Tuesday, September 30, 2008

Takbir di sebalik tirai besi

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my


Sesuatu perbuatan yang jahat pasti ada balasan, begitulah luahan suara hati insan yang meringkuk di penjara. Pada sambutan Syawal ini, dengarlah rintihan mereka yang menantikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang.



-------------------------------------------------------------------

SEBAGAI manusia, kita semua tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan kesalahan dalam kehidupan seharian.

Yang boleh dimaafkan dan diampunkan, diterima kembali dengan sepenuh hati. Sebaliknya, yang terjerat dengan perbuatan menyalahi agama, perikemanusiaan dan undang-undang, harus berdepan dengan muka pengadilan.

Sukar meloloskan diri daripada hukuman duniawi, kebiasaannya jenayah yang dilakukan meninggalkan kesan yang amat parah dan memudaratkan kesihatan mental dan fizikal orang lain.

Jauh lebih buruk apabila tindakannya meragut nyawa yang tidak bersalah atau membinasakan hidup seseorang sepanjang hayat.

Namun, hukuman penjara tidak bermaksud untuk mendenda atau menyeksa seseorang semata-matanya. Dalam tempoh dipenjarakan, pesalah itu dibimbing untuk menilai semula perbuatan menyakiti orang. Program pemulihan ini meliputi segala aspek pengajaran termasuk didikan agama, memupuk nilai-nilai hormat-menghormati, bergotong-royong dan kemasyarakatan.


HANYA sentuhan dipisahkan cermin ini cara untuk mereka menghulurkan kemaafan kepada ahli keluarga pada pagi raya.

-------------------------------------------------------------------

Apa pun, sekembali ke pangkuan keluarga atau kehidupan di luar penjara, adalah menjadi harapan semua untuk meneruskan kehidupan yang terpuji dan terpelihara. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini, sekalian umat Islam digalakkan supaya berkelakuan baik walau di mana jua berada.

Tidak terkecuali ialah dua orang insan yang kini meringkuk di penjara sejak beberapa tahun lalu.

Semenjak mula melaksanakan ibadat berpuasa dan menunaikan sembahyang, keinsafan yang menyelubungi diri menebal hari demi hari. Takbir raya yang akan bergema malam ini menambahkan lagi kesyahduan hati mereka untuk kembali kemasyarakat sebagai insan berguna.

Di belakang tirai besi yang memisahkan diri daripada komuniti luar, kedua-dua pesalah ini membuka kisah mereka dalam sesingkat masa yang kami temui. Azman, bukan nama sebenar baru mencecah usia 31 tahun dan merupakan anak kedua terakhir daripada tujuh orang adik-beradik.

Berasal daripada keluarga yang tidak pernah punya catatan jenayah, Azman dengan pencapaian pendidikan sehingga tingkatan lima akur dengan nasib malang yang menghimpit dirinya.

Dia reda atas hukuman kerana kesalahan mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur. Meskipun menyatakan dirinya mengenali gadis tersebut sebagai teman wanitanya. Hakikatnya, perbuatan Azman tidak dapat diperbetulkan kerana gadis itu cuma berumur 16 tahun ketika kejadian berlaku.

"Apabila perkara sebenar diketahui oleh keluarga gadis itu, mereka datang mendapatkan penjelasan. Setelah berterus-terang, bapa gadis itu melaporkan kejadian itu kepada pihak polis," kata Azman yang menundukkan kepala sepanjang menceritakan kisah lampau itu.


DI KEPONG dengan tembok dan tirai besi, takbir lebaran menitipkan kesyahduan kepada banduan kerana tidak mampu meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarga tersayang.

-------------------------------------------------------------------

Dijatuhi hukuman penjara sehingga tahun 2016, sudah dua tahun berlalu semenjak Azman berada di Penjara Kajang, Selangor.

Dengan fikiran yang bercelaru, pengalaman awal berada di dalam jel menghantui dirinya selama beberapa malam.

Tanpa bercakap banyak dan lebih banyak mengasingkan diri daripada teman yang lain di penjara, Azman terkenang keluarga di kampung Muar, Johor.

Kelas-kelas agama yang disertai pada peringkat awal, sedikit sebanyak membantu meningkatkan keimanan dan ketaatan kepada ajaran Tuhan.

Perlahan-lahan, dia sedar kesalahan yang dibuat dan terbit rasa penyesalan walaupun sudah sedikit terlambat.

"Di sini, saya berjumpa bermacam-macam jenis orang dengan perangai yang pelik. Yang penting, kita sekarang tahu yang mana satu diambil sebagai pedoman dan yang mana dibuang," ujarnya yang kini bekerja sebagai tukang jahit bergaji.

