Thursday, August 11, 2011

Suresh didakwa beri keterangan palsu

Suresh didakwa beri keterangan palsu
Ogos 10, 11 7:01pm


U Suresh, saksi pendakwaan dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes itu pada Julai lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.

Suresh, 27, pekerja ladang, didakwa telah memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan N.Pathmanabhan, T.Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, sedangkan keterangan yang dia berikan kepada pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong pada 26 Okt 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari 25 dan 27 Julai lepas di Mahkamah Tinggi 8 Shah Alam.

Suresh didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami Mohamad Nor yang mengendalikan pendakwaan berkata isu jaminan tidak timbul memandangkan tertuduh sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Peguam Avtar Singh Dhaliwal yang mewakili Suresh bagaimanapun berkata Seksyen 193 Kanun Keseksaan ialah kesalahan yang boleh dijamin dan justeru anak guamnya berhak untuk diikatjamin.

Beliau berkata tambahan pula, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 24 Ogos ini untuk mendengar permohonan Suresh bagi kebenaran untuk merayu terhadap penambahan tempoh hukuman penjara yang sedang dijalaninya.

"Dia juga kini seorang saksi dalam kes pembunuhan Sosilawati dan perbicaraan ituedang berjalan, oleh itu jaminan perlu diberikan," katanya.

Nur Azimul berkata walaupun Seksyen 193 adalah kesalahan yang boleh dijamin tetapi tertuduh telah didakwa sebelum ini bagi kesalahan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

"Tetapi jika tertuduh dibenar diikatjamin, pohon jaminan yang tinggi iaitu RM100,000 sebab kesalahan tertuduh ialah di mana terdapat 22 percanggahan dalam keterangannya di mahkamah," katanya.

"Itu tidak ada kaitan dengan permohonan jaminan ini. Kalau permohonan anak guam saya di Mahkamah Rayuan dibenarkan, dia akan dihadapkan semula di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, untuk diambil pengakuan baru dan kami berpendapat jaminan RM5,000 ke RM10,000 adalah wajar," kata Dhaliwal yang turut dibantu peguam Devinder Kaur Dhaliwal.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani yang turut mewakili pendakwaan menjelaskan bahawa permohonan Suresh di Mahkamah Rayuan hanya untuk kebenaran merayu terhadap hukuman dan bukan pendengaran untuk peringanan hukuman.

Nur Azimul pula menambah tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan kes pembunuhan keempat-empat mangsa dan keterangannya boleh memberi kesan besar pada kes itu.

Setelah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak, Mohamed Mokhzani membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 3 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Suresh merupakan saksi ke-29 pendakwaan dalam perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan Thilaiyagan, 20; Matan, 21; serta Khatavarayan, 31; ketiga-tiganya pekerja ladang, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 15 Oktober 2010, Suresh dan seorang lagi pekerja ladang K.Sarawanan, 20, masing-masing dijatuhi hukuman penjara berjumlah 28 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu.

Majistret Hurmain Hussain mengarahkan hukuman berjalan serentak, yang bererti Sarawanan dan Suresh masing-masing akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas tarikh mereka ditangkap pada 9 September 2010.

Namun, pada 21 Februari tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki, dalam melaksanakan kuasanya di bawah Kanun Acara Jenayah (CPC) untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, mengurangkan hukuman penjara ke lima tahun bagi setiap pertuduhan, tetapi memerintahkan ia berjalan secara berturut-turut.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/172618

Nazri: Saya tak arahkan GLC, saya hanya nasihati

Nazri: Saya tak arahkan GLC, saya hanya nasihati
Hafiz Yatim
Ogos 11, 11
5:07pm


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengakui beliau menghantar surat kepada syarikat-syarkat berkaitan kerajaan (GLC) pada 8 Ogos lalu berhubung penyelesain dengan Tan Sri Tajudin Ramli, tetapi menafikan mengarahkan mereka membatalkan saman ke atas bekas pengerusi Penerbangan Malaysia itu.

NONENazri berkata tindakan itu adalah atas kapasitinya sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal undang-undang dan berikutan cadangan oleh Tajudin untuk menyelesaikan kes-kes yang tertangguh.

Justeru, katanya ia bukan sesuatu yang wajib bagi GLC membatalkan saman mereka tetapi mereka dimaklumkan berhubung situasi baru yang boleh mereka ambil.

“Tajudin telah berhubungan dengan kami sejak enam bulan lalu dan mencadangkan penyelesaian.

"Saya menulis kepada GLC terbabit selepas mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, dan sebagai menteri bertanggungjawab mengenai undang-undang kerana kes ini telah berlarutan sebegitu lama - enam tahun,” kata Nazri kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Katanya, tidak perlu bagi GLC berkenaan mematuhi nasihatnya dan terpulang bagi mereka menentukan pilihan terbaik demi menjaga kepentingan mereka.

