Thursday, October 21, 2010

Santa 'Pak Haji': TV3 didenda RM50,000


S Pathmawathy
Okt 21, 10
1:06pm



Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) telah dikenakan denda maksimum RM50,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana menyiarkan iklan kontroversinya berhubung sambutan Aidilfitri yang lalu.





Iklan yang disiarkan oleh stesen televisyen swasta pertama itu didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari, siasatan SKMM mendapati iklan berkenaan “menghina dan mengapi-apikan”.

Penjelasan itu sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen bebas yang mewakili Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin yang ingin tahu mengenai tindakan kerajaan ke atas TV3 kerana menyiarkan iklan “Sinari Lebran”.

Zulkifli dalam soalannya mendakwa iklan tersebut “menghina dan menjatuhkan martabat Islam”.

“Sinari Lebaran oleh TV3, disiasat oleh Akta SKMM 1998 mengikut Seksyen 206 (3) yang memperuntukkan kompaun maksimum RM50,000 yang dikenakan kepada TV3,” kata Salang.

TV3 semasa bulan Ramadan lalu menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan.





Ia dilihat seperti menyamakan Aidil Fitri dengan unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memasukkan elemen beca terbang, bunga teratai dan pelita.

Kos penerbitan iklan itu dikatakan mencecah RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Sementara itu, berhubung soalan Zulkifli mengenai usaha pemantauan dan penguatkuasaan berhubung penularan “fitnah perkauman dan agama” menerusi media siber dan elektronik, Salang berkata mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta SKMM ia tidak terhad kepada artikel yang dimuatnaik dalam laman berkenaan tetapi juga membabitkan interaksi serta komen yang dianggap memfitnah mana-mana agama ataupun kaum.

“Bagi kesilapan yang lebih serius, sebagai contoh menghina Islam dan agama lain yang boleh mencetuskan ketegangan kaum serta mengancam keselamatan negara, kita boleh rujuk kepada Akta Hasutan 1948 dan akta Keselamaatn Dalam Negara,” katanya.



Robot bedah pesakit prostat



DR. A APRIKAN menggunakan robot DaVinci bagi melakukan pembedahan di Hospital Besar Montreal, Kanada.


MONTREAL - Seorang lelaki Kanada yang menghidap kanser prostat dibedah dengan menggunakan robot di Hospital Besar Montreal baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebuah robot yang diberi nama jolokan McSleepy diberi tugas membius pesakit itu manakala robot DaVinci melakukan pembedahan.

Seorang pakar Pusat Kesihatan Universiti McGill di hospital itu, Dr. A. Aprikan berkata, doktor-doktor bekerja dari sebuah pusat operasi peralatan bagi menggerakkan robot DaVinci.

Menurutnya, robot itu boleh menggerakkan jari dengan tepat yang tidak boleh dilakukan oleh manusia bersendirian.

Dia dan pasukan pembedahannya mengendalikan robot itu dengan menggunakan alat kawalan video mengandungi imej tiga dimensi yang berkualiti tinggi.

Pasukan itu memindahkan sebahagian daripada kelenjar prostat pesakit tersebut dengan menggunakan robot DaVinci.

Seorang anggota pasukan itu, Dr. Thomas Hemmerling berkata, robot tidak akan menggantikan doktor tetapi ia membantu doktor melakukan pembedahan dengan standard tinggi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Gerhana di angkasa lepas



GAMBAR yang dirakamkan Balai Cerap Solar Dinamik menunjukkan bulan melintasi matahari pada 7 Oktober lalu.


WASHINGTON - Satelit yang dikenali sebagai Balai Cerap Solar Dinamik (SDO) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakamkan gambar bulan melintasi matahari di angkasa lepas buat pertama kali, lapor sebuah akhbar semalam.

Fenomena tersebut yang dianggap sebagai gambaran gerhana di angkasa lepas dirakamkan satelit itu pada 7 Oktober 2010.

