Thursday, September 2, 2010

Dijual kenalan suami

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Sharifah Zulaikha Syed Amali

2010/09/02

LEDANG: Padah minyak dagu wanita mati dibunuh, seorang wanita dilarikan kenalan suaminya dan dilacurkan kepada pemandu lori selama hampir sebulan sebelum ditemui dalam keadaan kebingungan di Stesen Bas Maharani di Muar.

LEMAH...Nori hanya mampu terbaring ketika menerima rawatan di HPSF.
LEMAH...Nori hanya mampu terbaring ketika menerima rawatan di HPSF.
Mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik berusia 26 tahun itu ditemui dalam keadaan serba tidak terurus dan terdapat kesan kecederaan pada badan wanita terbabit pada Sabtu lalu.

Kejadian bermula 7 Ogos lalu itu apabila mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nori, 26, keluar dari rumah dekat Sungai Mati di sini, untuk ke Melaka kononnya ditugaskan mengikuti kursus di sebuah hospital swasta di Melaka sebelum menghilangkan diri.

Namun, suaminya, Shamsul, (bukan nama sebenar), 30, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku ke atas isterinya apabila panggilan telefonnya tidak dijawab.

Malah, isterinya itu seakan hilang pertimbangan selepas seminggu menghilangkan diri sebelum mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon diceraikan serta-merta.


Shamsul dan ibu mentuanya Zainab, 58, percaya perilaku anaknya itu berubah sejak dia mengenali seorang pemandu lori ‘buaya darat’ terbabit yang sering berkunjung ke gerai makan milik keluarga berhampiran tempat tinggal mereka.

Berdasarkan perubatan tradisional, keluarga Shamsul percaya mangsa terkena ilmu hitam paling kuat iaitu minyak dagu wanita mati dibunuh menyebabkan Nori seakan hilang pertimbangan serta berubah sikap.

Ketika menceritakan semula kejadian itu, Nori yang ditemui di Hospital Pakar Sulatanah Fatimah (HPSF) berkata, sepanjang beberapa minggu bersama lelaki terbabit dia diperlakukan seperti hamba abdi dan diarahkan melakukan pelbagai kerja termasuk melayan lelaki.

“Saya diserahkan di bawah jagaan seorang wanita berasal dari Sabah yang menjaga keperluan dan sepanjang tempoh itu saya dipaksa melakukan pelbagai kerja termasuk bekerja di kilang selama beberapa hari,” katanya ketika ditemui.

Nori dimasukkan ke sebuah wad di HPSF kerana muntah darah secara tiba-tiba, malah sering meracau ketika dibawa pulang ke rumah.

Sementara itu, Shamsul berkata, isterinya juga pernah dipukul lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori terbabit ketika cuba melarikan diri.

“Nori sempat menceritakan dia pernah ditumbuk, ditampar, malah disepak di perut kerana cuba melarikan diri dan sejak itu lelaki terbabit merancang menjualnya kepada orang lain.


“Saya percaya lelaki setan itu memaksa isteri melakukan pelbagai kerja sampingan termasuk kerja di kilang beberapa hari selain dipaksa melayan nafsu pemandu lori lain,” katanya.

Katanya, dia pernah membuat laporan polis dan beberapa anggota polis juga pernah hadir ke HPSF untuk mengambil keterangan daripadanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu sia-sia kerana Nori berubah sikap secara tiba-tiba dan berkelakuan aneh termasuk enggan bercakap dengan sesiapa selain berbisik pada suaminya selain mengugut menikam dirinya.

“Perkara itu membuktikan Nori tertekan dan saya percaya dia mungkin menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan kami sekeluarga.


“Kami akan cuba merawat sakit misteri Nori dan jika dia beransur pulih, perkara ini akan diajukan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Shamsul berkata dia juga berbelah bagi kerana sekiranya bertindak bersendirian melaporkan kejadian itu kepada polis mungkin akan mengakibatkan rumah tangganya hancur.

Nori juga mendakwa lelaki setan itu akan membalas dendam sekiranya kejadian itu dilaporkan kepada polis.


Difahamkan, lelaki terbabit juga mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan kes pecah rumah dan jenayah ragut di sekitar Melaka.

'Saya tidak pernah serik'

Oleh Murni Wan Omar dan Jamilul Anbia Denin

2010/09/02

HULU KLANG: “Saya reda dan terima ini sebagai takdir. Setiap perkara ada hikmahnya. Kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan. Saya memang mengharapkan perkahwinan ini kekal tetapi ia tidak terjadi. Tidak, saya tidak pernah serik,” kata bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim.

Dia berkata demikian ketika selepas Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam, mengesahkan talak satu dijatuhkannya terhadap bekas isteri, Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Norhayati Othman.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam keputusannya berpuas hati bahawa lafaz talak ‘I cerai youlah’ yang dilafazkan Roslin, 35, terhadap Norhayati, 38, adalah sah dan sabit, selepas mendengar keterangan secara lisan daripada kedua-dua pihak terbabit, sebelum ini.

Roslin yang diwakil peguam syarie, Roslizam Rahim kelihatan tenang sebaik keputusan itu dibacakan dan keadaan sama pada Norhayati yang diwakili peguam syarie Zulqarnain Lukman.

Ketika Roslin mengadakan sidang media, seorang lelaki meletakkan dua beg di kaunter mahkamah sementara Norhayati yang ketika itu berada di pintu masuk mahkamah didengar berkata, “You can have your bag,” (kamu boleh ambil beg kamu).

Pada prosiding semalam, Wan Mahyuddin dalam keputusannya berkata lafaz talak pemain badminton itu jelas ditujukan kepada Norhayati dan jatuh talak satu walaupun ketika melafazkan talak itu, Roslin tidak menyatakan jumlah talak.

