Monday, November 15, 2010

Kilang proses makanan di Pulau Pinang didenda RM22,500 kerana guna pengawet terlarang

GEORGETOWN: Pemilik Kilang Teoh Guan Hup Food Stuff Industries didenda RM22,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menggunakan bahan pengawet yang dilarang dalam produk makanan keluarannya.

Majistret Mohd Firdaus Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas Gooi Soon Chye mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dihadapi kilangnya mengikut Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 (Pindaan 2002).


Dia dihukum mengikut Seksyen 13B(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kilang itu didakwa menggunakan asid borik dan asid benzoik dalam produk makanan yang diproses dan diedarkannya iaitu mee kuning, kuey teow, hor fun dan bee tai bak.


Sampel produk kilang berkenaan diambil oleh pegawai kesihatan negeri Faizal Mohamad Fauzi pada 19 Mei lepas untuk dianalisis di Makmal Kesihatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang. Keputusan analisis menunjukkan kesemua sampel mengandungi asid borik dan asid benzoik, iaitu sejenis bahan pengawet yang dilarang penggunaannya dalam makanan.


Pendakwaan dijalankan oleh Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan dari Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Ideris Mohamad manakala Gooi tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ideris meminta mahkamah mengenakan hukuman berbentuk teladan terhadap Gooi yang hadir sebagai wakil kilangnya, kerana kesalahan itu dilakukan secara berulang sejak 2005.


Beliau berkata, kilang berkenaan didenda sebanyak lapan kali berjumlah RM14,000 oleh mahkamah atas kesalahan yang sama.

Sementara itu, dalam rayuannya, Gooi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/KilangprosesmakanandiPulauPinangdidendaRM22_500keranagunapengawetterlarang/Article

Bayi dalam kotak minuman

Bayi dalam kotak minuman

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

SIHAT...bayi lelaki ditemui dalam kotak.
SIHAT...bayi lelaki ditemui dalam kotak.

GEORGETOWN: Menyayat hati apabila seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan dalam kotak minuman di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai Pinang, malam kelmarin.

Perbuatan keji itu diketahui selepas orang awam menemui bayi berkenaan yang masih bertali pusat dan diletakkan dalam kotak air minuman bersaiz 37 sentimeter x 25 sentimeter.

Individu yang menemui mayat bayi berkenaan menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu dan polis menemui bayi berkenaan yang cukup sifat itu dalam keadaan sihat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, bayi seberat 2.7 kilogram (kg) ditemui jam 10.15 malam di tepi penjuru Pangsapuri Sri Pelangi, Jalan Sungai dan dipercayai baru dilahirkan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi berkenaan berkulit cerah dan berambut lurus dan tali pusat yang dipotong dilakukan secara kasar kerana masih terdapat kesan darah kering.


“Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk dari rumah ke rumah di pangsapuri berkenaan dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pulau Tikus, di sini, semalam.

Gan berkata, bayi berkenaan ditempatkan di Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 313 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Seksual, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 atau 016-4217214.

http://www.hmetro.com.my/articles/Bayidalamkotakminuman/Article

Poster lelaki wali perempuan

Poster lelaki wali perempuan

Oleh Shamsul Munir Safini

BUKTI...lukisan dalam bentuk poster yang digunakan lelaki terbabit.
BUKTI...lukisan dalam bentuk poster yang digunakan lelaki terbabit.
TAHAN...pengantin perempuan yang ditahan.
TAHAN...pengantin perempuan yang ditahan.

KUALA LUMPUR: Satu lukisan wajah seorang lelaki yang didakwa seorang daripada Wali Songo digunakan seorang jurunikah haram sebagai pengganti kepada wali pengantin perempuan yang dinikahkannya.

Dikenali sebagai Ustaz Hashim, lelaki warga Indonesia terbabit mendakwa lukisan berkenaan simbolik kehadiran ulama Islam terkenal di Pulau Jawa pada kurun ke-17 itu yang kononnya sentiasa berdampingan dengannya secara ghaib.

Setakat ini, ustaz temberang itu dipercayai sudah melakukan banyak upacara akad nikah termasuk lelaki yang ingin berpoligami dan dia akan membawa lukisan dalam bentuk poster itu ke rumah setiap pengantin yang akan dinikahkannya.

Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyerbu sebuah rumah setinggan di Jalan Kubur, Pantai Dalam, di sini, ketika lelaki itu hendak menikahkan satu pasangan, malam kelmarin.

Ketika serbuan pada kira-kira jam 8 malam, sepasang bakal mempelai yang lengkap berpakaian pengantin dicekup bersama dua wanita dan 21 lagi lelaki dipercayai rakan dan saudara pasangan berkenaan.


Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, berkata ketika serbuan semua yang ditahan berada di dalam rumah berkenaan dan menyaksikan upacara pernikahan yang dilakukan jurunikah haram itu.

“Bagaimanapun, jurunikah yang dikenali dengan panggilan Ustaz Hashim itu melarikan diri dengan memanjat siling rumah. Pemeriksaan sekitar kawasan rumah gagal menemui jurunikah itu.

“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ustaz terbabit menghubungi Jawi,” katanya.

Che Mat berkata, ketika disoal siasat 25 orang di dalam rumah berkenaan termasuk bakal pengantin pada mulanya memberi alasan mengadakan kenduri doa selamat.

Bagaimanapun, pasangan bakal mempelai itu tidak mampu berdalih apabila ditanya mengapa mereka lengkap berpakaian pengantin, lantas mengaku mereka mengadakan majlis pernikahan.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan Ustaz Hashim kepada mereka yang menggunakan khidmatnya adalah antara RM5,000 hingga RM 6,000.

“Siasatan awal juga mendapati kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmat ustaz palsu itu adalah mereka yang ingin berpoligami kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama.

