Tuesday, August 17, 2010

Umpan layanan baik

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
2010/08/17

KUALA LUMPUR: “Saya ok, cuma tak berapa sihat... Jangan risau.” Demikian SMS terakhir Nur Dhiya Ain Rosman, remaja perempuan yang diperdaya sindiket penyeludupan dadah antarabangsa kepada teman lelakinya beberapa jam sebelum ditahan pihak berkuasa Capetown, Afrika Selatan, Sabtu lalu.

Mohd Nur Zakri Mohd Idrus, 22, menerima SMS itu pada jam 11.23 malam daripada Nur Dhiya selepas bertanyakan keadaannya yang berlepas ke negara asing pada 9 Ogos, tanpa pengetahuan keluarga kononnya mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan.


Nur Dhiya atau lebih mesra dipanggil Baby di kalangan keluarga ditahan di lapangan terbang Capetown selepas dikesan membawa 1.2 kilogram (kg) syabu dan kini ditempatkan di pusat tahanan Ravensmead sementara menunggu perbicaraan.


Nur Zakri berkata, sepanjang Nur Dhiya berada di Capetown, hanya dia yang dihubungi gadis itu menerusi telefon bimbit diberikan anggota sindiket dadah terbabit.


“Nur Dhiya tidak percaya dia diperangkap, sebaliknya meminta saya tidak berfikir yang bukan-bukan setiap kali menasihatkannya supaya segera menyelamatkan diri,” katanya yang ditemui pada sidang media di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik tiba di Capetown pada 10 Ogos lalu, Nur Dhiya memberitahu dia ditempatkan di sebuah bilik hotel dan dilayan dengan baik selain sering disogok bakal menerima gaji lumayan sebagai pemandu pelancong.


“Dia juga memberitahu dibawa berjalan-jalan di Capetown dan dijamu makanan lazat, cuma pergerakannya diperhatikan beberapa lelaki serta hanya boleh berhubung menerusi SMS saja. Mungkin layanan baik sindiket itu menyebabkan dia percayakan mereka,” katanya.


Ibu mangsa, Roslah Abdul Jani, 43, berkata, dia kini hanya mampu berdoa anaknya selamat di tempat orang.


“Saya cuma tidak berpuas hati dengan kelewatan pihak berkuasa bertindak kerana saya sekeluarga membuat laporan kira-kira dua jam sebelum dia berlepas ke Capetown. Sepatutnya dia sempat ditahan ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi kelewatan itu menyebabkan dia menjadi mangsa sindiket dadah,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya sudah meminta pertolongan Wisma Putra menyediakan bantuan guaman kepada Nur Dhiya.


“Saya syorkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah keldai dadah ini umpama dasar proaktif pihak berkuasa di pintu masuk.

“Mereka boleh bertanyakan beberapa soalan kepada mereka yang mahu ke luar negara dan jika menimbulkan syak, kita boleh kekang isu diperalatkan sindiket dadah antarabangsa ini dengan menyekat mangsa daripada keluar,” katanya. Akhbar pada 13 Ogos lalu melaporkan Nur Dhiya kali terakhir menghubungi ibunya kira-kira jam 1 pagi, 9 Ogos lalu dalam keadaan tergesa-gesa dan memberitahu berada di KLIA untuk ke Capetown.


Berdasarkan maklumat gadis yang menghidap penyakit darah tinggi kronik itu melakukan transit di Doha sebelum mendarat di Capetown.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Umpanlayananbaik/Article

'Tak sayang abah lagi'

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
2010/08/17

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak tahu sama ada anak berdendam atau tidak dengan bapa kandung yang menyebabkan mukanya melecur sedemikian rupa, namun melihat reaksinya selepas perbuatan kejam suami itu, jelas sekali nama ‘abah’ sudah tiada tempat di hati mereka,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang buntu memikirkan masa depan mereka sekeluarga selepas menjadi mangsa simbahan asid jenis cuka getah oleh suaminya, Mat Haizan Mat Yasin, 32.

Akhbar semalam melaporkan, dalam kejadian jam 1.45 pagi kelmarin di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu itu, suami Che Ku Zaimah yang juga seorang penagih dadah pergi ke rumahnya meminta wang RM30, bagaimanapun mangsa enggan memberikannya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan berakhir dengan tragedi simbahan asid.


Che Ku Zaimah ketika ditemui di Wad Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia serta dua anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan Muhammad Irfan Firdaus, 2, akan menjalani pembedahan merawat kulit muka dan anggota badan mereka yang melecur teruk hari ini, manakala ibunya Minah Omar, 56, dibenarkan keluar hospital kelmarin.


Menurutnya, dia tergamam apabila mengingatkan pertanyaan anak keduanya, Nurul Dahyatul sama ada masih sayang atau tidak kepada suaminya selepas tragedi berkenaan kerana anaknya itu berterus-terang memberitahu sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap bapanya yang sanggup bertindak tanpa perikemanusiaan itu.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang melawat mangsa semalam nyata sedih dan sebak dengan kejadian yang menimpa keluarga berkenaan sehingga menitiskan air mata.


Katanya, beliau berharap semua mangsa terbabit akan segera sembuh dan kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka dalam apa saja bentuk termasuk membiayai kos pembedahan serta meminta Che Ku Zaimah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sekiranya memerlukan bantuan lanjut.


“Saya tidak dapat gambarkan perkara ini berlaku, walaupun berlaku salah faham antara suami isteri, tapi janganlah anak menjadi mangsa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taksayangabahlagi/Article

Pasangan muda mengaku buang bayi dalam tong sampah

2010/08/17

MELAKA: Sepasang kekasih yang ditahan beberapa jam selepas membuang seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di hadapan kilang plastik di Ayer Keroh, awal pagi hari pertama Ramadan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

MALU...gadis juvana terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka, semalam.
MALU...gadis juvana terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka, semalam.
Pada prosiding bermula kira-kira jam 3 petang itu, tertuduh lelaki yang berusia 18 tahun dan pasangannya, juvana berusia 17 tahun 10 bulan, kedua-duanya berasal dari Felda Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan mengaku bersalah terhadap pertuduhan sejurus ia dibacakan dan diterangkan jurubahasa mahkamah.


