Thursday, October 9, 2008

Perangkap cinta internet - Tiga mangsa diperdaya ‘kekasih’


Oleh NORAINI A. GHANI
berita@kosmo.com.my



AB. RAHIM menunjukkan cetakan daripada sebuah laman web yang memaparkan seorang gadis ayu yang digunakan oleh sindiket untuk menipu mangsa di Kuala Terengganu semalam.
--------------------------------------------------------------------

KUALA TERENGGANU - Bermodalkan kata-kata cinta yang dijaja di laman web mencari teman, satu kegiatan memperdaya dan menipu wang daripada mangsa yang kemaruk asmara kini dipercayai semakin berleluasa.
Akibat kegiatan yang dirancang dengan teliti itu, tiga orang mangsa dari negeri ini akhirnya termakan perangkap yang dipasang suspek.

Menurut Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Deputi Supritendan Ab. Rahim Ab. Razak, dalam kejadian pertama, seorang lelaki menjadi mangsa apabila membelanjakan wang sebanyak RM5,460 demi wanita yang dikenalinya di laman internet.

Ab. Rahim berkata, mangsa berusia 43 tahun itu mula mengenali suspek yang menggunakan nama 'Aishah Moktar' pertengahan bulan lalu.

Ujarnya, selepas bersembang di laman tersebut, mangsa dipercayai terpesona dan jatuh cinta dengan Aishah selepas melihat wajah cantik wanita tersebut melalui gambar yang dipapar di laman sembang miliknya.

Katanya, semasa bersembang di laman itu, wanita ayu yang berusia 30 tahun dan mendakwa tinggal di London kononnya mahu menghantar jam tangan, cincin emas, komputer riba dan wang tunai 10,000 pound sterling sebagai tanda perkenalan pada 20 September lalu.

"Bagaimanapun, pada 25 September lalu, dia menerima panggilan seorang lelaki mendakwa pekerja syarikat penghantaran yang meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM3,460 sebagai bayaran cukai Kastam untuk membawa masuk hadiah tersebut.

"Mangsa telah memasukkan wang berkenaan pada hari yang sama," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Ab. Rahim berkata, pada 4 Oktober lalu, mangsa sekali lagi diminta memasukkan wang sebanyak RM5,239 oleh pekerja syarikat tersebut untuk bayaran insurans hadiah yang dikirim Aishah, tetapi mangsa membayar RM2,000 sahaja.

Merasakan ada sesuatu yang tidak kena, mangsa yang bekerja sendiri itu cuba menelefon pihak Kastam menanyakan barangnya.

"Pihak Kastam memberitahu tiada barang yang dimaksudkan dan menjelaskan mangsa telah ditipu kerana sudah banyak kes berkenaan dirujuk kepada pihaknya dan menasihati mangsa supaya membuat laporan polis," katanya.

Ab. Rahim berkata, dalam kejadian lain, seorang doktor wanita berusia 29 tahun turut menerima nasib sama apabila ditipu selepas menjalinkan cinta dengan seorang lelaki yang mendakwa berasal dari London.

Katanya, doktor berasal dari Jerteh itu, kerugian RM18,700 apabila memasukkan wang tersebut bagi tujuan pengiriman hadiah perkenalan yang kononnya tersangkut di sebuah syarikat penghantaran dalam negara.

Katanya, seorang suri rumah berusia 42 tahun yang berasal dari Chendering, di sini turut ditipu dengan kaedah sama pada 2 September lalu dan mangsa kerugian RM3,460.

http://www.kosmo.com.my/09102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...