“Selain itu, sijil nikah yang diberikan sekadar menggunakan kertas biasa yang ditulis tangan dan ditandatangani lelaki digelar Ustaz Hashim itu,” katanya.

Che Mat berkata, pasangan bakal pengantin itu akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini manakala 23 yang lain dibebaskan selepas diambil keterangan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/articles/Posterlelakiwaliperempuan/Article

ChicKing tawar peluang niaga


DARI kiri Azarae, A.K Mansoor dan Pengurus ChicKing cawangan Tropicana City Mall, Zainiza Din di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PETALING JAYA – ChicKing Fried Chicken (ChicKing), rangkaian restoran makanan segera dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bercadang untuk menyediakan peluang keusahawan kepada mahasiswa di negara ini melalui program bersama dengan Pusat Pembangunan Keusahawan Siswazah Malaysia (Pusmal).

Pusmal yang diwujudkan pada bulan Disember 2005 adalah sebuah agensi yang telah diwujudkan oleh Universiti Malaya (UM) yang berperanan untuk mewujudkan semangat dan kemahiran keusahawanan di kalangan pelajar dan siswazah dari seluruh institusi pengajian tinggi tempatan.

Menurut Pengerusi Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswazah Malaysia (Pusmal), Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris, Pusmal akan mengadakan Program Latihan Perusahaan Keusahawanan (Intern-preneurship) dengan Chic- King bagi tempoh enam bulan.

“Siswazah di bawah Pusmal ini akan diletakkan di premis ChicKing selama enam bulan bagi mendapatkan kemahiran dan pemahaman tentang setiap aspek keusahawanan dalam industri makanan segera.

“Program di bawah Pusmal melibatkan siswazah daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan jurusan yang telah menamatkan pengajian dalam tempoh lima tahun ke bawah,” katanya pada majlis prapelancaran rangkaian sulung ChicKing di Malaysia di sini baru-baru ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Mayat pekerja projek mega hilang ditemui


NORLAILA bersama empat orang anaknya menunggu jenazah Mohd. Nor di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Selepas dilaporkan hilang lebih 48 jam lalu, mayat seorang operator jentera pengorek pasir, Mohd. Nor Miskam ditemui pagi semalam kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa tenggelam di kawasan tebus guna projek mega Lido Boulevard berhadapan Zoo Johor di sini.

Mayat Mohd. Nor, 36, ditemui pada pukul 7.30 pagi oleh pasukan penyelamat yang menjalankan kerja-kerja mencari sejak malam Jumaat lalu.

Pegawai Bomba Tinggi (Operasi), Balai Bomba Johor Bahru, Aminah Saiman berkata, ketika ditemui mayat Mohd. Nor berada dalam keadaan terapung berhampiran pelampung penyedut pasir.

“Pasukan bomba pergi ke kawasan tersebut dan menemui mayat mangsa yang telah kembung tapi lengkap berpakaian.

Menurut beliau, mayat Mohd. Nor kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Menurut beliau, jentera pengorek pasir yang tenggelam bersama Mohd. Nor juga telah ditemui namun ia belum dinaikkan.

Sementara itu, bapa mangsa, Miskam Yusof, 68, berkata, dia tidak menyangka anak bongsu daripada tiga beradik itu akan menemui ajal dengan cara demikian.

Kata warga emas itu, 20 hari sebelum kejadian, Mohd. Nor terlibat dalam kemalangan jalan raya di Simpang Renggam.

“Dalam kejadian itu, Mohd. Nor tidak mengalami kecederaan parah walaupun kereta yang dipandunya remuk teruk,” katanya.

Miskam memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian arwah menghubunginya kerana mendakwa menghadapi masalah berkaitan wang untuk membayar sewa rumah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Pasukan khas siasat penyelewengan




SEREMBAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat penyelewengan wang sumbangan berjumlah RM660,000 yang kononnya mahu digunakan bagi majlis mesra Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri namun ia tidak dilaksanakan.

Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim (gambar) berkata, penubuhan pasukan khas tersebut bertujuan untuk menyiasat kes berkenaan secara menyeluruh.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya meminta mana-mana individu dan syarikat yang telah menghulurkan sumbangan sempena majlis yang tidak diadakan itu supaya tampil membantu siasatan.

“Kita sedang menjalankan audit ke atas akaun Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan bagi mengetahui ke mana wang itu disalurkan.

“Mana-mana pihak yang menyumbangkan wang diminta tampil memberi keterangan,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kelmarin, SPRM menahan lima lelaki termasuk dua kakitangan JPJ negeri ini kerana disyaki meminta dan menyalahguna wang berjumlah RM660,000 yang dikutip kononnya untuk menganjurkan satu majlis jabatan tersebut.

Dua kakitangan JPJ itu ialah seorang pegawai berusia 45 tahun dan seorang lagi kerani berusia 53 tahun. Mereka direman sehingga 18 November ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Maut ditetak kekasih isteri


ANGGOTA polis memeriksa rumah yang menjadi lokasi pembunuhan Haryadi di Taman Desa Ria, Taman Medan, Petaling Jaya kelmarin.


PETALING JAYA - Hasrat seorang pemuda yang datang dari Indonesia untuk melepaskan rindu terhadap isterinya yang bekerja di negara ini berakhir dengan dia mati dibunuh oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Flat Taman Desa Ria di PJS 4, Taman Medan di sini malam kelmarin.

Lebih tragis apabila mangsa yang hanya dikenali sebagai Haryadi, 24, dipercayai diserang oleh kekasih isterinya dan rakan-rakan suspek itu.

Mayat Haryadi yang baru empat hari berada di negara ini ditemui berlumuran darah di tingkat dua rumah flat itu selepas dia diserang di rumah sewa isterinya di tingkat lima.