Terdahulu, tertuduh lelaki yang memakai baju lokap, manakala juvana perempuan berpakaian baju kurung merah dan bertudung coklat tenang di dalam kandang pesalah serta sesekali dilihat bercakap sesuatu antara mereka.


Kedua-dua mereka yang bekerja di kilang sama tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hazura Hamid dan kes didengar Majistret Mohd Fairuz Johari.


Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membuang seorang bayi perempuan di kawasan Kilang Daibochi, Ayer Keroh, kira-kira jam 1 pagi pada 11 Ogos lalu.


Mereka dituduh mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Berhubung pengakuan bersalah tertuduh, Noor Hazura memohon tarikh sebutan baru bagi mendapatkan laporan akhlak bagi kedua-dua tertuduh yang juga pesalah muda di bawah umur 21 tahun.


Beliau mencadangkan jaminan RM10,000 bagi membebaskan kedua-dua tertuduh sementara menunggu perbicaraan selesai.


Mohd Fairuz bagaimanapun membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh selepas menimbangkan rayuan bahawa mereka tidak mampu kerana berasal daripada keluarga susah.


Kes ditetapkan untuk sebutan bagi fakta dan hukuman serta laporan akhlak pada 28 September depan.


Harian Metro pada Khamis lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan kilang terkejut apabila mendengar tangisan bayi yang disangkakan nada dering telefon bimbit.

Selepas memeriksa, dia menjumpai bayi perempuan masih bertali pusat di dalam beg kain dalam tong sampah di hadapan pondok pengawal sebelum kedua-dua tertuduh ditahan polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pasanganmudamengakubuangbayidalamtongsampah/Article

Toreh muka, mulut isteri

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/08/17

KUANTAN: Cemburu melihat isterinya berbual dengan sepupu lelaki, seorang buruh bertindak kejam apabila menoreh muka, bahu dan mulut pasangannya itu sehingga mengakibatkan mangsa berlumuran darah di Kampung Jeram Batu, dekat Kuala Lipis.

Dalam kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari Khamis lalu, mangsa berusia 25 tahun terpaksa merangkak keluar dari rumah meminta bantuan penduduk kampung sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk rawatan lanjut.

Turut cedera, sepupu lelaki mangsa berusia 25 tahun yang luka di tubuh akibat ditoreh ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian, mangsa bersama sepupu lelaki di rumahnya manakala suaminya keluar bekerja.

Menurutnya, mangsa berbual-bual dengan sepupunya di ruang tamu sementara menanti kepulangan suaminya untuk makan tengah hari bersama-sama.

“Suami mangsa yang pulang ke rumah secara mengejut melihat mangsa berbual mesra dengan sepupunya. Dia menengking mangsa menyebabkan dua bersaudara itu tergamam sebelum ke dapur dan mengambil sebilah pisau pemotong ikan.

“Sejurus keluar semula ke ruang tamu, suspek menoreh muka, tangan, mulut dan bahu isterinya. Melihat mangsa cuba diselamatkan sepupunya, lelaki terbabit seperti singa kelaparan apabila melibas pisau ke arah sepupu mangsa mengakibatkan lelaki itu cedera di tubuh,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun melarikan diri selepas melihat mangsa dan sepupunya tidak bermaya serta bermandikan darah.

Katanya, mangsa bersama sepupunya mendapat bantuan penduduk kampung sebelum dikejarkan ke HKL untuk menerima rawatan akibat cedera di mulut, muka dan bahu.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan sepupunya berhubung kejadian terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

Nordin berkata, polis masih menjalankan gerakan memburu suami mangsa dipercayai masih berada di daerah Kuala Lipis selain meminta orang ramai mempunyai maklumat kejadian itu tampil membantu siasatan.

'Tiada Kes' Tapi Gadis Jadi Kaldai Dadah Ditangkap Di Cape Town

Published: Isnin Ogos 16, 2010 MYT 9:32:00 PM
Updated: Isnin Ogos 16, 2010 MYT 9:49:18 PM

KUALA LUMPUR: Tanda tanya tentang pemergian Nur Dhiya Ain Rosman ke Cape Town, Afrika Selatan, Isnin lalu terjawab apabila gadis berusia 19 tahun itu ditangkap oleh pihak berkuasa negara itu kerana memiliki dadah.

Paling kecewa apabila laporan kepada pihak bertanggungjawab diadukan, mereka menegaskan bahawa polis dan Wisma Putra dikatakan membeikan alasan 'tiada kes' yang akhirnya membawa kepada tangkapan gadis malang berkenaan oleh pihak berkuasa Afrika Selatan.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh yang turut kesal dengan 'kelekaan' pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan bagi menghalang gadis yang dipercayai diperdaya sindiket bagi dijadikan 'keldai dadah'

"Nur Dhiya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town kerana membawa 1.2 kilogram syabu dan kini berada di pusat tahanan Ravensmead.

Roslah Abdul Jani dan Musa Abu Chik menunjukkan foto Nur Dhiya Ain Rosman, 19, yang kini disahkan ditahan pihak berkuasa Afrika Selatan Sabtu lalu kerana membawa dadah ke negara itu di Kuala Lumpur. Gambar ini dirakamkan semasa Muhd Khairun Aseh (kiri) mengadakan sidang akhbar mengenai kehilangan gadis itu pada Khamis lalu. - Foto RICKY LAI

"Malangnya dia juga akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Belleville, Cape Town," katanya pada sidang media di Pusat Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, Isnin.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi dari Interpol dan wakil Wisma Putra, Nur Dhiya ditangkap pada petang Sabtu lalu di Afrika Selatan.

