Friday, September 26, 2008

Mesyuarat tergempar Umno hari ini bakal putuskan apa?


Dipercayai untuk bincang rancangan bagi Abdullah undur pada Jun 2009

26 Sep 2008 9:55AM


KL: Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Umno akan diadakan pagi ini, dipercayai untuk membincangkan rancangan bagi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berundur pada Jun 2009.
Seorang sumber kanan parti juga berkata Datuk Seri Abdullah telah meminta MT Umno agar menangguhkan Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan berlangsung Disember ini ke Jun tahun depan bagi mengelakkan dirinya dipaksa berundur.

Pada asalnya, Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib merancang pelan peralihan kuasa itu akan berlangsung pada pertengahan 2010.

'Idea untuk menangguhkan (Perhimpunan Agung Umno) merupakan idea Perdana Menteri...Pelan (peralihan kuasa pada 2009) dan langkah menangguhkan Perhimpunan Agung mungkin tidak akan diterima dengan baik di peringkat akar umbi,' kata sumber itu.

Sementara itu, ketika ditemui wartawan semalam, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau tidak pasti sama ada Perhimpunan Agung parti itu yang dijadualkan Disember ini akan ditunda ke tahun depan.

'Saya tidak begitu tahu tentang cadangan (tunda) itu tetapi yang jelasnya, ini satu perkara penting. Jadi saya tak dapat nak komen pada masa ini,' katanya.

Tan Sri Muhyiddin juga menafikan bahawa terdapat perebutan kuasa dalam Umno sehingga melemahkan parti itu.

Katanya, pelan peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah kepada Datuk Seri Najib yang dijadualkan pada Jun 2010 dijangka berjalan lancar.

Beliau berkata mesyuarat MT Umno baru-baru ini telah memutuskan menyerahkan kepada Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib untuk menentukan tarikh peralihan kuasa itu. / Bernama, Reuters

http://www.klpos.com/news/2008/09/26/1.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...