Saturday, August 23, 2008

UIA: Tidak rujuk siswa punca bantahan



Jimadie Shah Othman Aug 22, 08 12:47pm


Tiada perbincangan antara punca yang mendorong 3,000 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) membantah penggantian songkok kepada mortar dalam upacara konvokesyen yang berlangsung esok.


"Jika pihak pentadbiran membincangkan perkara itu dengan mahasiswa, mungkin ada bantahan, tetapi tidak akan sampai ke tahap ini," kata pensyarah undang-undang UIA Yusri Mohamadkepada Malaysiakini hari ini.


Kelmarin, seramai 3,158 pelajar universiti itu menandatangani petisyen membantah keputusan pihak pentadbiran menggunakan jubah dan penutup kepala yang baru untuk majlis itu melibatkan kos sebanyak RM2.1 juta.


Lebih kurang 100 pelajar berhimpun di tepi masjid di tengah-tengah kampus itu di Gombak bagi menyatakan sokongan sewaktu beberapa pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyerahkan memorandum tersebut.


Presiden majlis itu Muhammad Adib Hatim menyerahkan petisyen itu kepada Timbalan Rektor UIA (Akademik dan Penyelidikan), Prof Datuk Dr Md Tahir Azhar.


Yusri diminta mengulas kenyataan Dr Md Tahir bahawa tindakan pihak universiti itu berada dalam dalam kawasan samar-samar – boleh dimaklumkan dan boleh tidak dimaklumkan terlebih dahulu.


Yusri yang juga presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata:


"Saya rasa perlu (bincang). Konvokesyen ini tujuannya untuk meraikan pelajar. Seelok-eloknya bincang dengan pelajar dulu."


Beliau secara peribadi, setuju dengan pandangan pelajar supaya penggunaan songkok dipertahankan kerana melambangkan imej UIA yang tersendiri lebih 25 tahun.


Yusri bagaimanapun berkata, "perubahan daripada aspek luaran sebegitu bukanlah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia bukan perubahan intipati."


"Lainlah kalau isu pakaiaan yang tidak menutup aurat. Itu tidak boleh kompromi," katanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...