Sunday, July 19, 2009

Tembelang janda gelabah terbongkar

Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH
fauzie@hmetro.com.my


KUANTAN: Tindakan gelabah seorang janda beranak empat meluru duduk di atas katil selepas membuka pintu bagi membolehkan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jaip) melakukan pemeriksaan dalam bilik hotel didiaminya membongkar perbuatan maksiat dilakukannya.

Wanita itu yang terketar-ketar ketika menjawab soalan menimbulkan rasa curiga anggota penguat kuasa yang melakukan operasi mencegah maksiat di hotel berkenaan kira-kira jam 7 pagi, semalam.


Apabila disoal wanita yang hanya berkemban itu memaklumkan menginap seorang diri di bilik hotel itu namun ketika disuruh bangun dia enggan menyebabkan anggota penguat kuasa terbabit memeriksa bawah katil berkenaan.

Selepas dipujuk beberapa kali akhirnya janda berusia 40 tahun itu mengalah dan apabila katil itu dialihkan ada seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel sedang berbaring di bawahnya.

Janda yang bertugas sebagai pengawal keselamatan itu akhirnya mengaku berdua-duaan bersama lelaki berusia 10 tahun lebih muda daripadanya sambil meminta anggota penguat kuasa melepaskan mereka dengan alasan akan berkahwin tidak lama lagi.

“Dia datang hendak ambil saya pagi tadi (semalam) untuk dibawa ke kampung. Tolonglah encik kami memang rancang untuk bernikah,” katanya.

Pasangan masing-masing dari Temerloh dan Pekan itu antara 18 ditahan dalam operasi rutin dilakukan anggota penguat kuasa Jaip dalam usaha membanteras kegiatan maksiat di hotel bajet sekitar bandar ini.

Ketua Unit Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah daerah, Surja Khairul Ishak, berkata semua yang ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kesalahan mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) kerana berkhalwat.

Katanya jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-dua sekali.

Menurutnya, walaupun hotel berkenaan kerap diserbu namun masih ada umat Islam yang berani melakukan maksiat di situ.

“Nampaknya mereka masih tidak serik menjadikan hotel itu sebagai tempat memuaskan nafsu walaupun keadaannya amat menjijikkan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090719100022/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...