Tiada jaminan menang

"Jika mereka berpendapat, mereka ada peluang untuk menang, mereka boleh teruskan dengan saman. Sebagai entiti yang sah, mereka mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri.

tajudin ramli“Saya hanya menulis kepada mereka mengingatkan bahawa Tajudin (kiri) telah menghubungi (kerajaan) dengan hasrat membuat penyelesaian dan saya hanya meminta mereka mengkajinya,” katanya.

Menurut Nazri proses mahkamah bukan sahaja memakan masa tetapi tidak ada jaminan kemenangan akan berpihak kepada mereka.

“Katakan kes ini dibicarakan, ia mungkin ambil masa lima hingga enam tahun dan mungkin ada rayuan pula. Ia mungkin ambil masa 10 tahun lagi. Kita juga tidak tahu sama ada ia akan berpihak kepada kita ataupun Tajudin. Sebab itu penyelesaian luar mahkamah dicadangkan.

“Bagaimanapun, jika ini diselesaikan, ia tidak sepatutnya menambahkan kos pada pihak kerajaan,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Nazri kerana didakwa mengeluarkan surat kepada GLC untuk menarik balik saman yang difailkan ke atas bekas Tajudin.

NONEMenurut Anwar, jika sesuatu perkara membabitkan GLC, arahan mesti datang daripada menteri kewangan atau Kementerian Kewangan dan bukannya Nazri.

Antara GLC yang menyaman Tajudin itu adalah Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holdings Bhd, Pengurusan Danaharta Bhd, Malaysia Airlines and Duta Skyline Bhd.


[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/172706

Anwar: Hanya menteri kewangan boleh arah GLC

Anwar: Hanya menteri kewangan boleh arah GLC
Hafiz Yatim
Ogos 11, 11
1:50pm

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz kerana didakwa mengeluarkan surat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menarik balik saman yang difailkan ke atas bekas pengerusi MAS Tan Sri Tajudin Ramli.

NONEMenurut Anwar, jika sesuatu perkara membabitkan GLC, arahan mesti datang daripada menteri kewangan atau Kementerian Kewangan dan bukannya Nazri.

"Arahan seumpama ini sepatutnya datang dari Menteri Kewangan (dan bukannya Nazri) kerana ini membabitkan GLC.

"Kerajaan sebelum ini berkata mereka mempunyai kes yang kukuh terhadap Tajudin yang membabitkan berbilion ringgit (dalam mengemukakan saman). Ini amat menganggu,” kata Anwar yang juga seorang bekas menteri kewangan.

Menurut sebuah portal berita, Nazri dalam sepucuk surat yang dihantar bulan ini kepada GLC berkenaan dan Danaharta memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan semua saman sivil ke atas Tajudin yang tertangguh.

NONE“Dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan kesemua tuntutan awam ke atas Tan Sri Dato Tajuddin Ramli dan beberapa yang lain dengan menarik balik dengan segera atas pandangan bahawa kerajaan dan Kementerian Kewangan telah bersetuju agar kes-kes yang ada akan diselesaikan di luar mahkmah.

“Untuk makluman anda, kerajaan telah memberikan saya mandat untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam hal ini,” kata Nazri dalam surat itu.

Antara GLC yang menyaman Tajudin itu adalah Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holdings Bhd, Pengurusan Danaharta Bhd, Malaysia Airlines and Duta Skyline Bhd.

Dalam perkembangan berkaitan, adalah difahamkan semua kes membabitkan Tajudin, kerajaan dan GLC berkenaan sedang dirundingkan bagi mencari penyelesaian pada semua peringkat proses mahkamah tersebut.

tajudin ramli mas 070910Menurut sumber, sesetengah perkara itu telah dibawa kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Md Raus Shariff, yang juga adalah hakim pengurusan bagi mahkamah perdagangan hari ini.

Kes-kes berkenaan telah ditetapkan pada 29 September bagi pengurusan kes sementara menunggu penyelesaian.

Terdapat lebih 10 kes yang dipercayai masih aktif termasuk berkaitan dengan kes saman Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, MAS, Telekom Malaysia Bhd dan Naluri Corporation Bhd.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/172674

Chan minta tangguh prosidng

Ogos 10, 11 6:43pm

Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy, yang menghadapi pertuduhan menipu bekas perdana menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), mahu supaya kesnya ditangguhkan sementara menunggu perbicaraan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik diselesaikan.

Salah seorang peguam Chan, Arthur Wang memberitahu Mahkamah Sesyen di Putrajaya hari ini, beliau telahpun memfailkan permohonan penangguhan prosiding sementara menunggu perbicaraan kes Dr Ling di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diselesaikan tengah hari ini.

