Friday, October 29, 2010

Anak tiada sijil lahir


MAHAMUD bersama isteri dan anak-anaknya, dari kiri Normazlin, Norazlina dan Mohamad Afiq menunjukkan rekod kesihatan mereka di Pasir Gudang semalam.


JOHOR BAHRU – “Kedua-dua anak saya teringin untuk ke sekolah. Malangnya mereka tiada surat beranak untuk diterima belajar.”

Itulah keluhan seorang mekanik, Mahamud Kadir, 46, memikirkan masa depan dua anaknya, Norazlina, 10, dan Normazlin, 9, yang tidak memiliki sijil lahir sejak mereka dilahirkan.

Menurut Mahamud, kegagalan mendapatkan sijil lahir itu disebabkan dia dan isterinya, Raihanah Lahakim, 44, tidak memiliki sijil nikah seperti yang diminta pihak Jabatan Pendaftaran Negara.

“Saya dan isteri berkahwin di Kampung Titingan, Tawau, Sabah pada 2 Oktober 1999 dan sewaktu kembali ke Semenanjung, saya terlupa membawa bersama sijil nikah asal, cuma terambil dokumen fotokopi.

“Malangnya, salinan sijil nikah itu pun hilang sewaktu banjir besar pada 2006 manakala sijil asal sudah hilang berikutan keluarga telah berpindah,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Pasir Gudang di sini semalam.

Mahamud berkata, ekoran tidak dapat menunjukkan sijil nikah, proses permohonan sijil lahir kedua-dua anaknya tidak dapat dilakukan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Pelajar UiTM koma dibelasah


HABERI sedih ketika melawat Hizreen di Unit Rawatan Rapi Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang yang bakal menamatkan pengajian Disember ini koma selepas dipercayai dibelasah oleh teman lelakinya pada 22 Oktober lalu.

Mangsa, Hizreen Ieraqueen Haberi, 21, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Perbankan tidak sedarkan diri sejak hari kejadian akibat luka dalaman yang teruk di bahagian kepala.

Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Bapa mangsa, Haberi Hamzah, 49, yang merupakan seorang juruteknik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi berkata, dia menerima panggilan daripada teman serumah anaknya itu pada pukul 1.30 pagi 22 Oktober lalu di rumahnya di Semenyih, Selangor.

"Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan Hizreen, dia dikejarkan ke Hospital Machang kerana cedera dipukul oleh kawan lelaki yang dikenalinya.

"Keadaannya tenat dan saya diberitahu Hizreen dipindahkan ke HUSM.

"Daripada cerita rakan anak saya itu, kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 10 malam pada 22 Oktober lalu di hadapan rumah sewa Hizreen berhampiran kampus UiTM Machang selepas mereka bergaduh," katanya.

Rakan anaknya itu mendakwa sebelum kejadian Hizreen dilihat bertemu dengan teman lelaki yang datang ke rumah sewa mereka dan berlaku sedikit pertengkaran.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Pekerja terkejut mayat dalam beg


MAYAT seorang perempuan ditemui dalam sebuah beg di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pekerja di sebuah bengkel kereta di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang dekat sini tidak menyangka beg pakaian yang ditemuinya semalam berisi mayat seorang remaja perempuan.

Terkejut dengan penemuan itu, lelaki itu yang berusia 20-an terus menghubungi pihak polis yang kemudian bergegas ke tempat kejadian pada pukul 3.35 petang.

Mayat yang diletakkan di dalam beg itu ditinggalkan dalam semak samun di belakang bengkel berdekatan sebuah parit yang boleh dilalui menggunakan sebuah jambatan.

Mayat remaja yang dipercayai belasan tahun itu lengkap berpakaian gaun berwarna biru dan dia dipercayai masih baru dibunuh kerana tidak mengeluarkan bau.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati mayat remaja yang berkulit sawo matang itu masih dalam keadaan sempurna lengkap dengan anggota badan.

Ujarnya, mayat mangsa tiada kesan kecederaan luaran yang jelas dan sehingga kini identiti mangsa masih belum dikenal pasti sementara menunggu hasil siasatan forensik.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Penoreh korban cinta terhalang


MUDA yang bertarung nyawa meninggal dunia di HSNZ semalam.


KUALA TERENGGANU - Selepas 10 hari menanggung derita akibat dipaksa meminum racun oleh ahli keluarga teman wanitanya yang berusia 16 tahun, seorang penoreh getah akhirnya menemui ajal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, Muda Mohd., 27, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi selepas menunjukkan komplikasi teruk lewat malam kelmarin sebelum disahkan koma beberapa jam kemudian.

Bagaimanapun, katanya, polis sempat mendapatkan keterangan daripada mangsa.

"Sehubungan itu, kita telah mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya yang memberitahu polis telah menahan tiga suspek bagi membantu siasatan kes itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

UMP cipta gula daripada habuk kayu


MIMI SAKINAH menunjukkan gula daripada habuk kayu ciptaannya di UMP, Jalan Gambang, Kuantan semalam.


