Monday, June 14, 2010

Pelaburan haram cecah RM1.7 bilion

2010/06/14

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh tidak sampai setengah tahun, pelaburan haram dengan nilai kutipan melebihi RM1.7 bilion membabitkan 170,000 pelabur dikesan aktif di negara ini sejak Januari lalu.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata jumlah itu dikesan berdasarkan siasatan pihaknya terhadap 10 kes membabitkan aktiviti pengambilan deposit tanpa lesen mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (APPWH).


Beliau berkata, jumlah itu melebihi nilai pelaburan dikesan dari 2003 hingga 2008 dijalankan 23 syarikat dengan jumlah kutipan pelaburan melebihi RM1.5 bilion, membabitkan 400,000 pelabur.


“Ini secara tidak langsung menunjukkan aktiviti pelaburan haram masih berlarutan dan ramai terjebak di negara ini selain tidak menunjukkan pengurangan,” katanya ketika ditemui.


Abu Hassan berkata, dalam tempoh sama, empat syarikat serta mereka yang menjalankan aktiviti skim cepat kaya sudah dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan perundangan, iaitu Gemilang Mirza Sdn Bhd, Noradz Travel & Services, Buluhmas Enterprise Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd.


Selain itu, katanya, dari Januari hingga Mei lalu, BNM sudah membuat serbuan dan kini menjalankan siasatan terhadap tiga syarikat iaitu Semangat Teknologi Sdn Bhd dan syarikat berkaitan dengannya, Dencomm Sales & Services Sdn Bhd dan The Gold Label Sdn Bhd.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelaburanharamcecahRM1_7bilion/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...