NONEPerbicaraan kes Dr Ling didengar di Mahkamah Tinggi dari 1 hingga 12 Ogos.

Hakim Azhaniz Teh Azman menetapkan 12 September untuk mendengar permohonan Chan.

Beliau turut mengekalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan selama dua minggu dari 20 hingga 30 September meskipun Wang memohon supaya tarikh itu dipinda memandangkan pasukan pembelaan tidak mempunyai kelapangan pada tempoh berkenaan.

Azhaniz berkata beliau akan mendengar dahulu permohonan itu dan menetapkan kemudian tarikh perbicaraan, namun buat masa ini, katanya, tarikh perbicaraan itu dikekalkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan telah mengemukakan 50 dokumen bersabit kes itu kepada pasukan pembelaan.

Beliau berkata pihak pembelaan memohon untuk mendapatkan 200 lagi dokumen, tetapi beliau berkata pendakwaan perlu meneliti dokumen berkenaan dan kemudian menentukan dokumen yang mesti disediakan kepada pasukan pembelaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pendakwaan akan menyediakan dokumen yang berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

Antara dokumen itu termasuk minit mesyuarat Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dari 1998 hingga 2008, dan minit mesyuarat-mesyuarat Teknikal Kabinet dan Jemaah Menteri.

Chan, 55, mengaku tidak bersalah pada 28 Februari tahun ini terhadap tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siapguna untuk melaksanakan pembangunan projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006.

Chan didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat empat blok utama di pejabat bekas Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara lima tahun atau denda,atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pertuduhan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/172617

Saman KDSB: Permohonan Tee keat ditolak

Ogos 10, 11 6:35pm

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dan dua yang lain untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd bahawa Ong telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi menteri.

Hakim Datuk John Louis O'hara membuat keputusan itu selepas mendapati saman yang difailkan oleh KDSB bukan bersifat remeh-temeh, menyusahkan dan ia bukan menyalahgunakan proses mahkamah.

"Kes berkenaan perlu dibicarakan sepenuhnya kerana ada beberapa perkara yang boleh dibuktikan oleh KDSB," katanya.

Hakim O'hara turut memerintahkan setiap defendan membayar RM5,000 dengan kos kepada KDSB dan menetapkan 16 Ogos ini untuk pengurusan kes berkenaan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

ong tee keat on mca car plate 240910 01Pada 20 Ogos 2009, KDSB selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Ong (kiri), yang juga bekas presiden MCA, bekas pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Lee Hwa Beng dan PKA selaku defendan.

Dalam penyataan tuntutan itu, KDSB mendakwa ketiga-tiga defendan itu telah mendedahkan laporan berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang disediakan oleh Pricewaterhouse Coopers Advisory Services Sdn Bhd (PwCAS) kepada umum dengan niat jahat untuk menyebabkan kerugian kepada syarikat itu.

Laporan itu telah didedahkan pada 28 Mei 2009 melalui satu sidang akhbar atas arahan Ong yang turut dihadiri Lee, ahli-ahli kongsi kanan PwCAS dan media.

Plaintif mendakwa pendedahan laporan itu juga telah menyebabkan reputasi KDSB terjejas dan ia menjadi bahan cemuhan oleh masyarakat tanpa diberi peluang untuk memberi penjelasan atau membela diri.

Oleh yang demikian, KDSB memohon jumlah ganti rugi umum dan keterlaluan dan faedah serta kos yang tidak dinyatakan jumlahnya terhadap kesemua defendan.

Turut hadir pada prosiding hari ini peguam Kelvin Seet yang mewakili KDSB, peguam Badrul Munir Mohd Bukhari yang mewakili Ong dan peguam Leong Wai Hong yang mewakili Lee dan PKA.

- Bernama



http://malaysiakini.com/news/172612

Dr Ling tidak buat keputusan beli tanah

Dr Ling tidak buat keputusan beli tanah
Ogos 10, 11 6:00pm


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa keputusan membeli tanah di Pulau Indah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah keputusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), dan bukannya bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

NONEBekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata mesyuarat LPK pada 24 Januari 2002 memutuskan supaya tanah seluas 1,000 ekar (400 hektar) di Pulau Indah diperoleh dengan cara pembelian dan bukannya pengambilan balik.

Katanya berdasarkan minit mesyuarat LPK, keputusan pembelian tanah dibuat sebagai alternatif berikutan wujudnya beberapa masalah, iaitu tindakan Kementerian Kewangan yang mengambil masa agak lama iaitu tiga tahun sejak keputusan Jemaah Menteri dan masih belum berhasil dengan pendekatan pengambilan tanah oleh kerajaan.

Selain itu, katanya, ia juga disebabkan hasil kajian LPK dengan Jebel Ali Free Zone International (JAFZI) yang mendapati masa untuk menjayakan projek PKFZ adalah kritikal.