KUANTAN - Seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini berjaya mencipta gula alternatif daripada habuk kayu khusus untuk pesakit diabetes.

Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim memberitahu, gula baru itu tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan dan boleh digunakan sebagai bahan makanan, ubat-ubatan dan kosmetik.

"Gula ciptaan saya ini adalah baik jika dibandingkan dengan gula alternatif untuk pesakit diabetes di pasaran yang dipercayai mengandungi bahan kimia aspartam yang boleh menyebabkan tumor otak.

"Berdasarkan penyelidikan selama tiga tahun, saya dapati semua jenis habuk kayu mampu menghasilkan gula tetapi buat masa ini gula yang dihasilkan hanya daripada habuk kayu jenis meranti dan cengal," katanya pada majlis meraikan kejayaan cemerlang penyelidik UMP di sini semalam.

Mimi Sakinah menyertai British Invention Show 2010 di London baru-baru ini.

Pada pameran di London itu, beliau dan dua lagi penyelidik UMP termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Dr. Zularisam Ab. Wahid berjaya mendapat pingat emas dalam kategori masing-masing pada pertandingan selama empat hari bermula 13 Oktober lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

AC Mizal nyaris dipenjara


AC MIZAL nyaris dipenjara selama 25 hari semalam.


KAJANG – Akibat ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan nafkah anak berjumlah RM9,800, pengacara popular AC Mizal dijatuhi hukuman penjara 25 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini semalam.

Bagaimanapun, AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39, terselamat daripada hukuman tersebut setelah dia berjaya menjelaskan tunggakan nafkah anak itu seperti yang diarahkan oleh Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah.

Abdul Halim memerintahkan responden iaitu AC Mizal dipenjarakan 25 hari bermula semalam melainkan jika pengacara itu menjelaskan bayaran nafkah sebanyak RM200 sebulan yang tertunggak sejak Januari 2005 hingga 19 Februari tahun lalu.

Sebelum itu, Abdul Halim yang membacakan penghakiman setebal 36 halaman berkata, dia mengambil kira tindakan responden memasukkan wang berjumlah RM8,200 ke dalam akaun bersama AC Mizal dengan anak keduanya pada Disember tahun lalu sebagai untuk mematuhi perintah mahkamah.

“Tindakan responden memasukkan RM8,200 ke dalam akaun anak kedua adalah untuk mematuhi perintah mahkamah tetapi cara kemasukan wang tersebut adalah terpesong kerana pembayaran semula diperintah dimasukkan ke dalam akaun anak yang pertama.

“Ini merupakan perlanggaran perintah tetapi tindakan responden itu tidaklah sehingga menghina mahkamah. Mahkamah akan mengeluarkan satu perintah lain untuk responden patuhi,” ujarnya sebelum mengarahkan AC Mizal membayar tunggakan RM9,800 ke dalam akaun bank RHB milik bekas isterinya, Shafnie Zainudin dan anak pertama.

Dia turut diperintahkan membayar denda RM1,500 kerana gagal menghantar penyata kewangan syarikat miliknya, Best Line Entertainment (M) Sdn. Bhd., kepada bekas isteri, Shafnie, 35.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Awan panas: Hidangan ‘Sajen’ jamu roh

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

SEPULUH minit masa di ‘curi’ melihat dengan jelas hingga ke kaki Gunung Merapi cukup menginsafkan diri saya dan bersyukur kerana dilahirkan dan hidup di negara kita yang tidak dikelilingi bencana alam seperti gunung berapi dan gempa bumi.

Melihatkan rumah, pokok serta jalan diselaputi debu letusan gunung berapi itu cukup menggambarkan betapa bahangnya kawasan itu yang dikatakan mencecah melebihi 100 darjah celcius. Pengalaman menaiki motosikal penduduk tempatan yang sanggup memberi ‘bantuan’ membawa hingga ke kaki gunung berkenaan sangat berharga kerana sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran jelas mengenai situasi yang berlaku ketika letusan Gunung Merapi.


Namun, ketika bersama penduduk yang hanya mahu dikenali Alit, 24, masa yang sepatutnya diambil dengan lebih lama itu terganggu apabila petugas yang mengawal di kawasan terbabit tiba-tiba meminta kami turun segera kerana amaran bencana sudah diterima. Takut kemungkinan berlaku perkara buruk, Alit tanpa berlengah memecut motosikal, namun kami sempat singgah di rumah jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan yang mayatnya ditemui dalam keadaan bersujud akibat terkena letusan.


Turun dari kaki Gunung Merapi, saya terus ke penempatan sementara mangsa bencana di sebuah dewan di Desa Kepuharjo kira-kira 7 kilometer dari gunung itu.

Di situ, hati sekali lagi tersentuh melihat ramai warga emas tidur bergelimpangan dalam keadaan cuaca panas.