Dalam pada itu, Muhd Khairun menyatakan rasa terkilan dengan pihak berkuasa yang seolah-olah memandang remeh aduan yang dibuat oleh ibu bapa gadis terbabit.

Katanya, berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih, pihak berkuasa sepatutnya bertindak dan melakukan sesuatu bagi menyiasat, seterusnya menghalang pemergian remaja ke Cape Town.

"Pesawat berlepas sekitar pukul tiga pagi. Laporan pula dibuat sekitar pukul satu pagi. Malang sekali dia (Nur Dhiya) telah mengatasi sistem," katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan dapat mewujudkan dasar-dasar lebih proaktif menangani masalah dengan membuat kekangan di pintu-pintu keluar masuk negara bagi mengelakkan rakyat negara ini daripada terus menjadi 'keldai dadah'.

"Umpamanya, jika beberapa soalan asas dilontarkan sebelum dia berlepas masuk, sudah tentu boleh timbulkan syak dan ragu. Maka kita oleh panggil pihak berkuasa untuk buat pemeriksaan lanjut. Tapi malangnya kita tak ada dasar itu.

"Pihak imigresen boleh tanya soalan berdasarkan kuasa. Jika diadakan lebih proaktif, saya yakin masalah ini akan dapat diatasi," katanya.

Susulan kejadian itu, pihak Pemuda Umno akan membantu keluarga gadis terbabit mencari jalan keluar untuk menyelamatkan gadis yang dipercayai ditipu itu.

"Sehingga kini, gadis terbabit belum diwakili mana-mana peguam. Kita juga akan membantu mengemukakan rayuan dengan meminta supaya hukuman diringankan jika sabit kesalahan," katanya.

Menurut Muhd Khairun, Nur Dhiya yang dipercayai diperdaya dan dijadikan pembawa dadah juga telah dijanjikan dengan pekerjaan sebagai operator pelancongan dengan tawaran gaji lumayan.

Hal ini diakui teman lelaki gadis itu, Mohd Nur Zakri Mohd Idrus, 22, yang menjadi satu-satunya rakan yang dihubungi Nur Dhiya dari Cape Town.

Zakri yang turut hadir pada sidang media berkata sepanjang berada di sana Nur Dhiya membuat panggilan beberapa kali dan selebihnya mereka berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Dia beritahu saya dia tak berapa sihat dan minta supaya saya tak risaukan tentang dirinya. Dia minta saya jangan fikir yang bukan-bukan kerana yakin tak akan ada perkara buruk akan berlaku pada dirinya di sana.

"Dia juga beritahu dia tentang duit yang dijanjikan sebaik sahaja dia pulang ke Malaysia nanti," katanya.

Dalam masa yang sama, Zakri juga bertindak sebagai orang perantara bagi meyakinkan Nur Dhiya bahawa dia telah diperangkap dan bagi membolehkan lebih banyak maklumat diperolehi untuk tujuan siasatan kelak.

Perasaan terkilan dan kecewa turut dirasai ibu bapa gadis tersebut yang mahukan pihak berkuasa yang turut mendakwa pihak polis cuai dan membuat laporan untuk kali kedua atas dakwaan itu selepas laporan mengenai kehilangan anak mereka dibuat.

Roslah Abdul jani, 43 dan suaminya, Musa Abu Chik kesal alasan 'tiada kes' diberikan oleh pihak polis dan pihak Wisma Putra sebaik sahaja laporan dibuat sebelum anak mereka berlepas.

"Tiada guna kalau ada Wisma Putra dan kedutaan jika mereka tak boleh buat tindakan.

"Saya minta supaya anggota yang terlibat dikenakan tindakan," kata bapa mangsa.

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/8/16/mstar_jenayah/20100816213118&sec=mstar_jenayah

Berhenti nafas setiap kali tidur


GAMBAR menunjukkan Liam Derbyshire menggunakan alat menyedut udara semasa tidur.


FAREHAM, Britain - Seorang budak lelaki, Liam Derbyshire akan berhenti bernafas setiap kali dia tidur, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai sumpahan Ondine menyebabkan dia perlu menggunakan mesin sokongan hayat semasa tidur di rumahnya.

Keluarganya dari Gosport, Hampshire membelanjakan ribuan pound untuk membayar bil elektrik disebabkan penggunaan mesin berkenaan.

Menurut Dr. Garry Connett yang merawat Liam di Hospital Besar Southampton: "Ia sesuatu yang amat ganjil. Liam merupakan pesakit pertama saya kesan menghidap penyakit itu sejak saya bertugas di hospital ini 12 tahun lalu."

Liam mempunyai alat penyedut udara berkuasa bateri yang diletakkan di dalam kereta dan dibawa menaiki pesawat sebagai persediaan jika dia tertidur. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

MAS rugi RM532.59j suku kedua

PETALING JAYA - Harga bahan api yang turun naik mendorong Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan kerugian pracukai RM532.591 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2010 berbanding keuntungan pracukai RM896.146 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, perolehannya meningkat 26 peratus kepada RM3.2 bilion berbanding RM2.5 bilion manakala keuntungan operasi meningkat 33 peratus.

Bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2010, syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian pracukai RM212.340 juta berbanding keuntungan pracukai RM189.904 juta.

Perolehan itu meningkat kepada RM6.5 bilion daripada RM5.3 bilion sebelum itu.

"Kami telah melaksanakan perkara yang betul dan ini dicerminkan di dalam prestasi operasi yang bertambah baik bagi suku kedua yang secara tradisinya suku kami paling lemah.

