Monday, January 3, 2011

Nik Aziz akui bertemu PM, penjelasan dalam 24 jam



Jan 3, 11 6:12pm

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat mengakui bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhir Disember lalu.

Bagaimanapun, Nik Aziz enggan mendedahkan hasil pertemuan itu kerana ia pertemuan tertutup, lapor Harakahdaily.

“Tentu ada perkara yang dibincangkan, mana boleh bertemu dengan perdana menteri untuk bersembang biasa.

“Bagaimanapun kerana ianya pertemuan tertutup, jadi saya tidak boleh mendedahkannya kepada umum, itu salah dari segi peraturannya,” beliau dipetik sebagai berkata di Kota Bharu tengah hari tadi.

Sementara itu, setiausaha akhbar kepada menteri besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari pula menjangkakan penjelasan lanjut berhubung pertemuan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Beliau (Nik Aziz) apa pun akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat, dijangka dalam masa 24 jam," katanya.

Setakat ini, Ahmad Fadhli berkata beliau belum mendapat sebarang arahan daripada menteri besar berhubung perkara itu.

[Berita penuh menyusul]

http://malaysiakini.com/news/152304

Ada perkara dibincang dengan PM

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 3 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan hasil pertemuan itu kerana demi menjaga peraturan yang sepatutnya dilakukan oleh setiap pemimpin.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri pada 25 Disember lalu.

Ketika ditanya adakah sebarang perkara telah dibincangkan antara pemimpin tertinggi negara itu, Tuan Guru juga turut mengakuinya.

“Tentu ada perkara yang dibincangkan, mana boleh bertemu dengan Perdana Menteri untuk bersembang biasa.

“Bagaimanapun kerana ianya pertemuan tertutup, jadi saya tidak boleh mendedahkannya kepada umum, itu salah dari segi peraturannya,” ujarnya selepas meraikan Wira Negara di Kampung Cherang, dekat sini tengah hari tadi.

Ketika ditanya adakah pertemuan itu turut mensentuh soal royalti, beliau juga enggan mengulas lanjut.

“Saya tak boleh sebut apa-apalah sebab ianya tertutup,” ujarnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30151:ada-perkara-dibincang-dengan-pm&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Selangor tidak rai SUK



Harakahdaily

SHAH ALAM, 3 Jan: Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya telah mengadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

DYMM Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.

DYMM Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Dato’ Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Dato’ Speaker untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM,

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30149:selangor-tidak-rai-suk-&catid=1:utama&Itemid=50

Kelantan hadiah rumah untuk Khairul Fahmi

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Jan: Penjaga gol skuad Harimau Malaya yang berjaya membantu negara menjuarai Piala AFF Suzuki, Khairul Fahmi Che Mat dihadiahkan sebuah rumah oleh kerajaan negeri Kelantan hari ini.

Pengumuman mengenainya dibuat sendiri oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika meraikan kepulangan beliau ke Kelantan di Chabang 4, Cherang dekat sini hari ini.

Bagaimanapun tidak dinyatakan apakah nilai rumah berkenaan. Pengumuman itu dibuat di majlis yang dianjurkan oleh pejabat Anggota Parlimen Kota Bharu dan juga kerajaan negeri Kelantan.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis menyambut kepulangan Wira Negara itu berkata beliau yang turut menyaksikan perlawanan akhir kedua di Indonesia mengakui aksi Fahmi memang hebat.

"Saya memang kagum, saya tengok dia beraksi begitu hebat bergetah sungguh tangan budak ni," ujarnya sambil disambut laungan takbir oleh orang ramai.

Khairul Fahmi berjaya mempertahankan gawang Malaysia dari ditembusi semasa Indonesia bertandang ke Malaysia yang membawa Malaysia menang 3-0 dalam pusingan pertama perlawanan akhir piala itu di Bukit Jalil.

Beliau juga berjaya menjaga gawang Malaysia dengan baik apabila pasukan negara itu berkunjung ke Jakarta termasuk menyekat sepakan penalti oleh Indonesia.

Malaysia menang dengan agregat 4-2 walaupun kalah di Jakarta dengan 2-1.

Media hari ini melaporkan, sebuah laman web menyiarkan berita kononnya Mancester United berminat dengan Khairul Fahmi apabila pengurusnya, Sir Alex Ferguson mengarahkan lamaran ke atas Khairul dibuat selepas dua jam perlawanan akhir di Jakarta itu.

Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan pernah menghadiahkan rumah kepada Nik Madihah, pelajar Kelantan yang berjaya menjadi pelajar terbaik Malaysia dalam peperiksaan SPM.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30148:kelantan-hadiah-rumah-untuk-khairul-fahmi&catid=1:utama&Itemid=50

Tiger Show dibiar, pakaian Nie Ching dipersalah

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Jan: PAS mempersoal sikap 'tutup mulut' pemimpin Umno berhubung isu pertunjukkan maksiat 'Tiger Show', dalam satu majlis makan malam di Marriot Hotel, Putrajaya pada 16 Disember lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali melahirkan rasa pelik apabila Umno sangat cepat menyelar cara pemakaian Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam satu majlis senam robik, namun dalam isu pakaian separuh bogel tarian tiger show, Umno seperti tidak peduli.

"Adalah malang isu YB Teo Nie Ching yang hanya bersenam robik dengan pakaian sukan yang biasa dipakai wanita bukan Islam menjadi berita muka depan Utusan Malaysia, tetapi kemungkaran yang lebih besar seperti ini didiamkan oleh media pro Umno," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Majlis makan malam tersebut didakwa dianjurkan Syarikat Sony dan sebahagian yang hadir adalah orang Melayu beragama Islam.

Mengulas lanjut, Lo'lo' berkata, beliau juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang didakwa tidak memperdulikan atau bertindak ke atas penganjur majlis makan malam tersebut.

Katanya, majlis tersebut secara jelas telah menghina Islam namun seperti dihalalkan pula oleh kerajaan Umno BN.

"Pertunjukan ini yang bukan setakat 'free show', malah 'free touch' dihadiri sebahagian besarnya oleh orang-orang Melayu yang mungkin beragama Islam.

"Lebih malang lagi YB selaku Menteri Hal Ehwal Islam, (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Jakim dan (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) Jawi sebagai berwajib terlalu 'mandom' dalam menangani isu ini," katanya lagi yang bercadang membuat surat terbuka kepada menteri.

Minggu lalu, Harakahdaily telah melaporkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudi Hassan yang mahu pihak berwajib dalam hal ehwal agama bertindak segera.

Katanya, Malaysia sekali-kali tidak boleh dibiarkan menjadi hub maksiat atau hub tarian lucah seperti yang dianjurkan syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik itu dalam majlis makan malam di hotel tersebut.

Gambar-gambar pertunjukan pada majlis makan malam tersebut, kini tersebar dan hangat diperdebatkan di blog-blog dan laman sosial Facebook.

