Tuesday, July 13, 2010

Bayar isteri RM1,000

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
2010/07/13

AMPANG “Saya minta maaf,” kata dramatis terkenal Badrul Muhayat, 42, di Mahkamah Majistret di sini semalam selepas isterinya, Julia Daud, 29, bersetuju dengan bayaran kompaun RM1,000, kerana tuduhan mencederakan isterinya itu pada Mac lalu.

Dia berkata demikian di hadapan Majistret Wan Karimah Wan Ab Ghani selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dan mencapai kata sepakat menyelesaikan kes terbabit mengikut Seksyen 202 Kanun Acara Jenayah.


“Memandangkan kedua-dua pihak bersetuju kesalahan ini diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah, mahkamah dengan ini bersetuju dan membenarkan kompaun RM1,000 dibayar kepada pengadu (Julia) dan mahkamah membebaskan orang kena saman (Badrul Muhayat) daripada tuduhan tersebut,” kata Wan Karimah.

Terdahulu prosiding ditangguhkan selama setengah jam selepas mahkamah memberi peluang kepada pihak pembelaan yang diwakili peguam bela Abdul Rashid Tasin berbincang dengan isteri tertuduh yang turut hadir di mahkamah.


Pihak Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurhusnita Mohd Radzi tiada bantahan dengan permohonan itu.


Ketika prosiding kembali berjalan, Wan Karimah bertanyakan kepada Julia sama ada dia bersetuju dengan kompaun dikenakan.


“Saya setuju dan saya mahu kompaun diserahkan di dalam mahkamah,” jawabnya.


Mahkamah kemudian memberi peluang kepada bekas model itu memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan terhadap isterinya.


Bagaimanapun, tertuduh atau nama penuhnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani, yang hadir ke mahkamah dengan berkemeja biru memberi alasan, peguam yang mewakilinya telah berbuat demikian ketika awal prosiding berjalan.


Dia kemudian memohon maaf tanpa melihat Julia yang berdiri di sebelahnya selepas sekali lagi Wan Karimah bertanyakan sama ada dia mahu meminta maaf atas tindakannya itu.


Badrul kemudian menyerahkan wang kompaun berjumlah RM1,000 itu kepada isterinya di dalam mahkamah.


Dia yang popular dengan filem Harry Boy dan Azizah The Legend didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia Daud, 29, dengan menumbuknya di muka, menendang di perut dan memukulnya dengan menggunakan batang penyapu di punggung dan kaki di rumah mereka di lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru, di sini, jam 7 pagi, 24 Mac lalu.

Dia di dakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes kejadian berlaku selepas terjadi pertengkaran kecil antara pasangan suami isteri itu sehingga tertuduh bertindak mencederakannya. Pengadu kemudian membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.


Akhbar sebelum ini melaporkan Badrul Muhayat, yang diburu selepas dikatakan menghilangkan diri apabila isterinya membuat aduan polis mendakwa dibelasah dan dicederakan, ditahan di sebuah restoran di Taman Nirwana, dekat sini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BayaristeriRM1_000/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...