Tuesday, May 25, 2010

Penjara 7 tahun



Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
2010/05/25


PETALING JAYA: Seorang pekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat di hukum penjara tujuh tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol bekas kekasihnya, enam tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu terhadap Ahmad Muhaimin Abdullah, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.


Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.


Rozina dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh adalah satu rekaan dan penafian semata-mata.


Dia juga berkata, pembelaan tidak pernah mencabar keterangan saksi iaitu seorang doktor (SP1) yang merawat mangsa yang mengatakan kejadian itu berlaku pada waktu petang.


Keterangan doktor juga menunjukkan kecederaan pada kemaluan mangsa konsisten dengan keterangan mangsa kejadian berlaku dalam tempoh 72 jam. Selain itu SP1 mengesahkan kecederaan pada faraj mangsa disebabkan kemasukan benda tumpul iaitu kemaluan tertuduh.


Dalam penghakimannya lagi, Rozina berkata keterangan mangsa tidak menunjukkan dia memberi keizinan kepada tertuduh untuk melakukan hubungan seks dengannya.


“Walaupun mangsa gagal menjerit, namun ia disebabkan dia takut diapa-apakan kerana kejadian berlaku di rumah sewa rakan tertuduh ketika itu bersorak di luar bilik apabila mendengar suara mangsa meronta-ronta,” katanya.


Terdahulu peguam Mohd Zarif Othman yang mewakili tertuduh merayu hukuman terhadap anak guamnya diringankan kerana tertuduh bakal melangsungkan perkahwinan, namun ia ditangguhkan kerana mahu menyelesaikan kes itu terlebih dulu.

“Tertuduh juga melakukan kesalahan pertama dan sepanjang kes ini berjalan ia menyedarkan tertuduh akan kesalahannya,” katanya.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 22 tahun ketika kejadian yang juga bekas pelajar kolej di sebuah bilik di Pangsapuri Seri Pelangi, dekat sini jam 3 petang, 28 Disember 2004.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pada perbicaraan yang bermula 3 Julai 2008, pihak pendakwaan mengemukakan enam saksi manakala pembelaan hanya mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjara7tahun/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...