Thursday, July 23, 2009

Kami tak hutang Roslin

KUALA LUMPUR: Tidak mahu memanjangkan isu yang sudah selesai, itu jawapan ringkas diberikan anggota keluarga bekas isteri pemain badminton negara, Roslin Hashim, 34, berhubung rancangan pemain berkenaan mengemukakan saman serta tuntutan ganti rugi.

Roslin dalam kenyataannya semalam berkata, dia berhasrat mengemukakan saman kira-kira RM50,000 terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad, 32, dengan alasan untuk mendapatkan haknya kembali.

Bagaimanapun, kenyataan terbabit disangkal ahli keluarga Faizah yang menganggap kes perceraian terbabit sudah diputuskan di mahkamah dan tiada apa yang perlu dipanjangkan lagi.

Abang Faizah, Zulkifli Mohamad, 35, berkata kenyataan Roslin itu membuatkan mereka sekeluarga sekali lagi terkejut dan tidak menyangka pemain badminton itu masih mempunyai ‘urusan’ belum selesai dengan mereka.

Menurutnya, dia dan keluarga yang baru saja menarik nafas lega selepas konflik perceraian itu berakhir di Mahkamah Syariah, Mei lalu, tidak menyangka kini terpaksa berhadapan pula dengan saman.

“Apa sekalipun yang ingin dilakukannya (Roslin) adalah kehendaknya, tapi kami sekeluarga tidak berhutang apa-apa dengannya. Wang hantaran perkahwinan yang diberikan sebelum ini tidak pun sampai jumlah saman yang dituntut.

“Malah, tiada harta atau apa-apa barang berharga milik bersama Roslin dan Faizah yang masih disimpan adik saya. Semuanya hanya tinggal kenangan dan kami cuma mahu melupakan apa yang pernah berlaku,”
katanya.


Zulkifli berkata, perceraian yang dialami adiknya itu meninggalkan kesan mendalam sehingga menyebabkan Faizah malu untuk bersemuka masyarakat.

“Dia lebih senang duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga,” katanya kesal.


Ditanya sama ada Faizah merancang mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat, Zulkifli memberitahu semua itu belum terfikir oleh adiknya berikutan dia perlu menenangkan perasaannya yang runsing.

Akbar ini semalam melaporkan, Roslin merancang mengemukakan saman RM50,000 terhadap bekas isteri yang dikahwininya selama 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Saman berkenaan akan difailkan sejurus dia memperoleh surat pembatalan pernikahan yang kini belum dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...