Satelit itu dihantar ke angkasa lepas dari pusat pelancaran Cape Canaveral, Florida pada Februari 2010 dengan misi selama lima tahun dengan melibatkan kos sebanyak AS$864.76 juta (RM2.7 bilion).

Ia akan mengelilingi orbit 35,405 kilometer dari Bumi.

Satelit itu dilengkapi dengan alat perlindungan tambahan kerana ia berada di kawasan radiasi Bumi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Ikan piranha gergasi berjaya ditangkap



BENTUK ikan piranha gergasi.


LONDON - Seorang pemancing, Jeremy Wade berumur 52 tahun menangkap seekor ikan mirip piranha sepanjang 1.52 meter dan berat 45.39 kilogram di Sungai Congo, Afrika, lapor sebuah akhbar semalam.

Ikan itu mempunyai 32 batang gigi yang saiznya sama dengan ikan jerung putih. Ia ditangkap dengan joran 90.7 kilogram dan menggunakan umpan seekor ikan air tawar, baru-baru ini.

Ikan itu merupakan spesies ikan harimau Afrika yang terkenal kerana menyerang manusia dan buaya.

Pemancing itu yang merupakan hos program River Monsters di stesen televisyen ITV berkata, dia mengambil masa lapan hari sebelum berjaya menangkap ikan itu.

"Ia merupakan seekor ikan yang amat berbahaya untuk dikendalikan. Jika anda tidak berhati-hati, ikan itu dengan mudah akan memutuskan jari anda," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Polis pindahkan Ariel Peterpan ke Bandung



GAMBAR yang disiarkan akhbar Kompas semalam menunjukkan Ariel (kanan) dan kekasihnya Luna Maya keluar dari ibu pejabat polis di Jakarta semalam.


JAKARTA - Laporan siasatan kes klip video seks vokalis kumpulan Peterpan, Nazriel Irham atau Ariel telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya negeri di Bandung untuk pendakwaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketua Pusat Maklumat Perundangan Peguam Negara, Babul Khoir Harahap ketika ditemui di pejabatnya semalam memberitahu, perkembangan itu belaku ekoran terdapat bukti kukuh Ariel menyalin dan menyebarkan klip-klip video seks kes berkenaan di rumah penerbit muzik Peterpan, Capung di Bandung, Jawa Barat.

"Lokasi kejadian adalah di kediaman Capung, Jalan Antapani, Bandung,'' katanya.

Klip video seks pertama itu menyiarkan lelaki mirip Ariel bersama kekasihnya, aktres Luna Maya.

Dalam klip video kedua, terdapat imej lelaki mirip Ariel bersama bekas kekasihnya, aktres Cut Tari melakukan hubungan seks.

Menurut Babul, Ariel membuat salinan video berkenaan dengan dibantu seorang suspek, Reza Rizaldy alias Redjoy alias RJ.

Reza dipercayai individu yang memuat naik video-video seks tersebut.

"Setelah diteliti, Ariel terbukti dibantu Redjoy dan akan didakwa kerana menyebarkan dan menyalin klip-klip video adegan seks di kediaman Capung," jelas Babul.

Sementara itu, Ariel, dipindahkan dari tahanan ibu pejabat polis di sini ke sebuah pusat tahanan pendakwa raya di Bandung.

Dia dibawa keluar sekitar pukul 1.13 tengah hari semalam dengan dikawal ketat anggota-anggota polis untuk dihantar ke pejabat pendakwa raya di Bandung.

Turut berada di ibu pejabat polis di Jakarta ialah dua peguam Ariel selain kekasihnya, aktres Luna Maya yang dibenarkan untuk berada di sisinya buat seketika.

Ariel yang memakai kemeja lengan pendek kemudian dibawa menaiki kenderaan SUV, Nissan X-Trail berwarna hitam manakala Luna dan kedua-dua peguam tersebut mengekori di belakang dengan sebuah kereta lain ke Bandung. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Stewie kucing terpanjang di dunia



GAMBAR menunjukkan Stewie yang sepanjang 1.23 meter.