Abdul Rahman turut memberitahu bahawa mesyuarat peringkat Kementerian Pengangkutan pada 23 Jan, 2002 membincangkan cadangan pembelian terus tanah tersebut seperti yang dicadangkan oleh kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM450 juta menerusi bawah Rancangan Malaysia Kelapan.

Tambah beliau, turut dibangkitkan pada mesyuarat itu ialah isu penekanan terhadap hak milik tanah dan pembayaran tunai serta menolak bayaran tertangguh.

Abdul Rahman berkata LPK membuat penilaian pada tanah tersebut menggunakan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Beliau yang terlibat sejak awal projek PKFZ dirancang, turut memberitahu bahawa tidak pernah memberi apa-apa memo kepada Dr Ling bagi membetulkan terma persetujuan bersama Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang memasukkan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus.

Menurutnya, Kementerian Kewangan sedia maklum mengenai kadar faedah 7.5 peratus dan tahu mengenai keputusan membeli dan bukannya pengambilan balik tanah.

Di awal prosiding, Abdul Rahman berkata dalam urusan projek PKFZ, Dr Ling bertindak mengikut saranan pegawai di kementeriannya dan Dr Ling tidak pernah menolak pandangan dan keputusan pegawai terlibat.

Abdul Rahman berkata Dr Ling juga tidak membantah arahan pengambilan tanah oleh Kementerian Kewangan dan bertindak mengadakan mesyuarat untuk proses tersebut.

NONEDr Ling dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Bekas menteri itu juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas presiden MCA itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 November 2002.

Pada prosiding sesi petang, Abdul Rahman memberitahu bahawa tiada bantahan daripada wakil Kementerian Kewangan dibuat berhubung urusan perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian daripada JPPH.

"Berdasarkan minit mesyuarat bertarikh 15 November 2002, wakil Kementerian Kewangan tidak bantah," kata Abdul Rahman ketika disoal peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling.

Beliau turut memaklumkan sepanjang perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) di Kementerian Pengangkutan, tiada sebarang nota diberikan berhubung urusan tersebut. (Perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian JPPH).

Menjawab soalan Wong sama ada beliau ada menerima sebarang aduan daripada Kabinet bahawa perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian JPPH, saksi keempat pendakwaan itu berkata "tidak"

Abdul Rahman memberikan jawapan sama ketika disoal Wong sama ada beliau ada menerima aduan daripada Kementerian Kewangan dan JPPH berhubung urusan yang dibuat oleh KDSB dan LPK tidak menurut penilaian JPPH.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung esok.

- Bernama



http://malaysiakini.com/news/172596

Dr Dzulkefly: PAS tak jangka pilihan raya tahun ini

Dr Dzulkefly: PAS tak jangka pilihan raya tahun ini
Ogos 10, 11 5:30pm


PAS akan terus mempersiapkan semua jenteranya untuk menghadapi pilihan raya ke-13 walaupun percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan membubarkan Parlimen pada tahun ini.

pakatan pc on spr ban pondok panas 280409 dzulkefly ahmadMenurut Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, BN dijangka terpaksa menangguhkan pilihan raya umum daripada diadakan tahun ini kerana kemelut ekonomi yang sedang meruncing di seluruh dunia.

"Cakap-cakap yang PM akan adakan pilihan raya mengejut tahun ini saya rasa tidak munasabah lagi kerana para penganalisis politik dan ekonomi hanya menjangkakan krisis ini akan pulih tahun depan.

"Seperti telahan ramai pihak penganalisis dan pundit politik, saya sukar meramalkan Najib akan berani membuat pilihan raya mengejut dalam bulan September.

"Permintaan global akan menguncup dan pertumbuhan ekonomi negara juga terjejas kerana penguncupan permintaan global. Saya yakin PM tak akan buat pilihan raya umum," kata Dr Dzulkefly yang dipetik Harakahdaily.

NONEOrgan rasmi PAS itu juga memetik beliau berkata Bursa Malaysia sedang mengalami kemersotan RM91 bilion dalam tempoh lapan hari lalu berdasarkan rekod yang diperolehi pada jam 10 pagi ini.

Kedudukan panik kini melanda seluruh dunia khususnya di Eropah dan Amerika berikutan penerapan hutang negara itu yang memberikan kesan kepada bursa saham seluruh dunia.

Keruntuhan ekonomi global

Sejak beberapa hari lalu pasaran saham utama Asia di Tokyo, Taipei, Shanghai dan juga Sydney juga terus merudum. Bursa Malaysia juga mengalami pengucupan sejak Jumaat lalu.

malaysia stock exchange market klse 141008 09Indeks Dow Jones Amerika Syarikat dilaporkan jatuh 4.1 peratus dalam masa 10 hari - kejatuhan terbesar sejak tahun 2008 manakala indeks FTSE London pula susut RM245 bilion sejak seminggu lalu.