“Mahkamah berpendapat kejadian cerai di dalam bilik hotel membabitkan kedua-dua pihak ini sebagai menyedihkan dan mengejutkan ramai pihak kerana perkahwinan berlaku dalam tempoh yang singkat. Apatah lagi perkahwinan berlaku di hotel dan perceraian berlaku juga dalam hotel.

“Plaintif (Norhayati) mendakwa ada saksi yang melihat dan mendengar lafaz Roslin yang didakwanya ketika itu berada dalam keadaan sedar dan waras. Defendan (Roslin) pula mengakui ada melafazkan talak dan sedar mengenai lafaz itu tanpa mempunyai niat berhubung jumlah talak serta mengakui tiada unsur paksaan,”
katanya.

Wan Mahyuddin berkata, walaupun dalam keterangan Roslin sebelum ini mengatakan wujud unsur paksaan sehingga dia melafazkan cerai, beliau memutuskan ia tidak boleh diterima memandangkan ia paksaan berbentuk lisan dan bukan boleh mencederakan.

“Ia hanya secara lisan dan tidak memudaratkan tubuh badan. Suami masih ada pilihan melafazkan atau tidak. Mahkamah memberi ingatan kepada defendan dan umat Islam yang lain, perceraian di luar mahkamah hendaklah dielakkan kerana ia zalim dan mendatangkan keburukan.

“Setiap pasangan perlu mempunyai pengetahuan untuk memimpin rumah tangga, menjaga akhlak dan kewajipannya kepada keluarga kerana perkahwinan adalah ibadah yang berat. Kita hendaklah bertolak ansur dan bersabar apabila rumah tangga diuji oleh Allah. Lumrah akan ada perselisihan faham,”
katanya.

Mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang didakwa dilakukan Roslin dalam bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang di sini, pada 7 Ogos lalu.

Dalam keterangan sebelum ini, Norhayati mendakwa punca mereka bercerai selepas dia mengetahui Roslin pergi ke hotel itu untuk bersama Raja Azmi Raja Sulaiman.

Roslin dan Norhayati mendirikan rumah tangga pada 9 Julai lalu di Hotel Flamigo, Ampang, di sini. Ia perkahwinan kedua Roslin selepas dia mengejutkan ramai pihak apabila perkahwinan pertamanya dengan Faizah Mohamad, 32, pada 30 Januari 2009 hanya mampu bertahan selama 12 hari.

Roslin ketika ditemui turut menjelaskan bahawa perceraiannya dengan Norhayati tidak mempunyai kaitan dengan Raja Azmi.

“Dia (Raja Azmi) tiada kaitan langsung dengan dalam masalah perkahwinan saya. Apa yang berbangkit sebelum ini tidak perlu dibahaskan kerana tujuan saya ke mahkamah untuk mendengar prosiding pengesahan lafaz cerai, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Sementara itu, Norhayati yang dihubungi berkata, dia lega dan tenang dengan keputusan diterimanya itu.

“Saya enggan mengulas panjang lebar berhubung kes ini berikutan masih ada perbicaraan lain membabitkan kes mutaah selepas ini. Bagaimanapun saya cuba meneruskan hidup seperti biasa dengan sokongan ahli keluarga dan rakan,” katanya.

Wednesday, September 1, 2010

Roslin Hashim & Norhayati Akhirnya Bercerai

Published: Rabu September 1, 2010 MYT 3:55:00 PM
Updated: Rabu September 1, 2010 MYT 4:47:26 PM

KUALA LUMPUR: Pergolakan rumah tangga jaguh badminton negara, Roslin Hashim,35, berakhir selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini Rabu, mengesahkan lafaz cerai yang dilafazkannya terhadap Norhayati Othman,38, kira-kira sebulan selepas perkahwinan.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad mensabitkan lafaz talak berbunyi “I cerai you-lah” yang dilafazkan Roslin, pada pukul 8.32 malam, di bilik nombor 533, Hotel Corus, di sini, sebagai lafaz yang jelas ditujukan kepada Norhayati.

Justeru itu, beliau memutuskan pasangan itu sah bercerai talak satu dan memerintahkan Norhayati untuk beredah selama tiga kali suci bermula daripada tarikh lafaz serta perceraian itu didaftarkan manakala surat nikah pasangan tersebut dibatalkan.

“Mahkamah melihat perceraian ini sebagai sesuatu yang menyedihkan dan mengejutkan banyak pihak kerana berlaku dalam jangka masa yang singkat. Apatah lagi, perkahwinan ini berlaku di hotel dan juga berakhir di hotel,” kata Wan Mahyuddin.

Berhubung dakwaan Roslin bahawa wujud unsur paksaan sehingga dia melafazkan cerai, Wan Mahyuddin memutuskan dakwaan itu tidak diterima memandangkan ia hanyalah paksaan lisan yang tidak mendatangkan kemudaratan.

Wan Mahyuddin turut menyelitkan peringatan buat Roslin dan umat Islam supaya tidak melafazkan cerai di luar mahkamah untuk mengelakkan kemudaratan, selain perkara yang paling dibenci oleh Allah itu seharusnya dibuat dalam keadaan yang harmoni.

“Setiap pasangan mesti mempunyai pengetahuan untuk memimpin rumah tangga, menjaga akhlak dan kewajipannya kepada keluarga kerana perkahwinan adalah ibadat yang berat.

“Kita hendaklah bertolak-ansur dan bersabar apabila rumah tangga diuji oleh Allah. Lumrah akan ada perselisihan faham,” tambah Wan Mahyuddin.

Beliau berkata demikian pada permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan Norhayati, seorang Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada 10 Ogos lalu kerana mendakwa Roslin telah melafazkan cerai yang turut didengari oleh dua adiknya.