Mangsa menemui ajalnya akibat ditetak di kepala dan keseluruhan badannya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, sebelum kejadian pada pukul 11.30 malam mangsa dikatakan berada di dalam rumah bersama isterinya yang berusia 22 tahun.

Menurut beliau, mangsa telah memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dipercayai untuk melawat isterinya yang bekerja sebagai buruh di sini sejak tiga tahun lalu.

"Ketika berada dalam rumah, pasangan suami isteri itu didatangi oleh sekumpulan enam lelaki yang masing-masing bersenjatakan parang dan pisau," kata beliau di sini semalam.

Berikutan kemunculan enam lelaki itu, Omar memberitahu, tercetus pertengkaran dan pergelutan antara mangsa dengan suspek keenam-enam tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Pasangan nikah sindiket diserbu


ANTARA tetamu yang ditahan pada majlis pernikahan yang didalangi Pak Hashim di Pantai Dalam, Kuala Lumpur malam kelmarin.


KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket nikah palsu apabila menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan Pantai Dalam di sini malam kelmarin.

Ketika serbuan dibuat, sindiket berkenaan disyaki sedang berurusan untuk menikahkan secara haram satu pasangan kekasih dengan menggunakan khidmat jurunikah palsu.

Dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa Jawi menahan sepasang kekasih yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia yang mempunyai status penduduk tetap berumur lingkungan 30-an yang berhasrat untuk melangsungkan pernikahan secara haram.

Turut ditahan 25 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita dipercayai warga Indonesia yang berada di dalam rumah itu bagi membantu siasatan.

Pasangan tersebut telah didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menikah tanpa kebenaran pendaftar, menikah tanpa jurunikah bertauliah dan gagal memberi penjelasan mengenai lokasi pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.

Sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh seorang jurunikah yang tidak bertauliah dan lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan gelaran Pak Hashim yang merupakan warga Indonesia.

Bagaimanapun, Pak Hashim berjaya meloloskan diri dalam serbuan itu menerusi pintu belakang rumah tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Belanja sambutan lebih rendah


SEBAHAGIAN peserta yang menyertai pertandingan memancing anjuran Yayasan Selangor di Taman Tasik Rekreasi Seksyen 7, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Yayasan Selangor meraikan sambutan ulang tahun ke-40 semalam dengan menganjurkan pertandingan memancing di sini bagi menggantikan majlis makan tengah hari yang terpaksa dibatalkan.

Kos bagi menganjurkan pertandingan memancing itu sangat rendah berbanding program asal mengadakan majlis makan tengah hari yang menelan belanja RM300,000.

Kira-kira 1,200 peserta menyertai pertandingan itu yang diadakan di Taman Tasik Rekreasi Seksyen 7 di sini bermula pada pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Tempat pertama pertandingan itu dimenangi oleh Muhammad Affendi Harun yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi masing-masing oleh Wasli Ismail dan Mohd. Farid Napie dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM3,000.

Pertandingan memancing itu turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM40,000 kepada para peserta.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Anti-menara 100 tingkat anjur parti kek

Anti-menara 100 tingkat anjur parti kek


Nov 15, 10 4:16pm

Sebuah laman sesawang di Facebook yang didedikasikan untuk mendapatkan sejuta peminat bagi menentang pembinaan sebuah menara 100 tingkat oleh kerajaan persekutuan akan menyambut genap sebulan ia ditubuhkan esok.

Pentadbir halaman itu menggesa orang ramai supaya berkumpul di enam lokasi di seluruh Malaysia untuk menjamah sepotong kek dan 'meraikan' kejayaan laman itu setakat ini.

"Kami raikannya kerna rakya biasa Malaysia, bererti bukan pemimpin politik atau NGO, buat pertama kali menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran. Jika laman itu boleh dipertimbangkan - mewakili suara ramai yang menentang projek gergasi yang tidak popular dan tiada justifikasi.

"Ini bukan projek mega yang pertama tetapi ini adalah pertama kali projek mega menghadapi rintangan dari bawah. Tiada mega projek dari sekarang boleh dibuina tanpa mengambil pendapat awam. Atas sebab itu, kita raikannya,” tulis pentadbir laman yang tidak mahu dikenali itu.

'Jamah sepotong kek bukan jenayah'

Lima lokasi itu adalah di pancutan air di KLCC dan Stadium Merdeka di Kuala Lumpur; Dataran pidato di esplanade, Pulau Pinang; Coffee Bean di Wisma Merdeka, Kota Kinabalu, Secret Recipe di Lunas, Kedah dan McDonalds di Kampar.

Peserta dijangka akan berada di lokasi tersebut secara bersemuka untuk dua jam dan secara simbolik menjamah sepotong kek yang dibawa oleh masing-masing.

Namun bagi acara di Kota Kinabalu, Lunas and Kampar, peserta dijangka membeli kek mereka daripada tempat di mana mereka berkumpul.

Menyedari, sikap kurang bertolak-ansur atau toleransi yang amat rendah di pihak kerajaan, pentadbiran laman itu memberi jaminan kepada peserta bahawa mereka tidak akan melakukan apa-apa yang tidak mengikut lunas undang-undang.

"Bukan satu jenayah bagi menjamah sepotong kek di tempat awam. Bagi anda yang gusar atau kuathir terhadap ganguan polis, jangan ragu-ragu untuk menghubungi majlis Peguam,” tulis pentadbir laman itu.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/148263

Saya Islam, mengapa perlu terkejut?



Semasa saya tiba di wilayah Arab itu untuk bekerja di pusat kebajikan di Gaza dan Tebing Barat, saya membawa bersama pandangan yang dimiliki semua wanita berkulit putih kelas pertengahan (secara senyap atau terbuka) mengenai wanita Islam, wanita yang saya anggap tidak lebih dari sekadar jasad yang dibalut dengan jubah hitam.