LAS VEGAS - Seekor kucing yang berusia lima tahun telah memecahkan rekod dunia Guinness sebagai kucing domestik paling panjang di dunia. Kucing tersebut yang diberi nama Stewie diukur dari hujung hidungnya ke hujung ekor sepanjang 1.23 meter.

Rekod kucing terpanjang sebelum ini adalah 1.21 meter.

Pemilik Stewie, Robin Hendrickson dan Erik Brandsness dari Reno, Nevada, memberitahu, ramai orang terpegun dengan kepanjangan kucing itu. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Britain berjimat cermat



GEORGE OSBORNE (kanan sekali) bercakap dengan David Cameron (kiri) dalam mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri 10 Downing Street di tengah London semalam.


LONDON - Ketua Perbendaharaan Britain, George Osborne memberitahu, kerajaan akan melakukan potongan perbelanjaan awam terbesar sejak Perang Dunia Kedua dengan memotong faedah-faedah dan pekerjaan sektor awam dalam pelan jimat cermat selama lima tahun.

Osborne mengesahkan bahawa beliau telah mengarahkan potongan perbelanjaan awam sebanyak £83 bilion (RM406 bilion) sehingga tahun 2015.

Potongan itu dianggap perlu selain kadar cukai ditingkatkan untuk mengurangkan defisit perbelanjaan yang mencecah £156 bilion (RM765 bilion) pada tahun lalu.

Beliau menyatakan pemotongan itu akan meliputi hampir semua bentuk perbelanjaan kerajaan.

Usia persaraan juga bakal dilanjutkan kepada 66 tahun menjelang tahun 2020, empat tahun lebih awal daripada apa yang dirancangkan.

Tindakan itu mampu memberi penjimatan sehingga £5 bilion (RM24.3 bilion) setahun.

Sebanyak 500,000 kerja sektor awam akan dikurangkan. Bayaran kebajikan dikurangkan dan puluhan program kerajaan yang telah dijadualkan sebelum ini turut dibatalkan. Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II turut menerima kesannya apabila bajet isi rumah diraja dipotong sebanyak 14 peratus dalam tempoh empat tahun.

"Ia tindakan yang sukar, tetapi membawa masa depan yang lebih baik," kata Osborne dalam satu kenyataan mengenai pelan ekonomi jangka panjang yang cukup ditunggu-tunggu itu.

Ratusan diplomat Britain juga akan kehilangan pekerjaan di bawah pemotongan bajet Kementerian Luar sebanyak 24 peratus.

Beberapa kaji selidik dan protes yang berlaku baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Britain kurang senang dengan pemotongan bajet tersebut.

Kelmarin, beratus-ratus anggota kesatuan pekerja berikrar untuk menentang pelan Osborne dengan berarak ke bangunan Parlimen. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Curi emas ibu demi kekasih

KEMAMAN - Seorang remaja perempuan sanggup mencuri barang kemas milik ibunya semata-mata untuk membayar sejumlah wang jaminan teman lelakinya yang ditahan kerana ditangkap berkhalwat di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 9 Oktober lalu, remaja berusia 17 tahun yang juga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini telah mencuri tiga utas gelang emas, satu utas rantai emas dan dua bentuk cincin milik ibunya yang kesemuanya bernilai hampir RM10,000.

Perkara itu disedari oleh ibu pelajar terbabit selepas mendapati kesemua barang kemas yang disimpan di bawah tilam di bilik tidur di rumahnya di Taman Wan Adnan, Kertih dekat sini telah hilang.

Si ibu yang berusia 57 tahun itu mengesyaki kehilangan barang kemas itu adalah perbuatan anak gadisnya kerana hanya pelajar itu yang mengetahui tempat menyimpan barang kemas tersebut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, wanita itu kemudian membuat laporan polis apabila anaknya itu enggan mengaku mencuri barangan tersebut.

