Tuesday, July 20, 2010

Anak durjana



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/07/20

KUALA LUMPUR: Seorang anak durjana sanggup menumbuk kepala bapanya menggunakan ‘buku lima’ sehingga terpaksa menerima beberapa jahitan hanya kerana ‘rimas’ dengan nasihat bapanya yang mahu dia mencari pekerjaan dan berubah sikap menjadi orang baik.

SAKIT...Mustaffa menunjukkan kepalanya yang cedera.
SAKIT...Mustaffa menunjukkan kepalanya yang cedera.
Malah, anak sulung daripada enam beradik itu turut cuba memukul bapanya menggunakan tukul besi berhampiran rumah mereka di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam Off Jalan Istana di sini, tengah malam kelmarin.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mustaffa, 44, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, dia yang baru pulang bekerja menegur isterinya berhubung sikap anak sulung lelaki mereka yang gemar melepak dan membuang masa bersama rakan sebaya.

Mustafa yang bekerja sebagai penyiasat dalaman di sebuah pusat beli-belah meminta isterinya menasihati anak mereka itu supaya mencari pekerjaan dan membantu enam adiknya.

Ketika itu, anak mangsa yang berusia 21 tahun melepak dalam rumah.

“Sebaik mendengar saya berkata demikian, dia menerkam ke arah saya dan memukul kepala saya dengan buku lima hingga kepala saya berdarah. Saya langsung tidak menyangka anak saya sanggup berbuat demikian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mustafa, akibat kehilangan banyak darah, dia hampir pitam, namun cuba menahan diri daripada terjatuh.

“Anak saya melarikan diri, namun beberapa minit kemudian, dia muncul kembali sambil menjerit dan cuba memukul saya menggunakan tukul besi. Mujur beberapa jiran yang melihat kejadian itu sempat menahannya. Ketika itu terdetik hati dia berniat untuk membunuh bapa kandungnya,” katanya.

Mustaffa berkata, dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan oleh dua rakannya yang juga pemandu teksi sambil ditemani seorang anak perempuannya.

“Berdasarkan kecederaan, saya percaya anak sulung saya itu menggunakan buku lima. Namun, saya bernasib baik kerana lukanya tidak terlalu dalam,” katanya yang membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, sebelum ini anak sulungnya itu yang berhenti sekolah sejak berusia 16 tahun pernah beberapa kali menggertak mahu memukulnya setiap kali dinasihatkan supaya berubah sikap.

“Dia hanya gemar tidur di rumah atau melepak di pusat beli-belah bersama rakan sebaya. Tidak tahan dengan sikapnya itu, saya menasihatinya berubah walaupun ada kalanya dibalas maki hamun dan kata-kata kesat.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah memukulnya berikutan percaya ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan hubungan kami sekeluarga. Namun, selepas bersabar hampir lima tahun, sikapnya kian sukar dikawal, malah pernah diberkas polis kerana terbabit aktiviti tidak sihat,”
katanya.

Mustafa berkata, dia juga pernah diugut anak kandungnya itu yang mahu mencederakannya jika terus menerus mengganggu hidupnya.

“Saya tidak berani pulang ke rumah berikutan bimbang dia bertindak di luar kawalan termasuk membunuh saya. Buat sementara waktu ini, saya berehat di rumah rakan di Ampang sehingga sembuh.

“Saya mahu dia berubah dan menjadi insan baik,”
katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...