Sehubungan itu, mereka mencabar menteri dan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera ke atas Sony sebagai penganjur dan pihak Hotel Marriot sebagai pengendali majlis.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30144:tiger-show-dibiar-pakaian-nie-ching-dipersalah&catid=1:utama&Itemid=50

SUK: Khir langgar Perlembagaan, KSN abai pentadbiran bijak

Harakahdaily

SHAH ALAM, 3 Jan: Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah melanggar Perlembagaan apabila beliau membiarkan dirinya dibelakangi dalam urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang terdahulu.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar) berkata, Khir telah mengizinkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) melantik Datuk Ramli Mahmud sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa berunding dengan Menteri Besar seperti yang disyaratkan Perlembagaan.

“Beliau telah membina acuan yang bahaya dan sekarang senario ini berulang semula apabila KSN melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu tanpa berunding terlebih dulu dengan Menteri Besar,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri seawal 6.45 pagi tadi.

Minggu lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Khusrin dijadual akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini.

Khusrin masuk pejabat

“Saya sudah masuk kerja, saya datang ke pejabat untuk jalankan tugas pada pukul 6.45 pagi tadi.

“Setakat ini tiada apa-apa masalah mengenai kerja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Perlantikan beliau menimbulkan pelbagai reaksi negatif dari pelbagai pihak kerana ia tidak pernah dirujuk kepada Menteri Besar Selangor terlebih dahulu.

(Gambar: Khusrin di pejabat SUK Selangor hari ini)

Mengulas perkara ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin berkata, ia kini tinggal sejarah dan tidak boleh dibuat apa-apa lagi selepas Khusrin dibenarkan masuk ke pejabatnya.

"Tinggal sejarah! Tidak ada apa yang boleh diubah lagi kerana dia telah dibenarkan masuk," tulis Nizar dalam twiiternya.

Nizar juga menghadapi masalah yang sama apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Perak adalah antara pihak yang terlibat menjatuhkan kerajaan neheri Pakatan Rakyat sebelum ini.

Media hari ini melaporkan, Exco kerajaan negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat mereka hari ini bagi membincangkan tindakan kerajaan negeri ekoran tindakan Khusrin.

"Dalam pengurusan, ketua sepatutnya mempunyai hak untuk memilih anggota pasukannya.

"Kalaulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tidak boleh memilih Ketua Setiausaha Negara (KSN), apa agaknya perasaan beliau," kata Khalid.

KSN salahguna Perlembagaan

Kerajaan Selangor, kata Faekah enggan meneruskan ketidakpedulian Khir Toyo terhadap Perlembagaan kerana ini akan membolehkan KSN menyalahguna Perlembagaan dan Nota Amalan Perkhidmatan Awam dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tambahnya, KSN telah mengabaikan kebijaksanan pengurusan yang mana tanggungjawab perlu disertai dengan kuasa kerana KSN melantik Khusrin dengan tidak mengambil kira kelayakan serta kredibiliti dan tanpa berunding dengan Menteri Besar.

“Umno BN telah mengeluarkan kuasa Sultan ketika meminda Perlembagaan Negara pada 1993 tetapi sekarang mereka cuba bersembunyi di sebalik Istana untuk meneruskan agenda politik jahat,” tegasnya.

Menurutnya lagi, seperti dalam isu-isu lain, Khir Toyo tidak memiliki moral dan kelayakan untuk mengkritik Kerajaan Selangor termasuk Jawatankuasa Pemilihan yang bertanggungjawab menemubual pegawai kerajaan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kami mengulangi kenyataan bahawa jawatankuasa ini dibentuk kerana Menteri Besar mahu memastikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri diisi oleh pegawai kerajaan yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

“Jawatankuasa ini juga mahu memastikan pelantikan dilakukan secara profesional dan adil. Ini juga bagi membolehkan pegawai kerajaan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau menyokong mana-mana parti kerana kenaikan pangkat dibuat berdasarkan prestasi mereka,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, hanya kerana kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, tidak bererti kerajaan sekarang perlu mengikut acuan lapuk dan tidak profesional yang mereka tinggalkan.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30142:suk-khir-langgar-perlembagaan-ksn-abai-pentadbiran-bijak&catid=1:utama&Itemid=50

Kenapa SPRM belum heret Ali Rustam

Ahmad Danial

ALOR GAJAH, 3 Jan: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari (gambar) sekali lagi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ini berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2009 yang menunjukkan terdapatnya keraguan dalam pengurusan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) yang dipengerusikan beliau.

Adly kesal kerana sehingga ini, SPRM masih gagal menyiasat dan mengheret Ketua Menteri Melaka itu ke muka pengadilan walaupun bukti-bukti sudah terbentang di hadapan mata tentang salah laku dan penyelewengan Maim dan agensi-agensi lain.

Adly berkata laporan Ketua Audit Negara tersebut secara jelas mendedahkan kegagalan Regal Merger Sdn. Bhd (RMSB) membina kompleks MAIM menyebabkan agensi itu terpaksa membangunkan sendiri kompleks tersebut berjumlah RM13.85 juta dengan menggunakan peruntukan wang zakat.

Beliau melahirkan rasa kesal di atas kelalaian yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN yang diketuai Mohd Ali sehingga menyebabkan tanah milik MAIM terlepas kepada pihak ketiga.

Katanya, kerajaan Melaka melalui Maim juga dilihat gagal memantau projek yang dilaksanakan oleh RMSB yang telah mengingkari perjanjian dengan tidak membina Kompleks Maim sehingga tamat tempoh perjanjian pada 13 Jun 2004.

Sebaliknya, tegas beliau, RMSB membina projek pembangunan lima tingkat Kompleks Perniagaan dan 30 unit rumah kedai tiga tingkat di atas tapak PT 83.

Adly mendedahkan, Maim telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan RMSB pada 13 Disember 2002.

"RMSB dikehendaki membina Kompleks Maim di PT 1155, Bandar Bukit Baru, Daerah Melaka Tengah dalam tempoh 18 bulan dari tarikh surat perjanjian ditandatangani dengan kos pembinaan berjumlah RM10.16 juta.

"Sebagai balasan, RMSB diberi hak membangunkan tanah di PT 83 dan MAIM akan memindah milik PT 83 kepada RMSB sebaik sahaja pembinaan Kompleks Maim selesai," tulis beliau di dalam blognya adlyzahari.blogspot.com.

Dakwa Adly lagi, pihak RMSB telah memecah PT 83 kepada lima lot kecil iaitu Lot 105 hingga Lot 109 dengan kelulusan Pejabat Tanah Dan Galian Melaka pada 14 Disember 2006.

RMSB, katanya telah menjual Lot 106 pada 7 Februari 2007 kepada BC Lim Enterprise dengan harga RM10.5 juta dan Lot 105 kepada Universiti Terbuka Malaysia pada 8 Oktober 2007 dengan harga RM10.4 juta.

Mais, menurut Adly yang dipengerusikan Ali Rustam sepatutnya bertanggungjawab sehingga menyebabkan wang zakat sebanyak RM13.85 juta digunakan, di samping kehilangan tanah di Lot 105 dan Lot 106.

"Sikap kerajaan Umno BN yang membenarkan tanah wakaf dijual pada pihak ke 3 adalah gambaran perangai hipokrit Umno yang kononnya berusaha menyelamatkan Melayu dan Islam.

"PAS Melaka mendesak SPRM melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan ketelusan dan mereka yang melakukan penyelewengan di hadapkan kemuka pengadilan," tegas Adly.