Sebagai seorang wanita Barat yang mempunyai semua kebebasan, saya jangka saya akan hanya berurusan dengan golongan lelaki sahaja. Bukankah itu yang menggambarkan dunia Islam?

Nampaknya pandangan stereotaip saya itu terbukti masih dikongsi oleh semua penduduk Barat apabila beberapa kolumnis yang mendengar saya sudah menganut Islam, menjerit ketakutan dan terkejut.

Ya, begitulah pandangan mereka terhadap lebih setengah bilion wanita di dunia yang menganut agama Islam.

Semasa lawatan pertama saya ke Ramallah, dan diikuti dengan lawatan ke Palestin, Mesir, Jordan dan Lebanon, saya banyak berurusan dengan lelaki yang berkuasa, termasuk lelaki berjambang yang kita selalu lihat dalam berita di tempat-tempat di mana kita sendiri menghantar bom untuk dimusnahkan.

Tetapi sesuatu yang mengejutkan (untuk saya), semasa lawatan ini, saya turut berurusan dengan banyak wanita berkuasa pada semua peringkat umur yang memakai pelbagai gaya tudung.

Percaya atau tidak, wanita Islam boleh dididik, mampu bekerja dalam tempoh waktu yang lama seperti wanita Barat, dan mereka juga mengarah suami mereka supaya melakukan sesuatu, walaupun di hadapan rakan lelaki itu.

Adakah bukti ini mencukupi? Saya harap ia mencukupi, kerana selepas saya menganut Islam, pengulas sinis menggunakannya sebagai alasan untuk menimbulkan pelbagai pandangan buruk terhadap wanita Islam di mana-mana.

Jadi mari kita semua menarik nafas panjang dan benarkan saya mendedahkan dunia Islam sebenar pada abad ke-21 ini.

Kebanyakan amalan dan peraturan di negara 'Islam' sudah jauh terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Amalan-amalan yang merendahkan wanita ini wujud daripada budaya dan tradisi (yang dikuasai lelaki) yang telah menular ke seluruh lapisan masyarakat.

Perjalanan saya menuju kepada Islam bermula dengan kesedaran mengenai jurang dalam apa yang diberitahu kepada saya mengenai Islam, dan realiti sebenar.

Semasa lawatan saya ke Iran September lalu, apabila saya melihat jemaah berwuduk, sujud dan membaca doa di dalam masjid, saya teringat mengenai pandangan Barat yang salah mengenai agama ini, agama yang menolak keganasan, mengamalkan keamanan dan kasih sayang melalui meditasi secara senyap.

Saya melalui perubahan ketara yang saya sendiri tidak sedari iaitu setiap kali berdoa sejak setahun lalu, saya mengucapkan 'Ya Allah' dan bukannya 'Ya Tuhan.'

Memang kedua-dua perkataan itu mempunyai maksud yang sama tetapi bagi mereka yang baru memeluk Islam, bahasa asing yang digunakan dalam solat dan al-Quran kadang-kala menjadi penghalang untuk beribadat dengan sempurna.

Tetapi saya amat bernasib baik apabila dapat mengatasi perbezaan bahasa itu tanpa saya sendiri sedari.

Kemudian saya mula merasakan hubungan emosi antara umat Islam lain dengan perasaan penuh terbuka dan kemesraan.

Sejak memeluk Islam, saya mula merasakan betapa rakan-rakan bukan Islam seperti tidak berperasaan.

Mengapa kita tidak boleh menangis di tempat awam, memeluk satu sama lain atau mengucapkan kata-kata sayang kepada kawan baru tanpa disyaki atau diperlekehkan?

Saya melihat bagaimana pelbagai perasaan dikongsi antara umat Islam dan berfikir jika peraturan yang ditetapkan Allah berasaskan ketakutan semata-mata, mengapa rakan-rakan Islam saya tidak berpaling tadah daripada agama mereka dan mula meminum arak untuk mendapatkan 'keseronokan' seperti kita di Barat?

Kita seronok, bukan?

Dahulu, saya sering cuba berhenti mengambil minuman beralkohol tetapi tidak berjaya, namun sejak saya memeluk Islam, saya langsung tidak membayangkan akan minum arak lagi.

Saya yakin inilah pilihan yang tepat bagi saya, terlalu banyak yang dapat dipelajari, dinikmati dan dikagumi dalam Islam.

Sebelum saya mengakhiri perkongsian pengalaman ini, saya ingin memperjelaskan perbezaan antara budaya Islam dan budaya media yang mungkin dapat memberikan orang ramai lebih pemahaman mengenai agama suci ini.

Apabila kita melihat rakaman media yang menunjukkan penganut Islam melaungkan 'Allahu Akhbar!', kita, orang Barat, telah dilatih menterjemahkan perbuatan itu sebagai ancaman.

Kita berfikir apabila mereka melaungkan kalimah itu, mereka sebenarnya mengatakan: "Kami membenci anda rakyat Britain, dan kami akan meletupkan diri di pusat membeli belah semasa anda sedang membeli keperluan harian."

Padahal sebenarnya, kami (umat Islam) hanya melaungkan 'Allah Maha Besar!' dan kami cuba menenangkan jiwa selepas negara bukan Islam menyerang kampung kami.

Kalimah itu mewakili harapan kami untuk hidup dalam suasana aman dengan semua masyarakat, sama ada beragama Islam atau tidak, dan jika itu terlalu susah untuk dicapai seperti keadaan sekarang, kami hanya mahu supaya kami tidak diganggu.



*Lauren Booth, 43, adalah adik ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Booth memeluk Islam selepas melalui 'pengalaman suci' semasa melawat Iran, September lalu. Beliau menulis rencana ini untuk akhbar Britain, The Guardian bagi menjelaskan kritikan yang diterima daripada media Barat selepas mengumumkan keputusannya memeluk Islam.