Berdasarkan keterangan sebelum ini, Norhayati mendakwa dia bersama keluarganya telah ke hotel tersebut selepas mendapat tahu Roslin telah mendaftar masuk ke bilik yang didaftarkan atas nama produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Lafaz itu juga telah diikrarkan semula oleh Roslin semasa kes dibicarakan di mahkamah. Roslin juga mengakui bahawa dia berada dalam keadaan yang waras dan sedar semasa melafazkan cerai tersebut.

Roslin hadir bersama peguam syarienya, Roslizam Rahim manakala Norhayati yang berpakaian serba hitam ditemani ahli keluarga dan diwakili peguam syarie Zulqarnain Lukman. Kedua-dua mereka kelihatan tenang sepanjang prosiding mahkamah.

Semasa Roslin sedang bercakap dengan media, seorang lelaki meletakkan dua buah beg di bahagian kaunter mahkamah sementara Norhayati yang berada di pintu mahkamah didengari berkata: “You can have your bag (kamu boleh mengambil beg kamu).”

Roslin dan Norhayati mendirikan rumah tangga pada 9 Julai lalu di Hotel Flamigo, Ampang, di sini, selepas berkenalan tidak sampai lima bulan.

Ia merupakan perkahwinan kedua Roslin, yang sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila perkahwinan pertamanya dengan Faizah Mohamad, 32, pada 30 Januari 2009 hanya mampu bertahan selama 12 hari.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/1/mstar_hiburan/20100901155152&sec=mstar_hiburan

Didakwa Menyeleweng, Persatuan Seni Desak Freddie Fernandez Berundur

Rabu September 1, 2010

Zaienal Abidin Omar (tengah) bersama pemimpin persatuan-persatuan seni selepas mesyuarat tergempar mengenai kemelut Persatuan Karyawan di PWTC, Selasa lalu.

KUALA LUMPUR: Pemimpin persatuan-persatuan seni, Selasa, sepakat menolak kepimpinan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez daripada menerajui persatuan itu sebaliknya menyokong ahli seumur hidup Karyawan, Zaienal Abidin Omar untuk mengambil alih kepimpinan berkenaan.

Dalam mesyuarat tergempar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Selasa, persatuan-persatuan berkenaan juga mendesak Freddie supaya berundur diri.

Pemimpin-pemimpin persatuan itu ialah Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M.Daud, Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia, Ong Peng Chu, dan Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Mokhtar Abu Bakar.

Turut mendesak Freddie berundur ialah Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam), Ismail Ahmad dan Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia, Datuk Ismail Hudson.

Hadir sama artis veteran Datuk Aziz Satar.

Dalam mesyuarat yang diadakan itu mereka turut mendakwa sepanjang menjadi Presiden Karyawan, Freddie dikatakan telah melakukan banyak penyelewengan.

Zaienal Abidin akan menentang Freddie bagi merebut jawatan Presiden Karyawan.

“Berdasarkan kepada mesyuarat yang diadakan, pihak kami memang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Freddie dan menyokong Zaienal Abidin untuk bertanding jawatan itu kerana kami mahu industri hiburan ini menjadi aman,” kata M.Daud ketika berucap pada majlis tersebut.

Kemelut Karyawan menjadi semakin tegang apabila pada Ahad lalu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan di Pawagam Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terpaksa ditangguhkan apabila berlaku kekecohan.

Mesyuarat berkenaan diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa- Kuasa Khas) pada 2 Julai lalu mengarahkan satu Mesyuarat Agung di adakan dalam tempoh 60 hari dari perintah yang dikeluarkan.

Zaienal Abidin berkata, dia masih lagi ahli seumur hidup Karyawan yang sah dan layak untuk bertanding jawatan berkenaan.

Katanya, dia mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli sehingga kehadirannya dalam AGM tersebut disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar menyebabkan Freddie merasakan kedudukannya semakin goyang.

Atas dasar itu ujar Zaienal Abidin dia berhasrat mengambil alih persatuan yang ditubuhkan atas inisiatifnya sebelum ini.

Bercerita mengenai kekecohan yang berlaku Ahad lalu itu ujar Zaienal Abidin ia disebabkan kegagalan jawatankuasa bebas yang dilantik mengendalikan mesyuarat kerana tidak mempunyai pengalaman.

Komen pemimpin-pemimpin persatuan

“Saya tidak sukakan cara Freddie kerana dia gemar melakukan tindakan menentang arus.” - Ismail Ahmad (Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia - Swam)

“Tak mahu Freddie menjadi duri dalam daging. Bila jadi isu seperti ini, kami mahu pemimpin yang boleh majukan industri kita.” Mokhtar Abu Bakar (Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia – Profima)

“Kekecohan yang berlaku tidak begitu manis. Kami bersatu mahu singkirkan Freddie Fernandez.”Datuk Ismail Hudson (Presiden Persatuan Artis Veteran).

“Kita patut tolong-menolong dalam persatuan tetapi Freddie selama ini banyak memburukkan persatuan sehingga sanggup hantar surat kepada menteri untuk tutupkan persatuan lain.” Ong Peng Chu (Setiausaha Persatuan Artis Cina Malaysia).

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/1/mstar_hiburan/20100831215725&sec=mstar_hiburan

Isu Pegang Sepanduk Di Mekah, Linda Onn Terkilan

Rabu September 1, 2010

Linda Onn bersama jemaah ketika mengerjakan umrah pada Jun lalu. Gambar Linda bersama sepanduk ini disindir penulis pojok Siti Jarum menyebabkan Linda berasa terkilan. Gambar ihsan blog Linda Onn.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn terkilan dengan laporan sebuah akhbar Ahad lalu, yang kononnya mendakwa pemergiannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dari 15 hingga 25 Jun lepas seperti hendak menunjuk-nunjuk.

Linda menerusi blognya yang disiarkan pada Isnin lalu berkata tuduhan itu amat mengguris hatinya kerana pemergiannya ke Tanah Suci Mekah adalah ditaja oleh syarikat pelancongan Gemilang Travel yang menjalinkan kerjasama dengan stesen radio Suria FM.

