Saturday, October 2, 2010

Anak gadis suka keluar malam hilang

2010/10/02

SHAH ALAM: Seorang bapa kebingungan selepas anak perempuannya yang berusia 22 tahun menghilangkan diri sejak 27 September lalu tanpa khabar berita.

Zulkefli Mohd Yusof, 55, berkata anak perempuannya, Nur Zulaiha dipercayai keluar dari rumahnya di No 29, Jalan Relong Dua 19/44B, Seksyen 19D, di sini, tanpa memaklumkan kepadanya mahupun isteri, Latipah Patol Robaniah Abdullah, 53.

Menurutnya, dia menyedari Nur Zulaiha hilang selepas anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas jam 11 malam hari sama.


Katanya, Nur Zulaiha dipercayai keluar dari rumah pada jam 2 petang tanpa alasan.


“Isteri saya keluar rumah untuk berniaga kuih-muih pada jam 1.45 tengah hari dan ketika itu Zulaiha masih berada di dalam rumah.


“Dia sempat meminta wang RM4 sebelum keluar dari rumah,”
katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.


Zulkefli berkata, selepas kehilangannya disedari, beliau menelefon anak perempuan tunggalnya itu dan Zulaiha hanya memberitahu dia berada di sebuah kompleks sebelum memutuskan talian dan tidak dapat dihubungi selepas itu. Zulkefli dan keluarga sudah berusaha mencari di merata tempat termasuk di rumah saudara-mara serta pusat-beli belah sekitar Shah Alam, namun tidak menemuinya.


“Anak saya seorang yang pendiam dan tak suka bergaul dengan rakan sebayanya yang tinggal berdekatan rumah.


“Saya juga tak tahu dengan siapa dia berkawan sebab dia tak nak bagi tahu walaupun sudah banyak kali didesak.


“Sebelum ini pun dia selalu keluar malam, tapi balik walaupun kadang-kadang keluar pada jam 12 malam dan balik pada jam enam pagi keesokan harinya. Saya tak pernah pukul dia, tapi sekadar marah dengan memberi nasihat setiap kali tahu dia pulang lewat,” katanya.


Menurut Zulkefli, dia membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 untuk tindakan selanjutnya.

Zulkefli meminta anaknya pulang segera kerana ibunya yang kini kerap sakit sering bertanyakan mengenai keadaan anaknya itu.


“Saya juga sangat bimbangkan keselamatan anak gadis saya dan risau jika dia diperalatkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.


Zulaiha dipercayai memakai seluar hitam dan berbaju kemeja jalur kelabu serta membawa beg tangan berwarna emas ketika keluar dari rumahnya.


Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Nur Zulaiha diminta menghubungi Zulkefli di talian 017-6306547 atau balai polis berhampiran.



http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakgadissukakeluarmalamhilang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...