Tuesday, September 14, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Jam jadi petunjuk

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Noriah Idris, Maiamalina Mohamed Amin, Shamsul Munir Safini, Muhammad Apendy Issahak, Sarah Zulkifly, Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/09/13


BANTING: Jam mahal milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang diambil salah seorang penjenayah sebagai ‘kenang-kenangan’ selepas mangsa dibunuh menjadi petunjuk paling penting berhubung kes bunuh dan bakar mangsa berkenaan. Difahamkan jam milik Sosilawati terbabit dipakai salah seorang daripada lapan suspek termasuk dua daripadanya adalah wanita yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan kejam berkenaan.

Selain itu, polis unit Forensik yang melakukan siasatan terhadap lokasi Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, lokasi abu mayat mangsa dibuang turut menemui cebisan tisu anggota tubuh, termasuk rambut selain tulang hangus manusia yang dipercayai milik mangsa yang hilang, petang semalam.

Susulan itu polis forensik didapati mengutip semua tisu tubuh manusia terbabit sebelum disusun di atas jalan bagi membolehkan siasatan lebih rapi dilakukan terhadap bukti terbaru ditemui itu melalui kaedah penandaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, bukti terbabit sebahagian daripada sampel ditemui polis di lokasi kejadian termasuk tinggalan abu dipercayai mayat empat mangsa dibunuh.

Difahamkan, bau kuat petrol di kawasan tapak pembakaran mayat mangsa di dalam ladang pertanian bersepadu di Tanjung Sepat menjadi petunjuk kepada polis bagi menjalankan siasatan lebih rapi.

Sementara itu, tiga kenderaan polis Unit Forensik memasuki kawasan ladang terbabit jam 12.20 tengah hari semalam diikuti van polis yang membawa dua suspek utama kes berkenaan.

Wartawan yang berada di lokasi kejadian mendapati, kedua-dua suspek memakai baju lokap polis Kuala Lumpur berkenaan dipercayai suspek utama, peguam bergelar Datuk dan adiknya.

Konvoi polis yang dikawal ketat itu memasuki kawasan ladang yang terletak kira-kira 100 meter daripada jalan utama ke kawasan pembunuhan berkenaan sebelum memulakan siasatan rapi terhadap ladang berkenaan.

Polis Forensik Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur melakukan siasatan rapi terhadap lokasi kejadian manakala anggota polis dari Jabatan Kimia Bukit Aman melakukan pemeriksaan terhadap kawasan Sungai Panchau di sini.

Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar berhampiran kawasan kolam dalam ladang yang dibina tembok batu setinggi kira-kira dua meter di sekelilingnya.

Difahamkan polis turut menemui sisa pembakaran yang boleh dikaitkan dengan identiti mangsa yang hilang.

Sementara itu, pasukan penyelam polis marin turut dipanggil bagi membantu siasatan polis melakukan tugas menyelam di sungai terbabit mencari bahan bukti kes selain mengutip objek dipercayai tulang mangsa yang tenggelam ke dasar sungai.

Pasukan forensik turut ke restoran terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, lebih 30 petugas media selain hampir 100 penduduk tempatan tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian berikutan kawasan terbabit dikawal ketat lapan anggota polis yang menjaga pintu masuk ke ladang terbabit.

Penduduk, M Mohan, 53, berkata, dia terkejut dengan kehadiran polis dan mula mengesyaki sesuatu tidak kena.

“Semalam (kelmarin) ketika saya sembahyang di kuil berhampiran ladang ini, polis mengawal laluan masuk. Jadi saya pun tanya mereka dan dimaklumkan terdapat penemuan lokasi empat mayat dibakar,” katanya.

Difahamkan tanah berkenaan adalah milik peguam bergelar Datuk terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jamjadipetunjuk/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...