Katanya, sepanjang berada di Mekah, Linda menjalankan tugasan dengan melaporkan segala perkembangan mengenai rombongan tersebut yang mana ia merupakan perjanjian yang telah dimeterai di antara stesen radio itu sebagai radio rasmi dengan ejen pelancongan berkenaan.

“Linda diberi tugasan membuat liputan perjalanan sebelum berangkat, semasa berada di Madinah, Mekah sehinggalah perjalanan pulang Linda ke Malaysia. Semua itu merupakan perjanjian di antara Gemilang Travel dan juga Suria FM.

“Sepanjang mengikuti rombongan itu Linda membuat lintasan secara langsung sebanyak dua kali sehari bagi mempromosi syarikat berkenaan,” katanya dalam blog tersebut.

Ahad lalu ruangan pojok Siti Jarum di dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia telah menyindir Linda Onn yang bergambar dengan memegang sepanduk tertulis “Umrah Bersama Linda Onn” seperti memberitahu dia berjaya mengerjakan umrah.

Tindakan itu kata Siti Jarum seperti pendaki yang biasanya memegang sepanduk setiap kali berjaya menawan puncak gunung.

Mengenai tindakannya bergambar dengan memegang sepanduk itu kata Linda ia dibuat bukan atas kehendak dia sebaliknya sepanduk itu disediakan oleh ejen pelancongan atas dasar mempromosikan syarikat mereka.

Ujar Linda sudah beberapa kali dia mengerjakan umrah tetapi tidak pernah pun membawa sepanduk melainkan untuk rombongan umrah anjuran syarikat pelancongan berkenaan.

Katanya, dia tidak sedikit pun terlintas untuk memberitahu telah berjaya melakukan umrah dengan memegang sepanduk itu.

“Bila diminta bergambar sebagai duta kecil, Linda pun bergambar beramai-ramai dengan jemaah yang lain dan tidak terniat untuk menjadikan ia sebagai pengesahan yang Linda berjaya melakukan umrah,” katanya.

Sementara itu dalam satu kiriman SMS kepada mStar Online, Selasa, personaliti ini memberitahu dia benar-benar terkilan dengan sindiran itu kerana ia memperlihatkan seolah-olah dia mempermainkan kerja baik yang dilakukan.

“Linda betul-betul kecil hati. Ini soal ibadat. Kalau soal lain, Linda tak pernah rasa (terkilan) macam ni,” katanya sambil membenarkan mStar Online memetik tulisan di dalam blognya.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/1/mstar_hiburan/20100831165034&sec=mstar_hiburan

Gadis 14 tahun setinggi 2.06 meter


ELISANY SILVA berbual dengan adiknya di rumah mereka di Braganca, Brazil kelmarin.


RIO DE JANEIRO - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Brazil memiliki ketinggian 2.06 meter sekali gus menjadikannya antara remaja paling tinggi di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketinggian remaja itu, Elisany Silva terus meningkat pada kadar 0.l5 meter setahun disebabkan sejenis penyakit tumbesaran tetapi keluarganya tidak mampu untuk membiayai kos perubatan anak mereka bagi menghalang ketinggiannya.

Bercakap dari rumahnya di negeri Para, Elisany memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan bahawa dia tidak dapat pergi ke sekolah kerana tempat duduk bas terlalu kecil untuk dirinya.

"Di rumah juga sukar. Apabila saya leka, kepala saya akan terhantuk pada siling rumah," katanya.

Elisany berharap dia dapat menggunakan ketinggiannya untuk menjadi seorang model fesyen yang berjaya.

Remaja perempuan itu tinggal di sebuah rumah kecil bersama beberapa saudara perempuan dan ibunya, Ana Maria Silva serta bapa tirinya, Luiz Jorge. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Puting beliung api melanda Hawaii


GAMBAR menunjukkan asap dan api seperti puting beliung di sebuah kawasan hutan di Pulau Besar, Hawaii, baru-baru ini.


HONOLULU - Fenomena puting beliung api berlaku dekat sebatang jalan raya utama di Hawaii dan ia berjaya dirakamkan menerusi kamera, lapor sebuah akhbar semalam.

Putaran asap hitam yang tebal dilihat berpusing dalam bentuk pusaran ketika api menjulang setinggi 6.09 meter dari permukaan tanah, baru-baru ini.

Puting beliung api tersebut memusnahkan tanah seluas 566 hektar dan ia terus membakar beberapa bahagian di pulau itu.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Turut dikenali sebagai syaitan api, puting beliung api itu berlaku apabila api berdepan dengan satu pusaran vertikal.

Puting beliung itu turut berlaku apabila satu bahagian udara panas diselaputi oleh api sekali gus menyebabkan tekanan rendah di permukaan bumi.

Udara yang lebih sejuk kemudian memasukinya menyebabkan pusaran berlaku manakala api menjulang tinggi.

Pada 1923. satu puting beliung api terjadi disebabkan gempa bumi kuat di Tokyo. Dalam kejadian itu, seramai 38,000 orang terbunuh. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Taktik baru elak ditangkap khalwat


SEBAHAGIAN daripada 22 pasangan yang ditahan pegawai JAIS kerana melakukan maksiat dalam Ops Sayang di sekitar Selangor malam semalam.


SHAH ALAM – Sepasang kekasih membayar RM140 untuk menyewa dua bilik berasingan di sebuah hotel bajet di Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini awal pagi semalam bagi mengelak daripada dikesan melakukan khalwat.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, pasangan berasal dari pantai timur berusia 20-an itu mematikan pendingin hawa serta lampu bilik dan sanggup membuat maksiat di dalam bilik yang panas.

Bagaimanapun, taktik tersebut terbongkar setelah pegawai dan anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu hotel itu dalam ‘Ops Sayang' sempena sambutan Ambang Merdeka ke-53.