Polis trafik cedera dirempuh mat rempit



SHAH ALAM – Seorang mat rempit bukan sahaja melakukan aksi berbahaya, malah bertindak nekad merempuh seorang polis trafik semasa melepaskan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa di Ampang, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Lans Koperal Henry Gregory, 32, cedera di kepala selepas tercampak dan diseret beberapa meter di atas jalan raya akibat rempuhan itu.

Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, remaja terbabit cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

Katanya, polis menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan lumba haram di kawasan itu dan terus ke lokasi bagi memantau aktiviti tersebut.

Mangsa bersama lima petugas dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, sedang melakukan Ops Cegah Lumba Haram di persimpangan Jalan Taman Putra – Jalan Tasik Tambahan ketika kejadian.

“Kumpulan mat rempit itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis trafik, tetapi seorang daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an berjaya ditahan.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka merempuh Gregory sebelum tujuh motosikal lain memecut laju melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, Gregory yang berasal dari Sabah dan sudah lima tahun bertugas di IPD dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.


http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8405485.asp

Masalah setinggan belum selesai



TRONOH – Masalah 16 setinggan di Sri Kanthan di sini, masih belum dapat diselesaikan walaupun kawasan perumahan itu telah wujud lebih 30 tahun lalu yang terletak bersebelahan Kampung Tersusun Sri Kanthan, Mukim Belanja.

Penduduk mendakwa mereka pernah membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik kekal tapak tanah perumahan secara kelompok sejak tahun 1998, namun sehingga kini tidak mendatangkan hasil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar berkata, penduduk mengadu kepadanya dan menyatakan kekecewaan kerana tiada usaha murni daripada pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, penduduk juga mendakwa ramai pemimpin dari kalangan parti politik yang menaburkan janji manis bagi menyelesaikan masalah itu, namun ia sekadar angan-angan kosong.

“Penduduk menyatakan ada individu tertentu hadir ke kampung ini dan menabur janji manis kepada penduduk tetapi ia hanya sekadar janji kosong pada pilihan raya dan bukannya niat untuk membantu rakyat.

“Mereka sudah muak dengan segala janji pihak tertentu dan kini hanya mahukan perhatian serius Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah setinggan selain pihak pentadbir tanah turut membantu mempercepatkan proses pemberian tapak tanah,” katanya kepada :Sinar Harian.

Sivakumar berkata, pada September 2001 dan Ogos 2003, pejabat menteri besar pernah mengeluarkan surat meminta pihak pentadbir tanah untuk mengambil tindakan berhubung permohonan tanah itu.

“Penduduk menyatakan masalah ini sudah sampai ke pengetahuan pejabat menteri besar, namun apa yang peliknya masih tiada tindakan diambil.

“Oleh itu, saya membuat satu soalan bertulis berhubung masalah setinggan ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung pada 30 November 2010,” katanya.

Beliau berkata, penduduk turut menyatakan Jawatankuasa, Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tersusun Sri Kanthan, pernah membawa isu berkenaan kepada pengetahuan pemimpin politik kawasan berkenaan namun sehingga kini tiada perkembangan positif.

“Penduduk yakin permohonan ini berada dalam perhatian Pejabat Tanah dan Galian, namun mengapa masih tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya.

Katanya, walaupun terdapat surat sokongan daripada Ahli Parlimen Parit dan wakil rakyat lain sebelum ini, tetapi tiada sebarang jawapan atau tindaka serius daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta mengenai isu itu.

"Diharap pihak Kerajaan Negeri akan lebih prihatin dan memenuhi aspirasi rakyat jika mereka benar-benar mendahulukan rakyat dan bukan sekadar slogan semata-mata," katanya.

Bayi dalam kotak



GEORGETOWN - Seorang lelaki yang ingin membuang kotak yang disangkanya sampah terkejut apabila ternampak seorang bayi lelaki di dalamnya.

Mahmud Maslan berkata, ketika ditemui, bayi itu tidak menangis.

“Saya menjumpai satu kotak dan setelah diperiksa, ia berisi seorang bayi lelaki. Saya mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, seorang lelaki yang dipercayai baru pulang dari masjid menjumpai kotak minuman di penjuru kaki lima Flat Sri Petani, lalu mengambilnya untuk dibuang.

“Siasatan awal mendapati bayi seberat 2.7 kilogram baru diletakkan di situ kira-kira 15 minit setelah dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Bayi itu sihat dan dalam keadaaan stabil serta masih mempunyai tali pusat.

“Ketika ditemui, bayi yang berkulit cerah dan berambut lurus itu tidak menangis dan dalam keadaan bogel, diletakkan dalam kotak minuman. Pemeriksaan doktor, mendapati tali pusat bayi itu dipotong dengan kasar dan ini menunjukkan suspek tidak mempunyai pengalaman."

"Terdapat juga kesan darah kering pada bayi itu,” katanya kepada media di Balai Polis Pulau Tikus, di sini, semalam.

Menurutnya, bayi itu belum diketahui keturunannya dan sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut .

Kong Meng turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, menghubungi Ibu Pejabat Daerah Timur Laut Pulau Pinang di talian 04-2282222.

Kes itu disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Kanak-kanak empat tahun derita penyakit leukemia




PEKAN – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun terpaksa bertarung nyawa dengan penyakit leukemia yang dihidapinya sejak Jun lalu.

Bapanya, Abdul Razak Ali, 55, berkata, dia menyedari penyakit anak bongsunya itu, Siti Zubaidah daripada enam beradik itu selepas dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada penghujung bulan Jun lepas.

”Pada mulanya anak saya itu hanya demam biasa kat rumah selepas itu dia mengalami masalah darah yang keluar dari hidung dan muka dia nampak lebam-lebam.

