Monday, July 26, 2010

KM tak ganjak

Oleh Nur Ain Musdad
am@hmetro.com
2010/07/26

MELAKA: Kerajaan negeri akan tidak berganjak untuk melaksanakan idea penubuhan sebuah sekolah khas, iaitu Sekolah Murid Mengandung sekiranya ia adalah jalan terbaik bagi membantu menyelesaikan dan mengelakkan maksiat dan zina yang semakin berleluasa di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membantu pelajar ‘miang’ untuk berkahwin kerana percaya masalah mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi akan dapat dikurangkan.


Menurutnya, cadangan menggalakkan berkahwin muda bukanlah sesuatu yang pelik atau mengarut memandangkan kes maksiat, mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi adalah adalah isu utama yang berlaku di kalangan pelajar dan anak muda pada masa kini.


“Kita banyak kali berbincang mengenainya namun sehingga kini tidak timbul sebarang penyelesaian.


“Malah masalah buang bayi akibat hubungan tidak sah menjadi semakin bertambah di negeri ini. Oleh itu lebih baik sekiranya kita membenarkan mereka bernikah dengan sah dan tentunya akan melahirkan anak hasil hubungan yang halal,” katanya ketika melancarkan buku Makan-Makan dan Membeli Belah di Melaka bertempat di Taman Botanikal,Ayer Keroh, semalam.


Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya, Linda Phua Sue Lin.


Idea untuk menubuhkan Sekolah Murid Mengandung itu setakat ini mendapat reaksi negatif termasuk daripada Kementerian Pelajaran yang menganggapnya pelik dan tidak sesuai untuk dilaksanakan.


Mohd Ali berkata, sekiranya terdapat anak muda yang bersekolah dan ingin berkahwin tetapi tidak mendapat persetujuan ibu bapa mereka boleh bertindak dengan mengadu kepada pihak Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).


“Kita akan bertindak melalui pihak Jaim dengan bertemu, memujuk dan berbincang dengan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka berkahwin daripada terus terbabit dalam sebarang aktiviti maksiat yang membawa kepada masalah sosial yang lain.


“Kita melihat secara peribadinya kebanyakan remaja kini banyak melahirkan anak luar nikah selepas tidak dapat mengawal nafsu serakah dan bertindak mengikut perasaan.


“Jika mereka ingin berkahwin, saya cadangkan ibu bapa kahwinkan sahaja kerana bimbang hal lain berlaku.

“Biasalah, anak muda ‘tengah miang’, nak kahwin ibu bapa tak benarkan dan disebabkan tak dapat kawal nafsu akhirnya mereka melakukan hubungan luar nikah menyebabkan lahirnya anak hasil hubungan tidak sah itu. Tetapi jika mereka berkahwin pada usia muda, mereka boleh lakukan hubungan yang halal,” katanya.


Beliau berkata sekiranya, seseorang perempuan itu mengandung luar nikah dan pihak sekolahnya tidak membenarkan datang ke sekolah mereka boleh masih boleh meneruskan persekolahan di Sekolah Murid Mengandung yang akan ditubuhkan oleh kerajaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KMtakganjak/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...