Namun, dalam keadaan lemah tidak bermaya itu, golongan terbabit tidak lokek senyuman setiap kali ditegur. Bagaimanapun sukar berbicara kerana rata-rata berbahasa Jawa.

Malah, seorang rakan menemani kami, Timbalan Pengerusi Tetap Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI), Mohd Nazaluddin Mat Nazir yang juga bertindak jurubahasa mengakui sukar memahami bahasa warga emas berkenaan. Pada pengamatan saya, penduduk di kawasan ini masih kuat dengan adat dan budaya. Ini dibuktikan pengakuan seorang rakan dikenali ketika menghadiri pengebumian jurukunci, Mbah Maridjan.


Ketika majlis pengebumian itu, saya bertanya mengapa dibawa nasi dalam pinggan dan diberitahu itu adat dan budaya mereka sejak turun temurun dan hidangan itu dipanggil ‘Sajen’ untuk menjamu roh.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Awanpanas_Hidangan__8216_Sajen__8217_jamuroh/Article/index_html

Rezeki lumayan

YOGYAKARTA: Terkejut seketika mendengar pengakuan seorang ibu muda yang mengatakan dia langsung tidak gentar dengan letusan Gunung Merapi, Selasa lalu malah menganggap sebagai rezeki.

Ini kerana letusan itu menyebabkan banyak pasir timbul di permukaan bumi sebelum ia diambil atau dikaut penduduk untuk dijual sebagai satu bahan penting dalam pembinaan bangunan konkrit.


Sebelum ini, kebanyakan penduduk di kaki gunung itu bekerja sebagai petani dan penternak, malah ada juga yang menjalankan kegiatan mengaut pasir yang lebih dikenali sebagai pasir hitam bagi menyara hidup.


Ibu muda itu yang hanya mahu dikenali sebagai Giyarti, 20, ditemui ketika berada di Dewan Desa Kepuharjo kira-kira tujuh kilometer dari Gunung Merapi yang menempatkan wanita dan golongan warga emas yang ditimpa bencana itu.

Ketika ditanya di mana suaminya, wanita yang mempunyai seorang anak berusia setahun setengah itu memberitahu suaminya pulang ke rumah mencari rumput untuk lembu peliharaan mereka.


“Apa boleh buat, kami memang biasa dengan situasi seperti ini. Bagi kami, Gunung Merapi sebenarnya banyak memberi rezeki.

“Bagi saya, letusan ini bukan satu bala, sebaliknya memberikan penduduk pendapatan,” katanya.


Menurutnya, jika diikutkan hati, dia enggan berpindah dan mahu terus tinggal di rumah, namun terpaksa kerana diarahkan pihak berkuasa.


“Saya mahu berada di rumah kerana boleh membantu suami mengangkut pasir yang membuak dan dibawa arus sungai.


“Menggunakan tulang empat kerat mengangkut pasir, kami boleh mendapat upah hingga Rp100,000 (RM35) dan ini dikira lumayan bagi kami sekeluarga,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rezekilumayan/Article/index_html

31 juta pelanggan telefon bimbit

PUTRAJAYA: Statistik bagi suku kedua tahun ini menunjukkan pelanggan telefon bimbit sudah melebihi 31 juta dan melepasi jumlah 28 juta penduduk negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah keseluruhan pelanggan itu menjadikan kadar penembusan kadar penggunaan telefon bimbit sebanyak 108 peratus.


Beliau berkata, kadar itu menjadi penyumbang terbesar iaitu melebihi 60 peratus jumlah keseluruhan pendapatan industri komunikasi dan multimedia di negara ini.


“Malah, perkhidmatan jalur lebar turut menunjukkan kemajuan sangat menggalakkan berbanding 2008 apabila hanya 22 peratus isi rumah melanggan jalur lebar.

“Selain itu, kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah melepasi sasaran 50 peratus yang ditetapkan pada hujung tahun ini, di mana sehingga pertengahan bulan ini kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah melepasi 53 peratus,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaksanaan Jalur Lebar Nasional 2/2010, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Noor Mohamed Yakcop, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Khalid Ramli.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/31jutapelanggantelefonbimbit/Article/index_html

Dua anak berhenti sekolah bantu ibu bapa daif

BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri dari Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh, dekat sini bukan saja dihimpit kemiskinan, malah mereka turut diduga apabila anak perempuan berusia lima tahun disahkan menghidap penyakit berkaitan saraf.

Lebih memilukan, Rosli Hashim, 43, menderita penyakit mudah penat sejak tiga tahun lalu, manakala isterinya, Sharimah Othman, 41, disahkan menghidap tiroid dan ketumbuhan dalam rahim.


Berikutan itu, suami isteri berkenaan hanya mampu mengharapkan bantuan anak-anak selain saudara- mara dan jiran demi meneruskan kehidupan harian.