"Kami telah mengambil langkah tambahan untuk menutup kenaikan harga bahan api itu," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin semasa mengumumkan keputusan kewangan suku kedua itu di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Wook jamin RM2,000


WOOK mengiringi Mohd. Nor selepas membayar wang jaminan kes dadah suaminya itu di Mahkamah Majistret di Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU - Demi perasaan sayang kepada Mohd. Nor Musa, 38, warga emas berusia 108 tahun, Mek Wook Kundur sanggup menghabiskan duit simpanannya sebanyak RM2,000 untuk menjamin keluar suaminya itu yang ditahan sekali lagi kerana kes dadah.

Menurut Wook, duit simpanan untuk sambutan Aidilfitri itu terpaksa dikorbankan demi untuk berpuasa dan beraya bersama Mohd. Nor yang baru sahaja dibebaskan dari pusat pemulihan di Sungai Besi, Kuala Lumpur bulan lalu.

Semuanya dilakukan Wook demi Mohd. Nor yang sekali lagi ditahan kerana dipercayai mengambil dadah dalam satu operasi polis di Kampung Pasir Tinggi dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi Khamis lalu.

Majistret Mahkamah Hulu Terengganu, Azman Mustapha membenarkan Mohd. Nor diikat jamin selepas kesnya disebut oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Tuan Rosmah Tuan Husain di sini semalam.

Selain itu, Majistret turut menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh pendakwaan kes tersebut.

Pada 7 Julai tahun lalu, Mohd. Nor pernah ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atas kesalahan sama dan ditahan di Pusat Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi sebelum dipindahkan ke Puspen Besut.

Jelas Wook, biarpun dia kecewa dengan perbuatan suaminya itu, namun kerana sayang dan tidak mahu menyambut Aidilfitri dan berpuasa sendirian seperti tahun lalu, dia terpaksa mengorbankan simpanannya.

"Dia tetap suami tok dan tok tetap sayang walau apa pun yang dia buat.

"Tapi tok rasa sedih fikirkan apa yang dia buat sebab tok ingatkan dia dah insaf," katanya ketika ditemui dekat sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Wanita mangsa asid tekad mahu bercerai dengan suami


ZAIMAH medukung Mohd. Irfan sambil mengusap kepala Dahyatul di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – “Kalau hanya saya seorang yang cedera mungkin saya boleh maafkan tetapi perbuatan dia (suami) telah memusnahkan masa depan anak-anak saya.”

Demikian luahan Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang tetap dengan keputusannya untuk meneruskan proses perceraian dengan suami yang telah menyebabkan dia bersama dua anak serta ibunya melecur terkena percikan asid.

Malah, dakwa wanita itu, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid, 8, yang melecur teruk dalam kejadian itu juga enggan memaafkan bapanya yang menyebabkan hidupnya menderita sepanjang hayat.

“Saya tanya adakah dia masih sayang ayah? Tapi dia hanya gelengkan kepala dan mengalirkan air mata,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu kelmarin, Zaimah dan dua anaknya, Dahyatul dan Mohd. Irfan Firdaus, 2, serta ibunya, Minah Omar, 56, melecur di beberapa anggota badan akibat perbuatan suaminya.

Kejadian berlaku apabila lelaki itu meminta wang daripada Zaimah dan enggan bercerai dengan Zaimah.

Sebelum ini, Zaimah berkata, Dahyatul sangat akrab dengan ayahnya sehingga makan serta tidur anaknya itu perlu ditemani suami.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Monday, August 16, 2010

Minda: Janggalkah tanpa rokok?

2010/08/16

“BERHENTILAH, tak ada faedahnya menghisap rokok...” kata mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, dalam satu kempen antimerokok yang pernah dirasmikannya.

Saranan sedemikian sudah banyak didengar daripada pelbagai pihak terutama Kementerian Kesihatan. Tidak cukup dengan itu, kerajaan menaikkan harga rokok, dikawal jual beli dan penyeludupan, semua kerana keburukan yang dibawa rokok.

Bilangan tempat yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok juga bertambah. Kebanyakan aktiviti kini diharamkan sama sekali daripada memasukkan elemen rokok. Malah, kotak rokok pun sudah diletakkan secara terang-terangan akan keburukan rokok.

Terbaru, sebuah dokumen yang menggemparkan dunia, Pig 05049, turut secara tidak langsung mengingatkan perokok, terutama perokok Muslim agar mengelakkan rokok lantaran kandungan bahan babi yang digunakan untuk membuat rokok! Begitulah ingatan demi ingatan, amaran demi amaran, secara lembut ataupun tegas. Harapannya ialah bilangan perokok akan berkurang dan yang sudah merokok akan berhenti merokok. Dalam jangka panjang nescaya negara lebih makmur tanpa cengkaman rokok.

Namun, hakikatnya tidak pula begitu. Amalan merokok masih menjadi kebiasaan. Pendek kata apa saja aktiviti manusia, maka akan adalah rokok. Dilakukan oleh sesiapa saja tanpa mengira pangkat dan darjat, bebas tanpa perlu takut-takut, tanpa perlu difikirkan akibatnya. Seolah-olah semua tegahan dan peringatan yang ada itu untuk perhatian makhluk lain.


Apabila budaya merokok meluas, dilakukan secara terbuka, terang-terangan, tanpa ‘tindakan’ mereka yang dikatakan model kepada masyarakat, maka sukar sekali untuk menafikan yang merokok itu tidak baik.

Tidak keterlaluan dikatakan, ada pemimpin yang selamba menghisap rokok ketika mempengerusikan majlis dan seorang doktor yang merokok, tetapi tidak segan silu menasihati pesakitnya akan keburukan merokok. Begitu juga bapa yang meminta anaknya ke kedai untuk membeli rokok atau merokok di depan anak. Sikap mereka ini secara tidak langsung menyemai tabiat merokok kepada masyarakat.


