Thursday, August 6, 2009

Pelajar hilang dikurung kekasih

KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang pelajar perempuan tingkatan satu sejurus pulang dari sekolah di Cheras, 28 Julai lalu akhirnya terbongkar selepas remaja terbabit didapati dilarikan sebelum dikurung kekasihnya berusia 24 tahun.

Remaja berusia 13 tahun itu dikesan bersekedudukan dengan teman lelakinya itu di sebuah rumah di Salak Selatan, di sini.

Sumber polis berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan berhubung kehilangan itu mendapat maklumat berkaitan identiti teman lelaki mangsa yang dipercayai memujuk mangsa melarikan diri.


Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) menyerbu rumah lelaki terbabit Jumaat lalu sebelum menemui remaja perempuan berkenaan.

Hasil siasatan mendapati remaja perempuan itu disembunyikan di rumah berkenaan dan polis tidak menolak kemungkinan dia turut dipujuk melakukan hubungan seks.

Berikutan itu, polis menahan teman lelaki mangsa untuk siasatan lanjut manakala mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan,” katanya.

Difahamkan, penemuan mangsa sudah dimaklumkan kepada keluarganya sebelum bapa mangsa membawa pulang anak gadisnya dan membuat laporan di IPKKL.

Dalam kejadian Selasa lalu, bapa mangsa membuat aduan selepas gagal mengesan anaknya berusia 13 tahun yang hilang selepas mangsa menghubungi bapanya supaya mengambilnya pulang dari sekolah, kira-kira jam 7 petang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...