"Remaja itu yang dipanggil oleh polis untuk siasatan kemudian mengaku telah mencuri kesemua barangan kemas itu dengan niat untuk mendapatkan duit bagi menjamin kekasihnya yang ditahan di lokap kerana kesalahan berkhalwat," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, pelajar itu memberitahu, semua barang kemas yang dicuri itu kemudian telah digadaikan dan sebahagian wang gadaian itu telah digunakan untuk menjaminkan kekasihnya yang ditahan.

Pasangan muda itu sebelum ini telah ditahan kerana berkhalwat di Dungun.

Bagaimanapun, selepas siasatan, pelajar itu telah dibebaskan manakala si lelaki ditahan untuk siasatan lanjut.

"Selepas selesai siasatan, lelaki itu dibenarkan bebas dengan sejumlah wang jaminan menyebabkan si pelajar perempuan itu terpaksa mencuri barang kemas milik ibunya bagi mendapat duit menjamin kekasihnya," kata beliau.

Kata beliau, pelajar itu mendakwa dia kemudian menyerahkan baki semua wang gadai barangan kemas tersebut kepada kekasihnya selepas kekasihnya dibebaskan.

"Pelajar itu kerap ponteng sekolah dan tidak pulang ke rumah kerana menginap di rumah teman lelakinya di Dungun," kata beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, polis kini sedang mengesan teman lelaki pelajar itu yang berusia 20 tahun untuk siasatan lanjut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Jerebu di Muar capai paras bahaya

KUALA LUMPUR - Tahap jerebu di Muar semalam memasuki paras berbahaya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu mencecah 432.

Serentak dengan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan agar sesi persekolahan di daerah itu dihentikan buat sementara jika keadaan tersebut berterusan.

"Itu kalau sudah mencecah (bacaan IPU) 400, sudah dianggap bahaya, maka mestilah ditutup sehingga situasi kembali baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bersama Majlis Keselamatan Negara berhubung situasi jerebu di Muar di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menghantar 10,000 unit penutup mulut dan hidung ke Muar selain bekalan air mineral untuk diagihkan kepada penduduk.

Muhyiddin berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat bagi memantau dan mengawal jerebu selain menggerakkan semua jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah yang terbabit.

Selain Muar, beberapa kawasan di Melaka turut terjejas dengan bacaan IPU 106 semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abd. Hapiz A. Samad berkata, bacaan IPU meningkat daripada 106 pada pukul 7 pagi semalam kepada 111 menjelang tengah hari.

Beliau menasihatkan penduduk supaya berwaspada kerana keadaan itu yang bermula Jumaat lalu dijangka berterusan sehingga hujung minggu ini.

Reka cerita elak kahwin


ROZALIYA ditenangkan oleh Mat Lazim sewaktu dibawa pulang ke IPD Kuantan dari Kuala Lumpur malam tadi.


KUANTAN – Misteri kehilangan bakal pengantin yang dijangka berkahwin 12 November ini, Rozaliya Mat Lazim, 20, akhirnya terungkai apabila dia ditemui bekerja di sebuah kedai serbaneka di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur petang semalam.

Gadis itu bekerja di situ sejak dua hari lalu dan menyewa rumah bersama beberapa rakan berhampiran kawasan Bukit Bintang.

Sebaik sahaja polis Kuantan menerima maklumat awam mengenai kehadirannya di kedai itu, mereka menghantar beberapa orang anggota untuk menahan gadis itu dan membawanya pulang ke Kuantan malam tadi.

Rozaliya memberitahu Kosmo!: “Saya tidak mungkin bersama dia lagi (tunangnya, Mohd. Helmi Mohd. Noor). Saya ingin bina hidup baru, apa yang sudah berlaku biarlah berlalu.’’

Gadis yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu kini mahu menenangkan fikiran dan tidak berhasrat memikirkan mengenai majlis perkahwinannya yang telah sedia diatur pada 12 November ini.