Mereka adalah antara 22 pasangan kekasih yang dicekup JAIS di beberapa hotel bajet sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya sepanjang operasi mulai pukul 11 malam hingga 4 pagi semalam.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Nurhamizah Othman berkata, pasangan yang menyewa dua bilik bersebelahan itu didapati telah mendaftar bilik atas nama masing-masing namun hanya menggunakan sebuah bilik.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Menangis teresak-esak elak ditahan

2010/09/01

SHAH ALAM: Helah sepasang kekasih menempah dua bilik bersebelahan menggunakan nama masing-masing di hotel bajet di Bandar Sunway, Petaling Jaya, semalam, gagal mengaburi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pasangan kekasih berusia 22 dan 24 tahun dari pantai timur menangis teresak-sesak supaya dibebaskan sejurus ditahan pegawai penguat kuasa Jais. Difahamkan, pasangan muda terbabit sanggup berpanas dengan mematikan operasi pendingin hawa dan lampu bilik sebelum membuat maksiat.


Itu antara taktik licik beberapa pasangan yang ditahan dalam ‘Ops Sayang’ sempena sambutan ambang Merdeka Ke-53 yang turut membabitkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ahli jawatankuasa masjid.


Dalam operasi bermula kira-kira jam 1 pagi dan berakhir empat jam kemudian itu, 22 pasangan membabitkan daerah Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya ditahan kerana disyaki berkhalwat. Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jais, Mohamad Rais Rasid berkata, antara kawasan yang digempur pihak berkuasa adalah hotel bajet di sekitar Klang, Kuala Selangor, Shah Alam, Petaling Jaya, Sabak Bernam dan Hulu Langat.


“Anggota kami dipecahkan kepada lapan kumpulan yang masing-masing ke destinasi tumpuan. “Ops pada malam ini bertujuan menyelamatkan remaja Melayu daripada terjebak ke lembah maksiat dan gejala sosial yang tak bermoral,” katanya.


Beliau berkata, pusat hiburan dan hotel bajet dijadikan tempat utama serbuan berikutan cara lapuk berdua-duaan di tempat awam tidak menjadi kegemaran mereka lagi.


“Kami fokuskan lebih kepada hotel bajet sebab ia lebih murah dan dipercayai ramai pergi ke situ.


Ops Sayang ini kami lakukan dua tahun sekali dan diperhebatkan pada sambutan hari kekasih, kemerdekaan dan tahun baru,” katanya. Menurutnya, bagi pasangan yang tidak didakwa pada malam itu, mereka perlu mengikuti ‘Kursus Masih Ada Yang Sayang’ kelolaan Jais selama sehari pada waktu ditetapkan.


“Bagi mereka yang didakwa selepas didapati bersalah pula perlu menghadirkan diri ke Kursus Bimbingan Rohani yang diadakan tiga hari dua malam,” katanya.

Semua pasangan dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun ditahan dibawa balik ke ibu pejabat Jais untuk diambil keterangan dan diikat jamin sebelum dibebaskan. Katanya, pasangan disyaki berkhalwat didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kecuali seorang lelaki bukan Muslim dan jika sabit kesalahan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisteresak-esakelakditahan/Article

Tiga hari habuan nafsu lapan pekerja kilang

2010/09/01

HULU SELANGOR : Seorang gadis diberi pil khayal dirogol bergilir-gilir lapan pekerja kilang selama tiga hari berturut-turut.

Mangsa dilaporkan hilang keluarganya Jumaat lalu dan dikatakan mengikut teman lelakinya sebelum diberi pil khayal dan disembunyikan di kedai di Jalan Melor 2A, di sini sebelum dirogol teman lelaki dan rakannya.


Bagaimanapun, mangsa ditemui rakan bapanya yang menyertai gerakan mencari mangsa di kawasan berkenaan bersama penduduk berhampiran. Mereka menahan lelaki terbabit sebelum diserahkan kepada polis.


Ketua Polis Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya berkata, mangsa yang berusia 17 tahun dan tidak lagi bersekolah sebelum itu dikatakan baru berkenalan dengan lelaki berasal dari Sabah sebelum mangsa diajak minum di warung berhampiran Desa Melur.


“Mangsa bersetuju keluar minum bersama teman lelakinya yang turut membawa seorang lagi rakan lain. Difahamkan, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri, sejurus diberi minuman suspek.


“Mangsa dalam keadaan separuh sedar dibawa ke rumah kedai berhampiran sebelum dirogol bergilir-gilir teman lelakinya dan rakan suspek yang lain,”
katanya.

Guna MyKad ibu untuk berkhalwat

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
2010/09/01

GEORGETOWN: Seorang gadis 19 tahun yang dicekup kerana berkhalwat, bukan mengaku hilang dara pada malam sambutan Ambang Kemerdekaan Ke-53 di sebuah hotel di Simpang Ampat, Seberang Prai Selatan (SPS) di sini awal pagi semalam, malah menggunakan kad pengenalan ibunya bagi mendaftar masuk hotel berkenaan.

Gadis itu membuat pengakuan berkenaan selepas dicekup berkhalwat dalam satu operasi cegah maksiat ‘Ops Gegar dan Sahur’ membabitkan sepasukan 15 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kira-kira jam 3 pagi.


Lebih mengejutkan, ketika ditahan dia hanya memakai blaus dan seluar ketat paras paha tanpa coli dan seluar dalam, manakala pasangannya berusia 20-an, lengkap berpakaian.


Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya menemui coli serta singlet di atas katil milik wanita berkenaan dan ketika disoal siasat, wanita itu mengakui kedua-dua barangan itu miliknya, malah pihak berkuasa menemui kesan tompokan darah pada cadar di bawah coli dan singlet terbabit.