Disebabkan kesempitan hidup dialami keluarga itu, dua daripada lapan anak Rosli dan Sharimah mengambil keputusan berhenti sekolah bagi membantu keluarga.

Rosli berkata, sejak sakit pada 2008, dia tidak boleh bekerja berat dan dalam tempoh lama sebaliknya hanya mampu melakukan kerja ringan berdekatan rumahnya.


Selain itu, katanya, penyakit yang dihidapi isteri dan anaknya turut menyebabkan mereka tidak boleh berjauhan dalam tempoh lama kerana bimbangkan keselamatan kedua-duanya.

“Isteri saya pernah menjalani pembedahan membuang tiroid pada 1988 dan kini penyakit itu ada kembali. Selain itu, doktor juga mengesahkan ada ketumbuhan dalam rahim isteri selepas kami mengambil keputusan mengikat saluran peranakan selepas kelahiran anak bongsu tiga tahun lalu,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh baru-baru ini.


Menurutnya, berikutan kemiskinan dihadapi, anak ketiga dan keempat yang berusia 16 dan 14 tahun mengambil keputusan berhenti sekolah.


Selain itu katanya, penyakit anak ketujuh, Siti Zulaikha, 5, yang kerap diserang sawan turut menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa memberi perhatian lebih kepadanya.


“Ketika usianya sembilan bulan, Siti Zulaikha diserang demam panas sehingga menyebabkannya mendapat sawan tarik.


“Sejak itu, kesihatannya terganggu dan doktor memberitahu, jantung, paru-paru, saraf otak serta urat saraf lain terjejas.


“Disebabkan itu, dia mudah diserang sawan tarik, ada ketika tiga kali sehari ia berlaku. Apabila diserang sawan, wajahnya kebiru-biruan selain badannya lemah dan sukar bernafas,” katanya.


Selain itu katanya, Siti Zulaikha perlu dibawa menemui doktor di Hospital Bukit Mertajam empat kali sebulan termasuk menjalani terapi.


“Siti Zulaikha kerap sakit, malah sering keluar masuk hospital. Disebabkan sakit itu, dia hanya boleh makan bubur dan minum susu khas yang berharga lebih RM50 setin.


“Selain itu, dia perlu memakai lampin pakai buang kerana mudah kencing merata-rata tempat,” katanya.


Menurutnya, disebabkan penyakit itu juga, Siti Zulaikha tidak boleh bercakap dengan jelas, mata tidak nampak serta perlu diberikan lima jenis ubat setiap hari termasuk untuk jantung dan paru-paru.


Berikutan kesusahan dialami, keluarga itu hanya mengharapkan bantuan saudara mara serta jiran termasuk menghantar Siti Zulaikha ke hospital apabila diserang sawan.


“Pernah doktor marah pada kami kerana lewat menghantar Siti Zulaikha ke hospital selepas diserang sawan. Malangnya, untuk ke hospital kami tiada kenderaan malah terpaksa menunggu saudara-mara atau menaiki bas sendiri.


“Ketika ini kami hanya mengharapkan bantuan jiran yang menghulurkan makanan yang tidak habis selepas pulang dari berniaga kantin di sebuah sekolah.


“Selain itu, kami mengambil upah mengupas ikan bilis dengan bayaran RM8 untuk satu beg plastik yang biasanya boleh disiapkan tiga hari,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duaanakberhentisekolahbantuibubapadaif/Article/index_html

Mangsa anggap hukuman masih ringan

GEORGETOWN: “Saya berasa kesal dan sedih tetapi terpaksa akur dengan keputusan mahkamah bahawa orang yang bertanggungjawab mencederakan dan memusnahkan masa depan saya hanya dikenakan hukuman ringan di mahkamah hari ini (semalam),” kata mangsa simbah asid Nor Azni Mohamad Ameerdin, 21, ketika dihubungi di sini, semalam.

Dia dimaklumkan mengenai hukuman dijatuhkan ke atas suspek yang terbabit dalam perbuatan itu hanya lima tahun penjara dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyimbah cuka terhadapnya.


Katanya, dia tidak mampu berkata apa-apa kerana berasa sedih walaupun hakikatnya segala penderitaan dialaminya mengambil masa panjang untuk sembuh.


“Saya tidak pasti berapa lama akan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana kecederaan dialami di bahagian mata agak teruk dan jika keluar pun masih belum tahu bila untuk sembuh sepenuhnya, manakala kos rawatan serta ubat masih belum diketahui.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsaanggaphukumanmasihringan/Article/index_html

Tiada langsung rasa kesal

Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my

BUTTERWORTH: Seorang kelindan lori dipenjara lima tahun dan dua sebatan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas menyimbah cuka getah terhadap seorang gadis dalam satu kejadian pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Mohd Shukri Mat Suib, 26, dari Tasek Chempedak, Simpang Ampat, Nibong Tebal, dekat sini, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Zairan Aman, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak diwakili peguam dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Nor Azni Mohd Ameerdin, 21, dengan cecair yang boleh menyebabkan kulit melecur pada 17 Oktober 2010 kira-kira jam 11 malam di depan rumah bernombor 22, Lorong 12, Taman Chendarawasih, Nibong Tebal. Berikutan itu, mangsa yang bekerja sebagai kerani kilang dan bakal bertunang bulan depan melecur di mata kiri dan muka, kedua-dua lengan serta belakang badan dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. Sebelum itu, tertuduh yang berbaju-T putih belang hitam dan berseluar pendek kelabu melemparkan senyuman kepada jurugambar ketika dibawa ke mahkamah.


Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun selain denda serta sebat.

Tertuduh juga ada tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah selain ujian air kencing positif dadah ketika ditahan di rumahnya, 20 Oktober lalu.


Mohd Zairan ketika menjatuhkan hukuman berkata, tertuduh didapati bersalah dan tiada tanda penyesalan ditunjukkan walaupun melakukan kesalahan serius sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa tidak berpeluang berkahwin. Tertuduh tidak sepatutnya melampiaskan nafsu sehingga mencederakan mangsa dan patut menjalani hukuman sebagai pengajaran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadalangsungrasakesal/Article/index_html

Kes nusyuz Exco Wanita Umno 24 Januari depan

SHAH ALAM: Kes nusyuz (ingkar) yang difailkan seorang jurutera terhadap isterinya iaitu Exco Wanita Umno, Senator Datin Paduka Norhayati Onn akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pada 24 Januari depan.

Hakim Syarie Drs Atras Mohamed Zin menetapkan tarikh itu selepas peguam Muhammad Buruk yang mewakili Mohd Suffian Abdul Aziz, 52, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tetap meneruskan permohonan nusyuz.


Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 25 November ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan Mohd Suffian bagi membatalkan permohonan cerai taklik yang difailkan Norhayati, 47.


Pada 18 Februari 2008, Mohd Suffian memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya mengikut Seksyen 60(2)(3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Sementara itu, di luar mahkamah, Mohd Suffian memberitahu, beliau akan memberikan keterangan secara lisan dalam prosiding perbicaraan dengan menzahirkan segala perkara yang berlaku dalam rumah tangganya.


Pada prosiding semalam, Mohd Suffian hadir ditemani dua anaknya, Ahmad Razali, 26, dan Siti Hasmah, 23, hasil perkongsian hidup bersama Norhayati.

Norhayati bagaimanapun tidak hadir dan dia diwakili peguam Rubiah Jaafar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesnusyuzExcoWanitaUmno24Januaridepan/Article/index_html

Ibu galak anak khalwat

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

NUSAJAYA: Untuk mengelakkan anak perempuannya dicekup melakukan maksiat kali kedua, seorang ibu bukan saja bersubahat membenarkan anaknya itu membawa pulang teman lelaki, malah turut menyediakan tempat tidur di rumah mereka di Taman Nusantara di sini.

Beberapa bulan lalu pasangan berkenaan pernah ditangkap khalwat di pusat riadah kawasan perumahan itu, namun tidak insaf, sebaliknya meneruskan kegiatan sumbang dengan ibu si perempuan turut bersekongkol. Bagaimanapun, kelakuan mengaibkan dua beranak itu terbongkar hasil intipan penguat kuasa Jabatan Agama Johor dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Biro Keselamatan dan Jawatankuasa Surau Taman Nusantara, baru-baru ini.


Pengerusi Biro Keselamatan Taman Nusantara, Ismail Rejab, 46, berkata serbuan dijalankan ke rumah dua beranak itu kira-kira jam 5 pagi dan ketika diserbu teman lelaki gadis itu tidur di tingkat bawah manakala teman wanitanya di tingkat atas.


“Pasangan berusia 20-an itu seolah-olah mendapat lesen daripada ibu gadis itu apabila kerap membawa balik teman lelaki pada siang mahupun malam. Kami juga difahamkan ibu itu membenarkan mereka berdua-duaan di rumah.

“Ibu gadis itu berusia 50-an mengakui kesilapan membiarkan anaknya bebas bergaul hingga membawa balik teman lelaki dan berjanji akan mengawasi kegiatan anak perempuannya,” katanya sambil memaklumkan anak wanita itu juga diberi kaunseling supaya tidak mengulangi perbuatannya.


Sementara itu, Ismail berkata, terdahulu, pihaknya membuat serbuan ke sebuah kediaman seorang gadis, 20, yang tinggal bersama rakannya, kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, gadis itu mengambil masa setengah jam membuka pintu rumah.


“Selepas diberi amaran, gadis itu memakai kemeja-T dan berseluar pendek membuka pintu sebelum pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 23 tahun berasal dari Kampung Melayu, Gelang Patah berada di dalam bilik tidurnya.


“Pasangan itu diserahkan kepada pegawai pencegah maksiat Jabatan Agama Johor manakala teman serumah wanita itu diambil keterangan kerana disyaki bersubahat,” katanya.


