Wednesday, May 13, 2009

Dua kes A H1N1 di Thai


SEORANG pegawai kesihatan memakai topeng muka pada sidang akhbar berhubung influenza A H1N1 di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pihak berkuasa Thailand semalam mengesahkan dua kes pertama influenza A H1N1 sekali gus menjadi negara pertama di Asia Tenggara mempunyai kes selesema babi tersebut.

Menteri Kesihatan Awam, Witthaya Keawparadai berkata, pesakit itu merupakan warga tempatan tetapi keadaan mereka sudah beransur pulih.

"Kedua-dua mereka dijangkiti virus itu ketika melawat Mexico baru-baru ini," kata Witthaya pada satu sidang akhbar di Bangkok.

Tambah beliau, pesakit berkenaan pulang ke Thailand secara berasingan dalam keadaan demam namun mereka pulih selepas diberi ubat antivirus.

Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sampel pertama positif ujian influenza A H1N1 manakala sebuah makmal tempatan mengesahkan kes kedua.

Pihak berkuasa turut memantau tiga orang yang pernah menemui pesakit pertama dan lima orang yang berhubungan dengan pesakit kedua namun mereka tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan, katanya.

Dalam satu kenyataan selepas itu, kementerian menggesa semua pelancong yang melawat negara luar untuk berjumpa doktor dalam tempoh tujuh hari jika mereka mempunyai tanda-tanda selesema.

Witthaya berkata, Thailand masih mengekalkan amaran perjalanan ke AS, Mexico, Kanada, Britain dan Sepanyol.

Kes tersebut muncul beberapa hari selepas Thailand menjadi tuan rumah persidangan selesema babi yang menyaksikan negara-negara Asia bersetuju untuk meningkatkan ubat antivirus.

Menteri-menteri kesihatan dari China, Jepun, Korea dan ASEAN turut menggesa ketua pegawai syarikat kesihatan lebih adil dalam memastikan pengagihan ubat-ubatan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0513&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...