Monday, September 15, 2008

Anak ke Singapura hilang tanpa berita

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my



MAT (kiri) menunjukkan laporan polis kehilangan anaknya sementara Mohd. Hafizi memegang gambar Azhar di Rantau Panjang semalam.


RANTAU PANJANG - Syawal yang bakal tiba seakan tidak berseri bagi pasangan Mat Daud, 57, dan Che Nga Wok, 57, apabila anak kedua mereka hilang tanpa khabar berita hampir setahun lalu.


Azhar Mat, 27, kali terakhir bertemu pasangan itu pada Aidilfitri tahun lalu selepas ke Singapura untuk bekerja sebagai pembuat roti canai di sebuah restoran di Beduk.


Menurut bapanya, selepas kembali ke negara jiran itu, Azhar yang juga duda dua anak langsung tidak mengirim berita yang kini hampir genap setahun serta dipercayai telah menukar nombor telefon bimbitnya.


"Biasanya Azhar akan menghubungi kami dua kali seminggu dan kali terakhir dia menelefon kami pada 28 Oktober tahun lalu untuk bertanya khabar anak sulungnya, Hafizi, 6, yang tinggal bersama kami.


"Dalam perbualan itu, dia berjanji akan mengirim wang ke kampung untuk perbelanjaan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Banggol Kulim, dekat sini semalam.




AZHAR


Tambahnya, anaknya yang pernah bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di pekan ini berhijrah ke Singapura selepas terbaca satu iklan kerja dalam sebuah akhbar dan pemergiannya ke sana diuruskan ejen beralamat di Johor Bahru.


Malangnya, syarikat tersebut kini gagal dikesan menyebabkan beliau bimbang kemungkinan Azhar menjadi mangsa penipuan serta diperdayakan untuk kegiatan yang tidak diingini.


"Masa dia balik lepas dua bulan bekerja dulu, saya tengok dia gembira sangat dan bercerita tentang keseronokannya mencari rezeki di sana selain menunjukkan permit kerja yang diperoleh.


"Bagaimana pun, kini kami bimbang kalau-kalau dia ditipu ejen tersebut apatah lagi saban hari kisah mengenai rakyat Malaysia diperdaya sindiket asing kerap disiarkan surat khabar," ujarnya.


http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...