Thursday, July 9, 2009

Dua kali salah ubat

JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang menghidap sakit mata berdepan nasib malang selepas sebuah klinik swasta yang dikunjunginya salah memberi ubat hingga menyebabkan matanya terus membengkak.

Bimbang perkembangan yang berlaku pada wanita itu, keluarga kerani sebuah syarikat swasta di Kluang itu membawanya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kluang.

Namun, episod malang yang menimpa Raisatunnajah Abdullah, 28, belum berakhir kerana ubat yang diberikan kepadanya ketika dirawat di bahagian kecemasan hospital itu menyebabkan mulut dan badannya pula melecur.

Menurut kakak mangsa, Noraini, 31, adiknya mengadu sakit mata Selasa minggu lalu dan mendapatkan rawatan di klinik swasta di Kluang yang juga klinik panel majikannya.

“Raisatunnajah diberi ubat titis untuk mengurangkan sakit mata. Namun, keesokannya, matanya membengkak dan kami menghantarnya semula ke klinik sama.

“Doktor memberikannya sejenis ubat untuk mengurangkan bengkak dan menasihati kami merujuk Raisatunnajah ke hospital jika keadaanya tidak berubah,” katanya.

“Sebaik tiba di Hospital Kluang, pembantu perubatan memberinya dua suntikan serta beberapa jenis ubat,” katanya.

Malang menimpa ibu kepada dua anak itu apabila suhu badannya naik mendadak, mata dan bibir membengkak serta timbul bintik mengandungi air di seluruh tubuh.

“Kerana tidak tahan dengan rasa panas dan bisa yang mula menggigit wajah serta tubuhnya, Raisatunnajah meminta bantuan adik bongsu kami menghantarnya ke hospital sama pada jam 2 petang, Jumaat lalu.

“Dia ditahan untuk rawatan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dengan ambulans kira-kira jam 9 malam hari sama,”
katanya.

Raisatunnajah bukan saja tidak mampu membuka mata atau mulut, tetapi tidak mampu menelan makanan termasuk bubur.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yakub, berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada pengarah HSA untuk membuat siasatan lanjut berhubung kes itu.

“Kes ini perlu disiasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian kerana ia berkaitan masalah kecuaian pihak bertanggungjawab. Keluarga pesakit mempunyai hak untuk membuat aduan secara terus kepada pihak kementerian bagi membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...