Saturday, April 10, 2010

Penemuan

Obesiti kerana cacat genetik?



DALAM sebuah penyelidikan di Britain, sekumpulan saintis telah membuat kesimpulan bahawa ketiadaan segmen tertentu dalam asid dioksiribonukleik (DNA) boleh menyebabkan rasa lapar yang melampau.

Kehilangan segmen itu menggalakkan sikap terlebih makan, penambahan berat badan dan seterusnya mengakibatkan obesiti di kalangan kanak-kanak. Dr. Sadaf Farooqi dari Universiti Cambridge, dan Dr. Matt Hurles dari Wellcome Trust Sanger Institute, telah membuat kajian ke atas 300 DNA kanak-kanak obes.

Kajian tersebut meneliti genom setiap kanak-kanak lalu menemui keadaan mutasi yang dinamakan varians nombor salinan (CNV). Ia adalah satu segmen penting dalam DNA yang sama ada mengalami duplikasi atau hilang terus daripada gen. Segmen itu dipercayai mempunyai peranan penting dalam menentukan penyakit-penyakit genetik.

Apabila data itu dibandingkan dengan lebih 7,000 sukarelawan yang dikawal tahap kesihatan mereka, kajian tersebut menunjukkan bahawa CNV dalam rantaian DNA kanak-kanak obes bersifat unik. Walau bagaimanapun, keadaan itu dianggap penemuan terpencil dan hanya ditemui dalam kira-kira satu peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak obes.

Lima pengawal flu di dapur

BANYAK bahan makanan di dapur boleh mengurangkan kerengsaan simptom penyakit tersebut seterusnya mempercepatkan proses pemulihan. Antaranya:

Garam: Selain menjadi ubat kumur untuk meredakan tekak yang sakit, garam sangat berkesan untuk masalah hidung tersumbat. Larutan garam yang suam boleh disedut masuk melalui rongga hidung untuk memberi kelegaan pernafasan dan mencegah jangkitan resdung.




Halia: Teh halia berkesan membunuh kuman dan meredakan masalah perut. Halia yang digunakan dalam produk mandian juga merangsang sistem limfa dengan mempercepat proses penyingkirannya.

Bawang putih: Banyak kajian telah mengesahkan bahawa bawang putih mentah memiliki nilai antikulat, antibakteria dan antivirus. Penggalak daya ketahanan tubuh ini juga boleh meningkatkan pendarahan, maka mereka yang mengambil ubat berkaitan pendarahan perlu berhati-hati ketika menyertakan bawang putih ke dalam diet mereka.

Madu: Bahan yang memiliki nilai pemulihan tinggi ini meredakan batuk dan meningkatkan imunisasi. Campuran madu dan jus limau segar adalah ubat batuk semula jadi.

Buah oren: Vitamin C dalam jus oren yang diminum setiap hari mampu memendekkan durasi selesema. Setiap 1,000 miligram vitamin C yang diambil setiap enam jam boleh mengurangkan atau mencegah simptom flu dengan berkesan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...