Disebabkan sikapya yang baik dan mematuhi peraturan penjara, Azman ditugaskan sebagai pembantu wadar penjara semasa mengedarkan makanan kepada teman banduan yang lain.

Pada bulan puasa, tugasnya berubah. Azman tidak lagi menjaga hal ehwal makanan pada waktu petang.

Sebaik bersahur pada awal pagi, dia memulakan kerja di bengkel pada pukul 9 pagi sehingga pukul 3 petang. Pada waktu berbuka puasa, teman-teman yang beragama Islam berkumpul untuk makan beramai-ramai.


BANDUAN sempat memasak lemang untuk dijadikan hidangan pada pagi raya.

-------------------------------------------------------------------

Menjawab pertanyaan adakah sukar berpuasa di penjara, jelasnya: "Syukur tahun lalu dapat berpuasa penuh. Dan insya-Allah tahun ini begitu juga.

"Raya juga di sini dengan kawan-kawan. Sama seperti di luar kami akan bertakbir raya beramai-ramai. Ketika itu hanya Tuhan yang tahu betapa hati ini begitu merindui suasana lebaran bersama keluarga," luahnya.

Sambil mendoakan dirinya dijauhi daripada jiwa yang tidak tenteram, Azman berasa gembira kerana masih lagi disayangi keluarga terutamanya adik-beradik. Biarpun ada yang sudah berumah tangga dan berjauhan, mereka tetap memberi sokongan dan nasihat yang membina.

"Apabila keluar nanti, umur saya sudah 40 tahun. Tapi seperti kata sesetengah orang, hidup ini bermula pada usia 40 tahun, saya akan nekad memulakan satu lembaran baru dalam hidup," luahnya dengan penuh positif sambil menantikan ketibaan keluarga yang melawat pada hari raya.

Hikmah pemulihan kendiri yang dijalankan di Penjara Kajang turut dirasai oleh Yusof (bukan nama sebenar) yang berumur separuh abad.

Meninggalkan isteri dan enam orang anak yang berusia lapan hingga 21 tahun di Kelantan, tiada sehari berlalu tanpa memikirkan sikapnya yang mementingkan diri.

Tambahan pula kejahilan mendalami ilmu agama sewaktu muda, ia menyumbang kepada tindak-tanduk yang diambil beberapa tahun lalu.

Yusof dipenjara 10 tahun atas kesalahan merogol seorang penumpang teksi di sekitar kawasan Kajang.

Tertangkap dalam tempoh lima jam selepas mangsa melaporkan kejadian, Yusof gagal memfailkan rayuan di mahkamah.

"Tempoh 10 tahun itu terlalu lama. Sebab itu pada awalnya, saya sukar menerima dengan hati yang tenang apabila dijatuhkan hukuman.

"Semasa menghadiri kelas agama, saya masih membayangkan diri seorang yang tidak berguna kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat umum."

"Lama juga sebelum saya sedar dan keluar dari fikiran yang bergelora. Semasa memasuki fasa ketiga program pembelajaran, saya makin reda dan menrrima hukuman sebagai ujian Allah," katanya yang berasa rugi kalau tidak berpuasa atau sembahyang.


TIRAI BESI menjadikan Azman dan Yusof lebih dekat dengan Allah. Malah mereka sudah boleh berpuasa penuh, sesuatu yang jarang mereka lakukan di luar dahulu.

-------------------------------------------------------------------

Dahulu, katanya dia berpura-pura berpuasa di hadapan keluarga dan anak-anak.

"Dulu di luar tinggal puasa, tinggal sembahyang. Tetapi alhamdulillah selama di sini saya tidak pernah tinggal puasa lagi. Sesuatu yang tidak pernah berlaku ketika saya di luar daripada tirai besi ini," ujarnya.

Mengira hari ketibaan Syawal, Yusof setia menantikan lawatan keluarga. Dia teringin melihat wajah anak-anak dan mendakapi mereka dengan erat.

Tahun ini juga merupakan kali ketiga dia menyambut Aidilfitri secara sederhana di dalam penjara. Kebiasaannya, mereka sekeluarga di penjara menunaikan solat Aidilfitri pada pagi raya sebelum berkumpul untuk menjamu selera.

Ditanya apa yang dimahu dalam hidup selepas ini, jawabnya ringkas: "Saya kerugian 10 tahun bila keluar nanti. Jadi, saya hanya mahu kembali ke pangkuan keluarga dan meringankan beban dan tanggungjawab isteri membesarkan anak-anak."

http://www.kosmo.com.my/30092008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...