Adly yang menulis di dalam blognya berkata kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Mohd Ali, gagal menguruskan harta wakaf dan wang zakat sehingga banyak kelemahan dikenalpasti dalam sebuah negeri yang dikatakan berstatus 'Negeri Maju'.

Beliau berkata nilaian tanah milik Maim telah berkurangan daripada RM18.81 juta pada tahun 2006 kepada RM9.11juta sahaja pada 2008.

"Penggunaan wang Baitulmal sebanyak RM1.8 juta bagi pengubahsuaian kompleks perniagaan Maim, yang disewakan kepada Jaim.

"Selain itu Maim juga gagal mendaftar sebanyak 20% dari tanah yang diwakafkan malah proses mendaftar tanah wakaf mengambil masa dari 21 hingga 164 bulan," jelas Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Menurutnya, kelemahan lain adalah berkaitan penyelenggaraan daftar harta wakaf, harta faraid dan sewa hartanah, pencerobohan tanah Baitulmal serta tanah wakaf tidak dapat dikenalpasti lokasinya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30140:kenapa-sprm-belum-heret-ali-rustam&catid=1:utama&Itemid=50

Azan berkumandang selepas konsert Wali Band

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 3 Jan: Satu kelainan di Kelantan apabila azan berkumandang apabila jam 12 malam berdetik selepas ribuan rakyat negeri itu menonton konsert Wali Band di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V sempena sambutan tahun baru 2011.

Turut menyaksikan persembahan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob yang mewakili kerajaan negeri hadir pada majlis berkenaan.

Program anjuran Anjung Tulus Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Sekretariat Misi Cakna Palestin dan kerajaan Kelantan itu diadakan untuk mengisi Tabung Amanah Cakna Palestin.

Tiket-tiket yang dijual kepada orang ramai RM100, RM40, RM20 dan RM7 untuk kanak-kanak akan dimasukkan ke dalam tabung berkenaan bagi membantu rakyat Palestin.

Sebanyak 15 buah lagi telah didendangkan oleh kumpulan semua lelaki itu melalui vokalisnya Faank yang bermula dengan lagu Kekasih Halal dan berakhir dengan lagu ‘berhantunya’ Cari Jodoh.

Keadaan cuaca yang begitu mengizinkan walaupun kadang-kadang hujan renyai selama lima minit, tidak mematah semangat orang ramai untuk mengikuti konsert itu hingga berakhir.

Turut dipersembahkan persembahan tarian oleh pemuda dari Palestin, nyanyian dari Megat Hiqal iaitu anak pendikir tersohor Kelantan Megat Nordin, Kumpulan Ar-Rasy dan peserta mentor Shaq yang juga anak jati Kelantan.

Sebaik sahaja melangkah ke tahun baru, azan berkumandang di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V

Kelantan tidak tolak artis

Sementara itu, Kerajaan Kelantan tidak pernah menolak mana-mana artis sama ada secara individu atau melalui band untuk melakukan persembahan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan, berkata bagaimanapun mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan khususnya dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

Menurutnya, sekiranya artis atau band berkenaan termasuk penganjurnya memenuhi syarat yang telah ditetapkan, mereka layak membuat persembahan di Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Negeri, Anuar Safian yang mendakwa konsert Wali Band, berunsur politik serta mengutamakan orang luar berbanding artis tempatan.


“Jadi tidak timbul soal orang luar atau orang dalam, kita memberi kerjasama kepada semua pihak yang ingin membuat persembahan di negeri ini.

“Kalau pemimpin Umno sendiri ingin menganjurkannya pun kita bersedia mempertimbangkannya sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri,”ujarnya.

Enakmen hiburan

Sementara itu, Pemuda PAS Kelantan, mengingatkan Pemuda Umno khususnya ketuanya sendiri memahami Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan negative berhubung kerajaan Kelantan.

(Gambar: Wali Band menyerahkan cek untuk Palestin)

Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Ahmad Fadzli Shaari, pada kenyataan medianya berkata, Ketua Pemuda Umno Anuar Safian sendiri khususnya seharusnya memahami intipati yang terkandung dalam Enakmen Kawalan Hiburan itu sebelum membuat sebarang spekulasi berhubung kehadiran Kumpulan Wali Band ke Kelantan.

Katanya, ‘orang luar’ yang dimaksudkan oleh pemimpin pemuda Umno itu kononnya diutamakan berbanding dengan kumpulan tempatan sebenarnya tidak pernah wujud.

“Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama kepada semua pihak sekiranya mereka menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan, tidak timbul soal orang luar atau tempatan.

“Alasan yang remeh seperti ini sepatutnya tidak keluar dari seorang ketua, tapi mungkin juga Pemuda Umno Kelantan ingin menyindir kerajaan BN yang mengambil syarikat perunding APCO Wordwide menjadi penasihat dengan bayaran RM77 juta setahun dan bukannya perunding tempatan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian, sebagaimana yang disiarkan oleh beberapa buah akhbar harian semalam.

Semalam Anuar mempertikaikan langkah kerajaan negeri membenarkan persembahan kumpulan dari Indonesia, Wali Band diadakan di Kelantan sempena sambutan tahun baru 2011 di Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bharu.

Adam Lembut

Fadhli seterusnya berkata setiap persembahan hiburan di Kelantan perlu mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Sambungnya, ia sebagai pendirian kerajaan Kelantan sejak memperkenalkan Dasar Membangun Bersama Islam dan tidak timbul soal mengubah pendirian untuk menarik golongan muda seperti yang dinyatakan oleh Anuar.

Di dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, sudah disenaraikan bentuk-bentuk larangan yang dikenakan terhadap semua aktiviti persembahan hiburan di Kelantan.

Katanya, persembahan konsert Wali Band langsung tidak melanggar Enakmen tersebut.

“Manakala penganjur konsert tersebut, Anjung Tulus Corporation Sdn. Bhd. telah diberikan syarat agar memastikan tidak berlakunya percampuran di antara penonton lelaki dan perempuan bukan mahram sepanjang persembahan berlangsung.

“Inilah juga peraturan yang dikenakan terhadap semua penganjur aktiviti hiburan di Kelantan termasuklah Jom Heboh yang dianjurkan oleh Stesyen TV Portal TV3 pertengahan tahun lepas.

Sehubungan itu, Fadhli meminta Pemuda Umno Kelantan lebih prihatin terhadap langkah pemimpin mereka membenarkan penganjuran konsert yang terang-terang melanggar syariat seperti persembahan artis gay yang penuh kontroversi, Adam Lambert.

Katanya, sepatutnya Pemuda Umno Kelantan menentang keras konsert Adam di Stadium Putra Bukit Jalil pada 13 Oktober 2010 lalu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30138:azan-berkumandang-selepas-konsert-wali-band&catid=1:utama&Itemid=50

Hasil balak Kedah meningkat 205 peratus

Muhayat Jasmin

ALOR SETAR,3 Jan: Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya meningkatkan hasil balak hampir 205 peratus berbanding hasil yang dikutip oleh Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahan mereka sebelum ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengulas mengenai pencapaian memberansangkan ini berkata, hasil dari sistem tender terbuka yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah PR berjaya memberi pulangan yang menggalakkan kepada negeri.

