Wednesday, April 28, 2010

Siasatan kes RM10j ditutup

2010/04/28

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadapnya kerana didakwa menerima RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing ditutup dan tiada siasatan lanjut.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh SPRM dalam surat yang diterima pada 22 April lalu menyatakan bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan berkenaan.


“Saya dimaklumkan siasatan kes saya sudah tamat dan tidak akan dilanjutkan. Tiada sebarang bukti yang membuktikan tuduhan liar itu,” katanya selepas melancarkan kempen Merah Tanda Berhenti anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bersama Sun Media Corporation Sdn Bhd di sini, semalam.


Tahun lalu, SPRM memanggil Ong untuk disoal siasat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan kononnya beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA. Pada masa itu, Ong masih memegang jawatan Presiden MCA manakala Kuala Dimensi kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ.


“Saya menerima berita berkenaan agak lewat kerana sedia maklum kes ini sudah tamat siasatan lebih awal.


“Walaupun kecewa, namun saya menerimanya dengan tabah kerana saya percaya yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah,”
katanya.


Menurutnya, ketika tuduhan itu dilemparkan, beliau dengan hati terbuka mengharapkan SPRM menyiasat perkara berkenaan secara mendalam.


“Ketika itu, liputan media cukup hebat, seolah-olah saya didakwa dan sudah disabit kesalahan. Malah, ia turut memberi kesan terhadap saya dalam pemilihan parti sejak tuduhan ini timbul.


“Kini, senario sebenar sudah jelas walaupun jawapan diterima agak lewat,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SiasatankesRM10jditutup/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...