Wednesday, March 10, 2010

Wanita kita ketinggalan

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my
2010/03/09

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan ke-101 di peringkat dunia dalam hak kesaksamaan gender pada tahun lalu, jauh ketinggalan berbanding hak yang sama dinikmati wanita negara Asia Tenggara lain seperti Filipina, Vietnam dan Thailand.

Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Madya Dr T Shanthi Thambiah, berkata pada 2006, kedudukan Malaysia di tangga 72, tetapi mengundur ke belakang berbanding tahun lalu hanya berada di tangga ke-101.


Katanya, wanita Malaysia mendapat hak sama rata dengan kaum lelaki dalam aspek pendidikan apabila bilangan wanita yang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti mencatatkan peningkatan 7.8 hingga 11 peratus lebih tinggi berbanding kaum lelaki.


Beliau berkata, walaupun ramai wanita yang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, namun golongan wanita yang memasuki sektor pekerjaan masih lagi kurang berbanding lelaki di negara ini.


“Pada 1980 bilangan wanita yang memasuki sektor pekerjaan mencatatkan sejumlah 64.9 peratus, tetapi pada 2008 tenaga kerja wanita di pasaran menurun dengan hanya mencatatkan 62.6 peratus,” katanya.


Beliau antara tiga panel yang diundang dalam Forum Kesaksamaan Hak dan Peluang Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang berlangsung di Institut Sosial Malaysia (ISM), di sini, semalam. Dua lagi panel yang diundang ialah Peguam Syarie, Tengku Naufal Tengku Mohd Mansor dan bekas gimnas negara, Dr Farah Imran.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nor Hayati Sulaiman.


Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd; Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Aminah Abd Rahman dan Pengarah ISM, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din.


Selain itu, Dr Shanthi berkata, bilangan wanita dalam pembuat dasar dan berpengaruh dalam pentadbiran kerajaan masih jauh daripada yang dijangkakan serta mencatatkan penurunan berbanding 2006 iaitu 30 peratus, tetapi pada 2008 hanya 23 peratus. Malah, katanya, isu keganasan terhadap wanita masih lagi mencatatkan peningkatan di negara ini yang turut mempengaruhi kedudukan kesaksamaan gender Malaysia.


Sementara itu, Nor Hayati berkata, pembangunan insan secara menyeluruh tidak akan tercapai jika wanita yang separuh daripada penduduk negara ini didiskriminasi dan dipinggirkan.


Katanya, pembabitan wanita kini membabitkan isu keberkesanan dalam pembangunan bukan lagi atas dasar simpati.


Katanya, wanita Malaysia kini membabitkan diri dan memberi sumbangan dalam pelbagai bidang untuk pembangunan negara.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitakitaketinggalan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...