Thursday, September 9, 2010

Disembunyikan kenalan rapat?

2010/09/09

KUALA LUMPUR: Kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, difahamkan ada hubung kait dengan faktor kewangan dan sehingga kini dipercayai disembunyikan pihak tertentu.

Harian Metro difahamkan, pihak yang dipercayai terbabit dalam 'agenda' berkenaan terdiri daripada beberapa individu yang dikatakan turut mempunyai hubungan rapat dengan jutawan wanita berkenaan.


Sumber berkata, seorang daripada individu yang masih menghilangkan diri sehingga kini itu dipercayai menjadi perancang di sebalik kehilangannya.


“Bagaimanapun, motif lain di sebalik kehilangan berkenaan masih belum dapat dipastikan dan polis sudah mengambil keterangan daripada beberapa individu yang rapat dengan ahli perniagaan terbabit bagi mengenal pasti rangkaian konspirasi berkenaan.


“Desas-desus sebelum ini mengenai dia (Sosilawati) keluar dan membawa wang hingga mencecah jutaan ringgit juga tidak masuk akal. Mungkin dia ada membawa wang dalam jumlah yang besar namun tidaklah hingga jutaan ringgit,”
katanya.


Beliau berkata, motif dan susun galur proses jual beli tanah di Banting kononnya bagi tujuan penanaman herba untuk bahan kandungan produknya turut samar.


“Apa yang diketahui, Sosilawati ada menemui seseorang di Banting bagi membincangkan urus niaga tanah namun, tanah berkenaan sebenarnya adalah di Pulau Pinang,” katanya.


Usahawan terbabit yang juga bekas isteri penyanyi rock Lefhanded, Nash hilang sejak 10 hari lalu bersama peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dari Tetuan Kamaruddin & Partners di Putrajaya; pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang didakwa pemandu peribadi pakar kecantikan itu.


Difahamkan, mereka menggunakan dua kereta berasingan iaitu BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati dan BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 ditemui Isnin lalu ditinggalkan di tempat letak kereta pangsapuri Angsana, Taman Subang Mewah dan di hadapan Hotel Dorsett, Subang Jaya.


Sementara itu, adik kepada ahli perniagaan wanita berkenaan Masturi, 42, berkata mereka sekeluarga akan mengadakan kenduri kesyukuran jika Sosilawati dan tiga lagi lelaki berkenaan selamat pulang.


“Setakat ini, ahli keluarga belum menerima panggilan dan SMS individu tertentu sejak kehilangan kakak dan tiga lagi lelaki terbabit.

“Kami hanya mampu berdoa dan berharap dia (Sosilawati) akan pulang bagi menyambut Aidilfitri bersama seluruh ahli keluarga lain,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Disembunyikankenalanrapat_/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...