Friday, July 3, 2009

Internet turut rasa impak kematian mengejut Michael Jackson

Jumaat Julai 3, 2009

SIAPAKAH insan yang paling terkenal di dunia? Soalan ini nampak mudah tetapi terdapat ribuan jawapan. Sesetengah mungkin menjawab, The Pope sementara yang lain menelah Presiden Amerika Syarikat, Obama.

Kesemua nama-nama yang dicanangkan ini hanyalah suatu spekulasi dan boleh dipertikaikan.

Mungkinkah Raja Pop, Michael Jackson manusia paling popular di dunia? Ramalan tersebut tidak boleh diketepikan begitu sahaja jika kita melihat "rekod-rekod" luar biasa Jackson.

Sekadar menyebut beberapa rekodnya secara rambang. Jualan album Jackson di seluruh dunia mencecah angka 700-750 juta. Kerjaya Raja Pop ini terus gemilang walaupun setelah 50 tahun berlalu.

Foto-foto dan lilin-lilin diletakkan di sebuah tugu peringatan penyanyi legenda, Michael Jackson di Munich, Jerman. - foto AFP

Dua kes tuduhan pedophilia membabitkan Jackson mendapat liputan meluas. Begitu juga pelbagai sumbangan amal yang dilakukannya. Jadi tidak salah kalau kita merumuskan, Michael Jacksonlah manusia paling popular di dunia.

Namun kehebatan popularitinya menyebabkan masalah besar kepada beberapa laman popular di Internet. Ketika khabar angin bertiup kencang mengenai kematiannya pada hari Khamis lalu, banyak laman web popular 'terganggu' seketika kerana begitu pesat dilayari peminat-peminatnya.

Waktu laman web mendedahkan berita kematian Michael Jackson, semua orang dari merata dunia cuba mengakses laman-laman berita untuk membaca sendiri berita tersebut.

Ini menyebabkan trafik internet menjadi sesak, sekali gus pelayaran Internet hampir lumpuh.

Kematian Michael Jackson mengundang pelbagai reaksi. Ada yang ingin mengetahui kerjaya muziknya dan ada pula ingin melihat dakwaan salah lakunya.

Seorang peminat Michael Jackson meletakkan kad ucapan pada memorial yang didirikan di luar rumah mendiang Raja Pop di seksyen Encino, Los Angeles. - foto AP

Apa pun, kita memilih untuk mengingati Michael Jackson kerana impak muziknya yang begitu berkesan kepada semua pihak di mana saja di benua ini.

Kekaguman terhadap bakat luar biasanya sukar ditandingi. Beliau juga telah meninggalkan kesan yang luar biasa dan impak besar kepada Internet setelah kematiannya.

Rasa ingin tahu dalam hati peminat Michael membuak-buak hinggakan membuat Internet tidak dapat dilayari seketika kerana kesesakan trafik. Pendek kata, apa saja info tentang Michael menjadi topik utama yang dilayari di Internet.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/3/mstar_hiburan/20090702134725&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...