Saturday, June 26, 2010

Amah kena penjara

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
2010/06/26

KUANTAN: Seorang pembantu rumah berusia 17 tahun yang menikam majikannya hanya kerana berang selepas wanita berkenaan memintanya membancuh susu, kira-kira dua tahun lalu, diperintah oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjalani hukuman penjara sehingga diperkenan Sultan Pahang.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir, memerintahkan hukuman berkenaan ke atas gadis berasal dari Pontianak, Indonesia itu mengikut peruntukan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001.


Akhtar dalam penghakimannya berkata, beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan kedua-dua hujah pendakwaan dan pembelaan serta mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh ketika kejadian berusia 15 tahun.


Mengikut kertas pertuduhan, remaja perempuan terbabit dituduh melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Miati Bakri yang ketika kejadian berusia 69 tahun pada 11 November 2008 antara jam 1.30 petang hingga 2.30 petang di No 3, Lorong Sungai Karang Maju 7, Taman Sungai Karang Darat 2, di sini.


Bagi kesalahan itu, pembantu rumah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Difahamkan, pada hari kejadian mangsa yang uzur meminta tertuduh ketika itu sedang menonton televisyen membancuh susu.


Namun, tertuduh yang berang enggan berbuat demikian dan bertindak di luar batasan apabila menikam dada warga emas berkenaan ketika mereka tinggal berdua di rumah itu berikutan anak dan menantu mangsa bekerja.


Selepas menikam mangsa, tertuduh melarikan diri meninggalkan warga emas itu yang rebah berlumuran darah di depan kediaman berkenaan sebelum ditahan polis pada hari sama tidak jauh dari tempat kejadian.


Tertuduh diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin dan BG Jayaprakash Rao, manakala pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwaraya Kalmizah Salleh dan Heng Yeng Loo.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amahkenapenjara/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...