”Kami kemudiannya bawa di ke Hospital Pekan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan masa itu kami masih belum tahu apa penyakit dia sebenarnya,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, selepas di rujuk ke HTAA, doktor mengarahkan supaya anaknya itu dibawa ke HKL untuk tindakan lanjut.

Katanya, Siti Zubaidah kemudiannya ditahan di HKL selepas dibawa ke sana pada 29 Jun lepas sebelum mengetahui keputusan anaknya itu mengidap penyakit Leukemia diketahui pada keesokannya.

“Selepas sebulan lebih berada di HKL doktor memaklumkan anak saya sudah tidak mempunyai harapan sembuh dan membenarkannya dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, meskipun sudah tidak mempunyai harapan sembuh, dia masih tidak berputus asa untuk mengubati penyakit leukemia yang ditanggung anaknya itu.

Menurutnya, selepas diarah pulang dari HKL semalam dia berhasrat merawat penyakit anaknya yang berada di tahap akhir dengan perubatan tradisional.

“Perkara yang merunsingkan kami adalah bayaran kos perubatan yang ditanggung selepas menerima rawatan di HKL hampir mencecah RM5,000 yang masih tertunggak.

“Siti Zubaidah telah menerima dua kali pembedahan memasukkan dua wayar ke bahagian paru-paru dan jantung sepanjang berada di HKL,” katanya.

Abdul Razak berkata, dia yang bekerja sebagai pembersih kebun hanya memperoleh pendapatan di antara RM300 hingga RM400 sebulan untuk menyara keluarganya dan tidak mampu menampung kos tersebut.

”Justeru saya memohon bantuan mana-mana pihak untuk penyakit yang ditanggung oleh anak saya ini, kalau boleh mintak selamatkan anak saya,” katanya.

Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Bumiputra Commerce bernombor akaun 1210-0014164-52-8 atau alamatkan kepada Abdul Razak Ali, No B46, Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan atau hubungi talian 013-9071613.

Sementara itu, ibu Siti Zubaidah, Supilah Husin, 50, berkata, mereka sekeluarga berharap agar bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung mereka sekeluarga.

Katanya, Siti Zubaidah yang dilahirkan sihat kini menerima rawatan bulanan termasuk kos ubat-ubatan hampir RM400 sebulan.

http://www.sinarharian.com.my/pahang/content/story8406393.asp

Zaid Ibrahim keluar PKR, akhirnya...

Zaid Ibrahim keluar PKR, akhirnya...
Nov 15, 10 9:58am

Bekas ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim hari ini secara rasmi melahirkan hasratnya untuk berundur dari parti itu.

"Memang benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan borang rasmi lagi,” tulis Zaid di blognya petang ini.

Katanya, “semuanya akan dijelaskan” apabila beliau mengeluarkan kenyataannya pada Jumaat ini.

Sebelum ini, desas desus dan khabar angin bahawa Zaid akan meninggalkan PKR sudahpun bertiup kencang.

Zaid dalam portal berita miliknya -Free Malaysia Today berkata beliau telah bersedia meninggalkan parti itu kerana sudah meluat dengan pemimpinnya.

“Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan perkara buruk atau yang tidak betul dalam parti supaya orang yang tertpilih itu akan dilantik mengisi jawatan tertinggi.

“Saya benci untuk mengalah kerana akan dilabel sebagai orang yang mudah berputus asa. Saya lebih rela (ketua umum PKR) Anwar(Ibrahim) pecat saya.

“Tetapi jika mereka tidak pecat saya, sudah tentu saya akan meninggalkan parti tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Zaid, pengumuman rasmi akan dibuatnya sebelum kongres kebangsaan PKR yang dijadualkan pada hujung bulan ini.

Beliau dijangka akan berehat seketika bagi mengelakkan segala tumpuan sekarang. Bekas menteri di jabatan perdana itu juga tidak menolak kemungkinan membentuk parti baru.

Adalah dipercayai bidasan terbaru, naib presiden PKR, Azmin Ali pada Jumaat lalu ada berkaitan dengan keputusan Zaid untuk meninggalkan parti itu.

Rosakkan reformasi

Berucap pada penyokongnya di sebuah ceramah di Shah Alam, Azmin berkata zaid tidak boleh dibiarkan “merosakkan perjuangan reformasi”.

“Jangan benarkan calon yang baru menyertai parti setahun lalu cuba merosakkan perjuangan 12 tahun kita,” Azmin dilaporkan berkata.

Tanpa menamakan Zaid dalam bidasannya, Azmin berkata pemimpin berkenaan tidak pernah menyertai protes jalanan dan belum pernah ditangkap dan justeru, tidak akan memahami apa erti reformasi sebenar.

Dalam perkembangan berkaitan, The Star dalam laporannya hari ini mendakwa Zaid telah mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR.

"Saya sedari hari-hari saya semakin singkat kerana pemimpin parti tidak berhenti-henti membuat serangan peribadi ke atas saya.

"Saya berundur kerana mahu menjauhkan diri saya daripada penipu dan pembohong. Saya tidak lagi mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menaburkan fitnah dan sanggup menipu semata-mata untuk tujuan peribadi mereka,” katanya kepada akhbar itu.

Zaid, yang menyertai PKR pada Jun 2009 selepas meninggalkan Umno berkata beliau akan bercuti seketika untuk menjauhkan diri daripada semua tumpuan ketika ini.

"Saya bukan membenci parti tetapi saya meluat dengan pemimpin yang bermasalah di dalam parti,” katanya.

Bekas menteri kabinet itu menarik diri daripada pemilihan jawatan timbalan presiden PKR minggu dengan alasan kepimpinan parti gagal menangani dakwaan manipulasi dan penyelewengan dalam sistem pemilihan berkenaan.

Tak lama lagi

Beliau juga pada sidang akhbarnya itu membidas pemimpin PKR, termasuk ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, beliau juga mencadangkan Anwar supaya berundur kerana berpendapat dia sebagai punca masalah di PKR.

