Friday, June 5, 2009

Tiga disah positif

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan tiga kes terbaru virus Influenza A (H1N1) dengan seorang pelajar lelaki warga tempatan dan dua pelancong Jerman disahkan positif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pelajar lelaki berusia 23 tahun itu pulang bercuti ke negara ini dari Amerika Syarikat dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 7.15 pagi, Isnin lalu.

“Pelajar itu tidak mengalami demam ketika tiba di KLIA, tetapi mula demam dan batuk, kelmarin dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan.

“Dia disahkan menghidapi jangkitan H1N1 oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 4 pagi semalam dan ketika ini keadaan stabil serta diberi rawatan antiviral,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Liow berkata, dua kes lagi membabitkan dua pelancong Jerman berusia 30 dan 32 tahun itu tiba di Terminal Lapangan Terbang tambang murah (LCCT), Sepang dengan menaiki penerbangan AirAsia AK702 dari Singapura, pada jam 1.55 tengah hari, semalam.

“Kedua-dua mereka mula mengalami demam ketika berada di Kuala Lumpur dan pergi ke Hospital Gleneagles untuk mendapatkan rawatan dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur jam 1.40 awal pagi semalam.

“Kedua-duanya disahkan menghidap jangkitan H1N1 jam 3 petang tadi (semalam) melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Perubatan Malaysia dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Mereka sebelum itu menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ45 dari Jerman dan tiba di Singapura pada Isnin lalu,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu mengesan kontak kes berkenaan termasuk kakitangan pesawat dan penumpang AK702 bagi mendapatkan maklumat mereka bagi tujuan pemantauan.

“Kami memohon kerjasama mereka untuk menghubungi kementerian ini melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Mutakhir/20090605025050/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...