Friday, November 7, 2008

Umno Sabah mahu kerusi naib presiden

Nov 2, 08 3:31pm

Satu daripada tiga kerusi Naib Presiden parti perlu diberikan kepada pemimpin Umno Sabah sebagai menghargai peranan parti itu dalam pilihanraya umum lalu, kata calon naib presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga menteri perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan itu berkata pengorbanan rakyat Sabah dalam memastikan kejayaan Umno sebagai tunggak Barisan Nasional (BN) perlu diiktirafkan dengan meletakkan seorang daripada pemimpin Umno di negeri itu sebagai pemimpin nombor tiga dalam parti.

"Jawatan ini selaras dengan hasrat kita untuk memperkuatkan jambatan sedia ada antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 di sini, hari ini.

Mengenai pencalonan beliau sebagai naib presiden parti menjelang pemilihan Umno Mac depan, Bernama melaporkan Shafie sebagai berkata beliau yakin ahli Umno sudah cukup matang dalam membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka kelak.

"Satu peringatan yang harus dibuat di sini ialah semua ahli harus memperkuatkan parti dan bukannya menjaga kepentingan sendiri," katanya.

Sehingga jam 3 petang ini, Shafie, yang merupakan Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, telah memperoleh 53 pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden.

Perlembagaan Umno menetapkan perlu memperoleh sekurang-kurangnya 20 pencalonan untuk layak bertanding jawatan naib presiden parti.

http://www1.malaysiakini.com/news/92315

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...