Dalam wawancaranya, dengan beberapa akhbar pro-Umno, semalam adalah hampir pasti bahawa Zaid akan meninggalkan PKR dan menubuhkan partinya sendiri.

Malah, Zaid pernah mengumumkan pada dialognya di Kedah bahawa beliau akan menubuhkan “Keadilan baru” jika dipecat dari PKR.

Bagimanapun, menurut sumber yang rapat dengan Zaid, kemungkinan besar ahli politik yang 'maverick' itu disalah petik bahawa beliau telah meninggalkan parti itu.

Ketika dihubungi pagi ini, sumber itu berkata Zaid akan membuat penjelasan hari ini di blognya.

Zaid kini dilaporkan berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi untuk sebarang ulasan.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Zaid tidak menolak kemungkinan akan keluar daripada parti itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagaimanapun, keputusan itu masih dalam pertimbangan.

"Belum (keluar parti), mungkin tidak lama lagi," katanya menerusi SMS.

http://malaysiakini.com/news/148216

Lenggong pula dilanda banjir

Mohd Rashidi Yusuf


LENGGONG, 15 Nov: Sepuluh keluarga terpaksa dipindah apabila tujuh kampung termasuk pekan dilanda banjir membabitkan hampir 100 rumah, sebuah masjid dan lebih 20 premis kedai selepas hujan kira-kira tiga jam sejak petang semalam.

Di Mukim Temelong, Kampung Banggol Batu dan Taman Kota Tampan antara paling teruk dilanda banjir, di mana 10 daripada hampir 30 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di surau taman berkenaan selain di rumah saudara mara.

Banjir lumpur tersebut disebabkan limpahan air Sungai Nerok mulai jam 8.30 malam tadi turut melanda Masjid Kampung Banggol Batu dan tujuh premis kedai, termasuk sebuah kedai runcit, sebuah bengkel motorsikal, sebuah kedai pakaian dan sebuah kedai makan.

Khalid Yusof, 41, terpaksa menggunakan lori jiran untuk memunggah barangan di dalam kedai seperti beras, gula, dan pelbagai barangan lain selain peti ais dan lain-lain apabila air masuk ketika hujan masih turun.

Katanya, ketika air mulai naik, dia sedang berada di rumahnya sehingga jiran memberitahu kedainya dimasuki air.

"Sebaik jiran memberitahu air mulai masuk ke dalam kedai, saya bergegas ke kedai untuk menyelamatkan barang-barang di dalamnya yang lebih penting daripada keadaan di dalam rumah.

"Nasib baik dengan pertolongan jiran-jiran peti air serta barangan di dalamnya dapat diselamatkan,' katanya.

Khalid berkata, dia bernasib baik apabila air mulai surut jam 11 malam dan walaupun air naik hingga ke paras 0.4 meter di dalam kedainya dia tidak mengalami kerugian besar.

Pemilik bengkel motorsikal, Badri Othman, 40, pula berkata, dia kerugian kira-kira RM20,000 apabila sebuah mesin kompresor dan tiga buah motorsikal ditenggelami air, tidak sempat diselamatkan kerana rumahnya juga dilanda banjir.

Katanya, air naik dengan pantas, manakala dia dan keluarga terpaksa bergelut dengan banjir di rumahnya di Banggol Batu, menyebabkan bengkelnya yang terletak di Taman Kota Tampan tidak sempat diurus.

Seorang peniaga makanan, Mohd Yusri Yacob, 36, terpaksa menghentikan perniagaannya apabila air naik ketika hujan masih turun dan kemungkinan tidak dapat berniaga untuk sekurang-kurangnya dua hari.

Sementara itu, tiga sekeluarga di kampung banggol batu yang sedang menunggu rumah PPRT, bernasib baik dapat menyelamatkan barangan penting di dalam rumah sebelum berpindah ke rumah saudara di kampung sama.

Ketua keluarga, Mohd Mizi Abdul Rani, 28, berkata ketika hujan lebat sejak jam 6 petang, dia, adik, dan ibunya, bergegas memunggah barang-barang penting termasuk barangan elektrik ke tingkat atas rumah.

"Air naik separas 1.5 meter di dalam rumah dan walaupun semua barang-barang sempat diselamatkan, kami tiga beranak terpaksa berpindah bimbang kalau-kalau air naik lagi," katanya.

Mohd Mizi berkata, banjir kali ini adalah yang ketiga melanda rumah mereka pada tahun ini, di mana kali kedua selepas Aidilfitri lalu sepertimana dilaporkan akhbar ini.

Di pekan Lenggong sendiri, kira-kira 10 premis kedai termasuk sebuah kedai motorsikal dan kedai mesin Singer dilanda banjir limpahan air longkang, bagaimanapun tidak ada kerosakan harta benda berlaku.

Di Kampung Sumpitan 40 buah rumah dan dua buah kedai dilanda banjir lumpur mulai lebih dua jam mulai 11 malam akibat limpahan air Sungai Temelong, bagaimanapun tidak ada mangsa dipindahkan.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29477:lenggong-pula-dilanda-banjir&catid=1:utama&Itemid=50

Arah henti bina landasan berkembar demi rakyat

Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 15 Nov: Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan MMC Gamuda menghentikan serta merta pembinaan landasan keretapi berkembar di negeri ini kerana lebih sayangkan rakyat yang berkemungkinan besar terpaksa mengharungi banjir teruk sepertimana di Kedah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, bagaimana pun arahan itu akan ditarik balik jika syarikat berkenaan memberi jaminan bertulis bahawa mereka akan mengorek laluan air serta membayar pampasan kepada rakyat yang ditenggelami air.