“Kalau diberi peluang jumpa tunang pun saya tidak mahu.

Hati saya sudah tertutup,’’ katanya.

Rozaliya mengakui perhubungannya dengan Mohd. Helmi begitu singkat dan terburu-buru.

“Saya hanya kenal dia kira-kira empat bulan dan terus bertunang sebelum merancang untuk berkahwin,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan malam tadi memberitahu, ketika ditemui, Rozaliya tidak lari sebaliknya bersetuju untuk dibawa pulang.

“Kes ini tiada unsur jenayah dan kepada kami, siasatan telah selesai,’’ ujarnya.

Ditanya kaitan dua khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima oleh Mohd. Helmi pada hari kehilangan Rozaliya yang berbunyi: ‘Ada dua lelaki sedang mengekori’ dan ‘abang datang cepat, saya takut’: beliau menjelaskan, ia mungkin rekaan gadis itu.

Katanya, Rozaliya sendiri mengaku menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur seorang diri pada hari kejadian.

Isnin lalu, akhbar melaporkan kehilangan Rozaliya semasa keluar membeli barang keperluan perkahwinan di Kuantan pada 13 Oktober.

Sementara itu, bapa mangsa, Mat Lazim Mat Ismail, 52, lega melihat anaknya selamat dan akan berbincang dengan keluarga bagi menentukan sama ada perkahwinan yang dirancang pada 12 November ini akan diteruskan.

Menurut Mat Lazim, Rozaliya mengenali Mohd. Helmi selama empat bulan sebelum mengikat tali pertunangan selama setahun.

“Bagaimanapun, selepas Rozaliya mengenali hati budi Helmi, dia sudah berubah sikap,’’ jelasnya.

Mat Lazim mendakwa, sikap Helmi yang pemarah, mengongkong dan sukar diajak ke mana-mana tidak disenangi oleh anaknya itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Wednesday, October 20, 2010

MTUC tolak Dana Pencen Swasta

Okt 20, 10 4:09pm

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa 10 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya tidak menyertai cadangan penubuhan Dana Pencen Swasta tahun depan kerana mendakwa pulangan terhadap pelaburan mereka itu kelak tidak dapat dijamin.

"Hasil pulangannya bergantung kepada kuasa pasaran dan ini adalah sangat berisiko untuk pencarum kerana mungkin mereka kehilangan semua simpanan mereka," kata Setiausaha Agung MTUC, G Rajasegaran.

Beliau berkata, syarikat insurans telah melobi penubuhan dana tersebut sejak sekian lama dan MTUC telah menolaknya dengan disokong oleh Lembaga KWSP.

"Namun kini ia muncul kembali dengan pelobi insurans telah berjaya, berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan bahawa kerajaan bersetuju untuk melantik syarikat insurans mengurus dana berkenaan," katanya.

Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, telah mengeluarkan kenyataan bahawa dividen KWSP akan dikurangkan secara beransur-ansur bagi menggalakkan pencarum melabur di dalam Dana Pencen Swasta.

Dalam Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan bahawa kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta tahun depan bagi memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Beliau turut mengumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada dana itu termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri.

Rajasegaran berkata, berikutan perkembangan terbaru berkenaan, MTUC akan melancarkan kempen secara agresif tidak lama lagi bagi menggalakkan pekerja supaya menolak dana pencen tersebut.

Sementara itu, MTUC akan meminta untuk bertemu dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan soal dana tersebut dan kesan jangka panjangnya terhadap pekerja terutama tentang kebajikan masa tua mereka, katanya.

- Bernama

Khairy: BN mungkin hilang 50 kerusi parlimen...


Jimadie Shah Othman
Okt 20, 10
11:09am



Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 50 kerusi parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya sekiraya Umno masih lagi berkhayal boleh menang dalam pilihan raya tanpa sokongan bukan Melayu.

Katanya, sekiranya tidak ada usaha untuk mengamalkan kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu Umno akan hilang pada pilihan raya akan datang "bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi."