“Siasatan mendapati suspek wanita mengaku mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya buat pertama kali dan mendakwa hilang dara pada malam merdeka ketika menginap di hotel itu.


“Dia mengaku sudah berkenalan dengan pasangannya sejak empat tahun lalu dan baru pertama kali menyewa di hotel,”
katanya.

Khairul Azman berkata, pemeriksaan mendapati bilik berkenaan didaftarkan atas nama seorang wanita, ibu kandung gadis itu dan siasatan mendapati dia menggunakan kad pengenalan ibunya tanpa kebenaran.


Menurutnya, kedua-duanya gagal membuktikan sebarang dokumen pernikahan yang sah ketika diminta dan ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk laporan tangkapan.


“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam Ops Gegar dan Sahur itu enam pasangan kekasih ditahan atas kesalahan sama di beberapa hotel sekitar Simpang Ampat, SPS dan Butterworth.


Turut ditahan, tiga pasangan kekasih atas kesalahan berkelakuan kurang sopan di tempat awam sekitar Sungai Pinang, Jelutong, Pantai Seagate dan Pantai Queensbay.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen sama dan sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.


Monday, August 30, 2010

Joli wang isteri



Oleh MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
metahad@hmetro.com.my
2010/08/29

MELAKA: Usianya sudah 40-an tetapi ia tidak membataskan nafsu pelik seorang lelaki kasanova apabila galak memburu wanita yang kebanyakannya berstatus janda hingga meminggirkan keluarganya.


Dia dikatakan pakar menjerat wanita dengan hanya menggunakan kata-kata manis, penampilan baik dan gaya berpakaian kemas, sekali gus menutup kekurangannya.

Ketika mendedahkan perkara itu, isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsiah, 50-an, berkata dia kini tidak mengharapkan apa-apa daripada suami, sebaliknya mahu menuntut hak dan nafkah di mahkamah syariah.


Katanya, sifat kemaruk wanita lain menyebabkan suaminya lalai dalam menunaikan tanggungjawabnya dan hanya tahu melaram ketika keluar rumah hampir setiap hari sambil berlagak seperti orang muda.

“Selain pandai memujuk saya dengan kata-kata lemah lembut, suami yang tidak bekerja hampir setiap hari akan bersiap dengan kemas untuk keluar dan pulang apabila larut malam. Dia selamba meminta wang daripada saya dan anak untuk perbelanjaannya tanpa rasa malu.

“Kami ada perang mulut tetapi dia tidak pernah pukul saya, sebaliknya memberi tekanan dengan cara lain apabila menjalin hubungan dengan ramai wanita, tidak kira anak dara atau janda mahupun pelajar sekolah, dan menghabiskan wang simpanan saya menyebabkan saya hampir jadi gila,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Alai, dekat sini.

Shamsiah berkata, tujuannya mendedah penderitaan hidupnya disebabkan sudah putus harapan untuk mengesan suaminya yang dipercayai mengikut seorang ustazah bergelar janda beranak empat di utara tanah air.

“Nasib saya tidak ubah seperti membela seekor biawak hidup kerana dengan berbekalkan wang gaji saya sebagai pengasuh pada siang hari dan bekerja di kedai makan pada waktu malam, sudah cukup menjadi modal hariannya.

“Saya pernah menegur tingkah lakunya kerana wang gaji saya peroleh sering tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga dan juga persekolahan anak, namun dia tidak ambil peduli,”
katanya.

Menjelaskan nasibnya, Shamsiah berkata, suaminya bijak berlakon dengan sifat lemah lembut memujuknya hingga dirinya ‘diperbodohkan’ sepanjang perkahwinan mereka sejak 18 tahun lalu.

Katanya, tembelang si suami terbongkar perlahan-lahan selepas anak bongsunya berusia setahun.

“Pada masa itu baru saya tahu selama ini dia (suami) pandai bermain kata-kata penuh dengan pujuk rayu. Kesudahannya habis duit pampasan kerja kilang dulu dan sebahagian duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lesap kira-kira RM30,000 dikeluarkan suami.

“Malah rumah yang saya beli di Lubok Redan, Masjid Tanah berharga RM45,000 turut digadainya dan satu sen pun wang tidak diberi,”
katanya.

Menurutnya, dia yang juga janda sebelum ini berkenalan dengan suaminya ketika bekerja di sebuah kilang di Ayer Keroh.

“Suami bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pada awal perkenalan saya tertarik dengan sikapnya yang baik dan pandai memujuk hingga saya bersetuju menikahinya.

“Mula-mula saya tidak tahu suami sudah beristeri namun selepas berkahwin pada 28 September 1992, baru saya tahu saya isteri kedua.

“Saya pernah meminta dia mempertemukan dengan isteri pertama yang juga janda beranak dua, namun suami enggan dan memberi pelbagai alasan, sedangkan tujuan saya baik,” katanya.

Menurutnya, di awal perkahwinan kehidupannya baik sebelum tiba-tiba suami menjalin hubungan dengan seorang gadis warga Indonesia yang dijadikan anak angkat pada 1997 di kilang sama dan tidak pulang ke rumah selama dua bulan.

Katanya, apabila pengurusan kilang mengetahui masalah itu, dia dibawa bertentang mata dengan gadis Indonesia itu yang diberi amaran supaya tidak lagi menjalin hubungan dengan suami orang atau dihantar balik ke negara asal.

“Apabila perkara itu terbongkar, suami pula bertindak licik apabila melarikan diri bersama gadis itu dan tinggal di sebuah rumah di Taboh Naning, Alor Gajah.

“Saya juga dapat tahu dia berkenalan dengan seorang janda dari Felda Jelai 3 dan pernah bawa balik ke rumah. Saya pasrah dan dua kali mengadukan nasib ke Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sebelum suami kembali.


“Selepas itu kehidupan kami makin terhimpit apabila terpaksa mengikut suami berpindah-randah tidak kurang dari lima tempat.