Berikutan itu juga, mata wang Euro merosot dengan mendadak dan dilaporkan hampir lumpuh.

Perkara itu diburukkan lagi dengan rusuhan di kota London yang bermula dengan protes kecil Sabtu lalu apabila seorang remaja kulit hitam ditembak mati tetapi kini merebak ke bahagian lain di ibu negara Britain itu.

Justeru, kata Dr Dzulkefly yang juga adalah ahli parlimen Kuala Selangor, keruntuhan ekonomi global itu juga akan menyebabkan eksport Malaysia, khususnya petrol terjejas dan pendapatan negara berkurangan.

NONEKesannya bakal ditambah-buruk lagi apabila harga komoditi makanan beras, gandum, gula terus meningkat akibat permintaan yang tinggi.

Suasana ini dikatakan akan menghimpit perdana menteri dengan suasana serba salah untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini.

“Tetapi kini dengan krisis ini ia (cadangan membubarkan parlimen) akan tergendala..., ia bakal menjadi mimpi ngeri untuk Najib (jika pilihan raya umum diadakan tahun ini)," katanya.


http://malaysiakini.com/news/172590

MP DAP kecam kementerian biar polis ambil alih siasatan

MP DAP kecam kementerian biar polis ambil alih siasatan
Lee Long Hui
Ogos 10, 11
3:04pm

Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua mengecam apa yang didakwanya "sikap tidak bertanggungjawab" Kementerian Kesihatan kerana membenarkan siasatan dakwaan gas pemedih mata dan meriam air ditembak ke dalam perkarangan Hospital Tung Shin pada 9 Julai, diambilalih oleh pihak polis.

Beliau memberitahu pemberita selepas memberi kenyataan di ibupejabat polis daerah Petaling Jaya hari ini berhubung kejadian itu.

tear gas fire at tung shin hospital 090711 3Pua mendakwa telah menyaksikan sendiri polis menembak gas pemedih mata
dan meriam air ke dalam perkarangan hospital berkenaan semasa perhimpunan BERSIH 2.0 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.


Beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis selepas beliau menawarkan diri untuk membantu Kementerian Kesihatan dengan siasatan terhadap insiden 9 Julai itu.

Pua memetik pegawai penyiasat 'ASP Marzukhi' sebagai mengesahkan dengannya bahawa Bukit Aman telah mengambil alih siasatan terhadap insiden di Hospital Tung Shin itu.

"Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan hospital tersebut... Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau perlu menjelaskan perkara ini," kata Pua kepada pemberita.

Jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan bulan lepas untuk menyiasat apa yang berlaku di hospital berkenaan, tetapi sehingga ini, hasil siasatannya masih belum diumumkan.

Menurut laporan berita sebelum ini, Liow berkata jawatankuasa itu akan memberi
tumpuan kepada siasatan terhadap doktor dan pesakit hospital berkenaan ketika insiden itu berlaku, dan membiarkan polis menyiasat dari segi pihak awam untuk mengelakkan pertindihan.

NONEKetua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Ku Chin Wah mengumumkan pihak polis akan menubuhkan dua pasukan khas, untuk menyiasat perkara yang sama, dua hari selepas pengumuman oleh kementerian berkenaan.

Pua serta dua lagi ahli parlimen DAP - Teo Nie Ching (Serdang) dan Liew Chin Tong (Bukit Bendera) - dan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang CM Lim Guan Eng - Zairil Khir Johari - telah menawarkan diri untuk memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, Pua menerima surat dari sekretariat jawatankuasa itu Jumaat lepas, yang menyatakan bahawa ia telah meminta polis menghubungi mereka untuk memberi kenyataan.

Menurut Pua, ASP Marzukhi memberitahunya bahawa siasatan hampir selesai, tetapi pegawai polis itu menyatakan hasil penyiasatan tersebut.



http://malaysiakini.com/news/172632

Impak BERSIH 2.0 ke atas luar bandar 'tak ketara'

Impak BERSIH 2.0 ke atas luar bandar 'tak ketara'
Hazlan Zakaria
Ogos 10, 11
2:54pm

Di sebalik liputan dan publisiti meluas sama ada di dalam negara mahupun di luar negara yang ditimbulkan oleh perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, badan bancian tempatan, Merdeka Centre berpendapat impak dan kesannya ke atas rakyat adalah terlalu kecil.

NONE"Tidak ada peralihan ketara yang dikesan," kata pengarahnya Ibrahim Suffian (kanan) kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif semalam.

Beliau menjelaskan banciannya menunjukkan tahap sokongan popular lebih kurang konsisten, sebelum dan selepas perhimpunan itu diadakan.