"Kita harus belajar dari keputusan pilihanraya umum yang lalu di mana jelas kita hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu," katanya yang juga ahli parlimen Rembau.

Ketika berucap di perhimpunan agung pergerakan tersebut hari ini, Khairy berkata, keadaan itu bermakna, untuk menang mestilah dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

"Kalau kita mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas. Inilah hakikat dan realitinya," katanya.

Sementara itu, berhubung isu ekonomi, Khairy mempersoalkan kenapa terdapat anggota parti itu yang takut dengan gusar dengan ekonomi berteraskan merit melalui Model Baru Ekonomi (MBE),


Maaf, apa saya dapat dari DEB


"Mengapa kita perlu gusar apabila mereka yang berkebolehan, yang genuine, diberi peluang untuk ke depan? Apakah kita terlalu dengki dengan bangsa sendiri yang rajin dan berbakat sehingga kita sanggup menghalang kejayaan mereka?

"Adakah kita umpama ketam di dalam bakul yang menarik turun sesama sendiri?"
soal Khairy bertubi-tubi.

Beliau juga mengakui terdapat persepsi negatif terhadap pendekatan terdahulu Dasar Ekonomi Baru (DEB) di kalangan anak muda.

"Apabila saya ceritakan soal DEB dan perjuangan bangsa, mereka jawab: 'Minta maaf. Apa yang saya dapat dari DEB?' Gaji mereka di bawah paras kemiskinan, ramai di kalangan mereka berhijrah ke bandar di mana kos sara hidup meningkat dengan lebih pantas dari pendapatan. Mereka Melayu, Bumiputera tetapi nikmat DEB tidak mereka rasai.

"Tanggapan mereka – persepsi yang mereka ada – DEB hanya menguntungkan segelintir Bumiputera elit yang ada kabel besar. Bagi golongan ini, sasaran ekuiti 30 peratus tidak bermakna kerana kebanyakkan mereka tidak pernah dan tidak mampu untuk membeli saham," katanya.

Sehubungan itu, Khairy berkata, realiti itu menuntut kerajaan membuat perubahan melalui MEB yang didakwa sebagai "pengemaskinian terhadap cara pelaksanaan agar segala kelemahan DEB dapat diatasi".



'Menara bukan arahan PM', alasan 'Pak Pandir'


Okt 20, 10 11:03am


PAS hari ini menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa, beliau tidak mengarahkan pembinaan Menara Warisan tetapi sebaliknya ia cadangan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai alasan “Pak Pandir”.





Menurut ketua penerangan parti itu, Idris Ahmad, kenyataan Najib itu bukan sahaja melucukan tetapi seolah-olah percubaan melepaskan bebanan itu kepada PNB kerana ia mendapat kritikan yang hebat daripada berbagai pihak.


Katanya, wang sebanyak RM5 bilion untuk membina menara itu, mampu membina 1,667 sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu memberi biasiswa kepada 5,000 pelajar perubatan di United Kingdom.


Dalam satu kenyataan, Idris berkata, jika sekalipun benar cadangan berkenaan datang daripada PNB, Najib selaku perdana menteri seharusnya memahami keadaan kedudukan kewangan negara sekarang, yang lebih perlu kepada projek yang lebih bermanfaat kepada rakyat dan negara.

“Sejak bila pula pula beliau begitu lemah sampai terpaksa mengikut cadangan PNB. Bukankah beliau selama ini begitu gagah sekali membuat keputusan yang merugikan negara tanpa meminta pandangan orang lain termasuklah ahli parlimen, ketika melepaskan khazanah berharga 217 hektar tanah KTMB kepada Singapura dan telaga minyak blok L dan M kepada Brunei yang bernilai RM320 bilion?





