Wednesday, September 22, 2010

Bersama dua lelaki

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

2010/09/22

GEORGETOWN: Tiga remaja perempuan termasuk dua beradik kembar yang dilaporkan hilang selepas beraya di rumah rakan pada Aidilfitri kedua lalu berjaya ditemui sepasukan polis di sebuah rumah pangsa di Taman Green Garden, Paya Terubong, di sini, semalam.


DITEMUI...(dari kanan) Nurulain, Suhaily dan Nurulashiqin dan ditemui bersama dua lelaki, semalam.

Nurulashiqin Kamarazmi dan kembarnya, Nurulain bersama rakan mereka, Suhaily Abdul Razak, masing-masing berusia 14 tahun berasal dari Taman Sentosa, Kampar, Perak ditemui bersama dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun dipercayai kekasih pasangan kembar itu di rumah berkenaan dipercayai milik kenalan seorang daripada dua lelaki berkenaan.

Ketua Balai Polis Ayer Itam, Cif Inspektor Mohd Fadzli Mohd Napiah, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pemilik rumah yang menumpangkan lima individu terbabit kelmarin sebelum bertindak menyerbu rumah itu, kira-kira jam 8.20 pagi semalam.


Menurutnya, selepas diserbu, pihaknya menemui tiga remaja perempuan itu yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa bersama teman lelaki Suhaily dan Nurulashiqin di rumah berkenaan yang ditumpangi mereka sejak 18 September lalu.


Katanya, selepas disoal siasat, lima individu itu didapati menaiki bas ekspres dari Batu Gajah, Perak pada 14 September lalu dan menginap di sebuah hotel bajet berdekatan Lorong Kulit selama tiga hari sebelum menumpang di rumah berkenaan selepas kehabisan wang.


Beliau berkata, hasil siasatan lanjut terhadap dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja itu mendapati seorang daripadanya masih berada di bawah pengawasan Balai Polis Jejawi kerana kesalahan mengambil dadah selain gagal memaklumkan tindakannya untuk pergi ke luar kawasan kepada pengurusan balai polis terbabit.


Menurutnya, dua lelaki itu juga diarahkan untuk menjalani ujian air kencing dan jika didapati positif dadah, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sementara menunggu hasil ujian itu, mereka kini ditahan di lokap balai berkenaan.


Katanya, tiga remaja perempuan yang masih bawah umur itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.


Beliau berkata, polis sudah menghubungi ibu bapa remaja perempuan berkenaan dan berikutan penemuan semua remaja itu, kes aduan orang hilang itu dianggap selesai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bersamadualelaki/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...