“Selepas berkahwin, kami tinggal di Bukit Baru sebelum berpindah ke Kuala Linggi, Bukit Beruang, Bukit Katil dan Lubok Redan,”
katanya.

Shamsiah yang juga ibu kepada dua anak berusia 17 dan 15 tahun berkata, dia akhirnya berpindah balik ke kampung halaman di Parit Buntar, Perak pada Mei 2002 dan tinggal bersama ibunya.

Menurutnya, dia tidak mengetahui tipu muslihat suaminya mengajak balik ke kampung apabila berjanji mengubah sikap buruknya.

“Lain yang jadi, apabila sikap buruk suami makin menjadi-jadi kerana terus menjalin hubungan dengan ramai wanita.

“Bermula detik itu, kehidupan saya semakin terhimpit dengan perangainya dan difahamkan isteri pertama suami akhirnya turut meminta dilepaskan kerana tidak tahan menanggung derita ditinggalkan seperti nasib saya sekarang.


“Rupa-rupanya tekaan saya betul bahawa dia menjalin hubungan dengan seorang ustazah janda beranak empat. Malah, keluarga ustazah itu ada berjumpa saya serta menyatakan tidak setuju anak mereka berkahwin dengan suami,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu suami sekali lagi mengajak mereka berpindah semula ke Melaka dan menetap di Alai biarpun dia membantah kerana memikirkan persekolahan anak.

“Saya tidak akan maafkan perbuatan suami kerana habis wang ringgit saya hangus begitu saja kerana duit KWSP sebanyak RM8,800 dikeluarkan untuk belanja berpindah, bayar sewa dan sebagainya.

“Hidup saya sekeluarga kini semakin teruk. Makan pun ibaratnya kais pagi makan pagi, sewa rumah tertangguh dua bulan,”
katanya.

Shamsiah berkata, suaminya pernah memberitahu dia memikat wanita bekerjaya semata-mata mahu mengikis harta mereka manakala pelajar sekolah pula diberikan wang bagi tambah nilai telefon bimbit.

Katanya, perasaan sayangnya pada suami kini bertukar benci dan kesal, namun dia kasihan melihat anak perempuannya yang menanggung rindu untuk menemui bapanya.

“Saya kasihan melihat anak perempuan yang menghidap sakit pinggang. Ini kerana dia paling rapat dengan suami, jadi bila kami ditinggalkan, dia paling tertekan.

“Dulu saya kerap menangis sampai mengalami tekanan perasaan teruk kerana mengenangkan perbuatan suami.


“Namun sekarang tidak lagi kerana saya mahu lepaskan diri selepas mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suami menyatakan dia meminta maaf kerana banyak melakukan kesilapan dan meminta saya membuat tuntutan di mahkamah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kandang berhubung SMS berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Joliwangisteri/myMA/myArticle

Saturday, August 28, 2010

Tiger Woods luah perasaan sedih





PARAMUS, New Jersey - Pemain golf No. 1 dunia, Tiger Woods kelmarin mengakui bahawa sikapnya yang suka berpoya-poya menjadi punca dia berpisah dengan model dari Sweden, Elin Nordegren.

Dua hari selepas penceraian dan sehari sebelum bermula perlawanan golf kejohanan US PGA, Woods, 34, meluahkan perasaan selepas sehari majalah People menyiarkan wawancara pertama bersama Elin.

"Memang tindakan saya membawa kepada keputusan ini. Saya membuat banyak kesilapan dalam kehidupan. Itulah yang perlu saya harungi sekarang," kata Woods yang berharap dia akan belajar menjadi manusia lebih baik.

Ditanya adakah dia berasa lega apabila penceraian itu sudah selesai, Woods menjawab: "Saya tidak fikir itu perasaannya. Saya fikir ia lebih sedih. Tiada siapa berkahwin untuk bercerai, sebab itulah ia sangat menyedihkan."

Woods memberitahu, menguruskan penceraian adalah proses yang menyakitkan dan lebih sukar daripada yang difikirkannya. Pasangan itu kini cuba membantu dua anak mereka iaitu Sam dan Charlie untuk berdepan dengan perceraian tersebut.

Woods juga menyatakan dia tidak berkecil hati dengan isterinya. "Saya doakan dia yang terbaik dalam semua perkara. Ini adalah saat sukar dalam kehidupan kami," katanya yang kemudian diam apabila ditanya sama ada dia masih mencintai Elin atau tidak.

Selepas lima bulan tidak menyertai sebarang pertandingan untuk menjalani kaunseling dan menyelamatkan perkahwinannya, Woods hanya mampu menduduki tempat keempat dalam kejuaraan US Masters dan US Open pada Jun lalu.

Woods sebelum ini pernah dikaitkan dengan lebih 13 orang wanita, skandal yang sekali gus memusnahkan hubungannya dengan Elin. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Friday, August 27, 2010

'Syukur dapat bersekolah'

Oleh Togi Marzuki

2010/08/27

PONTIAN: “Alhamdulillah, syukur kami empat beradik dapat bersekolah lagi. Selama ini kami hanya membuang masa dengan bermain selain membersihkan kawasan luar dan dalam rumah untuk mengisi masa lapang.

“Namun, di dalam hati, kami tetap gelisah mengenangkan masa depan yang tidak menentu kerana gagal meneruskan persekolahan,” kata Norasyikin Mohd Nasir, 12, di sini, semalam.


Norasyikin dan tiga adiknya, Siti Azlin Natasha, 10, Muhammad Shamsul Fikri, 9, dan Muhammad Shazrin Hairi, 7, tinggal bersama nenek, Siti Zaleha Suib, 60, dan bapa mereka, Md Nasir Saleh, 43, di Kampung Parit Sulaiman Laut, Kayu Ara Pasong di sini.