Sementara itu, Imam 1 Taman Nusantara, Samsul Adha, 40, berkata pihaknya sentiasa berusaha membanteras kegiatan tidak bermoral di kalangan anak muda di kawasan perumahan itu.


“Kami berharap supaya golongan anak muda tidak memandang ringan usaha membanteras maksiat yang dijalankan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibugalakanakkhalwat/Article/index_html

'Saya difitnah'

KUALA LUMPUR: “Saya difitnah, individu yang mendakwa duit mereka lebur selepas bermain ‘kutu’ anjuran saya tidak benar, kerana mereka tidak pernah melabur pun, sebaliknya meminjam wang daripada saya,” kata Hajar Bee Bee Tajuddin, 48.

Dia tampil bagi membersihkan namanya yang didakwa kakitangan hotel di Chow Kit dikenali sebagai Siti Khadijah, 46, yang mendakwa duit pelaburan dan barang kemasnya bersama 10 kakitangan hotel lain lebur selepas melabur dengannya.


Menurutnya, dia menjadi mangsa fitnah individu yang berniat memburukkan namanya atas sebab tertentu terutama mengelakkan diri daripada membayar hutang dengan dirinya yang melebihi RM10, 000.


“Siti Khadijah ini, diperkenalkan kepada saya oleh rakan ketika dia mengalami masalah kewangan dan memerlukan duit menebus barang kemas yang dipajaknya “Tempoh menebus barang kemas itu hampir tamat dan dia minta saya tolong tebus dan membenarkan saya melaburkannya untuk tujuan perniagaan,” katanya.

Hajar Bee berkata, individu yang menuduhnya itu beranggapan barang kemasnya pelaburan dan inginkan imbuhan daripadanya, tetapi mereka tidak sedar tentang duit yang mereka pinjam untuk menebus barang kemas berkenaan.


“Kalau betul mereka mahukan barang kemas mereka semula, bayar dulu hutang yang dipinjam daripada saya sebelum saya memulangkannya.

“Dakwaan ini ditimbulkan mungkin kerana mereka tidak mahu membayar hutang saya dan pada masa sama memburukkan nama saya serta keluarga,” katanya.


Menurutnya, dia berharap individu berkenaan menghentikan perbuatan memfitnah dan memburukkan namanya kerana dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.


Harian Metro semalam melaporkan 11 kakitangan hotel rugi puluhan ribu ringgit kerana terpengaruh dengan janji manis seorang wanita.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayadifitnah/Article/index_html

Satu panggilan hutang berganda

Oleh Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

BUKTI...Hanim menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas along di Balai Polis Wangsa Maju.
BUKTI...Hanim menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas along di Balai Polis Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu panggilan telefon, mereka yang meminjam wang dari ceti haram atau along menanggung hutang 15 kali ganda daripada jumlah asal.

Itulah taktik terbaru digunakan satu rangkaian dipercayai along untuk memaksa peminjam membayar kembali hutang dan pada masa sama menyebabkan kadar pinjaman meningkat kepada jumlah yang tidak munasabah.


Taktik itu tambahan daripada prosedur sebelum ini yang memaksa peminjam membayar kadar bunga tertentu setiap kali lewat membuat bayaran.


Lebih mengejutkan apabila ada peminjam tidak menyedari mereka berurusan dengan 31 along serentak yang terdiri daripada satu rangkaian sama.

Mangsa dikenali Hanim berusia 40-an berkata, pada awalnya dia meminjam RM6,000 daripada along selepas mengalami masalah kewangan pertengahan tahun lalu.


Katanya, along berkenaan menetapkan syarat dia perlu membayar 10 peratus sebagai bunga sekiranya gagal melunaskan bayaran pada masa ditetapkan.

“Disebabkan masalah kewangan, saya lewat membayar pinjaman selama beberapa bulan. Tidak lama selepas itu, saya dihubungi seorang lelaki menawarkan pinjaman mudah.


“Tanpa memikirkan risiko, saya menerima tawaran pinjaman itu dengan niat mahu melangsaikan hutang terdahulu. Sekali lagi saya gagal membayar hutang dan kali ini seorang lagi lelaki menghubungi saya menawarkan pinjaman serupa,” katanya.


Katanya, selepas beberapa bulan, dia membayar RM13,000 menerusi dua transaksi, namun apa yang mengejutkannya, dia dimaklumkan jumlah perlu dibayar kepada along berkenaan mencecah RM85,000.


Tidak tahan diperlakukan sedemikian, mangsa membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).


Hasil pertemuan yang diaturkan bersama PPIM minggu lalu, mangsa dimaklumkan bahawa perlu membayar RM77,000, namun berubah menjadi RM85,000 beberapa hari kemudian.


Tidak cukup dengan itu, dia menerima ugutan gambarnya ditampal di seluruh kawasan rumahnya dengan niat memalukannya.