Apabila tiada lagi segan silu antara si bapa dan si anak, pemandu dan penumpang, pekedai dan pelanggannya, pemimpin dan pengikutnya, imam dan jemaahnya, maka terbuktilah amalan buruk merokok bukan lagi sesuatu yang perlu dikisahkan.

Perbuatan merokok sebenarnya telah membunuh etika kehidupan bermasyarakat. Apabila masyarakat tidak lagi meletakkan rasa peduli, hormat dan prihatin, maka tiada lagi keindahan hidup bermasyarakat.

Berapa ramai yang tersentuh dengan gambar penyakit yang dipaparkan di kotak rokok? Berapa ramai yang malu menghisap rokok di depan tamu? Berapa ramai yang malu meletakkan rokok di poket baju dan berapa ramai yang malu menghisap rokok ketika memandu? Masalahnya ialah terlalu ramai yang membuat peraturan sendiri mengenepikan hukum bermasyarakat. Maka pemikiran yang mengatakan ‘ini ruang kami, ini masa kami, ini hak kami dan ini dunia kami’ akan kekal mengongkong minda perokok sekali gus menidakkan hak orang lain.


Ini jelas apabila tiada lagi ruang yang boleh dianggap mesra alam dan mesra kehidupan. Di sana sini ada saja rokok - tandas, lobi hotel, restoran, tempat menunggu bas, bilik mesyuarat dan kawasan bebas rokok. Begitupun, rokok terus disanjung - menepis segala macam kempen dan usaha memburukkan rokok. Meskipun ia tidak formal, namun kesannya amat membenam. Ia telah menjadi rempah-ratus kehidupan, bersatu dengan adat dan tradisi. Ia menjadi kemestian yang tidak dapat dielak, dirasakan janggal apabila rokok diketepikan.


Lihat saja di sekeliling betapa pelik dan seksanya apabila majlis kenduri-kendara tidak disediakan rokok, betapa kekoknya selepas makan tengah hari, ketika melepak dan bersantai tanpa diiringi rokok. Hatta ketika menunggu waktu (di surau atau masjid) juga pelik kalau ada yang tidak merokok. Dunia seolah-olah mati apabila rokok ditarik daripada acara. Pembenci rokok juga tidak ada pilihan melainkan membenarkan amalan buruk ini.


Memang benar merokok adalah amalan yang tidak baik jika dilihat dari sudut penyakit dan permasalahan sosial, tetapi berapa ramai yang berfikiran sedemikian? Kehidupan sosial nampaknya dengan jelas memperakui yang amalan merokok itu adalah ‘sesuatu yang baik’, kerana menghidupkan kemanusiaan dan mewujudkan semangat kekitaan.

Daripada perspektif lain, rokok dilabelkan sebagai simbol kekayaan, kekuasaan, ketamadunan dan segala macam kehebatan kehidupan. Ia adalah komoditi yang menguntungkan (daripada cukai dan kutipan perdagangan), keperluan utama kehidupan bersosial, sumber inspirasi dan kesegaran (ketika memandu dan memerah otak).

Rokok adalah lambang kemodenan masyarakat. Ia tersimpul rapi dengan peradaban daripada peringkat pentadbiran, politik, hinggalah peringkat bawahan, malah anak-anak kecil yang masih merangkak juga perlahan-lahan dibesarkan dengan dunia rokok! Justeru, betulkah tabiat merokok telah menurun? Cuba kita lihat di restoran mamak, tapak pembinaan, tandas di hospital, warung dan tempat yang dianggap zon tidak merokok.

Sejauh mana larangan ‘kanak-kanak di bawah 18 tahun dilarang membeli rokok’ benar-benar berlaku di kalangan peruncit? Benarkah rokok tidak mampu lagi dibeli kerana harganya mahal?

Pastikah pengetahuan tinggi mengenai keburukan merokok akan mencerminkan tindakan tidak merokok? Betulkah inisiatif ‘quit smoking’ akan mengekalkan seseorang untuk terus berhenti merokok? Kemampuan industri rokok untuk melengkapi setiap ruangan kehidupan dan minda masyarakat dengan jelas membuktikan advokasi ‘merokoklah’ oleh syarikat tembakau amat berjaya. Dengan pendekatannya yang amat strategik, dengan prasarana yang serba lengkap dan jaringan yang sungguh meluas, fenomena merokok nampaknya tidak akan ada kesudahan. Ia akan terus mencorakkan kehidupan. Malah penggiat antimerokok turut tertipu, terkulai dengan modus operandi licik mereka.

Sedarlah bahawa isu merokok bukan sesuatu yang seronok untuk diperkatakan. Jauh sekali untuk dipersendakan. Ia adalah kata dua yang meminta jawapan jujur dan tindakan tulus daripada mereka yang merasakan sebahagian kemelut ini. Jawab dan bertindaklah demi anak-anak yang akan meneruskan pembangunan generasi ini.

>Penulis ialah profesor dan perunding penyakit berkaitan gaya hidup

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Janggalkahtanparokok/Article

Gelisah anak terjawab

Oleh Mohamad Hussin

2010/08/16

YAN: “Arwah ibu sepatutnya berbuka puasa di rumah saya petang ini (semalam) dan solat Tarawih di Alor Setar, tetapi hajat arwah tidak kesampaian,” kata Hashimi Hassan, 53, anak tunggal Lian Osman, 74, yang ditemui mati terbaring dalam keadaan bogel dipercayai dirogol sebelum dibunuh perompak di ruang tamu rumahnya di Kampung Teluk Mak Acheh di sini, semalam.

Katanya, arwah ibunya yang juga bekas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Yan Kecil di sini, tinggal seorang diri selepas kematian suami sejak beberapa tahun lalu.


“Saya menghubungi arwah pada jam 8 pagi semalam beberapa kali, tetapi telefon rumah tidak dijawab membuatkan saya gelisah dan tertanya-tanya.


