menjalani rawatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Hakim Datuk Mohd Zaki Nohd Yassin membuat keputusan itu di akhir perbicaran kes setelah mendapati tertuduh Rosniza Ibrahim, 30, menghidap penyakit kemurungan serius dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika melakukan perbuatan itu.

"Memang tertuduh yang melakukan perbuatan itu (jerut leher anak hingga mati)tetapi mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah atas alasan ketidakupayaan mental.

"Tertuduh juga telah berada dalam keadaan kemurungan serius untuk tempoh 2000 hingga 2007 kerana masalah rumah tangga dan suami yang mahu berkahwin lain," katanya ketika membacakan penghakiman.

Mohd Zaki berkata Rosniza, yang juga sentiasa berada dalam keadaan tertekan, selalu mengurung diri, tidak keluar rumah, tidak bercakap dengan jiran tetangga, rasa terasing, keliru, hilang keyakinan terhadap Allah dan hilang keyakinan diri.

"Disebabkan tekanan perasaan yang melampau juga tertuduh sering memukul dirinya sendiri dengan getah paip," katanya.

Rosniza yang berasal dari Kuala Kurau, Perak menghadapi dua tuduhan membunuh anak-anaknya di rumah No 7216, Taman Indah, Lebuh Batu Maung 8, Bayan Lepas pada 18 Feb 2007.

Dia didakwa membunuh Muhamad Alif Hakimi, 6, pada jam 11 malam di rumah itu manakala Muhamad Alif Hazimi, 2, kira-kira 15 minit kemudian di tempat dan pada hari yang sama.

Selain itu, laporan perubatan oleh Pakar Perunding Forensik dan Psiakitri Dr Rabiah Mohd Salleh dari Hospital Bahagia Ulu Kinta membuktikan bahawa Rosniza memang berada dalam kemurungan yang serius dalam tempoh dua bulan menjalani rawatan dari 2 Mac 2007 hingga 30 April 2007.

"Tertuduh berada dalam keadaan tidak waras semasa dia melakukan perbuatan itu, tidak tahu dan tidak sedar bahawa perbuatannya adalah salah di sisi undang-undang," katanya.

Rosniza diwakili peguam K. Simon Murali dan pendakwaan dilakukan oleh Arik Zakaria Abdul Kader.

Rosniza yang berbaju-t lengan panjang perang gelap dan berseluar sukan biru gelap, berpelukan dengan anggota keluarganya serta menangis selepas keluar dari mahkamah.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/7/30/mstar_mahkamah/20100730142537&sec=mstar_mahkamah

Selangor Kekal Keputusan Tidak Benarkan Syabas Naikkan Tarif Air

Jumaat Julai 30, 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor, Khamis, menegaskan tidak akan berganjak dari keputusannya untuk tidak bersetuju dengan kenaikan tarif air yang dikemukakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Menurut satu kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor di sini, Khamis, mengenai isu air, kerajaan negeri Selangor dalam apa juga keadaanpun tidak akan bersetuju dengan kenaikan tarif air yang dikenakan kepada pelanggan dan bersedia mempertahankan pendirian ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana pihak termasuk Syabas untuk mendapat pengadilan dan pembelaan di mahkamah.

Katanya, kerajaan negeri hairan apabila tiba-tiba isu membawa kes ke mahkamah ditimbulkan oleh Syabas.

"Ia seolah-olah mahu memberi tekanan kepada Kerajaan Selangor agar menerima skim penyelesaian yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri juga yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membawa Syabas ke mahkamah kerana melanggar syarat perjanjian konsesi termasuk cuba menaikkan tarif air tanpa mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

"Kerajaan Selangor telah lama bersedia tetapi menangguhkan tindakan ini kerana tidak mahu memberi sebarang prasangka terhadap perbincangan yang sedang dijalankan antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi terlibat serta syarikat konsesi termasuk Syabas," katanya.