"Sistem tender terbuka yang diperkenalkan memberi pulangan positif kepada kerajaan dan rakyat negeri ini. Pada tahun 2008 yang lalu semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 juta. Ia meningkat kemudiannya kepada RM39 juta pada tahun 2009 yang lalu.

"Namun begitu pada tahun 2010 hasilnya premium balak berjaya mencecah sehingga RM50 juta," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, hasil ketelusan dan sistem tender terbuka yang menjadi polisi kepada Kerajaan Kedah turut membuktikan bahawa gejala rasuah dan kronisme dapat dielakkan.

Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara telah melaporkan Kedah berjaya meningkatkan pendapatan dari hasil balak sebanyak 205 peratus pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan tahun sebelum 2008 semasa pemerintahan BN dengan mendapat pulangan dalam lingkungan RM8 juta sahaja.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30150:hasil-balak-kedah-meningkat-205-peratus-&catid=50:negeri-kedah-darul-aman&Itemid=95

Sunday, January 2, 2011

Dekorasi Krismas mesej hijau




FANTASI kanak-kanak sering mengaitkan Hari Natal dengan hadiah yang dihajat setelah bangkit daripada lena. Ada antara kejutannya diperoleh daripada dalam stoking yang digantung berhadapan dengan cerobong asap dan ada pula hadiah itu letaknya di bawah pohon krismas yang dihias cantik demi sambutan perayaan itu.

Namun, itu semua cuma muncul dalam dunia penuh imaginasi kanak-kanak lantaran pengaruh cerita kartun.

Penceritaan demi penceritaan diolah dan berubah-ubah sehingga ada yang menjadikan dekorasi perayaan yang disambut penganut agama Kristian itu sebagai hiasan sesetengah syarikat untuk menarik pengunjung bertandang ke premis-premis masing-masing.

Tidak ketinggalan, Genting Malaysia Berhad (Genting) turut mengorak inisiatif mereka hiasan sempena sambutan Hari Natal tahun ini menggunakan bahan-bahan terpakai.

Bahan-bahan terpakai

Menurut Timbalan Presiden Pemasaran Genting, Chow Wei Heng, keunikan hiasan tahun ini terletak pada material yang digunakan untuk mendirikan binaan dan bahan-bahan yang menghiasi keseluruhan dekorasi berdasarkan konsep yang disasarkan.

“Kita menggunakan bahan-bahan terpakai yang diperoleh dari Pusat Peranginan Genting Highlands itu seperti botol plastik bersama penutupnya, pakaian terpakai, butang, tin-tin kosong, cakera padat dan kertas,” ujarnya ketika sidang media bersama penaja di Tamarind Hill baru-baru ini.


ORANG ramai boleh menyaksikan dekorasi Hari Natal di World Resort Genting.


Projek itu dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial pihaknya untuk menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar yang kian tercemar.

“Selain itu, kita ingin menyedarkan orang ramai betapa pentingnya sikap kitar semula bahan-bahan terpakai yang akan memberi keuntungan kepada semua pihak dalam semua aspek.

“Kami juga melihat dekorasi ini menarik lebih ramai pelancong dari luar negara untuk datang ke lokasi percutian itu berikutan keunikan dan eksklusifnya hiasan yang ditampilkan kali ini,” tambahnya.

Peringkat penyediaannya melibatkan proses pengumpulan bahan-bahan mentah oleh kakitangannya yang digiatkan di sekitar kawasan tanah tinggi Genting dan Lembah Klang.

Setelah kesemua bahan yang diperoleh dikumpulkan, pengasingan mengikut jenis material, warna, bentuk dan saiz dijalankan.

Peringkat pengasingan itu mengambil masa selama lebih 207 jam untuk disiapkan sebelum proses membersihkan setiap cela pada bahan buangan terpakai tersebut dilaksanakan.

“Ini adalah proses yang rumit kerana kita memerlukan ramai tenaga kerja untuk membersihkan kotoran yang melekat pada bahan-bahan tersebut,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.

Kesemua proses itu memakan masa selama setengah tahun bermula dari bulan Jun tahun ini sehinggalah siap dibina sepenuhnya pada 1 Disember lalu.

“Prototaip keseluruhan dekorasi terutamanya pokok krismas gergasi siap sepenuhnya pada bulan Ogos lalu dan peringkat pengumpulan bahan selesai menjelang penghujung September lalu,” singkapnya.


Dekorasi yang menggunakan penutup botol pelbagai warna menghiasi taman tema Genting Highlands.


Proses memasang siap diteruskan setelah semua bahan-bahan terpakai itu dibersihkan dan disterilkan.

Peringkat paling sukar

Kemudian, pemasangan percubaan selama dua minggu selepas tamatnya peringkat pembersihan berjalan sehinggalah dekorasi sebenar diabadikan di taman percutian keluarga, Genting Highlands.

“Keempat-empat peringkat ini sememangnya memerlukan ketekunan yang teliti untuk menjamin kepuasan dalam hiasan yang dihasilkan.

“Namun, peringkat yang paling sukar adalah ketika memasang siap pokok krismas utama yang berispirasikan botol plastik bersalut mentol setinggi 14 meter dan 12 batang pokok krismas lain setinggi tiga meter di sekitar tanah tinggi tersebut,” kongsinya.

Menurut beliau, pemasangan pokok-pokok terbabit kian sukar apabila ribut angin sejuk sering melanda kawasan terbuka taman tema itu.

Tambahan pula, helikopter tidak boleh digunakan untuk mengangkut hiasan-hiasan bersaiz gergasi kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan pengunjung dan pekerja.

“Maka, setiap peringkat dan proses menggunakan kepakaran manusia secara manual dengan bantuan jentera yang amat minimum,” luah Wei Heng.

Kerjasama yang bermula sejak tujuh tahun lalu bersama pengeluar jenama lampu berkualiti, Panasonic Malaysia mencambahkan bibit-bibit kejayaan penghasilan dekorasi unik ini.


PERINGKAT penghasilan rangka asas pokok krismas gergasi setinggi 14 meter yang dibuat berdasarkan prototaip yang direka.


Selain menyumbangkan kelengkapan elektrik yang diperlukan, Panasonic yang diwakili oleh Pengurus Kewangannya, Yanly Choo turut menyokong dari segi kewangan.

Hasilnya, dekorasi indah yang dihiasi 1,412 kerdipan lampu PLC menghiasi dekorasi yang dihasilkan oleh jurutera syarikat Genting.

Menurut Yanly, usaha sama syarikatnya dengan Genting dilihat sebagai satu prospek untuk membangunkan produk dan sumbangan sosial kepada masyarakat.

“Hasil yang dicetuskan oleh Genting amat menakjubkan dan ini adalah satu peluang untuk semua pihak meneroka dan berkongsi idea untuk menghadiahkan sesuatu yang bernilai kepada masyarakat selain memulihara kesejahteraan alam sekitar,” getusnya.

Syarikat pengeluar air mineral Spritzer turut berganding bahu merealisasikan hajat pusat peranginan tanah tinggi tersebut. Diwakili oleh Penolong Pengurus Jenamanya, Elaine Ho, Spritzer menyahut seruan memastikan projek kitar semula bahan-bahan terpakai ini dilestarikan pada masa akan datang.