“Saya tidak mengesyaki perkara buruk berlaku kerana mungkin ibu keluar ke rumah jiran. “Bagaimanapun, kira-kira jam 2 petang semalam, saya dikejutkan dengan panggilan daripada penghulu kampung yang memaklumkan ibu saya meninggal dunia akibat kejadian pecah masuk rumah,”
katanya yang ditemui di rumah ibunya di sini, semalam.


Penghulu Mukim Yan yang juga sepupu mangsa, Mohd Shukri Ahmad, 56, berkata dia menyedari kejadian itu selepas seorang jiran terjumpa dompet miliknya di tepi jalan kira-kira 30 meter dari rumahnya pada kira-kira jam 1 tengah hari. “Saya ke rumahnya kerana bimbang mangsa tidak membuka pintu pagar seperti kebiasaan. “Saya memasuki kawasan rumah sambil memanggil mangsa, tetapi tiada jawapan lalu memeriksa di sekeliling rumah sebelum mendapati jeriji besi pada tingkap belakang rumah dipotong,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan, Ismail Abu ketika ditemui ditempat kejadian berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada kira-kria jam 1.30 tengah hari dan masih menyiasat punca kejadian. Katanya, polis belum mengenal pasti secara terperinci mengenai fakta kes dan tidak dapat menentukan sama ada mangsa dibunuh atau meninggal dunia atas sebab lain. “Sebaik memasuki rumah berkenaan kami dapati mayat seorang wanita terbaring di ruang tamu rumahnya, namun tiada kesan darah dilihat berhampiran. “Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gelisahanakterjawab/Article

Mengamuk ibu khalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

2010/08/16

JITRA: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berang apabila mendapati ibunya dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kubang Pasu (PADKP) di rumah mereka di Taman Teja, Changlun di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun dia ditenteramkan penguat kuasa yang melihatnya dalam keadaan marah.


Sebelum kejadian, remaja itu tidur dalam bilik di rumah itu sebelum dikejutkan penguat kuasa yang membuat pemeriksaan kira-kira jam 1.30 pagi selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di situ.


Ibu remaja itu, ustazah berusia 40 tahun yang mengajar di sebuah sekolah rendah di daerah itu dicekup berkhalwat dengan seorang kakitangan kerajaan yang sudah berkeluarga.


Sumber berkata, anak lelaki wanita itu langsung tidak mengetahui ibunya membawa masuk lelaki berkenaan pada hari kejadian.


Katanya, wanita itu dikatakan sudah lama menjanda dan mengenali lelaki itu yang sudah berkeluarga itu sejak beberapa bulan lalu.


“Wanita itu berasal dari Kampung Pulau Nyior, di sini juga pemilik rumah berkenaan, manakala pasangannya berusia 50 tahun berasal dari Langgar, Alor Setar.


“Kami terpaksa menunggu kira-kira 20 minit kerana pemiliknya enggan membuka pintu sehingga memaksa kami menggunakan alat pembesar suara sehingga mengejutkan jiran berhampiran,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mengamukibukhalwat/Article

Dua anak meraung



Oleh Mohd Nasif Badruddin, Ahmad Rabiul Zulkifli dan Rohaya Bu-za

2010/08/16

KUALA TERENGGANU: “Tersentak hati saya melihat dua cucu tidak berdosa, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, meraung kesakitan akibat terkena simbahan cuka getah oleh bapanya yang hilang kewarasan.

SAKIT...Afika Alina Mat Haizan menunjukkan mata neneknya, Minah yang cedera terkena cuka getah.
SAKIT...Afika Alina Mat Haizan menunjukkan mata neneknya, Minah yang cedera terkena cuka getah.
“Malah, saya yang cuba menyelamatkan anak, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang bergelut dengan suaminya turut terkena percikan cuka getah di mata menyebabkan mata kiri kini menjadi kelabu,” kata Minah Omar, 56, ibu Che Ku Zaimah dan nenek dua kanak-kanak yang disimbah cuka getah pada kejadian kira-kira jam 1.45 pagi semalam di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Menceritakan detik cemas itu, Minah ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, kira-kira jam 1.30 pagi dia dikejutkan dengan teriakan anak perempuannya meminta tolong dari bilik bersebelahan sebelum bergegas ke tempat kejadian dan melihat dua cucunya menggelupur menahan kesakitan sementara dua lagi cucunya bersembunyi ketakutan.

“Saya yang terkejut tidak terfikir membantu dua cucu sebaliknya merayu menantu (suspek) menghentikan pergelutan dengan isteri, sebelum mata kiri terkena percikan cuka getah yang cuba disimbah pada anak.

“Ketika itu, saya tertanya-tanya apa cecair yang disimbah sehingga bahagian yang terkena cecair itu kepanasan dan berasa pedih, cuma dalam perhatian saya suspek membawa cecair di dalam plastik.


“Melihat keengganan suspek berhenti mencederakannya, saya menjerit meminta tolong anak saudara yang tinggal bersebelahan rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik saja anak saudaranya datang, suspek yang ketakutan melarikan diri sebelum anak dan cucu bergegas ke bilik air untuk mandi kerana kepanasan.

Katanya, mereka dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum dirujuk ke HSNZ memandangkan kecederaan dialami agak serius dan tengah hari semalam dia dibenarkan keluar hospital sementara ahli keluarga lain masih dirawat di situ.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati Che Ku Zaimah cedera di belakang badan serta paha kanan dan kiri, manakala anak keduanya, Nurul Dahyatul Fazlinda cedera teruk di muka dan mata sementara Muhammad Irfan Firdaus cedera di muka dan dada,” katanya.

Minah berkata, menurut cerita Che Ku Zaimah, lelaki terbabit ke rumahnya untuk meminta wang RM30, bagaimanapun dia (Che Ku Zaimah) tidak memberi wang berkenaan menyebabkan suspek berang dan bertindak nekad menendang pintu rumah.