Katanya, sebarang pengurangan bagi sokongan kepada BN yang dikesan adalah tidak ketara dan lebih menjurus ke arah persepsi pemimpin tertentu.

"Saya fikir BN masih menguasai majoriti, khususnya di kalangan orang Melayu. Kira-kira 55 hingga 58 peratus."

Ditanya sama ada kehadiran ribuan peserta pada perhimpunan itu dengan jumlah golongan muda yang sebegitu ramai adalah ukuran sebenar sokongan untuk reformasi pilihan raya, Ibrahim berkata andaian itu hanya benar bagi suatu pecahan kecil penduduk.

Tak peduli

"Pada perhimpunan itu, ya, mungkin yang hadir adalah ribuan, tetapi apabila kita melakukan kaji selidik, kita mengambil kira jumlah penduduk lebih luas di seluruh negara," kata Ibrahim apabila ditanya mengenai kesan perhimpunan 9 Julai itu.

bersih rally july 9 crowd face-off with police 1Meskipun kerajaan mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram dan bertindak keras dengan menghambat penyokongnya, usaha itu gagal menghalang ribuan rakyat untuk turun ke jalanan di Kuala Lumpur.

Namun bagi Ibrahim, jutaan lagi rakyat Malaysia di luar Lembah Klang yang tidak pernah mengetahui mengenai BERSIH 2.0 mahupun mengambil peduli tentangnya.

Alasan utama, katanya adalah kerana kekurangan akses kepada berita alternatif untuk kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal di luar bandar-bandar utama.

Bancian baru-baru ini cuba meninjau respon daripada golongan muda mengenai pendapat mereka mengenai BERSIH yang menjadi sebagai sebahagian daripada kaji selidik Merdeka Centre.

Menurut Ibrahim, antara jawapan yang banyak diterima ialah:"Saya tidak tahu. Saya dengar mereka mahu berhimpun dan saya tidak ambil peduli hal politik,”.

NONEWalaupun menolak kesan serta-merta perhimpunan BERSIH di luar Lembah Klang, Ibrahim berkata tidak mustahil jika percikannya akan terus merebak.

"Kesan sebenar BERSIh bukan pada hari ia dianjurkan, sama seperti pada tahun 2007. Begitu juga dengan perhimpunan Hindraf dan BERSIH yang pertama.

"Aktivis kini akan digerakkan. Dari segi psikologi mereka kini lebih terangsang dan akan melakukan lebih banyak perkara lain," katanya.

Menurut Ibrahim sejak BERSIH 2.0, lebih banyak masalah pilihan raya dan kepincangan kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didedahkan oleh media, NGO atau pihak-pihak lain setiap hari.

[Baca berita penuh]



http://malaysiakini.com/news/172564

Dr Asri: Ada yang sengaja main isu gereja

Ogos 10, 11 5:07pm

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan kebimbangannya terhadap perkembangan isu serbuan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama yang didakwa "diadun" dengan isu politik.

Katanya, perkara itu boleh dilihat pada pendirian "pihak berkuasa agama" yang bimbang orang Islam memasuki gereja dan melarang bukan Islam memasuki masjid.

asri jais record statment colum upacara telan air ludah ustaz 100410 pc"Pihak berkuasa agama bimbang apabila ada orang Islam pergi ke gereja. Risau nanti mereka terpengaruh dengan Kristian.

"Peliknya kenapa dulu mereka menghalang orang bukan Islam masuk ke masjid? Apakah mereka juga bimbang bukan Islam terpengaruh dengan Islam?" soal Dr Asri.

Ogos tahun lalu, isu larangan terhadap bukan Islam memasuki masjid menjadi isu hangat selepas anggota parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki surau di Kajang bagi menyampaikan sumbangan.

JAIS antara pihak pertama dilaporkan mengkritik tindakan itu atas alasan orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki masjid dan surau kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.

Dalam kenyataannya hari ini, Dr Asri berkata larangan pihak berkuasa agama itu menjadikan orang ramai semakin tidak faham dengan politik negara ini apabila ia "diadun dengan agama".

"Kalaulah masuk ke gereja mempengaruhi seseorang kepada Kristian, patut masuk masjid akan mempengaruhi seseorang kepada Islam.

"Mengapa kita halang? Apakah kita tidak suka mereka terpengaruh dengan Islam?

"Akhirnya, kita pening siapa yang jujur, siapa yg sebaliknya. Siapakah yang hendak menegakkan (keadilan) dan siapakah yang hendak bermain dengan isu?" soalnya lagi.


http://malaysiakini.com/news/172586

Dr Asri: Islam agama hujah, tak perlu tindakan JAIS

Ogos 10, 11 9:16am

Islam adalah agama hujah dan semestinya ditegakkan dengan hujah serta dilindungi oleh hujah, kata bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

NONESehubungan itu, katanya Malaysia sebagai sebuah negara Islam sepatutnya, berlaku keadaan di mana orang lain terpengaruh dengan Islam dan bukannya umat Islam di negara ini pula yang dipengaruhi oleh hujah pihak lain.