“Mereka juga datang ke rumah sambil membuat bising menuntut saya membayar baki wang yang masih tertunggak sedangkan saya sudah melangsaikan semua hutang saya,” katanya.


Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, dia membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.


Sementara itu, Pegawai Tindakan Khas PPIM, Saharuddin Abu Bakar, berkata pihaknya bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah wanita itu.


Katanya, PPIM juga berusaha membantu setiap mangsa along mendapatkan nilai ansuran yang minimum dan mampu dibayar kepada along berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Satupanggilanhutangberganda/Article/index_html

AC terlepas hukuman penjara



Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my

KAJANG: Pelakon dan pengacara popular, AC Mizal menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman penjara selama 25 hari selepas dia membayar nafkah tertunggak dua anak lelakinya berjumlah RM9,800, seperti yang diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, semalam.

Dia memindahkan wang itu melalui akaun RHB milik bersama bekas isterinya, Shafnie Zainudin, 35, dengan anak sulung mereka, Muhammad Shafiq Iman, 14, sejurus selepas tamat prosiding mahkamah. AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, turut membayar denda RM1,500 secara tunai selepas mahkamah mendapati dia melanggar dan menghina mahkamah kerana gagal menghantar penyata kewangan syarikat miliknya kepada Shafnie selaku pemohon dalam kes itu. Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah memutuskan demikian berhubung kes komital atau perintah memenjarakan yang difailkan Shafnie kerana AC Mizal menghina mahkamah selepas gagal membayar nafkah anaknya yang tertunggak keseluruhannya berjumlah RM50,000.


Ketika ditemui di luar mahkamah, AC Mizal melahirkan kesyukuran dan lega dengan keputusan mahkamah. “Yang penting tidak dipenjarakan. Bila mahkamah tak penjarakan saya bermaksud saya tidak salah 100 peratus,” katanya. Tegas AC Mizal, dia berharap selepas ini tidak timbul lagi fitnah mengatakan dia tidak membayar nafkah terhadap anak-anaknya. Bagaimanapun, dia sedia memaafkan sesiapa saja yang masih memperkatakan mengenai perkara itu. Pada 22 Disember 2004, mahkamah mengeluarkan perintah supaya jumlah tunggakan itu dibayar secara ansuran sebanyak RM200 sebulan dan bakinya menerusi potongan gaji daripada akaun bank miliknya.

http://www.hmetro.com.my/articles/ACterlepashukumanpenjara/Article

Mayat berlipat dalam beg


KEJAM...mayat gadis belasan tahun ditemui dalam beg pakaian di tepi parit, Jalan Ukay Perdana, semalam.
KEJAM...mayat gadis belasan tahun ditemui dalam beg pakaian di tepi parit, Jalan Ukay Perdana, semalam.

AMPANG: Mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh ditemui dalam beg pakaian berwarna hitam dengan tubuh dan kakinya dilipat bersama-sama sejumlah pakaian, semalam.

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim am@hmetro.com.my Beg berisi mayat itu ditemui pekerja bengkel berhampiran kawasan semak di tepi parit tidak jauh dari tanah rizab Jabatan Bomba dan Penyelamat di Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang, kira-kira jam 3.30 petang.


Kejadian menyayat hati itu hampir mengulangi insiden sama pada 17 September 2007 lalu apabila mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, turut ditemui mati dibunuh dalam beg pakaian sebelum dibuang di Petaling Jaya.


Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang ditemui di lokasi kejadian turut tidak menolak kemungkinan mangsa diculik sebelum dibunuh kejam.

Walaupun tiada sebarang laporan polis berhubung kehilangan remaja perempuan di daerah Ampang, beliau percaya kemungkinan mangsa dibawa dari luar daerah ini sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.


“Oleh itu orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta segera membuat laporan polis,” katanya.

Difahamkan, pekerja bengkel terbabit menemui beg berisi mayat itu ketika dia melalui kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari Rumah Bakti Hulu Klang.


Pekerja terbabit dikatakan menunggang motosikal melintasi jambatan berhampiran sebelum melihat satu beg hitam mencurigakan dibuang di kawasan itu.


Sifat ingin tahu menyebabkan lelaki terbabit cuba mengangkat beg berkenaan, namun mendapati ia terlalu berat dan menyangka beg berkenaan mengandungi wang tunai.


Bagaimanapun, apabila dibuka, dia ternampak kaki manusia terjulur dalam beg berkenaan, menyebabkan dia bertempiaran lari dan membuat laporan polis.


Abdul Jalil berkata, bertindak atas laporan diterima sepasukan anggota unit ronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang segera dihantar ke lokasi kejadian.


“Pemerhatian awal mendapati mangsa remaja perempuan berusia lingkungan 12 hingga 13 tahun. Ketika ditemui mangsa memakai gaun biru dan ditutupi baju lusuh yang turut disumbatkan ke dalam beg itu.


