Saturday, March 21, 2009

KWSP: Dividen 2008 hanya 4.5%

Mar 16, 09 9:18pm
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)mengisytiharkan dividen 4.5 peratus bagi 2008, lebih rendah berbanding 5.8 peratus pada 2007.

Kadar dividen rendah itu adalah disebabkan peningkatan peruntukan rosot nilai pelaburan kesan penurunan mendadak harga pasaran ekuiti global yang tercetus akibat daripada krisis kewangan dunia, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini. 
    
Di sebalik krisis kewangan itu, KWSP mencatatkan pendapatan kasar tertinggi pernah dicapai sebanyak RM20 bilion dalam pendapatan kasar bagi 2008, peningkatan 9.36 peratus berbanding RM18.29 bilion pada tahun sebelumnya, lapor Bernama.
    
"Walaupun 2008 merupakan tahun yang mencabar berikutan krisis kewangan global yang telah memberikan kesan negatif kepada ekonomi dunia, portfolio pelaburan KWSP dari segi pendapatan kasar menunjukkan prestasi lebih baik berbanding 2007. 

Bagaimanapun, ekoran kejatuhan menjunam nilai pasaran ekuiti, sejumlah besar peruntukan rosot nilai pelaburan perlu dibuat yang menyebabkan penurunan ketara pendapatan bersih," kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman. 
    
Pendapatan bersih bagi tahun itu ialah sebanyak RM14.26 bilion selepas ditolak peruntukan rosot nilai ekuiti dan hutang ragu, bayaran dividen untuk pengeluaran, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan bayaran manfaat kematian serta hilang upaya.   
    
Ekuiti masih merupakan antara penyumbang terbesar kepada pulangan KWSP pada 2008, mewakili 34.82 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP. 

Penyumbang kedua terbesar
    
KWSP memperoleh RM6.67 bilion daripada ekuiti yang merupakan penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan pada 2008 berbanding RM5.37 bilion pada 2007. 
    
"Sehingga September tahun lepas, KWSP telah menunjukkan prestasi yang baik dalam ekuiti. Bagaimanapun, berikutan krisis kewangan dunia, prestasi pelaburan ekuiti KWSP jatuh kurang daripada 20 peratus, seterusnya memberikan kesan kepada bayaran dividen. 
    
"Bagaimanapun, prestasi ini lebih baik berbanding indeks komposit Bursa Malaysia yang merosot kira-kira 40 peratus dari akhir Disember 2007 hingga Disember 2008," kata Samsudin.
    
Kesan daripada penurunan ketara harga ekuiti global dan dasar peruntukan rosot nilai yang konservatif selaras dengan amalan terbaik perakaunan, KWSP telah memperuntukkan sebanyak RM4.69 bilion pada 2008 untuk rosot nilai pelaburan ekuiti dalam dan luar negara, berbanding hanya RM0.52 bilion pada 2007. 
    
Daripada jumlah peruntukan 2008, sebanyak RM3.20 bilion diperuntukkan untuk ekuiti luar negara. 
    
"KWSP telah melabur dalam syarikat yang mempunyai asas kukuh dan kami yakin peruntukan ini akan dimasukkan semula ke dalam akaun apabila ekonomi kembali pulih," kata Samsudin.
    
Pinjaman dan bon merupakan penyumbang terbesar pendapatan kasar pada 2008, mencatatkan pulangan RM6.78 bilion berbanding RM5.91 bilion pada tahun sebelumnya, manakala Sekuriti Kerajaan Malaysia, penyumbang ketiga terbesar pendapatan, memperoleh pulangan RM4.94 bilion berbanding RM4.88 bilion pada 2007. 

Kredit dalam akaun ahli
    
Pada 31 Disember, 2008, jumlah keseluruhan dana pelaburan KWSP meningkat sebanyak RM28.99 bilion kepada RM342.00 bilion berbanding RM313.01 bilion tahun lalu. 

Bagi 2008, KWSP memerlukan RM3.18 bilion untuk membayar satu peratus dividen berbanding hanya RM2.89 bilion pada 2007, disebabkan bilangan ahli yang bertambah. 
    
Ini bermakna KWSP memerlukan lebih 9.71 peratus lagi pendapatan bagi mengisytihar satu peratus dividen pada 2008 berbanding tahun sebelumnya.   
    
Dividen akan dikreditkan ke dalam akaun ahli pada 23 Mac 2009. 
    
"Kami bersedia menghadapi 2009 yang lebih mencabar kesan daripada krisis kewangan global yang masih berterusan. Bagaimanapun, KWSP yakin di sebalik setiap krisis masih wujud peluang yang boleh dimanfaatkan. 

"Apa yang penting adalah KWSP perlu sentiasa berhati-hati dan terus berusaha memberikan pulangan untuk faedah semua ahli melalui stratetgi pelaburan yang berhemat," kata Samsudin.

http://www1.malaysiakini.com/news/100331

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...