“Sebaik pintu itu dibuka, suspek meluru ke arahnya sebelum berlaku pergelutan dan dia nekad menyimbah cuka getah ke wajah Che Ku Zaimah, tetapi dielak menyebabkan ia terkena bahagian belakang.

“Lebih menyedihkan, cuka getah itu terkena muka dan badan kedua-dua cucu yang tidur sementara dua cucu lagi sempat menyelamatkan diri dan lebih kejam apabila dia bukan saja menyimbah, malah menyapu cuka getah itu di belakang badan Che Ku Zaimah,”
katanya.

Katanya, suspek pernah menyatakan hasratnya untuk menyimbah asid di muka anaknya kerana mangsa ingin bercerai dengannya, bagaimanapun mangsa tidak mengambil serius ugutan itu.

“Dia bukan saja menampar mangsa apabila berlaku pergaduhan, malah pernah menyimbah cat ke atas kepala anak saya selain mencederakannya dengan api rokok.

“Sikap suspek yang panas baran serta tidak bekerja dan hanya tahu meminta wang daripada Che Ku Zaimah yang bekerja sebagai peniaga pasar malam menyebabkan dia tidak tahan kerenah suspek dan ke pejabat agama untuk menguruskan perceraian mereka.

“Suspek yang berang pernah berkali-kali mengugut anak saya selain dipercayai menyimpan sijil perkahwinan mereka menyebabkan kes perceraian itu tertangguh sehingga sekarang,”
katanya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan K Manoharan, ketika ditemui di pejabatnya semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat masalah rumah tangga, apabila suspek, Mat Haizan Mat Yasin, 32, seorang penagih dadah dan tidak bekerja berdendam serta marah dengan isterinya yang bekerja sebagai penjual sayur di pasar di Kuala Berang kerana mahu bercerai.

Katanya, pasangan itu sudah berkahwin sejak 10 tahun lalu, tetapi tidak tinggal sebumbung sejak lima bulan lalu apabila mangsa membawa empat anak mereka berusia 10, lapan, tujuh dan dua tahun berpindah ke rumah ibunya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Suspek sering ke rumah ibu mentuanya untuk meminta wang daripada isterinya dengan yang terbaru sebelum kejadian ini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro ke rumah mangsa mendapati, percikan asid atau cuka getah bertaburan di lantai dan dinding bilik tidur berkenaan, manakala jiran mangsa yang enggan dikenali mengaku mendengar bunyi bising daripada rumah berkenaan sebelum mengetahui mengenai kejadian.

Bapa rogol anak

Oleh JAAFAR MULUP
metahad@hmetro.com.my
2010/08/15

TAMPIN: Mengejutkan apabila seorang murid perempuan tahun enam di sebuah sekolah daerah ini dipercayai kemaruk seks apabila sanggup merelakan diri menjadi pemuas nafsu bapa sejak hujung tahun lalu, selain mengajak beberapa teman rapat lelakinya melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.

Disebabkan tiada tentangan daripada anaknya, bapa durjana berkenaan merogol mangsa sambil berjanji tidak memecahkan rahsia kepada sesiapa, termasuk ibu.


“Ketika kejadian, ibu dan beberapa adik mangsa nyenyak tidur, manakala mangsa tidur di bilik lain,” katanya.


Menurutnya, kejadian terakhir berlaku pada 11 Ogos lalu, iaitu malam pertama Ramadan sebelum isterinya bangun untuk menyiapkan juadah bersahur.


Tidak puas dengan itu, katanya, mangsa dikatakan mengajak teman rapatnya melakukan aksi perbuatan keji itu, termasuk seorang abang angkatnya.

“Rahsia perbuatan mangsa bagaimanapun terbongkar apabila perubahan sikap murid berkenaan disedari seorang guru sekolah selepas dia dikatakan turut menceritakan perbuatan terkutuk yang dilakukannya tanpa berselindung.


“Atas rasa tanggungjawab dan demi menjaga nama baik sekolah supaya murid lain tidak terjebak dalam perkara maksiat, mangsa dan guru berkenaan membuat laporan di Balai Polis Gemas pada Khamis lalu,” katanya.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika ditemui, semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan.


Beliau berkata, pihaknya sudah menahan lelaki terbabit ketika menemani mangsa untuk diambil keterangan, kelmarin.


“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini (semalam) bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum selama 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.


Katanya, polis memburu seorang remaja yang dikatakan sebagai abang angkat mangsa bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Baparogolanak/myMA/myArticle/

Yatim piatu pada Ramadan

2010/08/15

TELUK INTAN: Ramadan kali ini meninggalkan kenangan paling pahit buat dua beradik kerana kehilangan ibu tersayang yang mati ditetak bapa mereka sendiri dalam kejadian amuk yang berlaku ketika umat Islam lain bersiap untuk bersahur, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, cuba memujuk suspek menyerah diri selepas dia dilaporkan mengamuk dan menetak isterinya.


“Sebaik tiba, polis dapat melihat mangsa terbaring di ruang tamu rumahnya dan turut kelihatan kelibat dua anak mangsa yang berlumuran darah.


“Bagaimanapun, usaha polis untuk memasuki rumah dihalang suspek yang terus mengamuk dan menghayunkan parang dan pisau.


“Selepas gagal memujuk dan menenangkan suspek, polis tiada pilihan selain menembaknya dengan senjata taser yang menghasilkan renjatan elektrik bagi merebahkan suspek.

“Tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila suspek menjadi semakin agresif dan meluru ke arah anggota polis dan menyerang dengan parang dan pisau sebelum polis terpaksa melepaskan dua das tembakan yang mengenai suspek dan pemeriksaan mendapati suspek mati di tempat kejadian,” katanya.