“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan darah pada pakaian dipakai mangsa,” katanya. Menurutnya, mangsa yang berkulit sawo matang dan berambut lurus paras bahu dipercayai baru dibunuh dan dibuang ke kawasan itu.


“Besar kemungkinan remaja perempuan itu rakyat tempatan, namun siasatan lebih terperinci masih dilakukan. Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh kurang 24 jam berikutan tubuhnya masih dalam keadaan baik,” katanya.


Menurut Abdul Jalil, siasatan awal unit forensik polis mendapati terdapat kesan lebam pada leher mangsa, namun belum dipastikan sama ada ia kesan cekik atau jerutan.


“Selain itu polis turut menemui satu beg tangan mengandungi nama lelaki, mungkin warga Indonesia berserta nombor telefon. Polis akan menjejak lelaki itu untuk mengetahui kaitannya dengan mangsa,” katanya.


Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).


Ditanya sama ada mangsa turut diperkosa sebelum dibunuh, Abdul Jalil berkata, pihaknya belum dapat memastikannya sehinggalah bedah siasat dijalankan.


“Tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa. keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan polis untuk menyiasat identiti mangsa berkenaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Mayatberlipatdalambeg/Article

Thursday, October 28, 2010

Bencana 'berkembar' melanda Indonesia



YOGYAKARTA - Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat kepada 31 orang selepas gunung berapi itu meletus dan memuntahkan debu serta batuan panas sehingga 1.5 kilometer ke udara di wilayah Sleman, Yogyakarta, kelmarin.

Antara yang terkorban termasuk bayi berusia dua bulan, seorang wartawan portal berita Indonesia, seorang sukarelawan Palang Merah tempatan dan ’penjaga’ gunung, Mbah Maridjan.

Pakar gunung berapi negara itu mengeluarkan amaran awal mengenai letusan Gunung Merapi dan pihak berkuasa telah memindahkan puluhan ribu penduduk di kawasan itu ke pusat perlindungan sementara.

Menurut media Indonesia, mangsa letusan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dan sumbangan sebanyak Rp2.4 juta (RM840) akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa.

Sementara itu, gempa bumi bawah laut mencetuskan ombak tsunami yang membunuh sekurang-kurangnya 272 orang penduduk di Kepulauan Mentawai, barat Sumatera, Isnin lalu.

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter itu menghasilkan ombak setinggi tiga meter yang memusnahkan 10 kampung dan hampir 500 penduduk dilaporkan masih hilang.

Helikopter yang membawa pasukan penyelamat bersama bantuan perubatan dan makanan mula tiba di pulau itu, semalam.

Hukum gantung kerana bunuh jiran

GEORGETOWN - Seorang wanita pengsan sebaik suaminya dijatuhi hukuman mati mandatori atas kesalahan membunuh jirannya, empat tahun lalu.

Sharifah Maimunah Isa Ismail, 47, pengsan ketika cuba berjalan ke arah suaminya selepas keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman.

Sebaik mahkamah ditangguhkan, wanita itu mula menangis kerana gagal menahan sebak dan tiba-tiba rebah kerana pengsan sehingga menimbulkan sedikit kekecohan di dalam kamar.

Tetuduh, Omar Sharif, 50, kelihatan tenang sewaktu mengusap isterinya dan duduk berhampirannya sehingga wanita itu sedar kira-kira lima minit kemudian.

Sebelum itu, Abdul Halim berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, penjual nasi tomato di Taman Tun Sardon, dekat sini.

Sepanjang kes itu, mahkamah menilai dan meneliti keterangan 22 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

“Berdasarkan keterangan, tertuduh yang juga saksi pembelaan tidak konsisten dan jelas mereka-reka cerita untuk mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan mengatakan mangsa sebenarnya dibunuh pembantu gerainya, seorang warganegara Myanmar, Farouk Khan, 25," kata Abdul Halim.

Katanya, peranan Farouk adalah lebih kepada pembantu sahaja manakala Omar adalah ‘master mind’ yang melakukan pembunuhan itu semata-mata untuk mendapatkan barang kemas dan hasil jualan barang milik mangsa.

“Keterangan pihak pembelaan pula hanya bersifat penjelasan kepada mahkamah bagi membuktikan tertuduh tidak mempunyai masalah kewangan untuk membunuh mangsa.

“Namun, ia tidak boleh dianggap sebagai bukti munasabah kerana tidak semestinya orang miskin melakukan pembunuhan. Oleh itu, keterangan saksi pembelaan tidak cukup kukuh untuk dipertimbangkan bagi menimbulkan kesahihan dalam kes ini,” katanya.

Omar didakwa membunuh Faridah Mohd Sharif, 46, antara jam 11 pagi dan 2 petang di rumah No 307-I, Jalan Datuk Keramat, dekat sini, dalam pergelutan meragut barang kemas milik mangsa.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir manakala Omar pula diwakili peguam, N Agilan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...