Thursday, July 29, 2010

Lapan jahanam

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/07/28

AMPANG: Hanya kerana enggan menyertai satu kumpulan samseng, dua pelajar sebuah sekolah menengah di Ampang, di sini, dibelasah sekumpulan lapan remaja yang tidak berpuas hati dengan mereka, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dua pelajar terbabit dibelasah di depan sekolah sebelum seorang daripada mereka menghubungi bapa saudaranya.


Namun, bapa saudaranya yang datang dengan tujuan membantu turut dibelasah kumpulan samseng terbabit.


Menurut sumber polis, kejadian berlaku apabila dua pelajar berusia 15 tahun itu sedang berjalan di kawasan luar sekolah.


“Ketika itu, ada sekumpulan remaja belasan tahun yang sudah tidak bersekolah berlagak samseng dan memanggil mangsa.


“Sebaik menghampiri kumpulan itu, mangsa dipaksa menyertai kumpulan mereka selain turut meminta wang perlindungan sebagai tanda mereka bersetuju menjadi ahli kumpulan.


“Bagaimanapun, mangsa enggan dan menolak pelawaan kumpulan itu.


“Tindakan itu ternyata menimbulkan kemarahan kepada kumpulan terbabit yang kemudian secara tiba-tiba mengamuk dan membelasah mangsa.


“Seorang daripada mangsa sempat menghubungi bapa saudaranya yang tiba tidak lama kemudian, namun lelaki terbabit turut dibelasah,”
katanya.


Berikutan kejadian itu, semua mangsa yang dipukul dengan rotan dan kayu itu cedera di badan, muka dan kepala. Semua mereka kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapat rawatan.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan kejadian itu.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan dan polis tidak menolak kemungkinan kumpulan remaja ini ialah samseng dan cuba mencari rekrut di kalangan pelajar untuk menyertai mereka.


“Kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lapanjahanam/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...