Wednesday, May 19, 2010

Bantah isteri kedua mencelah

2010/05/19

PUTRAJAYA: Keluarga isteri kedua Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak tidak boleh mencelah dalam rayuan kes membabitkan saham dan syarikat ahli perniagaan terkenal itu, Mahkamah Persekutuan diberitahu semalam.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, mewakili keluarga isteri pertama dan enam pihak lain berhujah, keluarga isteri kedua tidak mempunyai fakta dan peruntukan undang-undang untuk mencelah di dalam rayuan itu kerana mereka tidak mempunyai kepentingan undang-undang di dalam rayuan tersebut.


Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Mei tahun lalu yang membenarkan isteri kedua dan anak-anaknya menjadi sebahagian pihak dalam rayuan, adalah salah.


Hari ini, panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Heliliah Mohd Yusof mendengar rayuan yang dikemukakan keluarga isteri pertama dan enam pihak lain untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan keluarga isteri kedua mencelah.


Panel itu bagaimanapun menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas selesai mendengar hujah Malik dan peguam Har- pal Singh yang mewakili keluarga isteri kedua.


Amanah Raya Berhad (ARB), yang juga pentadbir harta pusaka ahli perniagaan itu, mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman sivil yang difailkannya (ARB) terhadap 13 defendan termasuk isteri pertama Raja Rajmah Raja Chik dan anak-anaknya, Raja Hanipuddin, Raja Sallehudin, Raja Hizaruddin, Raja Taharuddin dan Raja Noraini.


Isteri kedua Nong Chik, Jumaaton @ Zaiton Awang dan lima anaknya, Raja Delila, Raja Norlina, Raja Iskandar, Raja Akhbar dan Raja Yurihana.


Sementara itu, enam pihak lain yang turut merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Jumaaton dan keluarganya mencelah dalam rayuan itu adalah Syarikat Lambang Tenaga Putra Sdn Bhd, Furukawa Electric Cables (M) Sdn Bhd, Shorga Sdn Bhd, Malayan Zips Sdn Bhd, seorang pengarah syarikat, Chow Soon Tat dan setiausaha syarikat Chong Fook Sin.


Pada 2004, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patail (sekarang Hakim Mahkamah Rayuan) membatalkan tuntutan saman ARB kerana ARB tidak membuat persediaan rapi untuk meneruskan perbicaraan kes itu. Berikutan itu, ARB mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan rayuan itu masih lagi belum didengar. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bantahisterikeduamencelah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...