“Nampaknya pemimpin Umno cuba hendak menyalahkan orang lain ketika tidak mampu menghadapi satu situasi. Samalah Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika ditanya apa tindakan terhadap dua orang pengetua yang dituduh rasis. Beliau menyatakan beliau tidak ada kuasa sebagai seorang menteri, kerana bukan bidangkuasanya,” kata Idris.

Dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanatnya kepada anggota perwakilan di majlis tertutup Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2010, semalam Najib mempertahankan cadangan pembinaan menara itu dan menyifatkannya bukan pembaziran tetapi bertujuan menjana ekonomi serta mewujudkan satu mercu tanda Malaysia yang maju dan moden.





Beliau mendakwa pembinaan menara itu akan turut membawa manfaat kepada pelbagai sektor.

Beliau dilaporkan berkata, banyak kerja kontrak yang boleh diagihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi, dan kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan menempatkan peniaga bumiputera dan bukan bumiputera, menjadi pusat tarikan dan beri keuntungan.

Najib juga mendakwa beliau tidak mengarahkan PNB untuk mewujudkan projek itu.

Sebaliknya, kata beliau, PNB yang mencadangkan perkara itu.



Facebook sekat laman anti-menara mega Malaysia


Trinity Chua
Okt 20, 10
3:53pm



Laman sosial Facebook telah menyekat sebuah halaman yang ditubuhkan oleh rakyat Malaysia yang membantah cadangan kerajaan bagi membina sebuah menara 100 tingkat di ibu negara, Kuala Lumpur.

Dalam tempoh, empat hari, laman itu berjaya menarik 30,000 peminat ataupun satu daripada 300 pengguna Facebook di Malaysia. Sasaran mereka adalah untuk mengumpulkan sejuta peminat.





Meskipun pengguna Facebook masih boleh menyertai kempen '1M Malaysians reject 100-storey Mega Tower', namun pemilik halaman itu dilarang menyiarkan sebarang mesej baru di halaman berkenaan.

Pemilik laman yang tidak dikenali itu menganggap tindakan Facebook sebagai satu bentuk tapisan baru di internet.

“Sementara media baru memberi peluang pergerakan sosial baru, sikap kukubeasi oleh gergasi internet seperti Facebook menjunam ke arah bentuk tapisan yang baru,” kata seorang daripada pemiliknya setelah menyedari lamannya itu telah disekat.

Facebook menerbitkan kenyataan ringkas: "
Your publishing rights have been blocked due to a violation of the Pages Terms of Use"atau diterjemahkan sebagai hak menerbit anda disekat kerana mencabuli syarat penggunaan.

Facebook tidak menyatakan apa yang dimaksudkan dengan pencabulan peraturan itu, mahupun membekalkan saluran untuk merayu.




Semakin Ramai Wanita Memandu Teksi

Selasa Oktober 19, 2010

KUALA LUMPUR: "Ya...cik nak pergi mana...?" kedengaran suara si pemandu dari dalam teksi.

Sekilas pandang susuk tubuh pemandu teksi ini tidak ubah seperti wanita dan selepas diamati ternyata pemandu teksi itu memang seorang wanita yang lengkap berkemeja putih.

Senario ini bukannya sesuatu yang lumrah di ibu kota kerana kebiasaannya kerjaya sebagai pemandu teksi sering kali dikaitkan dengan lelaki tetapi dunia hari ini tidak membataskan keupayaan golongan hawa untuk menceburi alam pekerjaan ini.

Sungguhpun demikian, kata-kata sindiran yang meragui kemahiran serta kecekapan golongan ini dalam pemanduan sudah menjadi rencah kehidupan mereka bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'.

INGIN BEKERJA SENDIRI

Bagi Jauriah Mohd Noor, 53, minat untuk menjadi pemandu teksi dan ingin bekerja sendiri mendorong beliau untuk terus bertapak dalam kerjaya ini.

"Sudah tiga tahun saya menjadi pemandu teksi. Dulu saya bekerja sebagai jurujual di pusat pameran kereta di ibu negara selama 12 tahun," katanya yang merupakan ibu kepada tiga orang anak.