Baginya, kepentingan rakyat perlu diutamakan daripada syarikat kroni Barisan Nasional (BN) yang meneruskan kerja pembinaan tanpa membina sebarang laluan untuk air mengalir dengan baik.

"Biarpun saya dihentam oleh orang yang berkepentingan dalam projek berkenaan biarkanlah sebab bagi saya dan kerajaan ialah menjaga kebajikan rakyat. Buat apa pembangunan yang berlipat kali ganda tapi rakyat merana kerana terpaksa tanggung kesan pembangunan terbabit," jelasnya.

Beliau tidak menafikan terpaksa berhadapan dengan kritikan termasuk pimpinan BN ekoran arahan itu walhal mereka sepatutnya mengambil iktibar kejadian banjir teruk dalam sejarah Kedah baru-baru ini yang berpunca daripada halangan timbunan yang tinggi tanpa ada saluran air keluar.

Pada mulanya beliau hairan kenapa setiap kebajikan yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat demi rakyat ada sahaja kritikan yang menggunung daripada Umno dan BN.

"Kini BN nak kata apa pun katalah kami dah sebati. Kita akan terus memberikan perkhidmatan terbaik pada masa depan," katanya.

Sebagai contoh sambungnya, pada tahun depan kerajaan akan membayar tambang bas percuma pergi balik kepada rakyat yang bekerja di beberapa lokasi khususnya di Bayan Baru semata-mata untuk mengelak daripada kesesakan di jambatan mahupun jalan utama.

"Pekerja di sebelah tanah besar akan meninggalkan kereta mereka di tempat letak kereta, contohnya di Seberang Jaya dan menaiki bas yang disediakan. Cuma mereka bayar caj parkir saja, " tambah beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29475:arah-henti-bina-landasan-berkembar-demi-rakyat&catid=1:utama&Itemid=50

Pegawai kanan Yayasan Selangor diarah bercuti

Nov 14, 10 8:38pm

Pegawai kanan Yayasan Selangor diarahkan bercuti bergaji selama sebulan berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan terhadap perbelanjaan mewah bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu disiasat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tindakan terhadap Timbalan Pengurus Besar Mohd Sharifuldin Sulaiman itu bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas.

"Laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat timbalan pengurus besar yayasan itu," katanya.

Kelmarin, Sultan Selangor membatalkan keberangkatan ke majlis jamuan tengahari anjuran yayasan itu yang dijadual esok kerana dukacita dengan kosnya yang terlalu tinggi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud dilaporkan berkata, pada pendapat Baginda kos makan tengah hari lebih daripada RM300,000 adalah amat tinggi dan membazir.

Menurut Ramli, Baginda berpendapat lebih berfaedah jika wang itu digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan atau membiayai lebih ramai pelajar yang kurang berkemampuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid berkata, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salahguna kuasa ke muka pengadilan," katanya.

Bajet 2011 P.Pinang, bajet memartabat rakyat

Harakahdaily

GEORGE TOWN, 15 Nov: Kerajaan negeri Pulau Pinang menganggarkan bajet keseluruhan bagi tahun 2011 sebanyak RM900.35 juta iaitu peningkatan sebanyak RM186.56 juta atau 26.14% berbanding 2010 sebanyak RM713.79 juta.

Mereka turut menganggarkan hasil yang dikutip berjumlah RM385,326,170 iaitu peningkatan RM60.29 juta atau 18.55% berbanding anggaran semasa 2010 (RM325.04 juta).

Dalam usaha menjaga kebajikan rakyat, sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk permberian RM100.00 kepada semua warga emas melebihi 60 tahun yang bermastautin di negeri itu.

Antara kebajikan lain yang turut diberi perhatian termasuk pembayaran RM1,000.00 kepada waris warga emas yang telah meninggal dunia pada atau selepas 1 Januari 2010, bantuan tahunan RM100 kepada warga kurang upaya OKU dan kepada ibu tunggal yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri dan berumur kurang 60 tahun.

Selain itu, sejumlah RM20 juta duiperuntukkan untuk pengambilan balik tanah bagi pembesaran tapak perkuburan Islam berhampiran Masjid Jelutong.

Bagi melicinkan urusan berkaitan hal ehwal agama Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama diperuntukkan RM24.76 juta mencakupi pembangunan RM7.05 juta, mengurus RM13.38 juta dan RM4.33 juta untuk elaun pegawai masjid dan guru kelas KAFA, pemberian para Huffaz, sumbangan Ehya’ Ramadhan, kerja-kerja pembaikan Masjid Negeri dan program-program sambutan kebesaran Islam.

Agenda utama kerajaan dalam bajet 2011 adalah ke arah memartabatkan rakyat dengan berkonsepkan 3P iaitu perkasakan rakyat, perkuasakan rakyat dan perkayakan rakyat.

Selain itu, kerajaan negeri juga memberi fokus untuk merancakkan lagi sektor pelancongan, meningkatkan kualiti alam sekitar dan landskap, kemudahan infrastruktur dan utiliti, memperkasa sektor pertanian dan penternakan serta menggalakkan sektor perdagangan dan memantapkan kepentingan hal ehwal pengguna.

Dalam bidang pendidikan pula, sebuah Hab Pendidikan Cemerlang di Pondok Upeh dan Genting, Balik Pulau akan didirikan atas tanah seluas 201.4 ekar dengan anggaran kos keseluruhan RM165 juta.

RM12.0 juta pula diperuntukkan untuk Program Bantuan Pendidikan yang akan dimanfaatkan oleh 172 buah sekolah, meliputi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dan Sekolah Mubaligh.

Kemudahan bantuan juga disediakan melalui Tabung Amanah Biasiswa Kecil Negeri bagi membantu pelajar-pelajar miskin di tingkatan 1 hingga 5.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29474:bajet-2011-ppinang-bajet-memartabat-rakyat&catid=1:utama&Itemid=50
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...