“Selepas tamatnya musim perayaan Krismas ini, semua barangan dekorasi akan dikitar semula atau disimpan untuk digunakan dalam sambutan perayaan lain tahun hadapan,” getusnya menyimpul bicara.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

Tidak tahan godaan wang


RAMAI gadis tempatan terperangkap dengan dunia pelacuran kerana mahu hidup mewah. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Bermula dengan mahu mencari wang bagi menggantikan komputer riba pemberian ibu yang hilang ketika di asrama, Arin (bukan nama sebenar), 27, tidak menyangka dia akhirnya terjebak dalam dunia pelacuran kelas atasan yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini.

Meskipun dia terlibat dalam dunia penuh noda itu selama 45 hari sahaja, ia sudah cukup untuk menyebabkan gadis itu merasakan dirinya sangat kotor berbanding insan lain di dunia ini.

Malah bekas pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan itu yang kini bekerja di sektor awam, masih tidak percaya tentang hakikat sisi gelap hidup yang dilaluinya itu.

"Saya perlu mendapatkan RM3,000 untuk menggantikan komputer tersebut tetapi ia bukan mudah bagi seorang pelajar seperti saya," katanya secara jujur dalam pengakuan terbuka kepada Kosmo! Ahadbaru-baru ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Tiada alasan kerja GRO

RAP


PEMBABITAN dalam kerjaya yang jelas status pengharamannya masih banyak berlaku di dalam negara kita.

Pelbagai alasan diberi oleh sebahagian mereka untuk mengurangkan rasa berdosa atau lebih berbahaya, menyatakan dan ‘membenarkan’ tindakan mereka sebagai halal atau harus.

Menyentuh hal ini, saya bersetuju kita tidak boleh terus menghina petugas seperti itu seolah-olah mereka tiada lagi peluang untuk memperbaiki kerjaya mereka.

Khususnya penghinaan tanpa usul periksa kerana mungkin ada yang terjebak kerana diperangkap sindiket ‘hitam’ akibat nafsu muda atau kerana kejahilan sendiri.

Namun begitu, kita harus sedar teguran dan kecaman terhadap mengutuk pekerja- pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit.

Kutukan perlu dibuat terhadap kerjaya kotor itu dan bukan tertumpu sangat kepada individu, ini perlu dilakukan sesuatu pihak supaya kesedaran dan kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.

Pada masa sama, ada pula pihak pendakwah lain mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut dan memujuk. Namun, kita tidak boleh menyalahkan teknik ‘kutukan’ dan ‘kecaman’ kerana teknik itu juga bersumber daripada al-Quran dan al-Hadis.

Kita perlu sedar, teknik dakwah adalah hal yang perlu diambil perhatian, kerjaya GRO atau Guest Relation Officer mempunyai banyak takrifan dan bidang tugasan.

Bagaimanapun, selepas melakukan semakan, kedapatan ada GRO yang mempunyai tugasan tertulis yang ‘neutral’ dan benar-benar bersifat pentadbiran.

Namun begitu, tugasan yang ‘tidak bertulis’ itulah yang merumitkan, di mana ia kerap melewati tugasan tidak sihat iaitu melayan kehendak pelanggan walau hingga ke dalam bilik.

Jelas di sini, tema utama tugasan adalah ‘melayan pelanggan sehingga sasaran perniagaan tercapai’.

Merujuk kepada situasi ini, penggunaan GRO di negara kita perlu dikaji berikutan ia bercampur antara dua bidang tugas iaitu yang haram serta yang tidak haram.

Ini kerana, jika dilihat daripada laporan media, kerjaya GRO digambarkan dan digunakan secara kerap kepada ‘kerjaya pelacur’.

Justeru, menjadi tanggungjawab pendakwah untuk membidas tugasan ini daripada dilakukan mana- mana wanita atau lelaki Islam, walau dalam apa keadaan mereka sekalipun.

Oleh itu, saya ingin menegaskan secara umum kepada sesiapa saja yang cuba mencari alasan dan ‘justifikasi’ untuk membenarkan umat Islam bertugas dalam kerjaya GRO dan yang sepertinya dengan beberapa fakta iaitu:


1. Apa saja tugasan dan kerjaya haram mesti disebut sebagai ‘haram’, khususnya kerjaya GRO dan pelacur.

Menjadi tanggungjawab mereka yang berilmu untuk memaklumkan gesaan berhenti serta-merta dan bukan memberi masa. Jangan sesekali kita bertindak luar biasa untuk memberi apa saja kenyataan yang seolah-olah memberi izin untuk mereka meneruskan kerjaya itu atas alasan darurat.

Klasifikasi darurat tidak boleh diguna pakai tanpa ilmu dan kajian khusus. Jangan sewenang-wenangnya menggelar keadaan itu darurat bagi mengharuskan yang haram.

Perlu diingat kaedah fiqhi yang menyebut, “apa yang diharuskan kerana darurat mesti diikat dengan limitasinya (batasan).”

Sejauh mana batasannya dipantau dan dipatuhi? Jika darurat, ia perlu dinilai mengikut timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil, jika kerosakan lebih banyak, ia maslahat yang tertolak.

Oleh itu, yang perlu ditegaskan adalah gesaan mencari kerjaya lain dan bertaubat dengan serta-merta.

Taubat di dalam Islam memang perlu disegerakan kerana Imam Al-Ghazzali mendefinisikan taubat sebagai: “Meninggalkan maksiat dengan serta-merta dan berazam kukuh untuk meninggalkannya pada masa depan, dan berusaha menebus dosa lalu.” (Ihya ‘Ulumiddin, 4/5)


2. Kerjaya haram GRO dan yang sepertinya akan mengakibatkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan petugas itu, akibatnya akan menjauhkannya daripada kesedaran dan bukan memberi ruang untuk dia meneruskannya.

Justeru tidak wajar timbul cadangan dari sesiapa juga untuk ‘biarkan sehingga dia merasa bosan dan sedar’, atau memberinya masa terus bergelumang dengan dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin itu, adalah apabila dia melakukan dosa, wujudlah satu titik hitam di hatinya, apabila dia taubat, hilanglah titik hitam itu dan licinlah hatinya semula, namun apabila ditambah dosanya, semakin tertutuplah hatinya, maka itulah karat yang disebut oleh Allah di dalam Kitab-Nya.” (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Hakim)


3. Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya usah bertangguh dalam mengerjakan hal baik, khususnya taubat.

Dalam hal ini kita sewajarnya menyeru pekerja dalam sektor haram sebegitu dan yang lainnya untuk segera bertaubat dan bukan memberi mereka masa seolah-olah kerjayanya boleh diterima dengan hujah inginkan perubahan dengan kesedaran dan bukan dipaksa.

Fakta sebenar di dalam ilmu Islam, perkara haram dilarang kerana ia memudaratkan diri dan orang lain, ia mesti dihentikan serta-merta tanpa tangguh.