Tidak dinafikan ada ketikanya Jauriah terpaksa berdepan situasi sukar seperti ditipu oleh penumpang selepas menaiki teksinya.

"Saya pernah ditipu oleh seorang pelancong asing yang enggan membayar tambang selepas menaiki teksi. Kejadian itu membuatkan saya lebih berhati-hati memilih penumpang malah saya lebih selesa membawa penumpang wanita bersama anaknya," katanya.

Namun di sebalik kejadian seperti itu, Jauriah masih boleh berasa bangga apabila kecekalan dan semangat untuk menjadi pemandu teksi wanita dipuji oleh pelancong asing yang pertama kali melihat teksi dipandu oleh kaum hawa ini.

"Ada seorang pelancong asing seakan tidak percaya ada pemandu teksi wanita di Malaysia. Dia gembira kerana mereka lebih selesa menggunakan perkhidmatan pemandu teksi wanita," katanya kepada Bernama.

SARA ANAK

Syarifah Nurani Syed Jamaluddin merupakan seorang lagi pemandu teksi wanita yang menjadikan kerjaya ini sebagai punca rezeki untuk menanggung anaknya yang juga Orang Kurang Upaya, Mior Ezri Que Nasaruddin,23.

"Dulu saya pernah cuba berniaga menjual nasi lemak...tapi semua itu tidak mendatangkan hasil. Jadi saya lebih suka membawa teksi sebab kerja macam ini bebas, lagi pun dengan keadaan anak saya yang bergantung sepenuhnya pada saya," katanya.

Bagi Kiong Mee Sing, 50, beliau menganggap kerjaya ini bukan tugas yang sukar memandangkan beliau gemar melakukan kerja yang penuh cabaran.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk membuat kerja yang biasa dilakukan oleh orang lelaki sebab saya sudah biasa buat kerja macam ini. Enam tahun saya memandu teksi tiada masalah kecuali kena tipu dengan penumpang sahajalah," katanya.

Beliau yang mesra dengan panggilan Kiong mampu memperoleh pendapatan lebih RM800 sebulan bergantung kepada bilangan penumpang yang diambil.

Ketika ditanya adakah beliau menghadapi gangguan seksual semasa memandu, Kiong berkata setakat ini tiada masalah sebegitu yang dihadapinya.

IBU TUNGGAL

Presiden Persatuan Pemandu Teksi Lembah Klang Datuk Aslah Abdullah ketika dihubungi berkata bilangan pemandu teksi wanita semakin meningkat dan ini membuktikan golongan wanita mempunyai kebolehan dan minat untuk menjadi seorang pemandu teksi yang cemerlang.

"Golongan wanita pada masa kini semakin berani dan lebih menonjol, jadi tidak ada masalah untuk mereka berkecimpung dalam bidang ini...asalkan mereka mempunyai lesen perkhidmatan awam dan permit yang sah," katanya.

Aslah berkata kebanyakan pemandu teksi wanita ini terdiri daripada ibu tunggal yang bekerja untuk menyara keluarga selepas kematian suami dan mereka berumur dalam lingkungan 30 tahun ke atas.

Katanya, semakin ramai wanita yang ingin menjadi pemandu teksi dan dalam syarikat miliknya sendiri terdapat hampir 20 orang.

Bagi pemilik syarikat Saujana Teksi Bhd, Nazlan Azahari, pemandu wanita ini dikatakan lebih rajin, fokus dan tidak merungut bila bertugas.

"Mereka buat sahaja kerja, dari segi jadual bekerja ia ditetapkan sendiri oleh mereka mengikut keselesaan masing-masing. Misalnya saya sendiri mempunyai lima orang wanita yang bekerja sebagai pemandu teksi, tiada masalah dan tidak wujud diskriminasi antara wanita dan lelaki," katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/variasi/rencana/cerita.asp?file=/2010/10/19/mstar_rencana/20101019155242&sec=mstar_rencana

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...