Katanya, dasar kerajaan Selangor sentiasa menumpukan sepenuh keprihatinan terhadap kepentingan rakyat Selangor adalah asas utama dalam setiap keputusan dan isu air tidak terkecuali. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/7/30/mstar_berita/20100729215727&sec=mstar_berita

Ibu buang bayi kena jel dua tahun


YANTI (kanan) dan Juliati dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas dijatuhi hukuman di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga Indonesia yang tergamak membuang mayat bayi lelaki yang dilahirkannya terpaksa meringkuk di dalam penjara selama dua tahun selepas Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman tersebut di sini semalam.

Tertuduh, Juliati, 27, turut dipenjara empat bulan lagi atas kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Majistret Mazana Sinin mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang tidak bekerja didakwa secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi lelaki yang dilahirkannya ke dalam semak selepas membungkus mayat itu dan dimasukkan ke dalam sebuah beg plastik.

Juliati didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumah nombor 585, Kampung Teluk Serdang, Pinggir Jalan Camar 15, Taman Perling di sini pada pukul 4.30 pagi 10 Julai lalu.

Rakan serumah tertuduh, Yanti Yulianti, 27, yang bekerja di sebuah kedai makan turut dihukum penjara empat bulan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap kerana bersubahat dengan tertuduh.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Pelajar diculik depan sekolah


NOOR ZAINY memeriksa kereta Perodua Kenari yang dirampas daripada dua lelaki selepas mereka terbabas ketika menculik seorang pelajar di Besut semalam.


BESUT - Niat jahat dua lelaki yang menculik seorang pelajar dipercayai untuk dirogol bukan sahaja tidak termakbul malah, kedua-dua mereka dapat diberkas ketika sedang bersembunyi dalam keadaan parah di dalam sebuah rumah di Kampung Alur Jejawi, Kuala Besut di sini kelmarin.

Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku apabila suspek berusia 15 dan 23 tahun yang menaiki sebuah kereta Perodua Kenari melarikan Nurmuni Ainun Izzati Mohd. Roslan, 15, ketika dia sedang menunggu ibunya di luar kawasan sekolah untuk menjemputnya pulang selepas tamat kelas tambahan.

Sebelum kejadian, abang mangsa telah datang ke sekolah berkenaan tetapi pulang semula ke rumah selepas mendapati adiknya masih belum keluar.

Nurmuni Ainun Izzati merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini.

Sebaik sampai di sekolah berkenaan, salah seorang suspek tersebut terus menarik mangsa ke dalam kereta hingga menyebabkan pelajar berusia 15 tahun berkenaan cedera manakala beg sandangnya putus dan tertinggal di situ.

Kejadian itu turut disaksikan oleh beberapa pelajar lain tetapi mereka tidak sempat membantu kerana mendakwa kejadian berlaku begitu pantas.

Difahamkan, suspek berusia 23 tahun tersebut dipercayai dalam keadaan gersang kerana isterinya dikatakan masih berpantang kerana baru lepas bersalin.

Mangsa kemudian diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan dengan salah seorang suspek memeluknya dari belakang.

Nurmuni Ainun Izzati kemudian bertindak melawan dengan meronta-ronta dan menendang papan pemuka kereta menyebabkannya rosak manakala pemandunya pula gagal mengawal kenderaan tersebut.

Ekoran tindakan drastik mangsa, kereta tersebut kemudian terbabas hingga memasuki sebuah parit di Kampung Limbongan dekat sini iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan Noor Zainy Md. Noor berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa pengsan serta mengalami cedera parah di kepala dan leher.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Polis yang melancarkan operasi tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian dan mendapati kedua-dua suspek sudah melarikan diri dan pelajar berkenaan pengsan dalam kereta.

"Hasil maklumat orang ramai, polis kemudian telah menyerbu sebuah rumah dan mendapati kedua-dua suspek yang cedera parah itu sedang bersembunyi di dalamnya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...