“Saya terfikir bagaimanakah jika negara-negara bukan Islam seperti Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah mengambil tindakan yang sama ke atas masjid-masjid di sana.

“Kita tahu umat Islam di sana aktif berdakwah kepada bukan Islam di pelbagai tempat khususnya di pusat-pusat Islam dan masjid-masjid. Bukan Muslim dijemput datang ke masjid dan diberikan al-Quran dan risalah-risalah berkaitan Islam.

“Jika mereka memakai undang-undang seperti kita, tentu masjid-masjid akan diceroboh dan didakwa,” katanya dalam satu SMS ringkas kepada Malaysiakini, petang semalam.

Dr Asri mengulas kejadian 3 Ogos lalu, apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) didakwa menyerbu sebuah majlis makan malam yang diadakan di sebuah gereja di Petaling Jaya tanpa sebarang waran.

azlanExco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Hasan Ali bagaimanapun mempertahankan tindakan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama itu dengan alasan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Menurut Dr Asri sebagai agama hujah, pengajaran dan dakwah Islam sepatutnya mampu menangani isu berkenaan tanpa memerlukan tindakan seumpama itu daripada JAIS.

“Bukan hendak mmpertikaikan JAIS, namun untuk renungan kita umat Islam di Malaysia; sehingga bila kita hendak bergantung dengan undang-undang?

“Ertinya, pengajaran dan dakwah kita perlu disemak semula,” katanya mengakhiri SMS itu.



http://malaysiakini.com/news/172513

Kajian: M'sia antara negara sekat kebebasan agama

Ogos 11, 11 10:43am

Untuk pertama kalinya, Malaysia disenaraikan sebagai antara 10 negara teratas dalam ranking dunia yang mengenakan sekatan ke atas kebebasan agama yang berbeza.

azlanMenurut kajian Pew's Forum on Religion and Public Life yang berpangkalan di Washington DC, Malaysia kini berada di kumpulan yang sama dengan negara-negara seperti Mesir, Iran, Arab Saudi, Uzbekistan, China, Maldives, Burma, Eritrea dan Indonesia.

Berdasarkan kajian selama tiga tahun di 198 buah negara dari tahun 2006, Pusat Penyelidikan Pew juga mendapati bahawa Malaysia adalah negara kelima yang merakamkan peningkatan ketara yang mendadak dalam mengenakan sekatan kebebasan beragama.

Menurut pusat itu, sekatan di seluruh dunia terhadap kepercayaan dan amalan agama telah meningkat pada pertengahan tahun 2006 dan 2009 di 23 buah negara, termasuk di Malaysia dan Mesir.

azlanKaji selidik itu dijalankan oleh felo kanannya Brian Grim dan para penyelidiknya yang meninjau data-data dan maklumat termasuk laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Majlis Kesatuan Eropah, dan beberapa kumpulan hak asasi.

Tujuan mereka adalah untuk melihat sejauh mana tolak ansur setiap negara berhubung agama yang berlainan.

Di Malaysia, beberapa kejadian, dikatakan faktor penyumbang kepada kedudukan yang tidak diingini itu.

Ini termasuk rampasan buku dan CD berkaitan agama Kristian seperti kes Jill Ireland di mahkamah dan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian termasuk akhbar Herald.

azlanTindakan pihak berkuasa ke atas pengikut mazhab Wahabi dan Syiah serta penangkapan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga dipercayai mempengaruhi kajian itu.

Begitu juga dengan laporan dan aduan mengenai perobohan kuil-kuil Hindu, sehingga menyaksikan pembentukan Hindraf dan demonstrasi besar-besaran pada 2007 yang sebelum ini belum pernah terjadi di Malaysia.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/172644

'Momokan Kristianisasi' - imbas kembali pada Sabah

'Momokan Kristianisasi' - imbas kembali pada Sabah
Aidila Razak
Ogos 11, 11
9:18am

Berdasarkan pengalaman kerajaan Sabah pimpinan PBS yang ditumbangkan oleh BN, maka tidak hairanlah jika seseorang mengandaikan serbuan gereja di Petaling Jaya, Selangor minggu lalu adalah sesuatu yang mungkin dirancang, kata beberapa ahli politik veteran Sabah.

NONEMenurut presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, "momokan Kristianisasi" adalah taktik lama yang digunakan semula itu menunjukkan terdapat "persamaan antara Selangor hari ini dan Sabah era PBS dulu".