Sesiapa saja yang ingin memberi motivasi dan membetulkan keadaan tidak boleh berlagak kononnya ingin memahami kesukaran petugas GRO, menjaga hatinya lalu sewenangnya ‘memberi tangguh’ sedang Allah dan Rasul-Nya tidak memberi tangguh dalam hal maksiat.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa, 17)

Imam Al-Ghazzali juga menjelaskan bahawa: “Wajibnya taubat itu adalah dengan segera tanpa keraguan dan tangguh, kerana sifat maksiat itu pemusnah iman seseorang. ( Ihya ‘Ulumiddin, 4/7). Namun, jika setelah kita memberi nasihat, lalu pelaku maksiat dengan sendirinya ingin mengambil masa sebelum berubah, itu adalah isu lain, namun kita tak boleh memperuntukkan tempoh tangguh tersebut.


4. Tidak boleh diterima alasan bahawa dia tidak mampu membuat kerja lain atau pihak berwajib atau pendakwah belum menyediakan tugasan alternatif untuk pekerja sebegitu, ini kerana selaku manusia yang sihat, setiap individu yang diberikan oleh Allah akal dan tubuh yang sihat.

Manusia sepatutnya bijak dan bertanggungjawab penuh menggunakan seluruh anggotanya untuk belajar sesuatu yang berfaedah dan menggunakan ‘skil’ itu untuk memperoleh pendapatan halal, bukan menjual tubuhnya untuk nafsu serakah manusia.

Kewujudan tugasan alternatif bukan syarat untuk berhenti dari melakukan dosa terbabit, kerana alternatif sebenarnya wajib difikirkan dan diusahakan oleh si pelaku itu sendiri jika dia masih beragama Islam.

Tanggungjawab menyediakan alternatif seterusnya jatuh pada ketua agama di sesebuah negara. Pada hukum asalnya, itu bukan dibebani oleh pendakwah dan pemberi nasihat.

Ketiadaannya jangan sekali menyekat pendakwah daripada memberi nasihat dan teguran tepat walau pedas dan berbisa. Lihat saja kisah Nabi Musa AS dan Harun menegur Firaun dengan terang dan jelas. Cuma nadanya yang lembut dan tenang serta petah, iaitu bukan dengan maki hamun.

Imam al-ghazzali menyifatkan orang yang melakukan dosa tanpa taubat dan berhenti tapi ingin Rahmat Allah SWT dan dimudahkan kepada pendapatan, kehidupan yang bersih dan halal adalah seperti: “seorang yang membelanjakan semua hartanya, dan meninggalkan diri dan keluarganya dalam keadaan fakir, namun sentiasa menunggu kurniaan dari Allah untuk memberinya rezeki, menemui harta yang tersimpan di dataran yang kontang. (Ihya Ulumiddin, 4/58)

Beliau mengulas lagi selepas itu dengan berkata, penantian itu memang boleh dilakukan tetapi ia adalah suatu tahap kebodohan dan kejahilan yang tinggi. (Ihya Ulumiddin, 4/58)

Jika ada yang mengatakan petugas ini boleh berniat tidak reda dan berusaha sedikit demi sedikit untuk mencari kerjaya lain, kenyataan sebegitu adalah tersasar kerana pelakuan maksiat yang dilakukan tanpa paksaan ke atas nyawa dan harta tidak diterima di dalam Islam.

Malah perbuatan itu menghancurkan objektif (maqasid al-shariah) yang lebih tinggi iaitu kerana kerjaya itu bakal menghancurkan agama si pelaku, menyebabkan maruah dan kehormatannya hilang, menyebabkan tali keturunannya rosak dan hartanya tidak diberkati.

Kesimpulannya, ada pihak menjadi cemburu atau tertarik dengan jumlah pendapatan lumayan yang berjaya diperoleh melalui kerjaya ini berbanding kerjaya halal tapi bergaji rendah.

Ingat, jika pekerja GRO atau mana-mana petugas dalam industri haram terus dalam pekerjaan kotornya dan kelihatan mampu menyara hidup dengan baik hasil duit kotor itu, malah kelihatan lebih mewah dan ‘berjaya’ daripada mereka yang berpendapatan halal, ia secocok dengan sabda Rasulullah SAW bahawasanya: “Apabila kamu lihat Allah memberi limpahan kurnia di dunia kepada hambanya, sedang segala maksiat disukainya (dan diperbuat), ketahuilah sesungguhnya itu ‘istidraj’.”

Kemudian Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT berfirman bahawa: “Dan tatkala mereka melupakan apa yang diingatkan kepada mereka, kami sengaja memberi kurniaan dunia dari pintu yang pelbagai, sehingga apabila mereka bergembira dengan yang diperoleh, kami akan rampas darinya secara tiba-tiba, ketika itulah mereka berputus asa.” Al-An’Am ayat 44. (Riwayat Ahmad & At-Tabrani)

‘Istidraj’ yang disebut di dalam hadis tadi bermaksud kurniaan ganjaran keduniaan kepada penjahat dan pelaku dosa dan maksiat untuk menghumbannya terus ke neraka tanpa peluang kembali ke pangkal jalan.

Hal ini serasi dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada penyakit (dosa dan mereka biarkan), lalu Allah menambahkan penyakit di dalam hati mereka.”

Oleh itu, mereka yang berilmu dibenarkan untuk memaksa pekerja sebegini berhenti daripada kerja GRO, pelacuran dan lain-lain kerjaya haram sama ada melalui nasihat atau kecaman.

Jangan sekali-kali membuka jalan serta memberikan gambaran wujudnya ruang keharusan untuk dia terus bekerja di situ.

Namun, hulurkan bantuan dan kasih sayang, antara tanda kasih sayang itu adalah menasihatkannya supaya terus berhenti dan pihak berwajib perlu menyediakan alternatif dengan segera.

http://www.hmetro.com.my/articles/TiadaalasankerjaGRO/Article

Pesan anak jaga emak

Pesan anak jaga emak

Oleh FIRDAUS SAHAT

pix_middle

KUALA LUMPUR: “Ketika di hospital, Faizal berkali-kali cuba bangun dan berdiri tetapi saya menghalangnya. Kemudian, keadaannya menjadi semakin kritikal hinggalah dia menghembuskan nafas terakhir beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital,” kata Saiful Yusof, 35, abang kepada pelakon popular, Faizal Mohd Yusof, 33, yang meninggal dunia akibat serang jantung di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), jam 1.45 tengah hari tadi.

Pelakon yang popular dengan drama Tiramisu dan Adamaya itu dihantar ke hospital oleh Saiful dan isterinya, Rosmunira Rashid, 27, pagi semalam ketika aktor berkenaan rebah di dalam bilik air di rumahnya selepas mengadu sakit dada.

Dia yang kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sempat menemui anak pertamanya, Muhammad Rayyan Hakhaie yang berusia dua tahun hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya, Siti Nordiana Alias, 25, sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi Rosmunira.

Menurut Saiful, doktor mengesahkan arwah mengalami masalah jantung apabila satu saluran pada jantungnya tersumbat.


Sementara itu, Siti Nordiana atau Nana yang ditemui berkata, Faizal menghubunginya beberapa hari lalu untuk bercakap dengan anak mereka, Muhammad Rayyan Nakhaie, 2.

“Saya memasang pembesar suara dan mendengar perbualan mereka. Malah, arwah ada menyebut kepada anak saya supaya jangan nakal dan menyuruhnya menjaga saya.

“Mulanya, saya terfikir akan jadi sesuatu. Namun saya menolak pelbagai perkara negatif kerana tidak mahu menyangka yang bukan-bukan. Namun, Allah lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di hospital, semalam.

