Saturday, August 21, 2010

Ramai yang masih berdegil

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengeluarkan 296 notis kompaun terhadap kesalahan merokok di kawasan larangan dan mereka yang di bawah umur merokok dalam satu operasi pada 10 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, 170 kes merupakan kesalahan merokok di stesen bas (39 kes), mahkamah (35), kompleks beli-belah (33), stesen minyak (23) dan hospital serta klinik (18 kes).

Selain itu, ia juga berlaku di premis kerajaan (15 kes), lapangan terbang (5) dan selebihnya di pusat-pusat hiburan manakala 88 orang belum cukup umur telah dikompaun kerana kesalahan merokok atau memiliki rokok dan 74 daripada mereka ditangkap di luar kawasan sekolah.

Operasi penguatkuasaan dilancarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 meliputi pemeriksaan di 2,112 premis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, seramai sebelas orang peniaga turut dikompaun atas kesalahan menjual rokok kepada orang belum dewasa dan 27 kompaun lagi atas pelbagai kesalahan lain.

"Sesiapa yang melakukan kesalahan merokok di premis larangan merokok dikenakan kompaun RM250 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

"Sekiranya gagal, kes akan didaftarkan di mahkamah dan jika sabit kesalahan didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun," jelasnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah Mohd. Ismail, bagi orang yang belum dewasa dan melakukan kesalahan merokok dikompaun RM50 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 50 hari.

"Jika gagal, tindakan mahkamah turut akan diambil dan boleh didenda sebanyak RM1,000," tambahnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...