Tuesday, February 9, 2010

Langgar tubuh toreh beg

Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my
2010/02/08

MELAKA: Kegembiraan lima bersaudara membeli-belah bertukar pengalaman buruk apabila wang tunai RM1,000 dibawa hilang sekelip mata, selepas beg tangan disandang dipercayai ditoreh penjenayah di Jonker Street, kelmarin.

caption image
caption image
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa, Tay Ah Gaik, 50, bersama tiga kakaknya dan seorang anak saudara perempuan mereka tiba di kawasan perniagaan itu, sebelum wanita berkenaan mahu ke tandas.


Sebelum itu, mangsa mendakwa mereka sempat membeli-belah di pasar raya di pusat bandar dan ke Jonker Street membeli barangan lain sebagai persiapan menyambut Tahun Baru Cina.


Tay dari Taman Clonlee, Tampin, berkata ketika membeli-belah di pasar raya terbabit, dia tidak mengeluarkan wang tunai berkenaan daripada dompet, sebaliknya menggunakan kad kredit membeli beberapa barangan keperluan.


Menurutnya, dia bersama kakaknya berusia antara 54 dan 64 tahun dan anak saudara berusia 18 tahun ke kawasan Jonker Street kerana mahu membeli tat nanas selain barangan lain untuk sambutan Tahun Baru Cina, namun mahu ke tandas membuang air kecil.


Katanya, dua kakak dan anak saudaranya berjalan di depan, manakala dia bersama kakak berjalan di belakang dan kawasan itu ramai orang.

“Pada masa mencelah-celah antara orang ramai, saya menyedari ada perempuan berambut panjang dan cantik melanggar dengan kuat, tetapi ketika dimarahi dia membuat wajah selamba sambil bercakap di telefon bimbit.


“Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah ketika mahu mengeluarkan wang daripada beg untuk membuat bayaran masuk ke tandas apabila mendapati dompet hilang.


“Berikutan itu, perasaan saya bertukar menjadi panik sebaik mendapati ada lubang dengan kesan torehan pada bahagian tepi beg dan menyedari wang tunai bersama dokumen penting lain hilang,” katanya.


Tay berkata, dia terkejut dengan kejadian pertama kali berlaku terhadapnya kerana tidak menyangka menjadi mangsa penjenayah ketika berada di kawasan itu.


Menurutnya, ketika dilanggar dengan kuat di Jonker Street, dia memarahi individu terbabit, tetapi tidak mengesyaki sesuatu buruk berlaku kepada dirinya kerana menyifatkan mungkin suasana biasa.


Katanya, dia hairan kerana tidak merasai apa-apa ketika beg sandang diperlakukan sedemikian, tambahan pula kakaknya kebetulan berjalan di belakang tidak menyedari kejadian terbabit.


“Saya memang terkejut dengan kejadian ini kerana wang dibawa berkenaan hilang sekelip mata dan tidak sempat membeli barangan lain sebagai persiapan terakhir menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah berhubung kejadian itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...