Selepas berpisah dengan Nana, Faizal mendirikan rumah tangga dengan Rosmunira yang kini mengandung lima bulan pada awal tahun lalu.

Turut kelihatan menziarahi Allahyarham di hospital, pelakon Amyza Aznan, Zulkifli Ariffin, Pierre Andre, Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Liyana Jasmay dan Tania Hudson.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, Selangor kira-kira jam 10 pagi ini.

http://www.hmetro.com.my/articles/Pesananakjagaemak/Article

Cari wang tipu wanita

Cari wang tipu wanita

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

TERPEDAYA... ramai wanita ditipu kasanova cap ayam dengan menyerahkan wang.
TERPEDAYA... ramai wanita ditipu kasanova cap ayam dengan menyerahkan wang.

KUALA LUMPUR: Dia ‘mengayat’ wanita yang tidak mempunyai rupa paras menarik dan mengikis duit mereka sebelum menggunakan wang itu untuk memikat dan menaja gadis cun hingga ramai terperangkap dengan jerat cinta palsunya.

Begitulah taktik licik seorang kasanova ‘cap ayam’ yang tidak mempunyai kelebihan daripada segi paras rupa dan bentuk tubuh, tetapi bijak bersandiwara dan meraih simpati untuk mencari mangsa.

Tembelang kasanova itu didedahkan seorang wanita yang pernah terperangkap dengan ‘cinta palsu’ dijanjikan lelaki terbabit.

Mahu dikenali sebagai Farah, 31, dia mengakui sudah ‘berhabis’ kira-kira RM20,000 untuk kasanova berusia 30-an itu.


“Dia tidaklah hensem, gemuk pula, tetapi ayat cinta yang diluahkan membuatkan saya ‘cair’. Pada masa sama dia mengaku kononnya menghidap penyakit kanser, membuatkan saya bersimpati kepadanya.

“Satu ketika, saya sanggup meminjam daripada bank sebanyak RM20,000 untuk diserahkan kepadanya selepas dia meminta wang itu untuk merawat penyakitnya.

“Dia kata dia sudah tenat dan perlukan wang dengan segera untuk berubat,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Menurut Farah, selepas meminjamkan wang itu, lelaki terbabit sering mengelak untuk bertemu dan menjauhkan diri.

“Sejak itu saya syak ada sesuatu yang tidak kena. Saya buat siasatan sendiri, termasuk daripada ahli keluarganya, dan terbongkarlah tembelangnya. Rupa-rupanya dia kasanova yang mencari wang dengan menipu orang lain.

“Dia tipu wang wanita yang tak cun dan menggunakan wang itu sebagai modal untuk mencari cinta di kalangan wanita cun.

Wanita cun ditaja habis-habisan... dibawa bercuti dan dibelikan pelbagai barangan berjenama,” katanya yang enggan membuat laporan polis kerana malu diperdaya lelaki terbabit.

Farah yang berkenalan dengan lelaki itu menerusi laman sembang mengakui berjaya mengesan lapan lagi mangsa penipuan kasanova terbabit.

“Selain laman sembang, dia menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Hifi untuk mencari mangsa.

“Dia juga menipu pekerjaan dilakukan, kononnya termasuk dalam golongan profesional seperti doktor dan peguam. Walhal, dia tidak bekerja dan hanya mencari wang dengan menipu wanita,” katanya yang mengenali kasanova itu sejak awal tahun lalu.

Beberapa mangsa lain yang ditemui Farah mengakui kasanova terbabit menggunakan pelbagai nama, antaranya Carl Iskandar, dan turut menggunakan taktik sama.

Malah lebih menyedihkan, ada yang sampai ke tahap menyerahkan kehormatan kepada lelaki itu.

“Yang cun dijanjikan cinta... janji hendak berkahwin sehingga ada yang tergadai ‘body’. Mujur saya tidak sampai ke tahap itu.

“Dia hanya memeras habis-habisan wang saya untuk kepentingan dirinya,” katanya.

Farah mengakui mengenali lelaki itu adalah kesilapan paling besar pernah dilakukannya.

“Saya bukan mahu mendedahkan aib orang, tetapi ini pengajaran untuk wanita lain di luar sana. Jangan terlalu mudah mempercayai lelaki yang dikenali menerusi Internet.

“Jangan percaya dengan lelaki yang kita tidak tahu latar belakangnya. Walaupun dia melutut menagih simpati, biarkan saja kerana saya sudah merasa peritnya ditipu apabila terpaksa ‘mengikat perut’ membayar balik pinjaman yang dibuat, malah masa saya juga banyak terbuang melayan kerenahnya,” katanya.

Farah turut yakin, sehingga hari ini lelaki itu masih bergiat aktif menipu wanita di laman web sosial.

“Ada ahli keluarganya beritahu dia sentiasa ada wang. Bagaimana ada wang jika tidak bekerja?” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Cariwangtipuwanita/Article

Siasat latar belakang pasangan

KUALA LUMPUR: Wanita yang menjalin hubungan cinta dengan kenalan baru perlu mengambil inisiatif menyiasat latar belakang pasangannya sehingga ke akar umbi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar berkata, pada zaman sekarang wanita perlu mengamalkan sikap berhati-hati, rajin menyiasat dan tidak ambil mudah tindak- tanduk atau gerak geri meragukan kenalan baru yang dijadikan kekasih.


“Pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku jika mengamalkan sikap terus mempercayai kenalan baru, terutama yang dikenali menerusi alam siber. Jangan terus ‘cair’ dengan ungkapan manis diberi.

“Walaupun paras rupa tidak seberapa, itulah kelebihan lelaki kasanova. Selain ayat ‘power’ ada juga yang menyamar sebagai orang kaya, tetapi sebenarnya kemewahan dimiliki dipinjam daripada orang lain,” katanya.


Menurut Akhbar yang juga Pengarah Institute of Crime & Criminology, Kolej Universiti HELP, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyiasat latar belakang pasangan, termasuk mengupah penyiasat persendirian.


“Dalam erti kata lain, biar tersungkur, jangan tertiarap. Jika ada modal, upah penyiasat persendirian. Walaupun terpaksa mengeluarkan wang, hasilnya mampu menyelamatkan seseorang itu daripada tertipu.

“Sekurang-kurangnya, apabila sudah jatuh hati dan dapat mengesan teman lelaki penipu, masih ada ruang mencari ketenangan untuk mengubat kekecewaan.

“Bagaimanapun, jika berdiam diri saja dalam tempoh lama dan penipuan terbongkar selepas puas memberi sejumlah wang atau menyerahkan kehormatan, ia pasti memberi lebih tekanan,” katanya yang turut memberi khidmat penyiasat persendirian menerusi syarikatnya, Akhbar & Associates.

Akhbar mengakui kebanyakan kes menyiasat pasangan yang dikendalikan berjaya membongkar penipuan dilakukan lelaki.


“Ada yang tergolong dalam kategori kasanova dan ada yang mengaku bujang tetapi sudah ada isteri,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Siasatlatarbelakangpasangan/Article/index_html

Pemuda bedah, buang alat sulit di taman

CHESTERFIELD (UK): Seorang pemuda berusia 22 tahun dipercayai menjalani pembedahan membuang alat sulitnya sendiri di rumah sebelum melemparkan organ berkenaan di sebuah taman, di sini.

