Friday, September 12, 2008

Sajian dulang


Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my



Anda penggemar makanan Asia? Jom singgah dan nikmati apa yang disediakan di Kafe Delicious.

KAFE Delicious yang menawarkan pelbagai menu seperti pasta, sandwic, salad, hidangan tempatan dan pencuci mulut kini tampil dengan hidangan istimewa bersempena bulan Ramadan.

Disediakan dalam satu set untuk dua orang, sajian dalam dulang itu meliputi sembilan lauk-pauk yang memenuhi selera.

Menurut Chef Eksekutif The Delicious Group Sdn. Bhd, Wan Mohd. Sabri Wan Sidek, buat kali pertama kafe itu menyediakan sajian istimewa untuk berbuka puasa.

"Kami masih mengekalkan menu-menu sedia ada, cuma kali ini kami menyedia bagi pelanggan yang inginkan suatu kelainan pada waktu berbuka," kata beliau.

Mengapa set ini diperkenalkan? Wan Mohd Sabri berkata, pelanggan yang lebih menggemari makanan Asia tidak semestinya tertumpu pada hidangan tempatan.


Kesembilan-sembilan hidangan yang disajikan dalam satu dulang itu termasuklah tulang rusuk lembu menumis-reneh, udang goreng bersama pucuk paku dan sambal belado, salad mi tongfen (glass noodle), otak-otak daun pisang dan ikan kurau kering masin.

Selain itu, ulam dan sambal belacan, emping melinjo, acar limau dan acar Nyonya melengkapkan sajian.

Dulang lauk yang dilapik dengan daun pisang itu turut disajikan bersama nasi putih, air sirap dan buah kurma.

"Sebagai pelengkap hidangan, pelanggan boleh memilih mana-mana hidangan pencuci mulut.

"Selain itu, jika mereka mahu, terdapat juga agar-agar istimewa, Delicious Jello yang berharga RM9.90 untuk mengumpul dana bagi Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara," katanya.

Sabri berkata, pilihan hidangan yang menarik pelanggan lauk tulang rusuk lembu yang ditumis-reneh selama lima jam bagi memastikan kelembutan daging dan kelazatan rempahnya dirasai.

Persekitaran santai di Delicious dengan dinding putih digabung dengan bantal berwarna firus dan biru,memberikan suasana selesa untuk menikmati hidangan.

Tempat duduknya juga selesa dan dekorasi unik seperti sangkar burung putih di siling.

Sejarah Delicious bermula apabila Benjamin Yong, pengasas Delicious pulang dari Australia setelah memperoleh ijazah dalam bidang psikologi. Beliau kemudian bergabung tenaga bersama ibunya, Helen Read, pengasas rangkaian pakaian Ms Read dan Abby Leong, rakan Read.

Delicious yang kini berusia empat tahun itu kini boleh didapati di tiga lokasi utama ibu kota iaitu di pusat beli-belah Bangsar Village II, Bangsar; One Utama, Damansara Utama dan The Marc Service Residence, Jalan Pinang.

Hidangan set Ramadan Delicious itu disediakan pada harga RM89.90++ untuk dua orang.



http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...