Tuesday, June 15, 2010

Lelaki ugut bunuh isteri ketika bercuti direman

2010/06/15

PORT DICKSON: Percutian seorang lelaki bersama ahli keluarganya bertukar menjadi kenangan pahit apabila dia terpaksa bermalam di lokap polis selepas ditahan kerana mengugut membunuh isterinya, di sini, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia 35 tahun itu diberkas polis selepas dia dan isterinya bertengkar kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu.


Bimbang dengan ugutan suaminya, wanita berusia 34 tahun itu kemudian membuat laporan polis.


Malah, lelaki itu dikatakan ingin membunuh dirinya apabila cuba terjun dari tingkat sembilan hotel yang disewa mereka.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, perbuatan lelaki itu disedari keluarga dan pengawal keselamatan hotel yang berjaya menghalang perbuatannya.


“Berdasarkan siasatan awal, pasangan itu dan beberapa lagi ahli keluarga datang dari Seremban menyewa tingkat satu hotel berkenaan.


“Ketika di hotel itu, mereka bergaduh dan lelaki berkenaan mengugut untuk membunuh isterinya menyebabkan wanita berkenaan takut dan membuat laporan polis,”
katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, ketika di balai polis kira-kira jam 1 pagi, wanita berkenaan menerima panggilan telefon daripada ahli keluarganya memberitahu suaminya cuba terjun dari tingkat sembilan.


Menurutnya, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba, mangsa sudah diselamatkan ahli keluarga dan pengawal keselamatan hotel.


“Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut berhubung tindakannya yang mengugut mahu membunuh isterinya dalam pergaduhan sebelum itu.


“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan turut menyiasat motif suspek cuba terjun daripada tingkat sembilan hotel yang disewa mereka,”
katanya.

Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakiugutbunuhisteriketikabercutidireman/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...