Sebaik memasuki rumah suspek, polis mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala, leher dan badan dipercayai kesan tetakan senjata tajam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/YatimpiatupadaRamadan/myMA/myArticle/

Sahur berdarah



Oleh KASDI ALI dan RAVALE SAVARINATHAN
am@hmetro.com.my
2010/08/15

TELUK INTAN: “Bang mengucap banyak-banyak... kenapa naik angin tiba-tiba ni? Tak elok bulan Ramadan buat perangai macam ni, malu kat jiran. Tolong jangan apa-apakan saya dan anak-anak, ingat Tuhan.”

TRAGIS... polis mengusung mayat mangsa keluar dari rumah.
TRAGIS... polis mengusung mayat mangsa keluar dari rumah.

Insiden yang turut menyebabkan dua anak perempuan mangsa cedera dengan seorang daripadanya parah, termasuk putus dua jari tangan kanannya, berakhir tragis kira-kira jam 8.30 pagi apabila polis menembak mati suspek yang cuba menyerang mereka menggunakan parang dan pisau.


Jiran sebelah rumah mangsa yang hanya mahu dikenali Tamarai, 30-an, berkata dia terjaga kira-kira jam 3 pagi apabila mendengar bunyi bising dipercayai pertengkaran mangsa dengan suspek.


“Pada mulanya saya tidak begitu terkejut kerana pasangan suami isteri itu memang kerap bertengkar dan mengamuk secara tiba-tiba.


“Tetapi pertengkaran pagi tadi (semalam) agak menakutkan kerana Bariah beberapa kali menjerit supaya dia dan dua anaknya tidak diapa-apakan oleh suspek.

“Saya percaya ketika itu suspek mungkin sedang menghayunkan parang atau pisau ke arah mereka.


“Sejurus kemudian, suasana menjadi senyap seketika tetapi disusuli pertengkaran kecil. Saya kemudian menyambung tidur kerana beranggapan ia sudah berakhir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Menurut Tamarai, tidurnya sekali lagi terganggu apabila dikejutkan dengan bunyi jeritan nyaring disusuli suara dua anak mangsa meminta tolong kira-kira jam 5.15 pagi.


“Ketika itulah saya berasa tidak sedap hati kerana suspek memang berperangai menakutkan setiap kali ‘anginnya’ tidak baik dan mahu mengamuk iaitu mengasah parangnya sehingga berjam-jam. “Saya tidak sangka dia menggunakan parang itu untuk membunuh isterinya dan mencederakan dua anak perempuannya.


“Bagaimanapun, saya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas polis tiba kira-kira jam 8.30 pagi kerana tidak berani keluar rumah. “Saya dimaklumkan jiran suspek menetak mangsa hingga mati dan turut menyerang dua anaknya. Saya begitu terkejut kerana tidak menduga suspek sanggup bertindak sedemikian.


“Saya sedih kerana mangsa seorang yang peramah dan sentiasa tersenyum setiap kali bertemu saya serta jiran lain walaupun keluarganya bermasalah disebabkan sikap panas baran suaminya,” katanya sedih.


Sementara seorang lagi jiran mangsa yang turut bekerja bersamanya di sebuah kilang plastik di Chui Chak, dekat sini, Ramlah Mohammad, berkata arwah ada mengadu kepadanya mengenai sikap melampau suaminya yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Saya memang mengetahui mengenai masalah rumahtangga arwah disebabkan suaminya yang mempunyai masalah mental dan dia juga selalu mengadu kepada saya,” katanya. “Tetapi dua hari lalu, saya terkejut lihat arwah bermuka pucat seperti orang ketakutan. Dia memberitahu saya penyakit mental suaminya semakin teruk apabila dia selalu kacau, buat bising dan memukulnya serta dua anak mereka.


“Saya menasihatkan arwah supaya membuat laporan polis jika keadaan tidak terkawal. Saya kesal arwah tidak sempat berbuat demikan.


“Suami ada memberitahu saya kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam), arwah ada datang ke rumah kami yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Arwah mencari saya tapi suami beritahu saya tidur menyebabkan dia pulang semula ke rumahnya.


“Saya tak sangka tidak lama kemudian, arwah mati ditetak suaminya. Saya terkilan kerana arwah mungkin mencari saya untuk meminta pertolongan,” katanya yang menitiskan air mata.


Sementara itu, tinjauan Metro Ahad di sekitar rumah mangsa dan bilik mayat Hospital Teluk Intan mendapati suasana lengang dengan kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa dan suspek.


Bagaimanapun, usaha wartawan Metro Ahad menemubual keluarga mangsa gagal selepas dihalang secara baik daripada berbuat demikian oleh seorang saudara mangsa yang hanya mahu memberi komen seluruh ahli keluarganya, trauma dan masih terkejut dengan kejadian tragis itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sahurberdarah/myMA/myArticle

Misteri payu dara budak empat bulan


SEORANG bayi berumur 13 bulan (kanan) yang didapati mempunyai pertumbuhan payu dara awal sedang bermain dekat ibunya di rumah mereka di Beijing pada minggu lalu.


BEIJING - Kementerian Kesihatan China tidak menemui sebarang bukti bahawa susu tepung yang dikeluarkan syarikat Synutra menjadi punca tiga bayi perempuan berumur antara lima bulan hingga 15 bulan mempunyai pertumbuhan payu dara awal, lapor media semalam.

Penemuan itu diumumkan setelah ibu bapa tiga bayi dan doktor menyuarakan kebimbangan bahawa hormon di dalam susu tepung itu menjadi punca payu dara tersebut didapati mulai membesar.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Deng Haihua, ujian klinikal mendapati kadar hormon di dalam susu itu berada pada paras normal.

Beliau berkata, doktor-doktor yang memeriksa semua bayi itu mendapati perkembangan pembesaran payu dara mereka tidak serius. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0816&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...