Wednesday, May 20, 2009

41 pelatih Akademi JPJ keluar hospital


PELATIH Akademi JPJ (dari kiri) Zulkefli, Mohamad Farid dan Mohamad Harris gembira ketika diiringi petugas kesihatan keluar dari Hospital Besar Melaka semalam.


MELAKA - Negeri ini diisytihar bebas daripada jangkitan bakteria meningitis setelah kesemua 41 pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua di sini yang dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Melaka (HM) baru-baru ini dibenarkan keluar semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol berkata, tiga pelatih itu ialah Mohamad Farid Khamis, 22, Mohamad Harris Abu Jazid, 27, dan Zulkefli Din, 22, menjadi kumpulan terakhir yang dibenarkan keluar semalam.

"Tiada lagi pelatih yang dirawat akibat jangkitan bakteria meningitis sejak 4 Mei lalu dan Melaka isytihar bebas daripada jangkitan ini," katanya pada sidang akhbar di Hospital Melaka semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman.

Jangkitan bakteria itu mula dikesan melanda negeri ini pada 4 Mei lalu selepas kematian seorang pelatih akademi berkenaan, Mohd. Hafiz Zainuddin, 24, yang berasal dari Kelantan manakala tiga pelatih dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, HM.

Sebanyak 85 orang daripada kira-kira 300 pelatih akademi berkenaan juga terpaksa dikuarantin dan dipantau oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan.

Serentak dengan itu, Norpipah berkata, pihak pengurusan Akademi JPJ telah menarik balik tempoh kuarantin ke atas kesemua 85 pelatih terbabit.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...