Saturday, September 27, 2008

PAS Tidak Bersama Kerajaan Pakatan Rakyat Sekiranya Islam tidak menjadi majoriti


Ditulis oleh WanKay

Saturday, 27 September 2008

Dungun - PAS akan menarik diri dan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya Islam tidak menjadi majoriti dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk.

Presiden PAS, dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian alam ucapannya dalam satu majlis ceramah di perkarangan Surau Haji Zainal Abidin, Dungun, baru-baru ini.

“Kita (PAS) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syaratnya mestilah kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada (Barisan Nasional),

“Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih ‘buruk’dan mesti lebih baik,”tegas beliau.

Beliau turut menyenaraikan beberapa syarat bagi menentukan kerajaan yang bakal dibentuk lebih kukuh dan bukan kerajaan yang lemah sebagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pertama, PAS meletakkan syarat kerajaan itu dikuasai oleh Islam. Jika Islam tidak majoriti perubahan itu tidak akan disertai oleh PAS. PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak majoriti Islam,

“Kedua, kerajaan itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh dan bukan kerajaan yang lemah dan kerajaan kukuh mestilah oleh wakil-wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukan yang menakut. Terang-terang kita (PAS) sebut. Jika wakil rakyat itu penakut hendak buat perubahan. Perubahan itu (hanya) sementara sahaja,”katanya.

Namun begitu, menurut beliau PAS lebih mengharapkan wakil-wakil rakyat UMNO menyertai PAS jika mahu membina kekuatan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Kita (PAS) lebih mengharapkan supaya wakil rakyat UMNO menyertai PAS kerana mereka mahu membina kekuatan orang Melayu Islam (mereka) mesti bersama dengan PAS.

“Kita (PAS) terbuka dan mereka (UMNO) boleh menyertai mana-mana parti tetapi dasarnya ialah majoriti Islam dan ini syarat penting,” ujarnya.

Beliau turut meletakkan pra-syarat bahawa PAS akan melihat senarai Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum memberikan sokongannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS telah memberi kepercayaan melalui wakil yang duduk dalam sekretariat Pakatan Rakyat, bagi membawa mesej tersebut dalam perbincangan Pakatan Rakyat.

“Kita (PAS) mahu melihat senarai terlebih dahulu dan sebarang keputusan hendaklah melalui mesyuarat parti terlebih dahulu.

“PAS memberi kepercayaan kepada wakil-wakil kita (PAS) dalam sekretariat dan wakil-wakil PAS telah membawa mesej ini.

“Mesej ini telah disampaikan dan ditegaskan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat dan sehingga kini, mereka terima dari segi dasarnya. Parti KeADILan Rakyat terima, DAP pun terima,” jelas Dato’ Seri Abdul Hadi.

http://buletinonline.net/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...