Pemuda yang tidak dikenal pasti identitinya itu menunggu 24 jam sebelum muncul untuk rawatan di unit kecemasan Hospital Diraja Derbyshire di sini.


Ketika tiba di unit kecemasan, dia memberitahu kakitangan hospital yang dia hanya mengalami sedikit kesakitan ekoran pembedahan dilakukannya itu berbanding yang dijangka sebelum ini. Menurut jurucakap Hospital Diraja Derbyshire, kes pemuda itu luar biasa.

“Seorang pemuda berusia 20-an datang ke hospital kami tanpa alat sulitnya. Dia memberitahu kakitangan kami dia membuang alat sulitnya, semalam,” kata jurucakap itu. Pemuda itu meninggalkan hospital sebaik menjalani rawatan dan dia dinasihatkan doktor supaya menemui pakar psikiatri kerana dipercayai mengalami masalah kekeliruan jantina. - Agensi

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pemudabedah_buangalatsulitditaman/Article/index_html

Apa sudah jadi?

SUBANG JAYA – Kegembiraan sekumpulan remaja perempuan meraikan ‘ladies nite’ di sebuah pusat hiburan di Bandar Sunway di sini tidak bertahan lama apabila enam daripadanya positif pelbagai jenis dadah dalam ujian air kencing saringan awal yang dilakukan dalam satu serbuan awal pagi semalam.

Riak wajah keceriaan menikmati hiburan termasuk ada di antaranya yang meneguk arak bertukar pucat lesi apabila dimaklumkan mereka positif dadah jenis ketamin dan ganja dalam operasi 12 tengah malam itu sehingga 1.30 pagi semalam.

Dalam serbuan dengan kerjasama 33 anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), 17 daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan 12 daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu, lima lelaki turut ditahan bagi kesalahan sama manakala tujuh lagi dicekup kerana didapati minum minuman keras.

Difahamkan, remaja perempuan beragama Islam yang rata-ratanya memakai skirt pendek dan sendat mengunjungi pusat hiburan terkenal itu berikutan pengusaha menawarkan harga istimewa kepada pengunjung perempuan setiap malam Rabu dan Khamis.

Malah berkemungkinan untuk mendapatkan harga istimewa pada malam itu, empat lelaki turut ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) kerana berpakaian menyerupai wanita.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Daerah Petaling, Syaiful Asfar Abdul Rahman berkata, dalam serbuan itu, 11 pengunjung ditahan selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan pelbagai jenis dadah.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa untuk tindakan lanjut manakala ujian saringan air kencing akan dihantar ke makmal kimia untuk pengesahan selanjutnya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8565921.asp

Tekanan punca sukar berhenti merokok




CALIFORNIA - Kajian terbaru menunjukkan perokok tegar yang mengalami kemurungan menghalang mereka daripada berhenti merokok berbanding perokok yang tidak mengalami tekanan.

Kajian daripada Jurnal Ubat Pencegah Amerika Syarikat (AS) edisi Januari 2011 yang dipaparkan dalam talian menunjukkan bahawa sekitar 24 peratus daripada pemanggil yang dikaji selidik melalui Talian Bantuan Perokok California, saat ini menderita daripada kemurungan dan 17 peratus lagi mengalami tekanan biasa.

Lebih daripada setengah pemanggil yang dikaji selidik, tertekan atau tidak, sekurang-kurangnya cuba berusaha untuk berhenti merokok selepas membuat panggilan tersebut.

Walau bagaimanapun, tahap kejayaan pemanggil perokok yang mengalami kemurungan teruk untuk berhenti merokok jauh lebih rendah berbanding dengan pemanggil yang mengalami tekanan rendah atau tidak, sejak dua bulan lalu.

Kajian ini penting kerana Talian Bantuan California sentiasa menerima sejumlah besar panggilan daripada perokok tegar dan perokok biasa untuk bantuan perubatan.

Lebih daripada 400,000 perokok yang membuat panggilan talian bantuan AS, dipercayai hampir 100,000 perokok yang mengalami tekanan tidak mendapat layanan yang diperlukan, setiap tahun.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8574692.asp

77 k'tangan kontrak sambut 2011 sebagai penganggur

Jan 1, 11 4:38pm

Ketika kebanyakan rakyat Malaysia mengisi pelbagai azam baru sempena ketibaan tahun 2011, seramai 77 bekas pekerja rendah awam (PRA) di Kangar berharap kontrak perkhidmatan mereka yang berakhir semalam, disambung semula.

Jurucakap kumpulan itu, Jamaludin Husin, 49, merayu Kementerian Pelajaran menimbang semula nasib mereka yang kebanyakannya telah bertugas selama 15 tahun.

"Kami tidak sangka apabila menerima surat penamatan kontrak kerja daripada Jabatan Pelajaran Perlis kerana kebiasaannya kami akan terima surat untuk sambung kontrak dua tahun sekali," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata pelbagai cara telah dilakukan agar kontrak perkhidmatan disambung semula, termasuklah menghubungi kementerian namun tiada jawapan yang diterima.

"Tiada sesiapa pun yang akan ambil kami bekerja memandangkan usia kami sudah tua," katanya sambil menyifatkan kehidupan mereka kini gelap.

Selain itu, katanya, mereka juga buntu memikirkan pinjaman bank yang perlu dijelaskan selain sewa rumah dan tanggungan anak yang masih bersekolah.


"Kami berharap pihak kerajaan mempertimbangkan semula dan menyarankan sama ada kontrak kami disambung semula atau diserap terus ke jawatan tetap," katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas PRA, Zulkafli Md Isa, 48, yang tugas terakhirnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, berkata beliau kini
buntu memikirkan nasibnya setelah ditamatkan perkhidmatan kerana terpaksa menjaga ibu yang terlantar sakit di rumah.


Beliau yang ditemui di rumahnya di Kampung Tok Kuning hari ini berkata ibunya terpaksa duduk di atas kerusi roda dan tidak mampu berjalan
berikutan terjatuh di bilik air pada tahun lalu.

Menurutnya, sewaktu bekerja di sekolah itu, beliau dapat pulang semasa waktu rehat sebelah tengah hari untuk membeli makanan dan menjenguk ibunya di rumah.

Zulkafli berkata ibunya pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi masih belum menerima sebarang bantuan jabatan itu.

http://malaysiakini.com/news/152155

Nik Aziz pertahan Teo senamrobik di masjid

Dis 31, 10 3:09pm

Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

"Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalam rumah ibadah orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor dengan memakai baju ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid itu, yang disifatkan tidak menghormati rumah suci itu, yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia semalam.

Menurut Nik Abdul Aziz, soal anggota Parlimen itu berpakaian tidak sopan atau tidak menutup aurat, adalah perkara kedua yang perlu diperbetulkan.

"Yang pasti kita kena beritahu mereka perkara-perkara yang ditegah agama ketika berada dalam masjid...kena beritahu kaedah dan pantang larang dari segi Islam sebelum seseorang itu memasuki masjid," katanya.

Nie Ching sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi kerana menyampaikan "ceramah" di dalam sebuah surau di Kajang Sentral, Kajang pada Ogos lalu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/152091
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...