Yong (kiri) yang bersama bekas naib presiden PKR Dr Jeffrey Kitingan pada sekitar tahun 1980-an berjaya membongkar terdapat kira-kira 33,000 kes yang didakwa sebagai 'pengundi hantu', tetapi malangnya pendedahan itu ditenggelamkan oleh isu momokan Kristianisasi ke atas PBS.

"Momokan Kristianisasi digunakan... untuk menarik orang Islam kembali kepada Umno, (manakala) penyalahgunaan pengundi hantu dengan menggunakan warga asing dilakukan secara terselindung," kata bekas ketua menteri Sabah itu dalam satu mesej teks kepada Malaysiakini.

Jeffrey, yang merupakan sebahagian daripada pemimpin kerajaan PBS pada tahun 1994, juga mengakui bahawa apa yang berlaku di Selangor hari ini adalah tepat mengambarkan apa yang berlaku di Sabah ketika itu.

NONEJeffrey (kanan), yang mengetuai Institut Kajian Pembangunan (IDS) pada tahun 1980-an, bersama-sama dengan Yong berjaya membongkar bahawa terdapat pertindihan berlipat ganda kad-kad pengenalan yang sama dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Namun ini ditolak terus oleh pemimpin BN.

"NGO Islam yang mempunyai hubungan dengan (ketua BERJAYA) Datuk Harris Salleh kemudiannya memutarkan perkara itu dan menjadikannya isu kaum dan agama dengan mendakwa (kami) menjadikan pertumbuhan penduduk Melayu-Islam sasaran," katanya.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pemimpin berpengalaman Sabah ini percaya bahawa taktik lapuk BN tidak mungkin mendapat sokongan meluas pada hari ini kerana sebahagian besar pengundi kini lebih matang dan dapat melihat bahawa momokan Kristianisasi cuma “helah politik".

Bagi ahli parlimem Shah Alam Khalid Samad beliau lebih berhati-hati dengan kenyataannya.

orange book forum klscah 250111 khalid samadJika sebelum ini pendedahan bahawa terdapat penduduk tetap (PR) yang didaftar sebagai pengundi menyaksikan partinya, PAS mempunyai isu menjelang pilihan raya umum akan datang tetapi serbuan gereja berkenaan menjadikan pembangkang lebih defensif.

Khalid yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Selangor percaya tindakan ke atas masyarakat Kristian itu sesuatu yang bermotifkan politik.

"Bagaimana serbuan seperti itu boleh berlaku tanpa pengetahuan anggota exco Selangor mengenai hal ehwal Islam dan Pengarah JAIS - mereka hanya dimaklumkan selepas kejadian itu? Ini menunjukkan kemungkinan ada campur tangan luar," katanya.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/172640

NGO cegah murtad ditubuhkan

Posted by admin on August 11th, 2011

Selepas seminggu isu dakwaan cubaan memurtadkan umat Islam di sebuah gereja di Seksyen 13 Petaling Jaya, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelar sebagai Gerakan Cegah Murtad (GCM) ditubuhkan bagi menyokong tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) memelihara kesucian Islam.Dianggotai 25 NGO berdaftar, gerakan berkenaan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berterusan JAIS dengan menggunakan kuasa yang ada mengikut undang-undang bagi menangani isu murtad.

Jurucakap GCM, Hamidzun Khairuddin berkata, isu murtad seharusnya diuruskan dengan profesional dan efisyen tanpa campur tangan politik.

“JAIS harus bebas dari ancaman, ugutan dan tohmahan serta campur tangan politik.

“Akidah umat Islam adalah lebih penting dan tiada ternilai berbanding dengan politik murahan yang dimainkan sesetengah individu untuk meraih undi hasil daripada keberantakkan umat Islam dalam isu ini,” katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada JAIS di pejabat jabatan penguatkuasa agama itu.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Ketua Penguatkuasa JAIS, Rais Rasid.

Isu murtad di Selangor menjadi kontroversi apabila JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu selepas mendapat maklumat bahawa terdapat usaha memurtadkan orang Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibah di dalam gereja berkenaan.

Selain itu Hamidzun berkata, dakwaan terbaru cubaan memurtadkan umat Islam baru-baru ini merupakan satu perkembangan yang membimbangkan.

GCM juga berharap pemimpin politik Islam bersatu dan perlu melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas demi kepentingan agama Islam sendiri.

“Kami rakyat Selangor menggesa pemimpin umat Islam tidak bertelagah sesama sendiri dalam menangani isu ini.

“Pemimpin Umno dan PAS serta pemimpin Islam dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) wajib melihat isu ini merentasi ideologi, agenda dan fahaman politik,” katanya.


http://www.kl-today.com/2011/08/ngo-cegah-murtad-ditubuhkan/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...