Keempat-empat beradik itu gagal meneruskan persekolahan kerana kemiskinan dan masalah keluarga. “Kegagalan meneruskan persekolahan menyebabkan hati saya sentiasa resah apatah lagi apabila terkenang pesanan guru ilmu sangat penting dalam kehidupan untuk mengubah nasib diri.


“Namun, semangat untuk belajar tersemat kukuh di hati kami empat beradik. Setiap pagi, kami hanya mampu menjenguk rakan lain ke sekolah,”
katanya.

Kata-kata semangat mereka terbukti apabila ditanya berkaitan cita-cita Norasyikin serta Muhammad Shamsul mahu menjadi polis, Siti Azlin sebagai peguam, manakala Muhammad Shazrin mahu bergelar anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.


Md Nasir mengatakan kegagalan untuk meneruskan persekolahan keempat-empat anaknya itu disebabkan kekangan kewangan.


“Saya bekerja sebagai pemandu kereta sewa dan pendapatan itu hanya cukup menampung keperluan dapur.


“Saya berterima kasih atas kesudian pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian untuk meninjau keadaan sebenar kehidupan kami sekeluarga selain bantuan keperluan dapur dan wang tunai diberikan,”
katanya yang berpisah dengan isteri sejak lapan bulan lalu.


Bagi Siti Zaleha pula, sikap prihatin ditunjukkan pegawai PPD memberi semangat kepada cucunya meneruskan persekolahan dan ia cukup menggembirakan.


“Cucu saya bercita-cita tinggi selain mahu mengubah nasib keluarga. Mereka memang mahu belajar dan syukur kerana ramai yang sanggup membantu.

“Saya doakan cucu berjaya dalam pelajaran dan kepada semua yang membantu, hanya Tuhan saja yang mampu membalasnya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Unit Sektor Pembangunan Kemanusiaan PPD Pontian, Hamid Selamat berkata, berdasarkan rekod pengurusan sekolah, empat beradik berkenaan tidak hadir ke sekolah melebihi 60 hari.


“Murid ini dikategorikan miskin dan perlu diberi bantuan emosi dan kewangan. Mereka mempunyai potensi dalam pelajaran selain semangat tinggi untuk berjaya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Syukurdapatbersekolah/Article

8 tahun huni pondok buruk

Oleh Safuri Kamarudin

2010/08/27

BALING: Lima beranak terpaksa berteduh di pondok buruk sejak lapan tahun lalu dan sering berpindah tempat tidur apabila hujan lebat kerana tempat tinggal mereka diperbuat daripada kayu hutan di Kampung Paya Besar Ulu, Kuala Ketil.

Pasangan Othman Zainol, 35, dan isteri, Nurazila Che Sa, 31, serta tiga anak tinggal di sebuah pondok usang tanpa bekalan elektrik dan air bersih, malah keluarga itu terpaksa menggunakan air perigi untuk mandi, memasak dan membasuh pakaian setiap hari walaupun tahap kebersihannya meragukan.


Malah, keluarga itu menggunakan lampu minyak tanah dan lilin pada waktu malam dan menyukarkan seorang daripada anak mereka mengulang kaji pelajaran.


Nurazila berkata, mereka dikurniakan tiga anak, Mohd Amirul Amri, 9, kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Besar, manakala Mohd Faiz Farhan, 6, dan Mohd Adam Naim, 16 bulan.


Menurutnya, suaminya tidak mampu membina rumah lebih selesa kerana mereka hidup kemiskinan apatah lagi pendapatan suaminya sebagai pemandu van kilang tidak seberapa.


“Saya pernah memohon mendapatkan bantuan, tetapi hingga kini tiada perhatian dan tindakan untuk membantu sedangkan ramai yang datang menjenguk.


“Saya sedih kerana kami masih terpinggir sedangkan kerajaan melaburkan peruntukan banyak untuk membasmi kemiskinan,”
katanya yang ditemui, kelmarin.


Katanya, suaminya juga mengambil upah menoreh jika tidak keluar bekerja bagi menampung keperluan harian termasuk perbelanjaan anaknya yang masih bersekolah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/8tahunhunipondokburuk/Article

Felda kena bayar RM11j

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

2010/08/27

PUTRAJAYA: Seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan, lega apabila Mahkamah Persekutuan, di sini, semalam, mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada peneroka terbabit berkaitan isu gred buah kelapa sawit yang dibawa ke mahkamah lebih 10 tahun lalu.

Pada prosiding semalam, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif yang mengetuai panel tiga hakim mahkamah itu turut membuat keputusan menolak permohonan agensi itu yang mencabar keputusan mahkamah sama yang dianggotai panel lain sebelum ini, mengetepikan rayuan berkenaan pada 19 Januari lalu.


Felda sebelum ini, membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka terbabit.


Panel hakim, termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak boleh membenarkan permohonan berkenaan kerana tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya. Alauddin berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa bagi mengkaji keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan sebelum ini.


“Justeru, rayuan itu ditolak,” katanya. Mahkamah juga mengarahkan Felda membayar kos perundangan RM20,000.


Dewan dan ruang legar mahkamah sesak dengan kehadiran lebih 100 peneroka Felda berkenaan bersama ahli keluarga masing-masing bagi mendengar keputusan yang diumumkan Mahkamah Persekutuan yang akhirnya memihak kepada mereka. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka itu selepas peguam agensi berkenaan tidak hadir di mahkamah ketika saman didengar.


Mahkamah kemudian membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi mereka.


Jumlah itu meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul dan berdasarkan jumlah itu, setiap peneroka dijangka menerima sehingga M30,000 sebagai ganti rugi.


Kumpulan peneroka terbabit menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu memberikan nilai rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 menyebabkan mereka mengalami kerugian.


Dalam saman itu, mereka menamakan Felda, pengurus Felda Kemahang 3, Ibrahim Ismail (sudah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FeldakenabayarRM11j/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...