Saturday, November 8, 2008

Jais ada asas dakwa

KUALA LUMPUR: “Kami mempunyai asas kukuh untuk mendakwa dia dan pasangannya di mahkamah atas tuduhan berkhalwat,” kata Ketua Unit Tindakan Khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, semalam.

Katanya, bagi mendapat bukti tambahan, pihaknya sudah kembali semula ke lokasi Norman Hakim ditahan bersama seorang pelakon muda, Suhaiza Suhaimi atau Memey, kelmarin, bagi meneliti pelbagai aspek untuk mengukuhkan bukti.

Menurutnya, pasangan artis itu akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 20 Januari depan.

Beliau berkata, siasatan mendapati tidak ada laluan lain untuk ke tingkat atas melainkan terpaksa keluar melalui pintu depan sebelum menaiki tangga jika mahu berbuat demikian.


“Norman dipercayai tidak dapat membuka pintu belakang tingkat atas yang berkunci sebelum nekad bersembunyi dalam stor,” katanya.

Malah, katanya, pintu di tingkat atas hanya dibuka abang kepada pelakon terbabit yang datang ketika pegawai penguat kuasa Jais berada di situ dipercayai selepas dihubungi Norman.

Walaupun pemeriksaan di tingkat bawah tidak menemui Norman, kata Shahrom, pemeriksaan di tingkat atas mendapati Norman bersembunyi dalam stor dalam keadaan mencurigakan.

“Kami membuka stor itu sebelum menemui Norman,” katanya kepada Harian Metro.

Ketika ditahan 30 Oktober lalu, Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, mendakwa berada di tingkat atas bangunan dua tingkat pejabatnya di Ukay Perdana, manakala Memey, 20, berada di tingkat bawah.

Kes khalwat itu turut menambah parah hubungan Norman dengan isterinya, Abby Abadi atau Arbaeyah Abdul Manan, 30.

Melalui beberapa kenyataannya dalam media, Abby yang berang dengan tindakan Norman mempunyai hubungan dengan Memey menuntut suaminya menceraikannya.

Shahrom berkata, pegawai dan penguat kuasa Jais yang melakukan serbuan sudah melakukan intipan beberapa kali selepas menerima aduan.

“Berdasarkan kepada asas itulah, mereka (penguat kuasa) melakukan serbuan di pejabat pelakon drama bersiri, Gerak Khas berkenaan,” katanya.

Katanya, penguat kuasa Jais juga terpaksa menunggu kira-kira sejam sebelum pintu dibuka hingga menimbulkan kecurigaan yang boleh mendatangkan syak terhadap apa yang dilakukan pasangan terbabit.

Ketika ditanya mengenai status pasangan itu ketika ditahan, Shahrom berkata, pasangan wanita yang diambil keterangan memaklumkan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Norman.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081107094005/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...